Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 28, 2006

'Kehendak Islam boleh dicapai melalui perlembagaan'

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Kehendak Islam boleh dicapai melalui Perlembagaan dan undang-undang Malaysia yang ada sekarang, kata ahli panel dan para peserta Wacana Kedudukan Islam dan Perlaksanaan Perundangan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan di sebuah hotel di sini yang dianjurkan Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP).

Ahli panel tersebut adalah peguam veteran Haji Muhamad Buruk, Haji Sulaiman Abdullah dan pakar perlembagaan, Profesor Dr.Aziz Bari.

Mereka berpendapat perlaksanaan undang-undang jenayah Islam, yakni hudud dan qisas masih boleh dilaksanakan melalui karangka perlembagaan dan undang-undang negara yang ada sekarang.

Bagaimanapun, kata mereka, beberapa penyesuaian dalam bentuk pindaan dan pengkanunan undang-undang baru perlu dan ini mengambil masa.

"Bagaimanapun dalam hal-hal yang lebih kecil dan prasarananya telah sedia wujud, pelaksanaannya belum mencukupi. Contoh yang agak baik ialah undang-undang mengawal gejala murtad. Belum semua negeri telah meluluskan enakmen untuk menyelesaikan masalah berkenaan, meskipun ia telah sedia dibenarkan oleh perlembagaan sejak merdeka lagi," kata Dr. Dzulkifly Ahmad, Pengarah PPP ketika membentangkan kertas pendahuluan kepada wacana tersebut.

Ketiga-tiga ahli panel berhujah bahawa jika diteliti dengan mendalam, jelas tidak ada sebab perundangan Islam tidak boleh diterapkan dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

"Malahan jika diteliti sunguh-sungguh, tafsiran Islam Sebagai Agama persekutuan menyediakan ruang luas untuk menerapkan perundangan Islam dan ia tidak bercanggah antara satu sama lain," kata mereka.

Ini, kata mereka, bergantung kepada persediaan dan keberanian pihak yang mahu menerapkan undang-undang Islam dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasarudin Mat Isa dalam ucapan perasmiannya berkata, apabila beliau berada di luar negara, satu hal yang sering ditanya kepadanya ialah model negara Islam yang mana hendak diikut oleh PAS jika memerintah, ikut Iran, Arab Saudi, Pakistan? "Saya jawab kita akan guna pendekatan kita sendiri."

Katanya, banyak isu terkini melanda umat Islam, satu persatu. Semua isu ini, kata Nasarudin memerlukan jawapan yang cepat dan tepat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home