Scroll images by bigoo.ws

Friday, February 03, 2006

Wajah demokrasi Malaysia semakin buruk - Presiden PAS

TEMERLOH, 2 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan wajah demokrasi di Malaysia semakin buruk apabila indeksnya terus menjunam.

Beliau mendedahkan, hasil kajian yang dibuat oleh sebuah organisasi bebas ke atas 16 buah negara di Asia termasuk Malaysia menunjukkan penurunan indek demokrasi di Malaysia apabila berada di tangga ke 9 paling tidak demokratik, suatu kedudukan yang menggambarkan imej buruk demokrasi di negara ini.

Menurutnya, walaupun banyak gerakan Islam di seluruh dunia mengambil pendekatan 'aman' dengan menyertai pilihan raya tetapi barat dan kuncu-kuncunya tetap cemburu kepada gerakan Islam.

"Mereka tetap mempunyai buruk sangka kepada parti Islam," katanya ketika merasmikan Konvensyen PAS Pahang dekat sini.

"Para ulama gerakan Islam di seluruh dunia telah memutuskan adalah wajib bagi gerakan Islam menyertai pilihan raya.

"Bagaimanapun barat tetap tidak mempercayai gerakan Islam, bagi mereka gerakan Islam tidak akan meneruskan demokrasi setelah berkuasa, begitulah buruknya prasangka barat terhadap parti Islam," ujar Tuan Guru.

Taktik hadapi lawan
Melalui sistem demokrasi barat, semua pihak dibenarkan berkempen, bertanding, merebut kerusi (kuasa politik) dan membentuk kerajaan (jika mempunyai cukup majoriti).

"Melalui pilihan raya juga, kita berhadapan dengan pelbagai tektik dan strategi lawan termasuk penipuan dan sebagainya, apa yang perlu bagi kita ialah bagaimana persediaan kita, strategi dan tektik dalam menghadapi lawan.

"Perlu diingatkan lawan kita tidak akan sekali-kali akan memberi kemenangan percuma," tegas beliau.

Beliau berkata, kemenangan Hamas di Palestine sepatutnya wajar menjadi teladan untuk muhasabah kenapa PAS belum menang.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak didalam parti menggunakan semua ruang dan potensi yang ada untuk memaksimakan kekuatan jamaah.

Beliau berkata, ahli-ahli PAS adalah ramuan-ramuan yang kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri dan harus dimanfaatkan oleh parti mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing.

Ruang bergerak harus diperluaskan dengan meneroka semua potensi yang ada didalam masyarakat disamping meneroka medan baru dengan peranan dan fungsi masing-masing, semuanya bekerja untuk kejayaan PAS.

"Penggunaan teknologi maklumat (ICT) umpamanya, perlu dipertingkatkan sehingga mampu menjadi senjata yang berkesan walaupun pada asalnya direkacipata dan dimilik musuh tetapi akhirnya mampu dikuasai dan dimanfaatkan untuk parti seolah-olah seperti senjata makan tuan," kata Tuan Guru.

Menurut Tuan Guru lagi, kunci kejayaan parti banyak bergantung kepada kepada kemampuan menarik sokongan ramai, Justeru itu penyokong mesti diperkuatkan dan ditambah bilanganya dengan menarik lebih ramai orang menyokong PAS.

Sokongan daripada golongan muda juga penting untuk survival parti iaitu sebagai penerus kepada perjuangan bagi menggantikan golongan vateran yang telah berusia atau telah pergi.

Jangan bergantung kepada ceramah
Beliau juga menyeru supaya aktiviti parti diperhebatkan dengan mempelbagaikan kegiatan tidak hanya bergantung kepada program tradisional seperti ceramah semata-mata.

Tuan Guru Presiden dalam ucapanya turut membidas sikap pihak berkuasa yang memberi ruang terlalu besar kepada NGO tertentu untuk mempertikaikan hukum Islam umpamanya dalam isu pembahagian harta pesaka baru-baru.

"NGO seperti Sister In Islam jelas mempersoalkan hukum pesaka dalam Islam yang diturunkan Allah S.WT," ujarnya.

Justeru itu, tidak hairanlah mengapa menteri-menteri bukan Islam berani menghantar memorendum yang disifatkan sebagai tekanan perdana Menteri supaya meminda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Lebih 500 pemimpin PAS daripada 14 kawasan seluruh Pahang hadir ke Konvensyen sehari itu dengan tema 'Kemantapan ahli asas kekuatan Jamaah'.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home