Scroll images by bigoo.ws

Monday, January 23, 2006

Pinda Perlembagaan: Pemuda PAS adakan roadshow, bermula di KL 25 Januari

Monday, January 23 @ 10:53:28 MYT

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan Road Show Membantah Cadangan Pindaan Fasal 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang hangat diperkatakan sekarang.

Ketua Penerangannya, Mohamed Hanipa Maidin berkata road show yang bakal diadakan di seluruh negara itu dibuat bagi menyatakan bantahan PAS dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam terhadap sebarang cadangan untuk meminda Fasal 121 (1A) yang menyentuh kedaulatan dan martabat Mahkamah Syariah di negara ini. "Majlis pelancaran road show itu akan diadakan pada 25 Januari 2006, jam 9.00 malam bertempat di Dewan Fadzil Mohd Noor, Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur," jelas beliau sebaik selesai mempengerusikan Mesyuarat Lajnah Penerangan Dewan terbabit, petang Khamis lalu. Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kesal dengan sikap tidak peka pihak-pihak tertentu di negara ini yang mempertikaikan bidang kuasa Mahkamah Syariah walaupun ia telah dinyatakan secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, usaha meletakkan Mahkamah Syariah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dengan mengemukakan cadangan agar keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil boleh membawa implikasi buruk terhadap maruah dan kedaulatan undang-undang syariah.
"Jika keputusan Mahkamah Syariah boleh dicabar oleh sesiapa sahaja termasuk mereka yang bukan beragama Islam, ia adalah satu langkah mundur kebelakang yang tidak sanggup dilakukan hatta oleh penjajah British," tegasnya. Beliau mengingatkan pihak-pihak yang lantang mempertikaikan bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya menghormati sensitiviti masyarakat Islam dan status Islam sebagai agama rasmi negara ini. Selain Ketua dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) akan turut berucap dalam majlis tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home