Scroll images by bigoo.ws

Friday, April 07, 2006

PERHATIAN...!!!!! PERTUKARAN BLOG KAWJASINDAILY KEPADA JASINDAILY

ASSALAMUALAIKUM W.B.T
TERLEBIH DAHULU KAMI DARI ICT KAW.JASIN MEMOHON JUTAAN KEMAAFAN KERANA DALAM 2 MINGGU INI KAMI KURANG MELAKUKAN KERJA-KERJA MENG'UPDATE' BLOG INI.
UNTUK PENGETAHUAN SEMUA, BERMULA HARI INI, SEGALA MAKLUMAT AKAN DI 'UPDATE' DALAM BLOG YANG BARU DAN PENGUNJUNG SEKALIAN BOLEHLAH MELAYARI DI BLOG BARU KAMI IAITU www.jasindaily.blogspot.com.
INSYA-ALLAH, SEGALA PANDANGAN DAN TEGURAN SANGAT KAMI ALU-ALUKAN.INSYA-ALLAH KAMI AKAN CUBA BER'ISTIQOMAH' DALAM USAHA MEMBERIKAN MAKLUMAT DALAM BLOG INI. TERIMA KASIH JUGA DIATAS DIATAS SEGALA MAKLUMAT DAN SOKONGAN YANG DIBERIKAN OLEH PENGUNJUNG KEPADA KAMI.JUTAAN TERIMA KASIH JUGA DITUJUAKN KEPADA KEPADA TRANUNGKITE, PEMUDABUKITKATIL DAN LAIN-LAIN YANG SUDI MEMBUAT PAUTAN/LINK KEPADA BLOG INI. SEGALA KERJASAMA KALIAN SEMUA INSYA ALLAH AKAN DIBERIKAN GANJARAN YANG SETIMPAL OLEH ALLAH S.W.T.
SEMOGA USAHA KAMI YANG TIDAK SEBERAPA INI MAMPU MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA PENGUNJUNG SEKALIAN DALAM USAHA MENYEBARKAN DAKWAH DAN PERJUANGAN ISLAM DI MUKA BUMI ALLAH DALAM USAHA BERSAMA-SAMA MEMBANGUNKAN ISLAM DIMUKA BUMI MALAYSIA, TERIMA KASIH....KLIK DI SINI UNTUK KE JASINDAILY
SALAM PERJUANGAN DARI PAS KAW.JASIN MELAKA
sahabat304 ( ICT PEMUDA KAW.JASIN )

Wednesday, April 05, 2006

Pembangkang rai kejayaan - Thaksin dipuji buat keputusan tepat

BANGKOK 4 April - Gerakan anti-kerajaan Thailand mengisytiharkan kejayaan hari ini selepas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan.

''Ini adalah kejayaan kami. Jika kita tidak saling bantu-membantu (dalam protes), ia tidak akan berlaku hari ini,'' kata seorang ketua utama protes anti-Thaksin, Chamlong Srimuang.

Perkembangan ini juga sekali gus membuktikan ramalan pakar astrologi bahawa Thaksin akan digulingkan sebelum pertengahan tahun ini.

Malam ini, Thaksin mengumumkan beliau akan berundur apabila Parlimen bersidang selepas pilihan raya yang penuh kontroversi yang turut dipulaukan oleh pihak pembangkang.

Chamlong merupakan mentor politik Thaksin, namun dia menentang Thaksin pada awal tahun ini dan membantu menganjurkan protes selama berminggu-minggu.
Beribu-ribu penduduk yang berhimpun di jalanan sejak beberapa bulan lalu menuntut Thaksin meletakan jawatan kerana didakwa mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Parti Mahachon yang memulaukan pilihan raya tersebut menyambut gembira keputusan Thaksin tersebut.

''Beliau telah membuat keputusan yang betul. Saya gembira dan memuji tindakan beliau. Sudah lama saya menantikan detik ini dan kini semuanya akan selesai,'' kata Sanan Kachornprasart kepada televisyen Thailand malam ini.

Sementara itu, Ketua Parti Demokrat, Ong-art Klampaiboon berkata, parti pembangkang juga amat gembira dengan keputusan itu.

Parti-parti pembangkang dijangka mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan tindakan susulan.

Beberapa jam sebelum perkembangan terbaru itu, pembangkang Thailand menolak sebarang kompromi dengan Thaksin selepas pilihan raya umum kelmarin.
Sebaliknya mereka bertekad untuk meneruskan demonstrasi jalanan sehingga Thaksin berundur.

''Hari Perdana Menteri secara publik dan rasmi mengumumkan keputusan berundur merupakan hari kami berhenti adakan tunjuk perasaan,'' kata jurucakap parti Perikatan Demokrasi Raktar (PAD), Suriyasai Katasila di sini, hari ini.

Ekoran pengumuman Thaksin itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) pula berkata, pembangkang boleh menyertai Parlimen dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil di 39 kawasan pada 23 April ini.

Tuesday, April 04, 2006

Darurat Bagi Ustazah Mashitah

ek sumber dari http://bukitbesi.net/

SEJARAH BERDARAH DISEBALIK "APRIL FOOL'S DAY"

Semoga lepas baca kisah sedih ni, kita tak akan rayakan April Fool day lagi. Kenapa??? Bacalah kisahnya....Ikutilah cerita sedih di sebalik April Fool's Day sebagai renungan bersama. Setiap kali menjelang 1hb April, sesetengah orang kita begitu taksub dengan budaya 'pandang kebarat' menjadi begitu sibuk sekali.
Kepala mereka penuh dengan senarai mangsa-mangsa untuk dipermain-mainkan. Yang penting mereka puas melihat muka mangsa-mangsa mereka merah padam kerana dipermain-mainkan.
Berbalik kepada perayaan April Fool's Day ini, adalah dipercayai bahawa ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian.
Ketahuilah Islam dibawa ke Sepanyol oleh sahabat Nabi s.a.w. :Tariq bin Ziyad r.a. bersama bala-tentara para Muslimin(sahabat r.ahum) Mereka berdakwah kpd Kafirin di Spanyol dan Islam tersebar ke seluruh Spain.
Menjelang masa... orang-orang barat Kristian/Yahudi kurang senang dgn kemajuan Sepanyol dari segi sains dan ilmu. Ketahuilah bahwa Universiti pertama didunia dibina oleh kaum Muslimin di Sepanyol !! Maka mereka sering serang Sepanyol tetapi gagal kerana iman dan amal kaum Muslimin begitu teguh sekali.
Mereka selalu ikuti ajaran2 Al-Quraán. Islam kata solat mereka solat, tutup aurat mereka pakai tudung denqan juga tidak berzina dan minum arak. Kerana itu bantuan allah sentiasa bersama kaum Muslimin di Sepanyol. Maka setelah beratus tahun lamanya..Muslim Sepanyol mulalah lemah. Orang barat tahu selagi kaum Muslimin ikuti ajaran Al-Qurán mereka tiada boleh takluki Sepanyol. Maka mereka hantar arak secara percuma ke Sepanyol..wanita2 joget(belly dancers), menyebarkan cara gaul bebas dan sebagainya. Lama-kelamaan kaum Muslimin termakan juga perdayaan barat itu.
Ramai antara muslimin/muslimat kaum muda Sepanyol terpengaruh dgn ala cara hidup barat hingga minum, zina dan sebagainya. Mereka terlalai dgn maksiat dan lupa pd Allah swt. Di saat-saat inilah bila Muslimin Sepanyol telah lemah maka tentera Barat serang Sepanyol dan akhirnya menang dan menakluki Sepanyol setelah Islam di Sepanyol selama 600 - 800 tahun.
Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (the Moors ) terpaksa berlindung di dlm rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan orang-orang Islam dari Sepanyol. Penduduk-penduduk muslim ini, diberitahu bahwa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di perlabuhan.
Orang-orang Muslim yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi ke perlabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokan harinya: ( 1 April ), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan lalu menuju ke perlabuhan.
Pada masa inilah pihak Kristian mengambil kesempatan untuk menggeledah dan kemudian membakar rumah penduduk- penduduk Islam ini. Mereka(muslimin) juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya dibakar. Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum muslim dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.
Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia. Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day (Hari kaum Muslim Spanyol 'difooled' -dibunuh semuanya) tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka sendiri. Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.

Sharon sah ‘tunggu masa’

BAITUMAQDIS: Kabinet Israel akan mengisytiharkan Perdana Menteri Ariel Sharon (gambar) ‘kekal tidak berupaya’ dalam mesyuarat mingguannya akan datang, lapor akhbar Yahudi, Yediot Ahronot semalam.
Peguam Negara Israel mengisytiharkan Sharon tidak berupaya untuk sementara selepas perdana menteri itu diserang angin ahmar teruk pada 4 Januari lalu. Ehud Olmert selaku Timbalan Perdana Menteri, diisytihar pemangku Perdana Menteri.
Undian Kabinet pada minggu depan akan berkuat kuasa pada 14 April dan langkah itu membolehkan Olmert dilantik sebagai perdana menteri, lapor akhbar itu, tetapi menegaskan, kuasa Olmert tetap sama.
Sharon masih koma sejak serangan angin ahmar. Parti Kadima berhaluan sederhana diasaskan Sharon beberapa minggu sebelum beliau jatuh sakit, memenangi pilihan raya umum minggu lalu dan Olmert dijangka dilantik Perdana Menteri

Tujuh tahun keADILan meniti bara

Tanggal 4 April ialah ulangtahun ketujuh penubuhan Parti Keadilan Nasional yang mana kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada Ogos 2003 untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat.

Kita mewarisi kejayaan payah perjuangan untuk kemerdekaan dan keadilan sosial yang dipelopori oleh parti-parti seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan diteruskan oleh Parti Rakyat Malaysia.

Dengan seruan Reformasi diteruskan dalam perjuangan ini, sepanjang tujuh tahun penubuhannya, keADILan telah melalui tempoh percubaan getir melalui transformasi dalam sejarah moden Malaysia.

Kita melalui Krisis Kewangan Asia 1999 dan Anwar Ibrahim Saga 1998-2004. Kita juga menyaksikan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kemudiannya disambung oleh Datuk Seri Abdullah Badawi.

Dalam arena antarabangsa, dalam tempoh tujuh tahun ini, kita juga telah menjadi saksi kepada serangan 911 ke atas satu-satunya kuasa dunia pada tahun 2001, kemudiannya pencerobohan berdarah Amerika Syarikat serta penaklukan Afghanistan dan Iraq, yang diikuti dengan pembunuhan yang berlaku atas nama 'Islam'. keADILan mengecam segala bentuk terrorisme yang mempergunakan agama atau tamadun atas nama 'bangsa' atau pun 'keselamatan antarabangsa'.

Dalam perkembangan postif, pada tempoh yang sama, China dan India telah bangkit sebagai kuasa-kuasa politik, manakala Indonesia telah pulih dan memulakan proses pendemokrasian mereka.

Dalam keadaan-keadaan tersebut yang berlaku di Malaysia dan di dunia, lahirlah keADILan dan berakar di Malaysia.

Sebagai parti baru, keADILan masih dihimpun dengan banyak kelemahan. Namun, ia boleh diatasi satu persatu. Kami adalah parti yang mempercayai kepada pilihanraya dan akan menyumbangkan segala yang mungkin dalam membangunkan institusi-institusi yang berkaitan, proses-proses yang dijalankan serta budaya demokrasi berparlimen.

Sungguhpun kami terpaksa bertarung dalam gelanggang yang berat sebelah semasa pilihanraya – termasuk percubaan-percubaan kerajaan menyekat hak bersuara dalam perhimpunan aman serta dalam apa jua gerakan sehingga memenjarakan dan menyerang pemimpin-pemimpin dan para aktivis – kami tetap berbangga apabila parti ini telah berjaya untuk meletakkan nama dalam arena politik.

Wawasan kami adalah supaya keADILan tidak hanya sebagai sebuah parti pilihanraya tetapi juga menjadi sebuah parti politik untuk rakyat Malaysia dari semua bangsa dan latar belakang agama serta budaya yang berjuang untuk membina kesaksamaan bangsa dan solidariti antara-etnik di setiap peringkat akar umbi dalam kehidupan seharian.

Sebagai parti yang mewariskan budaya progresif tulen, inklusif dan patriotik pejuang-pejuang kemerdekaan, ia akan terus menegakkan keadilan dan kemuliaan untuk semua masyarakat etnik. keADILan melihat semua insan adalah ciptaan Pencipta – terutama sekali manusia dan warganegara.

keADILan komited dalam kerjasama antarabangsa bagi memperjuangkan hak asasi, nilai-nilai demokratik, kestabilan ekonomi dan keamanan global. Kami percaya dalam zaman revolusi maklumat dan komunikasi ini, tidak ada satu negara pun sepatutnya disishkan daripada pembangunan global dalam lapangan politik, sosial, ekonomi dan teknologi.

Kami juga percaya bahawa usaha-usaha dalam pertalian rakyat-kepada-rakyat dan dialog antara-tamadun patut diperhebatkan bagi mencapai kefahaman yang lebih di antara Timur dan Barat, juga di antara Selatan dan Utara terutama sekali di antara Malaysia dengan Negara-negara jiran dalam ASEAN.

Sungguhpun demikian, keADILan juga percaya bahawa kerjasama antarabangsa mestilah berdasarkan kepada kesanggupan dan kesediaan kita untuk melindungi kedaulataran, integriti wilayah kita dan kebebasan politik dalam bumi yang kita pijak, yang kita kecapi melalui darah dan airmata melalui pejuang-pejuang Merdeka yang tulen dan datuk-nenek dari pelbagai kaum dalam negara ini.
KeADILan tidak akan bertolak-ansur dengan perjuangan menentang korupsi, kronsime dan nepotisme yang mana ianya berada di mana-mana sistem institusi dan kepimpinan di negara ini. Penyakit-penyakit sosial ini adalah ancaman-ancaman yang paling getir ke arah dayasaing ekonomi dan kestabilan sosio-politik. Sekiranya ia tidak dibendung; korupsi, kronisme dan nepotisme akan memusnahkan corak tamadun dalam negara kita.

Melalui prinsip nilai-nilai dan kepercayaan teras inilah, keADILan membuka pintunya kepada seluruh rakyat Malaysia dan bersedia untuk bekerja dengan parti-parti politik yang liberal dan progresif, NGO-NGO dan kuasa-kuasa sosial dalam meneruskan membina bangsa di zaman globalisasi juga pergolakan global. Marilah kita sama-sama berazam pada hari ini; bila kita lihat keadaan yangberat sebelah kita akan mencabarnya, bila kita melihat ketidakadilan kita akan menyerangnya, bila kita melihat prasangka kita akan bersemukanya. Sama-samalah kita membina bangsa kita

SAR perlu anjakan hadapi cabaran semasa

DUNGUN, 4 April (Hrkh) - Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Haji Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Sekolah Agama Rakyat (SAR) perlu melakukan beberapa anjakan secara serius bagi menghadapi cabaran semasa.

Katanya, survival SAR sangat bergantung kepada komitmen yang tinggi di kalangan bukan sahaja pendirinya malah seluruh masyarakat yang sedar tentang kepentingannya sebagai sistem persekolahan pelengkap malah sebagai sebuah sistem alternatif.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan kepimpinan SAR yang berkualiti, mengusahakan sebuah persatuan kebangsaan yang dapat saling mengukuh dan saling membina kekuatan, mempersiapkan tenaga pendidik yang komited dan berketrampilan dalam bidang pendidikan.

Di samping itu, katanya SAR perlu menyediakan sebuah sistem latihan penguruan yang rapi dan berdisiplin tinggi, melaksanakan sebuah kurikulum pendidikan yang bersepadu, membangunkan sebuah biah persekolahan yang kondusif untuk pembentukan dan membangunakan potensi pelajar.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Masa Depan Sekolah Agama Rakyat Menghadapi Cabaran Alaf Baru pada seminar sempena Hari Terbuka Madrasah Darul Bayan, Kampung Pinang Merah, Paka baru-baru ini.

Selain itu, tambahnya, pelajar SAR perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan pendedahan mengenai realiti kehidupan serta cabaran semasa, mewujudkan kegiatan pelajar yang melengkapkan mereka dengan kefahaman dan kesedaran mengenai hal ehwal umat Islam di seluruh dunia, sukatan khusus untuk melatih mereka dengan kemahiran berorganisasi dan kepimpinan serta penyertaan aktif masyarakat untuk mendokong SAR.

Menurutnya, masa depan SAR di abad 21 ini sangat bergantung kepada kesediaan semua pendokong SAR untuk melakukan anjakan seperti yang diusulkan itu.

Tambahnya, anjakan itu adalah dalam rangka memulihara ketulenan matlamat SAR untuk menjadi institusi pendidikan Islam yang mantap bukan sahaja dari sudut orientasi malah juga dari sudut pengurusan , proses dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran.

“Kami yakin SAR mempunyai masa depan kerana betapapun pihak yang cemburu dengan potensi SAR ingin melihat SAR tidak wujud di persada negara ini , namun hakikatnya masyarakat tetap meletakkan harapan yang tinggi kepada keupayaan SAR untuk berfungsi,” ujarnya.

Tegasnya, Teras percaya komitmen dan dedikasi pendidik-pendidik di SAR akan menjadi tunjung kekuatan untuk memperjuangkan matlamat suci merealisasikan sebuah sistem tarbiyyah yang mampu menyedia dan melahirkan pelajar yang soleh sekaligus pejuang Islam seutuhnya

Monday, April 03, 2006

AS, Britain akan serang Iran?

LONDON 2 April - Kerajaan Britain dijadual bermesyuarat dengan ketua-ketua pertahanan esok untuk membincangkan kemungkinan melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran.

Para pegawai kerajaan dan ketua-ketua pertahanan dalam mesyuarat peringkat tertinggi di Kementerian Pertahanan itu akan menimbangkan akibatnya jika serangan dilancarkan terhadap negara itu.

Serangan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) dengan tujuan untuk memusnahkan tapak-tapak nuklear Iran dipercayai `tidak dapat dielakkan' jika Teheran gagal mematuhi tuntutan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membekukan program pengayaan uraniumnya.

Mesyuarat esok akan dihadiri oleh Ketua Staf Pertahanan, Jeneral Sir Michael Walker; Ketua perisikan pertahanan, Leftenan Jeneral Andrew Ridgway; Penolong ketua staf am, Mejar Jeneral Bill Rollo serta para pegawai Jabatan Luar dan Downing Street.

Sumber kanan di Jabatan Luar menyatakan:''Mesyuarat esok akan membincangkan akibatnya terhadap Britain jika serangan dilancarkan terhadap Iran. Ketua staf pertahanan mahu mengetahui kesannya terhadap kepentingan Britain di Iraq dan Afghanistan, dua negara yang bersempadan dengan Iran.

''Mereka kemudian akan memaklumkan Perdana Menteri, Tony Blair dan Kabinet mengenai kesimpulan mereka dalam beberapa hari akan datang.''
Bagaimanapun seorang jurucakap Kementerian Pertahanan menafikan mesyuarat tersebut akan diadakan

Kami bukan penderhaka

TAIPING, 3 April (Hrkh) - PAS dan parti politik pembangkang serta NGO akan terus mengadakan demonstrsasi mega di seluruh negara bagi membantah kenaikan bahan api baru-baru ini dan menolak sama sekali tuduhan bahawa mereka adalah penderhaka.

Berdahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dalam ceramahnya dekat sini berkata, "Kami bukan penderhaka tetapi adalah wira bangsa dalam sebuah negara demokrasi bagi membela kepentingan rakyat terbanyak."

Beliau menolak kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan mereka yang berdemonstrasi membantah kenaikan harga minyak sebagai penderhaka.

"Kami menentang langkah yang menyebatkan kehidupan sebilangan besar rakyat terhimpit akibat kenaikan harga minyak ini," kata Dr Hatta di Balai Kuliah Batu 6, Changkat Jering malam semalam.

Beliau menolak andaian beberapa pihak kononnya kenaikan harga minyak hanya menekan golongan kaya kerana mereka yang memakai kereta dan sebagainya.

"Orang-orang miskinlah yang paling banyak terhimpit kerana kenaikan 30 sen seliter ini amat besar kepada mereka yang menggunakan motosikal dan menggunakan motorbot untuk menangkap ikan di laut. Nilai RM1 kepada orang miskin amat besar seumpama nilai RM1000 kepada orang kaya macam mereka," kata Dr Hatta yang berjanji akan terus "Protes Sampai Turun" samada harga minyak atau Perdana Menteri yang turun

"Orang-orang kaya tidak terasa apa-apa kerana mereka banyak wang, RM1,000 itu hanya seperti nilai RM1.00 sahaja. Tetapi bagi mereka berpendapatan rendah dan miskin nilai RM1.00 adalah sangat berharga seperti RM1,000,"ujarnya. Beliau berjanji akan terus menganjurkan demostrasi bagi membantah kenaikan inin dengan demonstrasi mega walaupun telah ditangkap bersama dua anak-anaknya baru-baru ini.

Dr Hatta dan dua anak gadisnya ditahan kira-kira lima jam di penjara Pudu minggu lalu selepas ditangkap kerana menyertai demonstrasi di perkarangan KLCC anjuran MTUC. 19 yang lain turun ditangkap bersama beliau dan anak-anak.
"Saya harap semua orang akan turun demo dengan aman. Jangan buat gila-gila bila berdemo. Biarlah kerajaan saja yang gila kuasa," kata beliau.

Beliau turut mengingatkan anggota polis langkah membantah kenaikan harga minyak ini untuk kebaikan mereka juga kerana ia memberi kesan kepada semua pihak.

"Kerajaan bukan jaga kepentingan anggota polis pun. Lihatlah dengan cadangan pelbagai suruhanjaya itu. Jadi berilah kerjasama kepada kami," kata Dr Hatta.

Rakyat tentukan nasib Thaksin

PERKEMBANGAN politik negara Asia yang paling menarik untuk diikuti sejak sebulan lalu barangkali boleh sahaja diberikan kepada Thailand.

Bermula Januari lalu apabila beliau didakwa memperdagangkan kepentingan negara kepada pihak asing ekoran penjualan Shin Corporation sehingga membawa protes yang tidak surut-surut gelombangnya selama lebih tiga minggu menyebabkan iklim politik Thailand tidak terlepas daripada menjadi sorotan.

Dan minggu ini juga perkembangan di Negara Gajah Putih itu masih tidak kurang daripada terus diberi perhatian utama.

Hari ini, Thailand akan mengadakan pilihan raya, ketika keadaan huru-hara di negara itu masih lagi berlaku, semasa suara-suara pembangkang mendesak Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berundur masih bergema dan di kala tiga parti pembangkang utama memboikot prosedur berkenaan.

Apa yang bakal terjadi selepas pilihan raya sama ada Thaksin berundur, berlaku kemelut perlembagaan atau keadaan semakin tegang juga amat menarik untuk diikuti secara rapat.

Namun di sebalik kekalutan itu semua, pilihan raya tetap diteruskan. Prosedur perundangan bagi memilih kira-kira 500 ahli Parlimen sebelum kerajaan baru dibentuk berjalan seperti biasa.

Tetapi menariknya, hanya parti Thai Rak Thai (TRT), pimpinan Thaksin sahaja yang bertanding. Kalau dalam keadaan biasa, sudah pasti parti itu dan calonnya menang tanpa bertanding.

Dan luar biasa di Thailand pula, mana-mana calon yang berentap mesti mendapat sekurang-kurangnya 20 peratus undian sebelum disahkan menang.

Jika tidak, kemenangan mereka tidak diiktiraf dan pilihan raya pusingan seterusnya akan diadakan sehingga mereka mendapat 20 peratus undian kemenangan itu.

Mengambil kira senario itu, perkembangan di Thailand sebenarnya menjadi semakin kompleks, sekalipun selepas pilihan raya berakhir.

Kita ambil kira hujah ini. Di sesetengah tempat di Thailand yang menjadi kubu kuat Thaksin seperti di Chiang Mai, majoriti sudah pasti akan mengundi atau mudah kata tidak akan mengendahkan gesaan boikot pilihan raya oleh pembangkang.

Ini juga memberi kepastian bahawa TRT akan menang dan di sisi lain memberi kelebihan kepada Thaksin. Tetapi di tempat-tempat seperti selatan dan utara negara itu, cengkaman Demokrat, Mahachon tidak boleh dipertikaikan.

Para pengundi sudah pasti tidak akan keluar memangkah kertas undi dan keadaan ini menyebabkan calon bertanding, sekalipun hanya seorang, sukar mendapat 20 peratus undian sebagaimana diperlukan mengikut perlembagaan Thailand.

Tetapi lebih merumitkan, dalam perkembangan terbaru, dua hari sebelum pilihan raya berlangsung, TRT dilaporkan hanya menghantar senarai parti sebanyak 99 nama, bermakna jika 400 ahli Parlimen dipilih sekalipun, ia masih gagal membuahkan sebuah Parlimen penuh 500 ahli.

Ini kerana dijangkakan tiada parti lain dalam perebutan berkenaan membolot lima peratus daripada keseluruhan undi, syarat minimum untuk melayakkan menyertai senarai calon parti.

Perlu diingatkan bahawa daripada 500 ahli Parlimen yang dipilih, 400 ditentukan secara bertanding di kawasan manakala 100 lagi perlu mengikuti sistem senarai parti.
Apabila ini berlaku, pilihan raya akan diadakan sekali lagi dan sudah pasti masa menjadi hambatan.

Mudah kata, krisis perlembagaan akan melebar dengan tiada penyelesaian mutlak bakal dicapai. Ketidakcukupan ahli Parlimen juga tidak membolehkan mereka melantik Perdana Menteri.

Thaksin sendiri secara peribadi pernah bersuara bahawa beliau tidak akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri jika partinya gagal mendapat lebih separuh daripada keseluruhan undian pada hari pilihan raya.

Dalam memperkatakan soal Thailand dan krisis politik negara itu, banyak hal yang perlu disentuh termasuk misalnya soal taktik Thaksin memastikan survival politik beliau dapat bertahan.

Kemenangan hampir pasti Thaksin dan TRT juga satu sudut hal lain yang menarik untuk diperkatakan jika berbincang mengenai krisis politik Thailand ini.
Umum mengetahui bahawa Thaksin diterima baik oleh sebahagian besar penduduk di luar bandar, tetapi beliau diganyang hebat oleh kumpulan kelas pertengahan selain golongan berpendidikan tinggi di bandar.

Perpecahan sokongan terhadap beliau ini membawa kepada kemenangan besar beliau pada pilihan raya tahun lepas. Sejumlah 60 peratus penduduk Thailand terdiri daripada golongan kelas bawahan dan tinggal di luar bandar.

Pada pilihan raya lalu, TRT menawan 376 daripada 500 kerusi manakala baki 124 lagi kerusi dimenangi Demokrat (97), Chat Thai (25) dan Mahachon (2).
Lebih 72 peratus daripada 44.8 juta pemilih yang layak, keluar mengundi pada pilihan raya 2005.

Pada pilihan raya kali ini, yang berlangsung tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya, sebanyak 44.8 juta layak mengundi daripada jumlah keseluruhan penduduk Thailand seramai 63.7 juta orang.

Pilihan raya yang diadakan ini adalah cukup jelas, Thaksin dan TRT akan menang tetapi dengan satu persoalan berbangkit, cukup atau tidak untuk membentuk sebuah kerajaan baru, kata seorang penganalisis politik tempatan, Prof. Madya Mohamad Agus Mohamed Yusuff.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Politik dan Strategik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, sekalipun TRT dan Thaksin menang, ia tidak akan meredakan konflik atau menyusutkan gelombang kebencian terhadap Thaksin.

Katanya, gerakan anti-Thaksin dan protes jalanan akan berterusan sehingga Thaksin benar-benar berundur.

“Itu yang menjadi matlamat pembangkang. Tetapi mereka tidak ada isu kuat untuk menyingkirkan Thaksin. Dalam hal ini, mereka menggunakan protes dan tunjuk perasaan dengan harapan tentera atau institusi raja boleh masuk campur.

Pembangkang sendiri dapat menghidu bahawa Thaksin dan TRT telah diambang kemenangan. Apa yang mereka mahukan sekarang ialah supaya Raja Bhumibol Adulyadej sedikit bersuara lalu membuat keputusan menubuhkan kerajaan sementara sebelum pilihan raya lain diputuskan, kata Mohamad Agus yang bidang kepakarannya ialah pilihan raya.

Pensyarah di Jabatan Asia Tenggara, Universiti Malaya (UM), Dr. Mala Rajoo juga mahu berkongsi pandangan sama.

Kepada Mingguan Malaysia, beliau dengan ringkas berkata: Thaksin sangat bijak dalam mengikuti rentak politik. Perdana Menteri Thailand itu tahu apabila beliau pegang perut rakyat, protes tidak ke mana-mana manakala dakwaan rasuah dan kesalahan lain bukan lawan sebenar.

Di sudut lain, keadaan buruk di Thailand itu memberi sisi negatif kepada rakyat dan negara berkenaan.

Pada akhirnya, mereka yang mengikuti rapat perkembangan di Thailand akan membuat kesimpulan bahawa Thaksin sebenarnya bukan berjuang untuk rakyat, tetapi demi survival politiknya sendiri.

Sebahagian besar penduduk di luar bandar mengangkat Thaksin sebagai orang nombor satu yang mendengar dari hati dan perasaan masalah mereka.
Namun sebilangan lain menyamakan bekas polis itu sebagai kroni kapitalis yang telah mencetuskan huru-hara kepada ekonomi Thailand selain mempergunakan demokrasi untuk tujuan kepentingan keluarga dan rakan niaga
.
Krisis sejak beberapa bulan lalu yang telah pun terbukti memberi kesan kepada Thailand. Kemelut politik di antara pembangkang-kerajaan, masyarakat kelas di bandar dan luar bandar jangan diambil mudah.

“Ia boleh menjejaskan pelaburan, keyakinan dan industri pelancongan. Penangguhan perbelanjaan infrastruktur dan penswastaan tidak dapat dielakkan dalam keadaan krisis,kata seorang penganalisis firma sekuriti seperti yang dipetik oleh akhbar The Nation.

Lebih buruk, laporan ekonomi oleh Universiti Dewan Perdagangan Thai menyebut bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Thailand tumbuh pada kadar sangat perlahan iaitu 3.2 peratus daripada yang diramalkan sebelum ini sebanyak 4.5 peratus, seandainya konflik tidak dapat diselesaikan.

Protes jalanan juga menakutkan para pelancong dan lebih banyak pembatalan lawatan ke Thailand dijangkakan selepas ini.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand menyebut, dalam tempoh setahun lalu, 65,000 orang, kebanyakannya dari China dan Singapura telah membatalkan lawatan mereka ke Thailand ekoran konflik politik di negara berkenaan.

Keadaan huru-hara di Thailand akan berterusan, itu sudah pasti kerana pilihan raya bukan jalan keluar menyelesaikan masalah rumit seumpama itu.

Thaksin akan menang juga perkembangan yang hampir pasti. Cuma yang tidak pasti ialah apakah pemimpin berusia 53 tahun itu akan berundur dan jika beliau meletakkan jawatan, bilakah pula tarikhnya.

Pembangkang mahu Thaksin keluar. Itu matlamat mereka. Tetapi mereka tidak ada isu untuk membolehkan perkembangan itu berlaku.

Ditanya apakah Thaksin akan akur dengan kemelut ciptaannya itu, Mohamad Agus memberi pandangan begini: Thaksin akan jatuh sendiri. Masanya akan tiba. Perdana Menteri Thailand itu cuba mencari jalan keluar. Biarlah kita memberi masa kepada beliau untuk mencari waktu sesuai untuk berbuat demikian.

Tetapi beliau mengingatkan bahawa, protes jalanan dan kuasa rakyat sekarang barangkali tidak kena pada masa dan ketika. Ia tidak ada tempat di Thailand, disebabkan kehebatannya menjaga rakyat kelihatan lebih dominan. Justeru, kata beliau, memaksanya berundur secara protes adalah tidak bijak sama sekali.

Alangkah baik jika pembangkang menunggu beberapa minggu lagi kerana Thaksin tidak akan meletakkan jawatan sebelum pilihan raya memandangkan ia boleh menonjolkan beliau telah kalah,tegas beliau.

Penggal Thaksin sepatutnya tamat pada 2010.
Pembangkang sebenarnya mahukan penamat yang cukup hebat berhubung politik Thailand di era Thaksin ini.

Nyata sekali mereka mahu Thaksin berundur dan raja Bhumibol Adulyadej melantik kerajaan sementara sehingga pilihan raya boleh dilangsungkan.

Tetapi raja nampaknya lebih gemar untuk tidak mengambil pusing soal politik dan kemelutnya. Malah setakat ini tiada tanda-tanda menunjukkan institusi raja akan campur tangan sebagaimana yang beliau lakukan pada tahun 1992 semasa menamatkan rusuhan bertukar ganas melibatkan tentera serta penunjuk perasaan.

Campur tangan itu membawa kepada peralihan era pemerintahan tentera kepada demokrasi di Thailand.
Campur tangan raja adalah jalan salah kepada masa depan amalan demokrasi di Thailand. Saya berpandangan raja tidak akan berbuat demikian, kata Mala.

Jikalau begitu, apakah boleh dibuat kesimpulan bahawa hari ini bukan menjadi hari terakhir bagi Thaksin untuk berada di tampuk kuasa di negara berkenaan?

Pembangkang dan mereka yang anti-Thaksin barangkali terus kempunan manakala para penyokong bapa kepada dua anak itu boleh terus bersorak riang sehingga masa menentukan sebaliknya.

Sunday, April 02, 2006

Intipati ucapan PM ketika membentangkan RMK-9

KUALA LUMPUR 31 Mac - Berikut ialah antara intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) di Dewan Rakyat hari ini.

* Kerajaan telah menggubal dan akan melaksanakan Misi Nasional 2006-2020- satu rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan menggariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh 15 tahun akan datang untuk mencapai Wawasan 2020.

* Misi Nasional mengandungi lima teras utama iaitu:

1. Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
2. Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk "minda kelas pertama";
3. Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif.
4. Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup; dan
5. Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara

* Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010 (RMK-9) akan dilaksanakan bagi mencapai kejayaan lebih unggul demi membina tamadun dan menjulang martabat negara.

* Dalam tempoh RMK-9, jumlah dagangan negara dijangka melepasi RM1 trilion buat pertama kalinya.

* Universiti Darul Iman di Terengganu dan Universiti Darul Naim di Kelantan akan dibina.

* Peruntukan RM1.15 bilion disediakan untuk menambah baik kemudahan sekolah luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

* Sebanyak 180 sekolah rendah dan 229 sekolah menengah dan sekolah berasrama penuh akan dibina dalam RMK-9.

* Matlamat pertumbuhan KDNK sebenar adalah pada kadar purata 6 peratus setahun.

* Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita dijangka meningkat pada kadar purata 5.9 peratus setahun mencecah RM23,573 pada 2010 manakala KNK per kapita dari segi pariti kuasa beli dijangka meningkat kepada US$13,878 pada 2010.

* RM690 juta disediakan untuk membina rumah guru, hampir separuh daripadanya untuk rumah guru di luar bandar.

* RM1.51 bilion disediakan untuk program pengkomputeran sekolah manakala RM284 juta diperuntukkan untuk program pembestarian sekolah.

* Menjelang 2010, malaysia menyasarkan kedatangan 24.6 juta pelancong setahun.

* Program "pertanian baru" akan dibangunkan mencakupi perladangan komersial berskala besar, penggunaan ICT dan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

* RM11.4 bilion diperuntukkan kepada sektor pertanian.

* Jambatan kedua Pulau Pinang akan dibina bagi merangsang pertumbuhan di kawasan berdekatan merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perak Utara.

* Lembaga kemajuan wilayah baru akan ditubuhkan di Sabah dan Sarawak bagi membangunkan kawasan pedalaman dan pusat pertumbuhan desa.

* RM1.2 bilion diperuntukkan untuk menambah baik bekalan air ke luar bandar, RM1 bilion bagi bekalan elektrik luar bandar, RM2.7 bilion bagi pembinaan jalan raya luar bandar dan RM900 juta bagi jalan kampung.

* Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera menjelang tahun 2020.

* Usaha akan dilakukan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti etnik India kepada 3 peratus menjelang 2020.

* Sebuah suruhanjaya nasional akan ditubuhkan untuk mengawal selia pengangkutan awam manakala suruhanjaya khusus akan ditubuhkan bagi kawasan Lembah Klang.

* Terminal pengangkutan bersepadu akan dibina di Gombak dan Bandar Tasik Selatan sebagai hab transit ke Kuala Lumpur.

* Monorel Pulau Pinang dan Lebuh Raya Hubungan Penyuraian Timur di Johor akan dibina.

* Projek penyaluran air mentah antara negeri dari Pahang ke Selangor akan dilaksanakan.

* RM4 bilion akan dibelanjakan bagi projek tebatan banjir.

* Sebanyak 43,800 unit rumah kos rendah akan dibina melalui program perumahan rakyat.

* Syarikat Perumahan Negara Berhad akan membina 29,000 rumah kos rendah dan sederhana rendah.

* Kerajaan bercadang menubuhkan dua badan bertindak pelaksanaan negara -- yang pertama untuk memantau projek RMK-9 dan yang kedua bagi memantau program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera generasi baru -- yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

* Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan disusun semula bagi menumpukan kepada pelaksanaan program dan projek serta sistem penyampaian yang berkesan.

* Jawatankuasa bertindak sektor awam-sektor swasta akan ditubuhkan bagi mengemukakan cadangan pindaan kepada peraturan dan undang-undang yang berkaitan.

* RM200 bilion disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembelanjaan pembangunan untuk mencapai Misi Nasional dalam tempoh RMK-9.

* Projek bernilai RM2O bilion lagi akan dilaksanakan melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta.

* Sektor swasta perlu menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi sementara sektor awam sebagai pemudah cara pertumbuhan ekonomi dan penyedia kemudahan sosio ekonomi.

* Perdana Menteri dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri akan mengetuai jawatankuasa di peringkat tertinggi bagi memantau pelaksanaan RMK-9.

* Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab memastikan program yang dilaksanakan adalah selari dengan teras pembangunan dan mencapai objektif

Belasah penunjuk perasaan: MTUC hantar bantahan kepada Suhakam

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Hrkh) - PAS dan pelbagai pihak yang kesal dengan tindakan kasar polis menyuraikan tunjuk perasaan membantah kenaikan harga bahan api Ahad lepas telah menghantar memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 11 pagi tadi.

Rombongan itu diketuai sendiri oleh Syed Shahir, Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Turut serta adalah Setiausaha Agung MTUC, Rajasegaran, peguam R Sivarasa Rasiah (Parti Keadilan Rakyat), Dr Hatta Ramli (PAS), dan Yap Swee Seng (Suaram).

Memorandum itu disampaikan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramanian dan Dato' Hamdan Adnan.

Polis telah memenuhi perkarangan pejabat Suhakam ketika mereka datang untuk membuat laporan itu.

Turut serta bersama mereka adalah hampir kesemua 22 mangsa yang ditangkap polis kerana menyertai perhimpunan di perkarangan bangunan KLCC 26 Mac lepas.

Mereka ditangkap kira-kira jam 12 tengahari dan dibebaskan dari penjara Pudu yang dijadikan lokap balai polis kira-kira jam 5 petang.

Perhimpunan aman
MTUC telah menganjurkan perhimpunan aman anggota dan keluarga mereka bagi membantah kenaikan harga minyak sebelum menghantar memorandum kepada Perdana Menteri di bangunan Parlimen keesokan harinya, 27 Mac.

Namun polis telah bertindak mengisytiharkan perhimpunan itu perhimpunan haram dan mula mengejar, membelasah dan menangkap mangsa. Turut ditangkap adalah Dr Hatta dan dua anak gadisnya berusia 9 dan 16 tahun.

Pada keesokan harinya, sekali lagi polis menghalang wakil MTUC masuk ke bangunan Parlimen untuk menyampaikan memorandum membantah kenaikan harga minyak itu kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.
Ekoran itu, kira-kira 500 orang telah berarak di tengah-tengah bandaraya dari bangunan Parlimen ke pejabat Suhakam.