Scroll images by bigoo.ws

Sunday, January 29, 2006

Sekarang masa terbaik nilai janji wakil rakyat BN – Senator

BACHOK, 27 Jan (Hrkh) – Sekarang adalah masa terbaik bagi rakyat yang tinggal di kawasan dimenangi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menilai pemimpin terbabit, memandangkan sebelum ini mereka sering menguar-uarkan pelbagai projek pembangunan. Senator Siti Zailah Mohd Yusof berkata, orang ramai sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen diminta meneliti peranan wakil rakyat terbabit selepas diberi mandat pada pilihan raya umum lalu.

"Di sini, apa yang dibuat anggota Parlimen Bachok yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Dr Awang Adek Hussin selepas menang?

"Banyak janji-janji yang ditabur seperti untuk membawa kemajuan di Bachok, nak bawa gas masuk semula, elektrik secara percuma dan lain-lain lagi adakah benar-benar berlaku. Adik kakak boleh nilai sendiri," katanya.

Sebaliknya tambah beliau apa yang didapati pemimpin terbabit difahamkan jarang berada di kampung sendiri, sebaliknya tinggal di Kuala Lumpur.

"Inilah silapnya kita mudah termakan janji orang, memilih pemimpin yang cakap besar nak buat itu dan ini, sekarang siapa yang rugi," soalnya pada ceramah sempena sambutan Aidiladha di pejabat PAS Bachok, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berharap muslimat mengumpul semangat baru untuk terus berjuang biar pun kerajaan negeri hanya mempunyai majoriti satu kerusi.

Kata beliau, muslimat perlu mempersiapkan jentera bermula dari sekarang termasuk mencari ahli-ahli baru serta menambahkan cawangan. "Di samping itu perbanyakkan sesi ceramah di setiap cawangan," ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home