Scroll images by bigoo.ws

Monday, February 13, 2006

Muktamar PAS tahun ini di Kedah

IPOH, 13 Feb (Hrkh) - Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam memutuskan Muktamar Tahunan PAS tahun ini akan diadakan di Kedah pada 7, 8 dan 9 Jun ini.

Keputusan ini dimaklumkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat JK PAS Pusat di sebuah hotel dekat sini semalam.

Ini adalah amalam biasa PAS apabila mengadakan muktamarnya di luar Kuala Lumpur untuk tahun yang tidak ada pemilihan kecuali tahun lepas apabila muktamar yang ada pemilihan diadakan di Kota Bharu. Itupun kerana masalah teknikal yang berlaku di Markas Tarbiyah PAS Kuala Lumpur.

Harakahdaily difahamkan muktamar ini akan diadakan di Kompleks PAS Kedah yang sedang aktif dipersiapkan sekarang.

Media tidak siar bantahan PAS

Sementara itu, Presiden PAS turut melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan kebanyakan media Malaysia yang tidak menyiarkan demontrasi yang dianjurkan PAS bagi membantah penyiaran kartun yang menghina Nabi.

"Kerana tindakan ini maklumat tidak sampai secara sempurna kepada rakyat," katanya.
PAS bersama NGO Islam yang lain menganjurkan demo dan perarakan membantah langkah penyiaran kartun yang menghina Nabi oleh sebuah akhbar Denmark pada 10 Februari lalu.
Hampir 10,000 menyertai demontrasi itu tetapi tidak mendapat liputan media negara ini.
"Sedangkan media luar negara termasuk CNN, BBC dan lain-lain membuat liputan,tetapi media di negara ini menutup perkara ini," katanya.

"Kita meminta kerajaan negara ini yang Perdana Menterinya Pengerusi OIC agar menekan Denmark dan negara-negara lain agar jangan sekali-kali mengulangi perkara ini," katanya.

Kes MRR2

Dalam sidang media itu, Abdul Hadi juga mengingatkan kerajaan agar jangan mengambil ringan kerosakan dan boleh jadi penyelewengan yang berlaku kepada MRR2 sekarang.

"Kita bimbang kemungkinan ada penyelewengan yang bersifat mega di sebaliknya dan lenyap begitu saja sebagaimana kes-kes penyelewengan mega yang lain," kata beliau

0 Comments:

Post a Comment

<< Home