Scroll images by bigoo.ws

Saturday, February 04, 2006

Atasi gejala murtad, sekarang masa terbaik PM laksana Islam

KETEREH, 3 Feb (Hrkh) – Sekarang adalah masa terbaik bagi Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi melaksanakan undang-undang Islam untuk mengatasi gejala murtad, setelah Umno dan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat besar pada pilihan raya umum lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya umum itu, pembangkang hanya menang 19 kerusi sahaja.
“Inilah masa terbaik bagi Perdana Menteri melaksanakan perundangan Islam selaras dengan gagasan Islam Hadhari yang dilaung-laungkan sekarang,” katanya pada ceramah isu Perkara 121 (1A) di Padang Majlis Daerah Ketereh, baru-baru ini.

Sebelum itu, ribuan penduduk yang hadir menunaikan solat hajat di padang berkenaan. Solat hajat juga diadakan di Markaz Tarbiah PAS Rantau Panjang malam tadi yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, kesilapan turut dilakukan pemimpin Umno terdahulu kerana tidak melaksanakan Islam ketika bilangan penduduk Melayu melebih 80 peratus semasa negara mula-mula mencapai kemerdekaan.

Katanya juga, Perkara 121 (1A) dimasukkan ke dalam perlembagaan Persekutuan pada 1988 selepas pakar undang-undang tempatan berusaha dalam tempoh yang lama setelah berlaku peristiwa Natrah dan Mansor Adabi di Singapura.

Natrah seorang perempuan kelahiran Belanda menganut Islam kerana dibesarkan keluarga angkat Melayu di Singapura, kemudian berkahwin dengan pemuda berasal dari Kelantan, Mansor.

Bagaimanapun keluarganya dari Holland menuntut Natrah dikembalikan kepada mereka.
Tuntutan perkara itu dibuat melalui Mahkamah Sivil sehingga menyebabkan Natrah akhirnya menjadi murtad. Peristiwa itu telah mencetus tragedi berdarah di Singapura ketika itu. Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Perkara 121 (1A) digubal.

Pakar undang-undang negara, Prof Ahmad Ibrahim adalah antara orang yang bertanggungjawab mengubal undang-undang tersebut.

“Pemuda PAS memberi amaran jangan ada lagi pihak cuba menghidupkan kembali peristiwa Natrah yang telah melukakan hati orang Islam di negara ini,” tegas Salahuddin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home