Scroll images by bigoo.ws

Monday, March 06, 2006

Thaksin terus didesak letak jawatan

BANGKOK 5 Mac - Pelbagai kumpulan penunjuk perasaan Thailand berhimpun hari ini dalam protes besar-besaran untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Mereka berikrar akan berkhemah di kawasan bersejarah di tengah-tengah kota ini sehingga Thaksin akur dengan tuntutan mereka.

Penunjuk perasaan yang diketuai oleh Perikatan Demokrasi Rakyat berhimpun di Sanam Luang (Padang Diraja) pada pukul 4 petang (5 petang waktu Malaysia) sebelum berarak ke Monumen Demokrasi.

Monumen yang didirikan sebagai memperingati berakhirnya pemerintahan beraja mutlak serta jalan di sekitarnya menjadi medan demonstrasi prodemokrasi yang mencetuskan pertumpahan darah pada 1973, 1976 dan 1992.

''Rapat umum ini akan diteruskan dan kami tidak akan berhenti sehingga kami beroleh kemenangan,'' kata pemimpin perikatan, Suriyasai Katasila.

Beliau semalam menuduh Thaksin memusnahkan institusi demokrasi, mengamalkan kronisme, mengelakkan cukai dan melanggar hak-hak asasi manusia.

Seorang pengkritik sosial, Theerayuth Bunmee menggesa kumpulan-kumpulan anti-Thaksin menjalankan kempen `keingkaran awam' untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Thaksin menolak desakan supaya beliau meletakkan jawatan dan sebaliknya menjadualkan pilihan raya umum pada 2 April ini.

Parti-parti pembangkang berikrar untuk memulaukan pilihan raya yang dijangka dimenangi oleh Parti Thai Rak Thai pimpinan Thaksin.

''Pemimpin protes perlu berhati-hati dan mengadakan rancangan untuk mengawal orang ramai. Jika keganasan atau huru-hara berlaku, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang,'' kata Thaksin.

Beberapa ratus anggota polis bersenjata lengkap ditempatkan dekat kediaman Thaksin dan trak bomba bersiap sedia untuk menggunakan meriam air terhadap mereka yang cuba merempuh sekatan polis, kata pegawai kanan polis, Jeneral Archirawat Suphanaphesat
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Isnin / 6 Mac 2006 )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home