Scroll images by bigoo.ws

Sunday, February 05, 2006

Umpama `menyimbah petrol ke dalam api' - Peter Mandelson

PARIS 3 Feb. - Kontroversi berlarutan penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad oleh akhbar-akhbar Eropah telah mendedahkan jurang luas antara nilai agama Islam dan prinsip kebebasan akhbar Barat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan yang memberi penekanan terhadap pertelagahan yang timbul telah merayu semua pihak bertenang.
Sesetengah akhbar di Eropah yang menerbitkan kartun ini sudah meminta maaf tetapi tetap mempertahankan hak kebebasan bersuara dalam sebarang subjek, sama ada dalam editorial atau kartun politik.

''Kami tidak faham logik pihak berkuasa Denmark enggan memohon maaf mempergunakan ''kebebasan bersuara'' apabila mereka tahu berjuta- juta umat Islam sanggup berkorban maruah agama dan nabinya,'' kata pemimpin pergerakan Hizbullah di Lebanon, Sheikh Hassan Nasrallah.

''Ia bukan persoalan kebebasan memberikan pandangan atau kepercayaan, ia adalah konspirasi terhadap Islam yang dilakukan sejak bertahun-tahun,'' menurut ruangan editorial akhbar Mesir, Al- Gomhurriya.

Tindakan menyiarkan kartun tersebut turut mendapat kecaman daripada umat Islam berfahaman sederhana yang menyokong prinsip kebebasan media.

''Seseorang ada hak untuk meluahkan pendapat mengenai Islam melalui kata-kata, tetapi menggunakan karikatur, seseorang bukan mengkritik tetapi mencetuskan provokasi dan melukakan,'' komen David Munir, seorang sheikh masjid utama di Lebanon.

Para pengkritik dan pengulas Barat pula menegaskan bahawa salah satu asas komen terbuka adalah untuk mencetuskan provokasi.

''Umat Islam perlu bertoleransi terhadap satira sebagaimana orang Kristian dan Yahudi,'' kata ketua blok Hijau dalam Parlimen Jerman, Volker Beck.

Jurucakap Kofi Annan, Stepahne Durjarric dalam kenyataan berkata, kebebasan akhbar perlu diamalkan dengan mengekalkan penghormatan kepada agama dan kepercayaan.

''Setiausaha Agung PBB percaya perkara penting adalah mengatasi salah faham dan perasaan marah antara penduduk berlainan kepercayaan dan tradisi budaya melalui dialog aman dan rasa hormat,'' kata Durjarric.

Sementara itu Pesuruhjaya Perdagangan Kesatuan Eropah, Peter Mandelson berkata, tindakan akhbar yang menyiarkan kartun itu seumpama ''menyimbah petrol ke dalam api'' dan sangat ''provokatif.''

''Saya anggap mereka sebagai kasar dan keanak-anakan dan saya fikir, dalam kes kartun ini, mereka melakukan kesalahan,'' ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home