Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 07, 2006

Tewas pilihan raya bukan kalah dalam perjuangan

MARANG, 6 Feb (Hrkh) - Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kekalahan yang dialami oleh PAS dalam pilihan raya kerana ditipu bukan bererti tewas dalam perjuangan untuk menegakkan Islam kerana Nabi Adam sendiri pernah ditipu.

Presiden PAS itu menambah, ianya merupakan pasang surut yang telah ditentukan oleh Allah. Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya mengambil iktibar daripada hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Menurutnya, hijrah adalah peristiwa penting yang menjadi titik tolak dan contoh yang besar dalam sejarah umat Islam.
"Hijrah menghasilkan kejayaan yang besar, mendirikan kerajaan Islam bermula dengan pertembungan secara damai dengan strategi yang diatur oleh Rasulullah s.a.w. melalui pancaran nur daripada Allah Taala," katanya. Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucap utama dan merasmikan Majlis Pelancaran Gerak Kerja Piliahn raya PAS Kawasan Marang di Dewan Banat, Rusila, baru-baru ini.
Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Mustafa Ali. Tambahnya, pertembungan dengan musuh yang berlaku dalam sejarah Islam bermula setelah adanya kerajaan Islam. Bagaimanapun, tegasnya para pejuang Islam tidak menyerah kalah dengan kekerasan yang dilakukan oleh musuh. Ini, katanya kerana mereka berjuang untuk menyelamatkan manusia yang tenggelam dalam gelombang kufur dan jahiliah yang selaras dengan tuntutan agama yang suci itu.
Katanya, kewajipan menyelamatkan manusia adalah lebih penting, maka berdepan secara damai adalah langkah yang pertama yang diambil oleh para nabi dan rasul. "Ada pun perlawanan dan penipuan perkara biasa, Allah menyatakan perlawanan itu satu undang-undang alam yang telah ditetapkan termasuk antara Islam dan lawannya," ujarnya. Beliau menambah, penipuan berlaku sejak Nabi Adam, yang ditipu oleh iblis sehingga bertelanjang yang merupakan perlawanan antara hak dan batil. Begitupun, katanya Nabi Adam tidak menyerah kalah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan para petugas PAS supaya meneruskan perjuangan bagi mencapai kemenangan. "Oleh kerana itu ketewasan kita dalam pilihan raya sebenarnya bukan satu kekalahan dalam perjuangan. Apa yang berlaku adalah pasang surut, sunnatullah
kerana kita tidak berhenti daripada perjuangan, yang penting i`alah kita terus bekerja," ujarnya lagi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home