Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 29, 2006

Osama arah rempuh White House - Zacarias

ALEXANDRIA 28 Mac - Anggota Al-Qaeda, Zacarias Moussaoui mendakwa Osama bin Laden mengarahkannya menerbangkan sebuah jet penumpang untuk merempuh White House dalam serangan 11 September, 2001.

Zacarias membuat dakwaan itu semalam dalam keterangannya yang menggemparkan mahkamah dan dijangka meningkatkan kemungkinan dia dijatuhi hukuman mati.

'Pengebom kasut' rakyat Britain, Richard Reid dijadual menyertainya dalam serangan itu, kata Zacarias, seorang rakyat Perancis berketurunan Maghribi.

Dia juga mengaku berbohong mengenai pembabitannya ketika ditahan di penjara pada Ogos 2001 bagi membolehkan serangan tersebut diteruskan.

Pengakuannya itu mengukuhkan hujah pendakwa raya bahawa Zacarias wajar menjalani hukuman mati.

Peguam bela, Gerald Zerkin bertanya kepada Zacarias: ''Sebelum awak ditangkap, adakah awak dijadual menjadi seorang juruterbang dalam operasi 11 September?''

''Ya, saya sepatutnya menerbangkan sebuah kapal terbang yang merempuh White House,'' jawab lelaki itu dalam pengakuan terbuka pertamanya bahawa dia menyertai komplot melibatkan 19 perampas lain yang membunuh hampir 3,000 orang.

Panel juri duduk terpegun mendengar jawapan Zacarias apabila dia ditanya oleh Zerkin siapa yang mengarahkannya menerbangkan pesawat ke White House.
''Osama bin Laden,'' jawab Zacarias dengan tenang.

Peguam bela menyatakan Zacarias tidak tahu menahu mengenai komplot 11 September dan dia dianggap sebagai pengacau oleh `pengganas sebenar' dalam Al-Qaeda.

Zacarias memberi keterangan selepas Hakim Leonie Brinkema memberitahu juri mereka boleh mula menimbangkan kes itu pada Jumaat ini.

Juri perlu memutuskan sama ada Zacarias menyebabkan kematian mangsa serangan 11 September dan dengan itu dia patut dikenakan hukuman mati.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home