Scroll images by bigoo.ws

Monday, January 23, 2006

Kenyataan Akhbar DPPNPP : Perkara 121 (1A)

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang
1521, Markaz Tarbiyah PAS,
13200 Pongsu Seribu
Kepala Batas, Pulau Pinang.
Kenyataan Akhbar

22 Januari 2006

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kesal dengan tindakan beberapa pemimpin kaum bukan Islam mengemukakan memorandum secara terbuka terhadap peruntukan undang-undang dalam perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Tanpa menafikan bahawa perlaksanaan demokrasi di Malaysia membenarkan mana-mana pihak memberikan pandangan dan cadangan mereka tetapi perlulah disedari bahawa perkara-perkara yang membabitkan agama Islam tidak boleh dipertikaikan sama sekali oleh mana-mana pihak.

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berpandangan bahawa isu yang sangat sensitif dan boleh membawa kepada perbalahan agama serta menggugat keamanan negara ini adalah berpunca daripada kedegilan UMNO yang tidak mahu melaksanakan Islam secara menyeluruh sehingga mereka gagal memahamkan masyarakat bukan Islam di Malaysia ini tentang ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya masyarakat bukan Islam memahami ajaran Islam sebenar khususnya perundangan syariah, sudah pasti isu ini tidak akan berbangkit sama sekali dan masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang berkenaan hak-hak mereka.

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang ingin mengingatkan bahawa sudah tiba masanya UMNO akur dengan sirah Rasulullah s.a.w sewaktu baginda memimpin negara Islam Madinah. Masyarakat yang dipimpin adalah berbilang bangsa dan agama. Namun Baginda diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk memimpin negara berdasarkan Islam dan melaksanakan perundangan Islam keseluruhannya. Rakyat di bawah pemerintahan Baginda yang majoritinya bukan Islam boleh menerima ajaran Islam tanpa perasaan tidak puas hati dan mendakwa bahawa hak-hak mereka terabai.

Rahsia kejayaan Rasulullah s.a.w adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud :
" dan janganlah disebabkan kebencian kamu terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil, berlaku adillah keran adil itu hampir kepada taqwa.. "

(Al-Maidah ayat 8).

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang dengan ini menegaskan bahawa perlunya kepada perlaksanaan undang-undang Islam yang sebenar berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah di negara ini. Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang juga mengajak seluruh masyarakat terutama masyarakat bukan Islam supaya berusaha memahami dan merpercayai ajaran Islam yang sebenar bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia ini dan kehidupan selepas mati.

AZIZI BIN AYOB
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang

0 Comments:

Post a Comment

<< Home