Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 14, 2006

AS dilanda bencana

GROOM (Texas): Sekurang-kurangnya sepuluh orang terbunuh dalam dua bencana alam berbeza yang melanda Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa negara itu semalam.

Kebakaran hutan memusnahkan lebih 120,000 hektar tanah di utara Texas, Amerika Syarikat dan menyebabkan enam terbunuh manakala taufan kencang melanda Missouri, Illinois serta Arkansas, menyebabkan tiga terbunuh.

Seramai empat orang mati kelmarin dalam nahas jalan raya di lebuh raya antara negeri akibat asap tebal yang berpunca daripada kebakaran hutan, kata Perkhidmatan Perhutanan Texas. Enam orang cedera.

Di timur laut Amarillo dekat bandar Borger, dua mati ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran belukar yang turut memusnahkan rumah mereka, kata Kapten Bomba, Mike Galloway.

Kebakaran hutan ini – yang kedua selepas kebakaran hutan lewat Disember dan awal Januari lalu dan mengorbankan tiga orang – memaksa lapan bandar dikosongkan, kata jurucakap Perkhidmatan Perhutanan Texas, Warren Bielenberg.

Asap tebal dikatakan menjadi punca sembilan kenderaan terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya 40 dekat Groom, 65 kilometer dari Amarillo.

Sementara itu, di bandar Lawrence, Kansas, taufan melanda sebahagian kawasan barat tengah (Midwest) Amerika menyebabkan tiga maut di Missouri manakala banyak rumah rosak di Illinois dan Arkansas.

Ribut itu adalah yang pertama daripada beberapa yang melintasi kawasan timur Kansas dan menuju ke Missouri semalam.

Angin kencang turut menerbangkan kontena dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansas.
Mangsa keempat dilaporkan di Indiana.

Hujan batu yang sesetengahnya sebesar bola besbal turut melanda beberapa kawasan di barat laut Missouri.

Cuaca buruk itu berlaku selepas ribut kencang melanda selatan Missouri dan selatan Illinois lewat kelmarin menyebabkan sepasang suami isteri maut selepas kereta mereka diterbangkan angin di jalan raya selain memusnahkan banyak rumah di selatan St Louis.

Semalam, seorang wanita terbunuh di tengah Missouri ketika mangsa sedang berlindung dalam rumah bergeraknya di selatan Sedalia, Missouri. Dua lagi dilaporkan hilang dan enam cedera, kata pegawai.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home