Scroll images by bigoo.ws

Sunday, January 22, 2006

Nyonya sumpah keluar Islam

Belum reda satu, satu kes menyusul.......
TAMPIN: Wanita berusia 89 tahun yang meninggal dunia akibat sakit tua, Khamis lalu, Nyonya Tahir, didakwa membuat surat akuan sumpah keluar daripada agama Islam di depan Pesuruhjaya Sumpah, Chong Yong Mok, bertarikh 19 Julai 1991.

Dakwaan itu dibuat oleh keluarganya yang turut mengemukakan beberapa dokumen bagi membuktikan Nyonya bukan beragama Islam.
Sehubungan itu, keluarga wanita terbabit meminta bantuan Biro Agama MCA Pusat bagi membantu mereka menyampaikan dokumen itu kepada Mahkamah Tinggi Syariah Seremban yang akan mendengar kes itu esok.
Timbalan Pengerusi Biro Agama MCA Pusat, Koo Chin Nam, mendakwa dalam akuan sumpah itu juga, Nyonya mengaku sejak kecil dipelihara mengikut asuhan dan didikan orang Cina.“Dia juga meminta, apabila mati, dia hendaklah dikebumikan mengikut adat istiadat agama Buddha,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan MCA Tampin, semalam.
Koo berkata, bukti kedua ialah dokumen yang dikeluarkan Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka bertarikh 7 Mei 1991 yang ditandatangani Pemeriksa Hal Ehwal Agama 1, Ab Azit Abdullah.
Dokumen itu menyebut, siasatan yang dijalankan Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah mendapati Nyonya berkahwin dengan Chiang Meng pada 1936 dan suaminya tidak pernah memeluk agama Islam.
Pasangan itu juga menjalani kehidupan bersama 13 anak dengan mengamalkan agama Buddha.
Dokumen itu turut menyebut Nyonya tiada niat kembali kepada Islam dan membuat perakuan akan terus hidup mengikut tradisi orang Cina dan jika mati hendaklah ditanam mengikut upacara Buddha.“
Kita akan menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah tiga anak Nyonya iaitu Chiang Lan Mui, 49, Chiang Wai Kwai Ying, 43, dan anak bongsunya Chiang Ah Fatt, 40, serta menantunya, Chan Hon Men, 54.Semalam, Harian Metro melaporkan, polis yang menerima laporan kematian Nyonya daripada keluarganya merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) selepas maklumat pada kad pengenalan wanita itu mencatatkan dia berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Sehubungan itu, JHEAINS kelmarin memperoleh perintah Mahkamah Syariah untuk menangguhkan upacara pengebumian Nyonya mengikut adat istiadat Buddha sehingga kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, esok.
Sementara itu, Ah Fatt berkata, keluarganya akan menerima apa saja keputusan yang akan ditentukan mahkamah.“Kami akan terima apa juga keputusan mahkamah,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
sumber dari http://www.hmetro.com.my/ 22 Januari 2006 ( Ahad )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home