Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 28, 2006

Dilema baru Arroyo, Thaksin

MANILA 26 Feb. - Pihak berkuasa Filipina hari ini memberi amaran akan melakukan lebih banyak tangkapan di kalangan mereka yang terlibat dalam cubaan merampas kuasa minggu lalu.

Amaran itu dikeluarkan ketika pihak pembangkang membuat persediaan untuk memulakan usaha di mahkamah bagi mencabar perintah darurat yang diisytiharkan oleh Presiden Gloria Arroyo.

Dalam satu pertemuan di sini hari ini, para pegawai tinggi telah membincangkan cara-cara untuk ''mengenal pasti perancang-perancang yang terlibat dalam pakatan itu,'' kata jurucakap tentera, Kolonel Tristan Kison.

Pengawal-pengawal presiden masih mengekalkan kawalan ketat di sekeliling Istana Malacanang dengan kesemua laluan masuk utama disekat sejak Jumaat lalu.

Arroyo mendakwa sekumpulan pegawai tentera yang memberontak telah membentuk sebuah perikatan dengan komunis sebagai satu taktik untuk menggulingkan kerajaan.

Sementara itu, pemerintah askar Marin Filipina telah dilepaskan daripada tugasnya hari ini selepas disyaki menyokong kumpulan yang mahu merampas kuasa.

Seorang jurucakap Marin mengesahkan, Mejar Jeneral Renato Miranda telah melepaskan jawatannya, tetapi menegaskan di televisyen bahawa tindakannya merupakan rutin pertukaran dalam struktur unit elit tersebut.

Bagaimanapun seorang pegawai kanan tentera memberitahu, penyingkiran Miranda itu berpunca daripada pembabitannya dalam komplot menggulingkan Arroyo.

''Lebih banyak perubahan dalam tempoh beberapa hari. Siasatan kami masih diteruskan,'' katanya.

Dalam pada itu, Arroyo dilaporkan bersiap sedia untuk menghadapi cabaran undang-undang selepas mengisytiharkan perintah darurat untuk menggagalkan cubaan merampas kuasa.

Sekumpulan peguam yang mewakili pembangkang merancang untuk berada di mahkamah minggu ini bagi mencabar kesahihan kuasa darurat yang diisytiharkan oleh Arroyo, kata peguam Romeo Capulong dari Pusat Undang-Undang Untuk Kepentingan Rakyat.

Capulong, turut juga mewakili ahli Parlimen Crispin Beltran, salah seorang daripada tiga tokoh pembangkang yang ditangkap semalam, berkata, perisytiharan Arroyo ``jelasnya bertentangan dengan Perlembagaan Filipina.''

Presiden Dewan Senat, Franklin Drilon memberi amaran kepada Arroyo kuasa daruratnya tidak membenarkan beliau menyekat kebebasan awam.

''Tujuan sebenar Presiden Arroyo bertindak demikian adalah untuk melenyapkan kritikan,'' kata Drilon.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home