Scroll images by bigoo.ws

Sunday, February 05, 2006

HUKUM SYARAK LEBIH TINGGI DARI PERLEMBAGAAN NEGARA - MUHAMAD BUROK

MELAKA 4 FEB : Presiden Persatuan Peguam-Peguam Syarie Malaysia, Tuan Haji Muhamad Burok menyatakan bahawa Hukum Syarak sepatutnya diletakkan lebih tinggi dari Perlembagaan Negara. "Ini tidak, perlembagaan negara menyatakan bahawa sebarang undang-undang bertulis yang dibuat selepas merdeka yang bertentangan dengan perlembagaan adalah terbatal sekiranya ia bercanggah dengan perlembagaan negara" kata beliau yang juga merupakan peguam syarie terkenal di Malaysia.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan memperkasakan Mahkamah Syariah agar ianya setanding dengan Mahkamah Sivil. "Apa yang kita lihat pada hari ini mahkamah sivil lebih diutamakan dari mahkamah syariah.

Sedangkan sepatutnya semua kesalahan orang islam sepatutnya di bicarakan di Mahkamah Syariah" jelas Hj Muhamad Burok ketika menyampaikan taklimat tentang Perkara 121 (1A) Perlembagaan negara di Pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok malam tadi ( Jumaat - 3 Februari 2006 ).

Dalam kes Allahyarham Mohamad Abdullah pula beliau melahirkan kesyukuran dengan keputusan yang dibuat oleh hakim. Namun demikian beliau kesal dengan usaha yang dibuat oleh pihak keluarga Allahyarham yang tidak menghormati keputusan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi yang telah dibuat, apabila pihak terbabit telah menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan."Sepatutnya mereka hendaklah menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa Allahyarham adalah beragama Islam.

Kita bimbang jika sekiranya keluarga beliau ini dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi" jelas beliau bersungguh-sungguh."Keluarga Allaryarham sepatutnya menyertakan afidavit dan hujah-hujah mereka jika sekiranya benar Allahyarham bukan beragama Islam dan mereka sepatutnya mengemukakannya di Mahkamah Syariah tempohari." jelas beliau lagi.

Haji Muhamad juga kesal dengan pengakuan isteri Allahyarham Mohamad, Kaliammal yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah diberitahu oleh mana-mana pihak bahawa Allahyarham telah memeluk Islam."Mana mungkin isterinya tidak tahu sedangkan pihak Kementerian Pertahanan telah memaklumkan kepada beliau ketika Allahyarham koma, iaitu sebelum Allahyarham meninggal dunia lagi" jelas Hj Muhamad Burok.

Beliau juga menjelaskan bahawa orang-orang bukan Islam sebenarnya dibenarkan untuk menjadi saksi dan boleh mengemukakan afidavit di Mahkamah Syariah. Ini dibuktikan di dalam kes Nyonya Tahir di mana anak-anak Nyonya Tahir dijemput untuk memberikan keterangan dan mereka juga mengemukakan afidavit yang menyatakan Nyonya Tahir telah murtad."Siapa kata orang bukan Islam tak boleh hadir di Mahkamah Syariah" tanya Hj Muhamad dengan tegas.

Sementara itu anak Nyonya Tahir, Kwai Ying gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban yang memutuskan mendiang Nyonya seorang bukan Islam dan mayatnya diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha. Suri rumah itu berkata, ahli keluarganya lega kerana isu status agama ibunya selesai selepas empat hari keluarganya hidup dalam kerisauan berikutan tidak dapat menuntut mayat Nyonya di Hospital Tampin.

Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) juga banyak membantu dengan memberi nasihat kepada ahli keluarganya ketika menghadapi kesukaran untuk menuntut mayat ibunya. “Kami syukur dan berterima kasih pada mahkamah. Jabatan agama (Jains) juga banyak tolong selesaikan masalah ini dengan baik dan harmoni,” katanya.

Kwai Ying adalah antara lapan anak mendiang Nyonya yang hadir pada sesi permohonan ex-parte (sebelah pihak) perisytiharan Islam yang dibuat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Jains dan Pengarah Jains, Datuk Zaharuddin Mohd Sharif. Permohonan itu dibuat bagi mengesahkan status agama Nyonya, 89, yang berasal dari keturunan Melayu Islam dan menggunakan nama Melayu mengikut kad pengenalannya tetapi mengamalkan cara hidup dan beragama Buddha selama lebih 80 tahun.

Pada sidang mahkamah semalam, semua anak mendiang Nyonya ditemani empat cucunya hadir di mana Kwai Ying dan adiknya, Chiang Ah Fatt, 40, memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah. Selesai urusan di mahkamah, ahli keluarga mendiang Nyonya pergi ke Hospital Tampin bagi menuntut mayat yang ditahan di hospital berkenaan apabila Jains mendapatkan perintah Mahkamah Syariah, Jumaat lalu, bagi menahannya pengkebumiannya sehingga status agamanya disahkan.

Zaharuddin yang turut ke Hospital Tampin, menyerahkan surat perintah mahkamah kepada anak bongsu Nyonya, Ah Fatt kira-kira jam 5.50 petang semalam. Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron turut menyerahkan surat kematian dan surat kebenaran pengebumian kepada Ah Fatt.

Mendiang Nyonya dibawa ke Tanah Perkuburan Cina Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan mengikut adat dan upacara Buddha. Sementara itu, peguam syarie pemerhati bagi keluarga Nyonya, Koo Chin Nam yang ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah enggan mengulas lanjut keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, semalam. Menurutnya, Mahkamah Tinggi Syariah sudah memutuskan Nyonya bukan tergolong sebagai orang Islam, menganuti agama Buddha dan tidak boleh dikebumikan mengikut cara Islam. “Saya tidak mahu ulas panjang kerana suasana politik sekarang tidak begitu sesuai, nanti boleh mencetuskan kontroversi sekali lagi,” kata Pengerusi MCA Putrajaya merangkap Timbalan Pengerusi Biro Agama MCA Pusat itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home