Scroll images by bigoo.ws

Thursday, March 16, 2006

Sedarkah dunia terhadap perluasan kuasa zionis?

Berjuta-juta aktivis telah hadir untuk menyaksikan hubungan organik antara pendudukan dan penjajahan Palestin dan isu-isu global yang pelbagai dan mendesak, daripada perang Iraq kepada kemiskinan global. Bagaimana boleh berlaku, bendera-bendera Palestin melebihi bendera-bendera lain dalam perhimpunan-perhimpunan dan demonstrasi- demonstrasi terhadap institusi-institusi kewangan dunia yang dikuasai Amerika Syarikat? Mengapa aktivis-aktivis ini; gereja- gereja utama dan 30 kampus di Amerika secara aktif mengadakan kempen memulau Israel? Mengapa Amerika Syarikat dan Israel disasarkan dalam kemarahan antarabangsa di seluruh dunia?

Bagi menjawab soalan-soalan tersebut, kita perlu faham sejarah Zionisme dan asal-usul teka-teki rakyat Palestin/Israel dan kemudian melihat bagaimana ia boleh membawa kedamaian dan keadilan kepada Palestin/Israel, yang mana itu merupakan kunci kedamaian dan keadilan di serata dunia.

Menurut Mazin Qumsiyeh, seorang aktivis yang banyak terlibat dalam kempen-kempen untuk hak-hak rakyat Palestin, zionis begitu mahir dalam menukar kaedah mereka mengikut masa. Terdapat tiga anjakan dalam strategi sejak bermula gerakan tersebut dalam kurun kesembilan belas. Pertama adalah perubahan dalam naungan perlindungan. Anjakan daripada perlindungan British kepada Amerika amat ketara antara 1930an dan 1960an. Kedua adalah penerimaan Fatah dan Palestinian Liberation Organisation (PLO) sebagai kumpulan untuk berunding bagi menubuhkan autonomi bagi rakyat Palestin di kawasan padat Tebing Barat dan Gaza. Anjakan ketiga yang strategik adalah idea negeri kecil Palestin yang terdiri daripada perkampungan yang terpisah- pisah di Tebing Barat dan Gaza, kurang dari seperlima Palestin yang sebenar, yang telah diduduki oleh Israel dalam tahun 1967, seperti Bantustan di Afrika Selatan ketika pemerintahan apartied dulu.

Namun, dengan anjakan strategik ini, program zionis hari ini tidak berubah dari matlamat asalnya yang dikongsi oleh semua puak dalam politik Israel (Likud, Labour, Shas dan lain-lain parti-parti agama). Programnya termasuk: penolakan pengunduran sepenuhnya daripada kawasan yang diduduki secara haram dalam tahun 1967; penolakan hak-hak pelarian untuk kembali ke rumah-rumah dan tanah- tanah mereka; penolakan konsep kedaulatan atau penentuan masa depan oleh rakyat Palestin, dan keengganan meminda undang-undang asas Israel yang mendiskriminasi terhadap orang bukan Yahudi.

Dengan itu, walaupun taktik mungkin berubah, matlamat politik zionisme tetap tidak berubah: tuntutan kepada kuasa zionis dan tanah yang maksima dengan warga Palestin minima. Antara 1947 dan 1949, ini telah dicapai dengan menghalau keluar 70% penduduk Palestin di kawasan yang kini menjadi Israel pada 1949. Lebih daripada 530 perkampungan Palestin dan bandar-bandar telah dikosongkan sepenuhnya dan dipadamkan dari peta baru Israel. Malah, ahli sejarah zionis Israel turut mengakui perkara tersebut.

Mengikut pengkaji sejarah dan bahan `declassified', Israel memulakan perang 1967 bagi mendapat lebih banyak tanah setengahnya atas alasan strategik dan setengahnya sebab ekonomi. Serta-merta fasa baru penjajahan telah dimulakan di kawasan yang diduduki di tebing Barat (termasuk Jerusalem Timur). Sejumlah 450,000 peneroka baru dipindahkan ke kawasan-kawasan tersebut sepanjang 39 tahun.

Penjaga zionis dalam media Amerika memastikan politik zionisme tidak dipersoalkan. Namun, berjuta-juta orang di seluruh dunia dapat membaca apa yang tersirat. Malah, seorang ahli sejarah dan antropologi Israel mengatakan masalahnya ialah politik zionisme.

Persoalannya: Jika apartied merupakan masalah di Afrika Selatan, mengapa ia merupakan jawapan kepada Israel/Palestin?

Mereka yang menyokong politik zionisme tidak dapat pertahankannya atas meritnya sendiri jadi mereka cuba memfokus dengan mengalihkan perhatian dan memutarbelit realiti. Contoh terbaik ialah tidak memperdulikan sebab penyakit dan fokus kepada gejala-gejalanya yang banyak: keganasan penduduk asal terhadap peneroka penjajah (bukan kepada keganasan yang lebih dahsyat terhadap penduduk asal). Ideanya ialah supaya dengan memaparkan keburukan penduduk asal dan membuatkan mereka lebih rendah dari manusia, rejim zionis tidak akan dikutuk membunuh rakyat Palestin dan merampas tanah mereka.

Ini merupakan strategi lama bagi menghalalkan rampasan. Ia telah digunakan oleh kerajaan Perancis di Algeria, oleh penjajah Eropah di benua Amerika Utara dan Selatan, oleh apartied di Afrika Selatan, oleh Amerika Syarikat di Vietnam, dan di beratus-ratus tempat lain di mana kepentingan dan ekonomi Barat bertentangan dengan hak-hak penduduk asal.
Amnesty International telah melaporkan: "Di Israel terdapat beberapa undang-undang yang jelas diskriminasi. Ia dapat dikesan dari awal penubuhan Israel pada tahun 1948, yang digerakkan oleh penghapusan kaum yang dialami oleh Yahudi di Eropah semasa Perang Dunia II, yang berdasarkan pada kepercayaan bahawa sebuah negara Yahudi untuk orang Yahudi. Setengah daripada undang-undang Israel menunjukkan prinsip ini dan akibatnya mendiskriminasi terhadap orang bukan Yahudi, khususnya rakyat Palestin. Law of Return contohnya, memberikan kewarganegaraan Israel secara automatik kepada pendatang Yahudi, sedangkan pelarian Palestin yang dilahirkan serta dibesarkan di situ, yang kini dikenal sebagai Israel, tidak dibenarkan untuk pulang. Lain-lain statut dengan jelas memberikan layanan yang lebih terhadap warga Yahudi dalam pendidikan, perumahan awam, kesihatan dan pekerjaan.

Rakyat Palestin sudah tidak sanggup lagi menerima layanan apartied ini. Rakyat Palestin juga sudah hilang kepercayaan mereka terhadap kumpulan Fatah dan PLO yang sepatutnya membela dan mengembalikan maruah Palestin, mereka beralih kepada Hamas yang telah secara konsisten menolong rakyat Palestin dan berusaha menentang rejim Israel.

Kemenangan di pihak Hamas adalah akibat daripada penentangan terhadap pendudukan oleh rejim Zionis. Rakyat Palestin telah menunjukkan kematangan mereka, kerana mereka sudah tahu dengan mengundi Hamas bermakna memilih untuk menentang rejim zionis dan kempen menentang pendudukan.

Hamas tidak akan mengiktiraf rejim zionis dan tidak juga akan berbincang dengan rejim yang merampas kuasa, dan terus mendesak agar hak asas pelarian Palestin untuk kembali ke Palestin, dan dibebaskan semua tahanan Palestin dalam penjara-penjara Israel yang dahsyat.

Israel sudah mengisytiharkan Pihak Berkuasa Palestin sebuah badan pengganas berikutan kemenangan Hamas dan telah melancarkan kempen antarabangsa untuk menyekat bantuan dan hubungan dari masuk ke Palestin. Sekutu setia Israel iaitu Amerika Syarikat menyatakan pendirian yang sama. Setiausaha Negara Condoleezza Rice dijangka akan menyokong tindakan yang sama apabila dia tiba di Mesir bagi mendesak Liga Arab membatalkan rancangan untuk memenuhi bantuan yang hilang nanti.

Presiden Pihak Berkuasa Palestin dan ketua kepada parti Fatah dalam pilihan raya bulan lepas, Mahmoud Abbas berkata pihak berkuasa menghadapi krisis kewangan selepas keputusan Israel untuk tidak membayar USD50 juta dalam kutipan kastam bulanan yang ia perlu serahkan dibawah Perjanjian Oslo 1993. Wang tersebut telah digunakan untuk membayar gaji 130,000 kakitangan Pihak Berkuasa Palestin, sumber pendapatan terbesar di wilayah bawah pendudukan tentera Israel.

"Pilihan raya tidak patut digunakan untuk menghalalkan pencabulan terhadap rakyat kami, atau sebagai helah untuk mengancamnya," kata Abbas. Rakyat Palestin tidak patut dihukum kerana pilihan demokratik mereka yang dibuat melalui kotak undi."

"Israel melihat kebangkitan Hamas sebagai merbahaya, yang telah menukarkan Pihak Berkuasa Palestin menjadi pihak berkuasa pengganas," kata Ehud Olmert. "Israel tidak akan mengadakan hubungan dengan pentadbiran di mana Hamas terlibat."

Kemenangan Hamas di Palestin sebenarnya telah mendedahkan pakatan keji Israel dan negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat untuk mengekalkan 'hegemony' zionis. Anjuran demokrasi ke seluruh dunia bagi membela rakyat hanya digunakan untuk memperluaskan kuasa dan pengaruh. Setelah demokrasi memenangkan Hamas (pihak yang mereka
benci) dalam pilihan raya Palestin, negara-negara pakatan tersebut mengeluarkan syarat baru demokrasi pula. Inilah wajah sebenar negara- negara yang aktif mempromosikan demokrasi kepada dunia. Selagi demokrasi mengukuhkan kedudukan mereka di muka bumi maka demokrasi baik untuk semua, tetapi apabila demokrasi menggugat status quo mereka, maka demokrasi perlu takrifan semula.

Kumpulan sivil yang mempromosikan demokrasi, jangan terus diperalatkan untuk perluasan kuasa Barat, khususnya zionis. Kumpulan- kumpulan sivil wajar mengambil seruan ini secara serius dan bina pakatan yang dibuka kepada seluruh dunia untuk memisahkan diri daripada terikat dengan Amerika dan menolak zionisme. Hal ini akan membawa keadilan kepada semua tanpa mengira apa agama atau kaum mereka. Ia juga akan menjadi sumbangan bermakna kepada pendedahan program-program kerajaan Amerika yang sebenarnya bertujuan memperluaskan kuasa dan pengaruh mereka di serata dunia, paling ketara dengan sokongan yang tidak berbelah bagi oleh Amerika kepada zionisme.

Pengaruh zionisme telah menular dalam pentadbiran kerajaan Amerika yang mengakibatkan perubahan dalam polisi luar Amerika. Kisahnya dalam satu pendedahan lain di waktu yang lain

0 Comments:

Post a Comment

<< Home