Scroll images by bigoo.ws

Sunday, March 26, 2006

Saya akan menetap dalam negara mulai Mei - Anwar

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan berada sepenuhnya di dalam negara mulai Mei nanti."Insya Allah saya akan mula berada di dalam negara mulai Mei nanti di samping sesekali ke luar negara untuk menjalankan tugas saya," kata Anwar kepada Harakahdaily malam tadi.

Beliau ditemui selepas menyertai majlis 'An Evening with Press' yang diadakan di sebuah hotel dekat sini.Beliau meluangkan masa kira-kira tiga jam bersama-sama media tempatan dan juga antarabangsa.

Lebih kurang 50 wakil media hadir dalam majlis itu. Antaranya adalah wartawan BBC, Jonathan Kent, bekas Ketua Pengarang NSTP, Dato' Kadir Jasin dan para wartawan yang sedang bertugas dengan palbagai media sekarang.Dalam majlis itu, Anwar menerangkan beliau terpaksa bekerja di luar negara kerana peluang untuk beliau di negara ini tertutup rapat selepas dibebaskan dari penjara.

"Ketika dalam penjara bolehlah sahabat-sahabat saya menyara anak-anak saya tetapi selepas bebas saya kena cari pendapatan sendiri," kata Anwar.Beliau menjadi profesor di dua buah universiti di Amerika di samping mula menjadi konsultan kepada Bank Dunia mulai beberapa bulan lepas hingga sekarang.

Beliau pulang ke tanah air Jumaat lepas untuk memberikan kenyataan kepada polis manakala esok (Ahad) beliau akan berlepas ke Hong Kong untuk membentangkan satu kertas kerja di konvensyen ekonomi di sana.

Mahu bertanding

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar melahirkan hasrat untuk bertanding di kawasan parlimen Permatang Pauh pada pilihanraya umum akan datang.

Kini kerusi itu diwakili isterinya, Dr Wan Azizah."Kenapa saya tidak boleh bertanding saya juga adalah rakyat Malaysia dan mempunyai hak untuk bertanding," katanya.Bagaimanapun katanya beliau perlu mendapat persetujuan daripada Ahli Parlimen kawasan itu (isterinya) sama ada membenarkan beliau bertanding di situ."Tetapi ini bergantung kepada keputusan Wan Azizah untuk membenarkan saya bertanding di situ," katanya sambil diiringi gelak ketawa pihak media yang hadir.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja ditanya seorang wartawan sama ada beliau akan bertanding pada pilihanraya akan datang memandangkan kerajaan mungkin mengadakan pilihanraya umum lebih awal daripada jangka masa beliau dibenarkan menyertai pilihan raya.Selepas dibebaskan dari penjara, Anwar tidak dibenarkan menyertai pilihan raya sehingga April 2008.

Selain daripada faktor dirinya, Anwar juga percaya pilihanraya akan diadakan lebih awal dari April 2008 kerana keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan."Tetapi saya tidak fikir selepas pilihanraya nanti ekonomi akan bertambah baik sekiranya kerajaan terus mengabaikan prinsip-prinsip mengekalkan daya saing dan pemerintahan yang baik,"katanya dalam sesi soal jawab dengan media.Beliau juga turut menyentuh soal pendidikan, ekonomi, soal permit import dan juga akaun Petronas yang tidak telus.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home