Scroll images by bigoo.ws

Saturday, February 04, 2006

Tidak setuju dengan PM: 9 menteri wajar letak jawatan - pensyarah

KOTA BHARU, 3 Feb (Hrkh) – Seorang pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa berpendapat adalah menjadi satu kewajaran bagi sembilan menteri bukan Islam yang menghantar memorandum kepada Perdana Menteri baru-baru ini meletak jawatan.

Ini kerana katanya, mereka sudah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang ada sekarang. Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, tindakan yang dilakukan sembilan menteri bukan Islam baru-baru ini adalah sesuatu yang cukup pelik.

“Mereka sepatutnya meletak jawatan seperti pernah dilakukan Dato’ Asri Muda meninggalkan kerajaan kerana tidak puas terhadap satu undang-undang yang diluluskan ketika itu. Itu adalah satu contoh terbaik boleh diikuti mana-mana menteri yang tidak berpuas hati,” katanya pada Wacana Undang-undang Keluarga Islam dan Isu Semasa di Balai Islam, malam kelmarin.

Wacana tersebut dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik). Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota Exco, Ustaz Hassan Mohamood dan Pengarah Jaheaik, Dato’ Ismail Latif.

Sebelum ini sembilan menteri termasuk Dato’ Seri Samy Vellu, Dato’ Seri Ong Ka Ting, Dato’ Seri Chan Kong Choy, Dato’ Dr Chua Soi Lek dan Dato’ Seri Dr Lim Keng Yaik menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi meminta perlembagaan sedia ada dipinda untuk memastikan hak orang bukan Islam di negara ini lebih terpelihara.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, sembilan menteri bukan Islam terbabit menarik balik memorandum tersebut. Isu itu timbul selepas berlaku kontroversi pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohamad Abdullah memeluk Islam sebelum kematiannya tanpa pengetahuan isterinya yang masih beragama Hindu.

Dr Abdul Aziz berkata, setiap menteri atau anggota Exco yang berada di dalam kerajaan perlu menerima keputusan yang dibuat pemimpin dan sekiranya tidak bersetuju mereka sewajarnya meletak jawatan.

Menurutnya juga, bagi memastikan orang bukan Islam mendapat keadilan terhadap kes yang dibincang di Mahkamah Syariah, ia tidak perlu melibatkan pindaan kepada perlembagaan Persekutuan. Malah ia sekadar masalah teknikal.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan pemimpin kerajaan yang menganggap isu murtad tidak mengancam keselamatan negara. Sebaliknya kata beliau, isu tersebut boleh mencetus suasana tidak harmoni kerana orang Islam merasakan sudah tidak selamat lagi.

Seorang peguam, Kamal Aniah Kamarulzaman berkata, Persatuan Peguam Syarie Malaysia memberi amaran kepada orang bukan Islam yang cuba campur tangan terhadap bidang kuasa agama yang diletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu.

Menurutnya juga, orang bukan Islam semakin berani menyentuh hal ehwal agama Islam kerana dasar terbuka tidak kena tempat yang diamalkan di era Islam Hadhari sekarang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home