Bekas PM minta Abdullah berhenti?
KOTA BHARU, 1 Mac (Hrkh) – Belum pun selesai isu permit import (AP), timbul pula masalah projek lingkaran tengah (MRR2). Bagaimanapun sayangnya menteri yang bertangggungjawab terhadap isu tersebut masih dikekalkan dalam rombakan kabinet, 14 Febuari lalu.
Dan musibahnya satu demi satu membelit Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dan dan terbaru kerajaan dalam diam mengumumkan kenaikan harga minyak sehingga 30 sen seliter.
Berita mengenainya dimuatkan dalam Dunia Jam 11 malam, ketika sebahagian penduduk sudah dibuai mimpi. Mengapa keadaan itu berlaku, tidak lain lagi kerana negara menghadapi masalah kewangan yang kronik.
Ia terbukti apabila Perdana Menteri sendiri mengakui kenaikan harga minyak dibuat bagi menjimatkan beban subsidi kerajaan berjumlah RM4.4 bilion.
Menurutnya, pengurangan subsidi itu akan digunakan bagi menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Katanya, rakyat bakal mendapat manfaat secara tidak langsung.
Sebelum ini kewibawaan Perdana Menteri diuji apabila media rasmi milik kerajaan, TV2 turut menyiarkan karikatur menghina Rasulullah s.a.w. Sedangkan kesilapan Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily menyiarkan karikatur hampir serupa dihukum segera.
Dan The New Straits Times pula dimaafkan begitu sahaja tanpa digantung khidmat pengarangnya.
“Itulah kemampuan yang hanya dimiliki Perdana Menteri sekarang. Karismatiknya langsung tidak ada,” kata bekas anggota jawatankuasa Umno Bahagian Kubang Kerian, Ibrahim Mamat.
Ia turut diakui bekas anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Mas, Che Asmari Che Ali.
Satu sumber pula memberitahu, kelemahan yang berlaku sekarang sudah disedari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga beliau dikatakan mengambil keputusan berjumpa dengan Abdullah sebelum bertolak ke luar negara, baru-baru ini.
Menurutnya, hasil perjumpaan itu Dr Mahathir difahamkan menasihatkan Abdullah supaya meletak jawatan sebelum pilihan raya umum akan datang, memandangkan kelemahannya sudah dikesan banyak pihak.
Malam tadi, Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa turut mendedahkan isu serupa. Katanya, berdasarkan kepada maklumat yang diterima Dr Mahathir mencadangkan Abdullah meletak jawatan sebelum pilihan raya depan.
“Abdullah tidak mampu menjawab banyak isu yang berlaku sekarang. Ini menggambarkan kebolehannya yang sebenar,” katanya pada program ceramah sempena penyertaan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Rosli Ibrahim bersama PAS di Padang Perdana.
Ribuan penduduk tempatan hadir pada ceramah tersebut sehingga memenuhi setiap ruang padang. Hadir sama Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Badan Perhubungan, Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan, Ustaz Nusuruddin Daud.
Husam juga berkata, kewibawaan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Persidangan Negara Islam tidak membawa apa-apa makna, apabila tiada kenyataan dibuat bagi mengecam usaha Amerika mewujudkan perang saudara di Iraq.
Begitu juga katanya dengan kesilapan yang sengaja dilakukan RTM, TV3 dan NST menyiarkan karikatur Rasulullah s.a.w tidak mampu diselesaikan. “Menteri dan pegawai kanan di RTM patut meletak sebagai mengambil tanggungjawab ke atas kesilapan serius itu,” ujarnya.
1 Comments:
paklah melatah terus blah
Post a Comment
<< Home