Scroll images by bigoo.ws

Monday, January 23, 2006

Hamas tetap tentang Israel walaupun menang


BANDAR GAZA 22 Jan. - Ketua calon Hamas berkata, pergerakan Islam itu akan meneruskan perjuangan menentang Israel jika kumpulan itu terpilih dalam pilihan raya Parlimen Palestin.

Ismail Haniya, 43, memberitahu AFP bahawa Hamas akan meneruskan perjuangan bersenjatanya sehingga sekurang-kurangnya seluruh bumi Palestin dibebaskan sekiranya kumpulan itu menang dalam pengundian yang berlangsung Rabu ini.

Pusingan awal pengundian bermula lewat semalam dengan 60,000 anggota pasukan keselamatan membuang undi.

``Hamas akan terus bergiat aktif dalam perjuangannya dan juga semasa berada di Parlimen,'' kata Ismail.

Beliau berkata, sebab utama Hamas menyertai proses pengundian itu setelah memulaukan pengundian yang sama pada 1996 adalah untuk ``melindungi hak masyarakat Palestin untuk mempertahankan diri sendiri.

``Jika pendudukan Israel berakhir dan masyarakat Palestin mendapatkan kembali hak mereka dan mempunyai sebuah negara merdeka yang berdaulat dengan Baitulmaqdis menjadi ibu negaranya, maka itulah masanya kami meletakkan senjata,'' tegasnya.

Beliau berkata, negara Palestin yang bakal dibentuk pada masa depan haruslah meliputi ``kesemua tanah Palestin,'' termasuk bumi Israel dan ditadbir di bawah undang-undang Syariah.''
Israel menentang keras penyertaan Hamas dalam pengundian itu dan telah mengharamkan calon-calonnya daripada berkempen di kawasan timur Baitulmaqdis.

Diasaskan pada 1988, Hamas bertanggungjawab di atas kebanyakan daripada serangan berani mati yang dilancarkan di bumi Israel.

Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menganggap Hamas sebagai sebuah pertubuhan pengganas walau pun sayap-sayap bukan tenteranya banyak terlibat dalam kerja-kerja kebajikan. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home