Sesi Penerangan Shafie Apdal di kampus disambut dingin
Selaku warga kampus yang 'taat' kepada dasar pemerintah, maka datanglah beberapa orang 'pendengar' ke majlis berkenaan bagi melihat dan menatapi sejauh manakah Shafie Apdal 'bersilat' secara langsung di depan warga bakal jurutera di kampus tersebut. Pada mulanya majlis berkenaan dirancangkan berlangsung pada pukul 4.30 petang, namun disebabkan majlis perasmian Kempen Pemotongan Harga di Pasaraya Besar Giant di Bayan Baru, maka majlis sesi taklimat tersebut diadakan lewat 50 minit.
Memandangkan seorang menteri melakukan kunjungan khas ke kampus tersebut maka, sudah pastilah pihak universiti akan melakukan persiapan untuk menjadikan majlis itu berjaya. Maka khabarnya dikerahkanlah seluruh kakitangan kampus iaitu merangkumi dekan,timbalan dekan, penggawa, pensyarah serta kakitangan di semua pejabat desasiswa dan pejabat desasiswa di seluruh kampus berkenaan. Namun untuk pelajar, sebilangan kecil sahaja dikerah ke majlis berkenaan. Ini termasuklah MPP kampus berkenaan yang merupakan anggota tetap Aspirasi Universiti.
Majlis berkenaan di pengerusikan oleh Penggawa Desasiswa Lembaran (desasiswa yang dicat paling biru di kampus berkenaan) iaitu Dr. Nurulakmal Mohd Sharif. Sebelum bermulanya majlis berkenaan, sudah ada arahan dari penggawa berkenaan agar berdiri dan bertepuk tangan apabila tibanya Shafie Apdal. Pada masa ini, sudah kedengaranlah bisik-bisik antara 'anggota kerahan' tersebut yang tidak berapa bersetuju dengan teknik mengada-ada berkenaan.
Beberapa ketika selepas itu maka tibalah 'tetamu kehormat' yang dimaksudkan itu. Beliau diiringi oleh TNC BHEP, Dato' Prof Madya Jamaludin Mohaiadin serta Prof. Abdul Rahman. Walaupun majlis tersebut bakal bermula pada masa itu, nampaknya masih banyak kerusi yang belum diisi.
ISU YANG DIPERBINCANGKAN PADA PETANG ITU.
Jika saya mahu menghuraikan apa yang diterangkan pada hari itu, rasanya semua orang sudah tahu gerak tari silat yang akan dipertontonkan pada masa itu. Semuanya hampir sama seperti yang diwar-warkan di media massa mutakhir ini.
Taklimat itu dimulakan dengan kata-kata manis tentang pasca pendidikan universiti yang dilalui oleh beliau selepas itu masuk sedikit demi sedikit kepada hal ehwal universiti tempatan dan akhirnya masuklah kepada sebab-sebab dasar kerajaan yang bertindak menaikkan harga minyak. Malah semuanya terkandung di dalam buku risalah yang diterbitkan khas oleh KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tentang isu berkenaan.
Disinilah kita dapat melihat penumpuan titik isu yang dimainkan oleh Shafie Apdal. Kini saya huraikan serba sedikit tentang titik penumpuan isu yang cuba dimainkan oleh menteri berkenaan.
Untuk sebab-sebab kerajaan terpaksa menaikkan minyak, beliau fokuskan kepada kenaikan harga minyak yang tertinggi pada Ogos 2005 iaitu US Dollar 65.50 setong namun pada graf yang sama, harga minyak semasa pada tahap US Dollar 61.83 setong pada Januari 2006 tidak ditekankan.
Persoalan: Mengapa kita mengambil kira nilai harga minyak yang datangnya pada bulan Ogos 2005 yang boleh dikatakan sejarah untuk harga minyak terkini ? Malaysia ini jenis yang suka mengambil suatu yang tidak 'up-to-date' untuk membangunkan negara-kah?
Ditekankan pula, kerajaan terpaksa menggunakan tindakan 'tidak popular' untuk menaikkan harga minyak kerana itulah caranya yang terbaik untuk mengatasi implikasi daripada kenaikan harga minyak dunia.
Persoalan: Namun begitu, telahpun tersiar kenyataan Dr. Mahathir di Malaysiakini pada 15 Mac 2005 bahawa "Kenaikan harga minyak boleh dielakkan". Antaranya adalah dengan mengukuhkan nilai ringgit bagi mengurangkan kesan harga minyak dunia yang tinggi dalam matawang dolar Amerika ke atas harga minyak tempatan.
Untuk kenaikan harga barang seperti roti canai dan teh tarik, beliau seperti biasa memarahi peniaga berkenaan yang bertindak menaikkan harga barang. Disini ditegasnya pula, tepung,gula dan peralatan untuk membuat barang tersebut dikawal, jadi tidak sepatutnya ia naik.
Persoalan: Saya mengambil kata-kata yang diluahkan oleh Dr Hatta Ramli semasa Forum Perdana di Dataran Purnama, Kg.Kedah pada 10 Mac 2006 yang lalu,"Kalau kita buat roti canai, takkan kita uli-uli roti lepas itu terus boleh makan ? Pasti kita masak dahulu di dapur menggunakan api yang sumbernya dari gas memasak. Sedangkan gas memasak juga turut mengalami kenaikan."
"Ingat teh tarik ini dibuat pakai air sejuk ka? Mesti kita guna air yang panas untuk buat teh tarik, air yang panas itu pun dimasak menggunakan api yang bersumberkan gas memasak."
Selain itu, seperti biasalah membandingkan nilai harga minyak dengan negara-negara lain didunia dalam unit RM (Ringgit Malaysia).
Namun tidak difokuskan kadar nilai matawang tersebut berbanding kadar nilai matawang malaysia serta ditambah lagi ketiadaan cukai kenderaan, tol dan sebagainya dinegara-negara yang tinggi nilai harga minyak tersebut.
Dipaparkan tentang subsidi sebenar yang diberikan kerajaan terhadap semua sektor seperti tong gas, petroleum dan sebagainya. Pada masa yang sama, beliau menyatakan sekali pertambahan hasil negara pada tahun 2004 sebanyak 25 peratus dan meningkat 30 peratus pada tahun 2005.
Persoalan: Sanggupkah Keuntungan Petronas yang meningkat disimpan, manakala rakyat dibiarkan melarat ? Memang diakui pihak Petronas berhak menggunakan keuntungan tersebut untuk penyelidikan baru, tetapi adakah kos penyelidikan akan bertambah seiring dengan kenaikan harga minyak dunia?
Beliau menyatakan kenaikan harga minyak untuk membendung penyeludupan yang berlaku di sempadan negara. Jadi untuk mengelakkan subsidi negara dinikmati oleh rakyat Thailand di Semananjung dan rakyat Filipina dan Indonesia di Sabah dan Sarawak, maka ia dikerat RM4.4 billion daripada subsidi minyak tersebut dan disalurkan kepada sektor pengangkutan negara.
Persoalan: Ingat orang bukan warganegara Malaysia tidak menggunakan pengangkutan di Malaysia-kah? Penguatkuasaan yang lemah dihadapi oleh kementerian, akibatnya rakyat pula yang menanggung implikasinya.
Disini saya juga tertarik dengan soalan yang dikemukakan oleh salah seorang wakil mahasiswa yang bertanyakan tentang kejayaan wacana Inflasi Sifar berbanding tahap inflasi negara yang meningkat ke tahap 3.0 peratus pada tahun 2005 berbanding kadar 1.4 peratus pada tahun 2004. Apa yang dijawab oleh Shafie Apdal agak pelik sedikit. Menurut beliau,
"Inflasi ni tidak boleh berada pada tahap SIFAR kerana itu tidak elok untuk pembangunan negara. Jadi kadar inflasi pada tahap tersebut baik untuk negara"
(Jadi kenapa malaysia menghabiskan duit rakyat untuk berkempen untuk menjayakan Inflasi Sifar suatu ketika dahulu ?)
Kebanyakan luahan yang disuarakan oleh Shafie Apdal adalah berkisar kepada sektor perikanan yang tidak meningkat jumlah tangkapannya walaupun jualan diesel bersubsidi yang dikenali sebagai e-diesel kepada nelayan meningkat dari setahun ke setahun. Tanpa disedari,beliau telah menghuraikan kegagalan kaedah perintis kepada sistem kad fleet yang diperkenalkan kepada sektor pengangkutan awam.
Disinilah yang sepatutnya kita sedar, sistem yang mantap bagaimanapun tindak akan bermakna jika langkah penguatkuasaan lemah. Jadi siapakah yang harus dipersalahkan?
Berdasarkan berita Bernama semalam, sudahpun wujud aduan Persatuan Pemilik Lori Malaysia dan Persatuan Pengusaha Bas Malaysia mengenai kesukaran memperolehi fleetcard yang melayakkan mereka mendapatkan potongan harga diesel daripada kerajaan. Jadi dimanakah silapnya ?
Untuk pengetahuan semua, majlis taklimat berkenaan berakhir ketika azan maghrib hampir berkumandang. Ternyata, respon pendengar pada sesi taklimat berkenaan yang bangun meninggalkan majlis seorang demi seorang pada bahagian barisan belakang, merupakan 'rumusan' terbaik tahap penerimaan warga kampus kepada taklimat yang disampaikan oleh Shafie Apdal.
Akibatnya beratus bungkus nasi yang sepatutnya diberikan kepada hadirin dan hadirat, banyak yang 'terbengkalai'. Nampaknya "protes secara senyap" dikalangan warga kampus masih hidup lagi walaupun kampus kini didominasi oleh UMNO secara total !
0 Comments:
Post a Comment
<< Home