Scroll images by bigoo.ws

Monday, February 13, 2006

IPOH, 12 Feb (Hrkh) - Bekas Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Ahmad Rosli Ibrahim bersama tiga lagi tokoh Umno Kelantan diisytiharkan menyertai PAS hari ini oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar).

Persiytiharan itu dibuat oleh Presiden PAS selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sebuah hotel dekat sini tengahari ini.Tiga lagi adalah bekas calon Umno dalam pilihan raya 1999, Wan Ahmad Fuad Wan Abdullah, Asmari Che Ali dan Ibrahim Mamat.

Permohonan ke empat-empat mereka menyertai PAS diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini.

Usul mengenainya dibawa oleh Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Husam Musa.Penyertaan mereka disifatkan satu perkembangan yang sangat menarik tentang politik Kelantan ketika Umno dengan pelbagai usaha cuba untuk merampas negeri itu dari PAS.

Iktiraf kemenangan Hamas
Dalam sidang media yang sama juga Presiden PAS sekali lagi mendesak kerajaan dan dunia mengiktiraf kemenangan gerakan Islam Hamas di Palestin.Ini kerana, Hamas telah memenuhi segala syarat dunia untuk berpolitik secara aman dan melalui sistem demokrasi yang dianjurkan oleh Barat sendiri.Hamas menang besar dalam pilihan raya Palestin baru-baru ini dengan mengalahkan Fatah, kumpulan yang dipimpin oleh Mahmud Abbas dan ditubuhkan oleh Yassir Arafat.

Kemenangan ini satu pencapaian besar gerakan Islam dunia selepas Ikhwanul Muslimin mendapat kerusi yang agak banyak dalam pilihan raya Mesir.Kemenangan ini juga memberikan semangat baru kepada PAS dan juga gerakan Islam lain di Asia Tenggara.

PAS alu-alukan kenyataan Shahrizat

Sidang media PAS hari ini juga mengalu-alukan kenyataan Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato' Shahrizat Jalil yang menyokong Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang kini ditahan dari dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebelum ini, Shahrizat adalah antara pemimpin wanita yang lantang mengkritik undang-undang Islam .

Shahrizat sebelum ini, dalam sidang medianya bersama Peguam Negara menyokong undang-undang itu dan memberi jaminan ia tidak akan menganiaya wanita.

Langkah ini berbeza dengan rakan-rakan beliau sebelum ini, Sister in Islam, yang menentang penuh rang undang-undang itu dengan menyifatkannya sebagai menekan wanita

0 Comments:

Post a Comment

<< Home