Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 28, 2006

Pembangkang tolak tawaran Thaksin

BANGKOK 27 Mac - Parti-parti pembangkang utama Thailand hari ini menolak tawaran Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan negara selepas pilihan raya 2 April ini dalam usaha menamatkan krisis politik yang berlarutan.

''Saya fikir tawaran ini satu gurauan Thaksin,'' kata jurucakap bagi Parti Demokrat, Ong-Ard Klampaiboon yang memboikot pilihan raya pada hujung minggu depan kerana menganggapnya tidak bebas atau adil.

''Objektif Thaksin hanya untuk mengadakan pilihan raya tanpa perlu memikirkan soal sama ada pilihan raya itu kotor atau tidak,'' katanya.

Thaksin mengadakan pilihan raya itu tiga tahun lebih awal sebagai percubaan untuk mematahkan kempen penunjuk perasaan yang hendak menyingkirkan beliau.

Beliau membuat tawaran itu malam tadi dengan berkata, pembangkang akan memegang jawatan kanan dalam kerajaan perpaduan negara sekalipun jika mereka tidak menyertai pilihan raya.

Belum ada reaksi daripada Parti Matachon yang turut memboikot pilihan raya itu tetapi pegawai Parti Chart Thai menolak tawaran daripada Perdana Menteri yang mereka tuduh terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

''Ini khayalan Thaksin,'' kata timbalan pemimpin parti, Somsak Prisnanantakul kepada sebuah stesen radio di Bangkok.

''Dia memang korup dan dia cuba mengheret semua orang lain menjadi korup seperti dia.''
Walaupun Thaksin sangat popular di kalangan penduduk kampung Thai, sebilangan kerusi Parlimen dijangka tidak dapat diisi sedangkan di bawah perlembagaan negara ini, semua kerusi mesti diisi sebelum kerajaan boleh dibentuk.

Sementara itu, pilihan raya Thailand pada hujung minggu ini kemungkinan tidak dapat mengisi kesemua kerusi di Parlimen yang menimbulkan keraguan sama ada Perdana Menteri baru boleh dilantik.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya (EC), Ekachai Waroonprapa berkata, pengundian pada Ahad ini kemungkinan tidak akan mengisi kesemua 500 kerusi seperti yang dikehendaki oleh undang-undang untuk mengesahkan Perdana Menteri baru.

''Adalah tidak mungkin kita akan mendapat Ahli Parlimen yang mencukupi selepas pilihan raya kerana hanya sebilangan kecil calon sahaja yang bertanding.

''Kami telah bersedia dengan beberapa pilihan untuk menghadapi apa jua keputusan,'' katanya.
Ekachai berkata demikian sebelum mempengerusikan mesyuarat EC yang dijangka memuktamadkan persiapan pengundian Ahad ini dan menetapkan butiran sekiranya keputusan pilihan raya gagal membentuk Parlimen.

Suruhanjaya itu telah melarang kira-kira satu pertiga daripada 941 calon daripada bertanding kerana gagal mencapai keperluan minimum untuk berbuat demikian.

Perdana Menteri Thaksin Shinawatra telah memutuskan untuk mengadakan pilihan raya tiga tahun lebih awal dengan harapan dapat mengendurkan protes jalanan selama berminggu-minggu yang menuntut beliau meletakkan jawatan atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home