Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 28, 2006

20 pengikut Muqtada dibunuh

BAGHDAD 27 Mac - Para pembantu kepada ulama radikal Syiah, Muqtada al-Sadr semalam melaporkan 20 orang pejuangnya dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Iraq dalam satu serangan di sebuah masjid Syiah di timur Baghdad.

Ketua pejabat Muqtada di Baghdad, Abdul-Zahra al-Suaidi berkata, mangsa-mangsa itu terkorban apabila tentera AS dan Iraq melepaskan tembakan ke atas Masjid Al-Moustafa yang sering dikunjungi oleh pengikut-pengikut Muqtada di daerah Ur.

Polis Iraq pula memberitahu, 22 orang terbunuh dalam serangan itu manakala tentera AS mendakwa 16 orang dibunuh oleh pasukan khas Iraq dengan bantuan askar-askar AS.

''Tiada mana-mana masjid diceroboh atau mengalami kerosakan dalam serangan itu,'' kata tentera AS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sekurang-kurangnya lima jam selepas insiden itu berlaku.

''Askar-askar daripada Briged Pasukan Operasi Khas Pertama Iraq diserang sewaktu mereka masuk ke kawasan itu.

''Askar-askar Iraq telah membunuh 16 gerila dan menahan 15 yang lain,'' menurut kenyataan itu.

Leftenan Hassan Hmoud daripada pasukan polis Iraq meletakkan angka kematian itu kepada 22 orang, dengan lapan lagi cedera.

Beliau berkata, beberapa orang mangsa yang terbunuh itu berada di pejabat Pertubuhan Iraq-Parti Dawa Islam dekat masjid itu.

Insiden tersebut bermula apabila tentera AS diserang oleh sebuah kumpulan yang tidak dikenali dari arah masjid dan pejabat parti itu, katanya.

Ahli Parlimen Syiah Iraq yang juga jurucakap parti, Khudayer al-Khuzai berkata, 15 anggota parti itu ''sedang menghadiri satu mesyuarat kebudayaan'' di sebuah pejabat dekat masjid Syiah tersebut.

Khudayer menambah, beliau telah mengadu tentang kejadian itu kepada Perdana Menteri Ibrahim al-Jaafari yang berjanji akan menjalankan siasatan.

Justeru, Gabenor wilayah Baghdad, Hussein al-Tahan hari ini mengumumkan, penggantungan semua kerjasama dengan pasukan tentera Amerika Syarikat sehingga satu siasatan bebas dijalankan terhadap kejadian itu.

Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, sebanyak 30 orang terbunuh dalam letupan bom di pangkalan tentera bersama AS-Iraq di Mosul, hari ini.

Sumber Kementerian Dalam Negeri berkata, serangan itu disasarkan kepada rekrut tentera Iraq dan dilakukan oleh pengebom berani mati yang mengikat bahan letupan pada badannya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home