Scroll images by bigoo.ws

Thursday, March 16, 2006

Kekejaman askar AS direkod

WASHINGTON: Majalah berita online Salon.com menyiarkan apa yang disifatkan mereka sebagai simpanan lengkap bukti bergambar tentera bagi penyiasatan kes penderaan tahanan Abu Ghraib oleh tentera Amerika Syarikat.

Ia termasuk sekeping gambar yang menunjukkan seorang tahanan Iraq dalam keadaan bogel, dengan kesan luka berdarah dipercayai akibat serangan anjing tentera penjajah itu.

Kebanyakan gambar pernah disiarkan sebelum ini. Salon.com mengatakan, ia adalah pertubuhan berita pertama yang menyiarkan fail penuh gambar simpanan Komandan Penyiasatan Jenayah Tentera yang sebelum ini disiarkan sebahagiannya oleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) atas permintaan Akta Kebebasan Maklumat.

Kolonel Joseph Curtin, jurucakap tentera pula mengulas, gambar berkenaan tidak memberi sebarang tanggapan baru terhadap penderaan tahanan oleh tentera Amerika di Abu Ghraib sejak disiarkan pada April 2004 dan menjadi fokus lebih 12 siasatan rasmi.

Tindakan menyiarkan beberapa gambar terbaru itu, bagaimanapun boleh mengundang lebih banyak kontroversi.

Beberapa hari selepas itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Donald H Rumsfeld memberitahu sebuah jawatankuasa Kongres:

"Saya dimaklumkan bahawa gambar yang disiarkan itu sama seperti yang tersiar sebelum ini menunjukkan peri laku yang sama. Mereka terbabit sudah dihukum," katanya.
Salon.com berkata, mereka memperoleh simpanan lengkap gambar tentera itu daripada sumber tentera yang lama berada di Abu Ghraib dan sudah biasa dengan siasatan tentera.

Daripada 279 gambar yang disiarkan majalah online itu kelmarin, sekurang-kurangnya dua bertarikh 12 Disember 2003 yang menunjukkan tahanan berbogel di lantai penjara.

Kedua-duanya menggunakan keterangan gambar sebenar tentera yang
berbunyi: "Keadaan tahanan selepas digigit anjing."

Satu daripada gambar itu jelas menunjukkan seorang tahanan dengan lutut berdarah manakala seorang lagi yang diambil dari pandangan belakang tahanan yang berbaring sambil muka mengadap ke lantai yang dipenuhi darah berhampiran kakinya.

Siasatan Pentagon terhadap penderaan tahanan Abu Ghraib mendapati anjing digunakan secara tidak wajar.

Salon.com juga menyatakan, ia mendapat salinan kenyataan April 2005 oleh Korporal Charles A Graner Jr terhadap siasatan tentera yang menceritakan insiden dalam gambar berkenaan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home