Scroll images by bigoo.ws

Sunday, February 05, 2006

PM jangan calarkan imej anda!

NAIB PRESIDEN PAS, HAJI MOHAMAD SABU menyeru Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menghentikan retoriknya mengenai "Keadilan Untuk Semua" selagi keadilan yang paling asas iaitu hak demokratik rakyat terus dinafikan.

"Pilihan Raya yang adil dan bersih dari penipuan, penyelewengan dan tekanan adalah hak seluruh rakyat negara ini.Buat apa Perdana Menteri bercakap mengenai keadilan untuk semua sedangkan berjuta-juta rakyat masih lagi tidak mendapat keadilan yang paling asas itu?" soal beliau.

"Dengan ikhlas saya menyeru Perdana Menteri menghentikan kehebohan mengenai keadilan untuk semua supaya dunia tidak memandang sinis kepadanya dan negara kita.

Itu belum diambil kira peringatan Allah supaya berlaku adil walaupun kepada orang yang tidak disukai," katanya.

Naib Presiden PAS itu turut mempersoalkan apakah perasaan Perdana Menteri di hadapan seluruh dunia apabila berlakunya kes penipuan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir, Kelantan baru-baru ini di mana di Peti Undi Banggol Chica sahaja terdapat 13 orang yang disahkan mati didapati mengundi.

"Kita buat bantahan kepada petugas SPR tentang orang yang ada dalam senarai mati datang mengundi tetapi diizinkan orang itu mengundi.

"Bagaimana pula kes pengundi yang tidak dapat mengundi kerana orang lain telah mengundi untuk mereka?

"Bagaimana dengan 70 nama pengundi yang tidak dikenali langsung pemilik rumah yang alamat mereka digunakan dan apabila dibangkitkan PAS dalam pertemuan dengan SPR, beberapa hari sebelum mengundi, protes itu ditolak begitu sahaja.

"Bagaimana pula dengan sekurang-kurangnya tiga orang yang berjaya ditangkap oleh PAS kerana mengundi lebih dari sekali?

Saya sendiri berada di tempat kejadian, mereka ditangkap kerana mengundi di tempat yang sama.

"Bagaimana kalau mengundi di tempat yang berlainan? Misalnya pagi di Banggol Chica, tengahari di Kubang Gatal dan petangnya di Kapung Dangar?" soal Mohamad Sabu.

Perkara-perkara tersebut menurutnya adalah pencabulan prinsip keadilan yang amat serius dan selagi perkara yang paling asas dalam prinsip keadilan demokrasi itu tidak diperbetulkan, janganlah memalukan diri dan negara sendiri dengan bercakap mengenai keadilan untuk semua.

"Ini belum lagi kita bangkitkan soal pengagihan kekayaan. Bagaimana seorang anak muda yang hanya beberapa tahun mengahwini anak PM sudah mempunyai aset berjuta-juta ringgit?"

"Tidak salah jika melalui cara-cara yang sah disisi agama dan undang-undang. Yang kita persoalkan ialah proses mencipta kekayaan dan taraf sebagai jutawan itu. Adakah selaras dengan prinsip keadilan untuk semua?, tanyanya lagi.

Beliau seterusnya menyeru Abdullah supaya jangan memandang ringan perkara tersebut jika beliau tidak mahu rakyat menarik balik imejnya sebagai 'Mr Clean'.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home