Scroll images by bigoo.ws

Thursday, March 16, 2006

Warga Barat keluar Semenanjung Gaza

JERICHO (Tebing Barat): Pihak Berkuasa Palestin semalam bersiap menghadapi kemungkinan lebih banyak keganasan meletus selepas tindakan Israel menyerang penjara Palestin kelmarin mencetuskan rusuhan penduduk menyebabkan semua warga Barat terpaksa dibawa keluar dari Semenanjung Gaza.

Kumpulan pejuang Palestin menahan 10 tebusan warga asing tetapi membebaskan tujuh daripadanya dan masih menahan dua warga Perancis dan seorang pemberita Korea Selatan di Semenanjung Gaza selain menyerang beberapa kepentingan Britain.

Mereka merusuh selepas tentera Israel mengepung dan menyerbu penjara Jericho kelmarin bagi menahan seorang pemimpin pejuang, Ahmed Saadat dari Barisan Rakyat Pembebasan Palestin (PFLP).

Beliau dan beberapa pejuang lain mendapat perlindungan Palestin di penjara itu selepas dituduh oleh Israel terbabit dalam pembunuhan seorang menteri Kabinet Israel pada 2001.

Tentera Yahudi membedil penjara itu sepanjang hari kelmarin bagi memaksa pemimpin pejuang PFLP menyerah diri. Dua pengawal Palestin terbunuh dan 26 lagi cedera dengan lima daripadanya parah.

Sebelum ini Israel menegaskan, ia akan membunuh Saadat jika pemimpin Palestin membebaskannya.

Serangan terbabit dilancarkan beberapa minit selepas tiga pengawal Britain yang menganggotai pasukan pemantau bersama tentera Amerika Syarikat, melarikan diri dari penjara itu, mencetuskan tuduhan mereka bersubahat dengan Israel.

Bagaimanapun, Setiausaha Luar Britain, Jack Straw menafikan tuduhan itu.

Selepas serangan Israel itu, beratus-ratus penduduk Palestin menyerang dan membakar pusat kebudayaan Britain di Semenanjung Gaza.

Sebuah lagi pusat kebudayaan Britain di Ramallah turut diserang manakala bangunan bank HSBC dirosakkan.

Pasukan Keselamatan Palestin, semalam diarahkan melepaskan tembakan peluru hidup jika ada kumpulan yang melancarkan serangan ke atas kepentingan Barat bagi menghalang keganasan merebak.

Tentera Palestin semalam menyatakan semua warga asing kini sudah meninggalkan Gaza selepas mereka dihimpunkan di ibu pejabat polis.

Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbad membatalkan lawatannya ke Eropah lewat kelmarin dan terbang dari Strasbourg untuk kembali ke Ramallah.

Dua pemberita Perancis itu dikenal pasti sebagai Caroline Laurent, seorang pemberita majalah Elle dan jurugambar agensi SIPA, Alfred Yacobzadeh, diculik kali kedua. Kementerian Luar di Seoul mengeluarkan kenyataan, warganya, Yong Tae-young, 41 yang bertugas sebagai pemberita KBS, turut diculik.

Bagaimanapun, laporan beberapa jam kemudian mengatakan empat rakyat asing yang diculik di Gaza sudah dibebaskan.

Pemimpin kanan Palestin mengkritik tindakan Israel yang dianggap cuba menunjukkan Mahmoud Abbas sebagai pemimpin yang lemah.

"Ini tamparan hebat kepada Pihak Berkuasa Palestin dan Abu Mazen (Mahmoud Abbas)," kata perunding damai Palestin, Saeb Erekat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home