Scroll images by bigoo.ws

Monday, March 13, 2006

Kenaikan harga minyak: PAS beri amaran henti tekan rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - PAS memberi amaran kepada kerajaan supaya jangan berdalih dengan pelbagai alasan berikutan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen kerana segala kelemahan dan kesilapan dalam menyelesaikan masalah kewangan negara telah diketahui rakyat.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menaikkan harga keperluan rakyat tanpa bertindak tegas terhadap penyelewengan sehingga menyebabkan wang negara semakin merosot.

Menurut beliau, PAS akan meneruskan demonstrasi secara aman bagi membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga minyak yang amat memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan mengambil jalan mudah menaikkan harga minyak sebaliknya dalam isu rasuah sehingga sekarang tidak ada tindakan bersungguh-sungguh untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap pemimpin tertentu yang terlibat dengan gejala tersebut.

Dato' Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media setelah selesai mempengerusikan mesyuarat bulanan AJK PAS Pusat, di pejabat Agung PAS, Taman Melewar, di sini, petang semalam. Turut bersama beliau, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar.
Katanya, PAS kesal dengan kenyataan pimpinan kerajaan yang tidak bersetuju rakyat mengadakan demonstasi sebaliknya mengugutmengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja terbabit.

"Inikah amalan negara demokrasi kalau menujuk perasaan secara aman itu dihalang, ini petanda yang sangat buruk terhadap sistem demokrasi di Malaysia," jelasnya.

Menurut beliau, PAS berharap kerajaan tidak mudah `melatah' dengan bantahan rakyat sebaliknya perlu membetulkan keadaan sama ada membuat perubahan dalam kerajaan serta bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan penyelewengan menghilangkan wang negara.
"Saya melihat keadaan hari ini tidak ada kehebatan, saya minta mereka tunjukkan kehebatan bukan menekan rakyat tapi bertindak terhadap pelaku rasuah serta mereka yang melakukan penyelewengan terhadap kewangan negara," tegas beliau.

Beliau kesal dengan sikap dan tindakan pimpinan kerajaan BN yang menggunakan media untuk 'membutakan mata' rakyat supaya rakyat menjadi bodoh tidak dapat berfikir dengan cara yang baik.

Mengulas tindakan pihak polis yang bertindak ganas dalam demonstrasi aman minggu lalu katanya, itu menunjukkan sikap tidak matang kerajaan dalam menghadapi masalah dengan mengenakan tindakan zalim terhadap rakyat yang membantah keputusan kerajaan.

Kata beliau, sepatutnya segala tindakan pihak polis perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Penambahbaikan Polis Diraja Malaysia supaya mereka tidak mengganggu kebebasan rakyat malangnya, suruhanjaya itu tidak dihormati.

Beliau yakin demonstrasi boleh menurunkan kerajaan yang zalim terhadap rakyat kerana banyak negara sudah membuktikan bahawa kuasa rakyat boleh menurunkan pemerintah yang zalim.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home