Scroll images by bigoo.ws

Thursday, March 16, 2006

Syor berjimat: PAS pertikai penganjuran Formula 1

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Hrkh) - PAS mempertikaikan tindakan kerajaan menggunakan wang keuntungan syarikat gergasi petroleum, Petronas menaja Formula Satu dunia Grand Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang pada masa kehidupan rakyat tertekan dengan kenaikan harga minyak.

Timbalan Presidennya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mendesak Petronas bersikap tegas mengambil semula keuntungannya yang diambil oleh kerajaan sebaliknya digunakan untuk kepentingan rakyat.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, kerajaan pula perlu menurunkan harga minyak yang dinaikkan sebanyak 30 sen seliter kepada harga asal.

Katanya, penurunan harga minyak itu perlu disegerakan memandangkan kehidupan rakyat bertambah tertekan dengan kemungkinan kenaikan harga barang-barangan keperluan.

Beliau mempersoalkan dalam suasana rakyat menderita mengapa masih lagi keuntungan Petronas digunakan untuk menaja Formula Satu dunia di Litar Sepang.

Menurut beliau, PAS akan meneruskan bantahan dan mendesak kerajaan supaya menurunkan harga minyak dengan moto 'Protes sampai turun'.

Katanya, perhimpunan aman yang terdekat ini pada 26 Mac ini dan PAS dimaklumkan perhimpuan itu akan dianjurkan oleh MTUC.

Mengulas mengenai tuntutan pengusaha bas ekspres yang mahu menaikkan tambang bas, katanya, itu merupakan kesan awal daripada kenaikan harga minyak.

Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa tuntutan pengusaha bas itu memang wajar memandangkan mereka menggunakan sumber minyak untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Walaupun kita sebagai pengguna kita tetap akan menanggung kesan kenaikan minyak dan kenaikan itu akan terus menyusahkan hidup rakyat," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home