Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 28, 2006

Pilihan raya Israel: Olmert di ambang kemenangan

BANDAR GAZA 27 Mac - Pemangku Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert hari ini berada di ambang kemenangan dalam pilihan raya umum yang bakal memberi mandat kepada beliau untuk menetapkan sempadan terakhir Israel tanpa melalui proses rundingan dengan Palestin.

Olmert yang mengambil alih kuasa apabila Perdana Menteri Ariel Sharon mengalami strok 12 minggu lalu, dijangka menewaskan lawannya sebelum memulakan tugas besar untuk menetapkan sempadan terakhir Israel dan mengasingkan negara Yahudi itu sepenuhnya daripada penduduk Palestin.

Tinjauan terakhir sebelum pengharaman terhadap kempen di media mula berkuat kuasa hari ini menunjukkan, Parti Kadima pimpinan Olmert mendahului lawan dengan membolot 34 kerusi di Parlimen 120 anggota itu, kurang sedikit daripada jumlah yang ditunjukkan dalam tinjauan sebelum ini.

Pesaing utama, Amir Peretz daripada Parti Buruh mengakui beliau tidak berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri manakala Pengerusi Parti Likud (bekas parti pemerintah), Benjamin Netanyahu kini berdepan dengan prospek kekalahan memalukan.

Parti Buruh dijangka memenangi 19 kerusi tetapi tinjauan yang disiarkan oleh televisyen Channel Two itu meramalkan parti pelampau berhaluan kanan, Yisrael Beitenu mungkin menyingkirkan Likud sebagai blok ketiga terbesar di Parlimen.

Likud yang memenangi pilihan raya umum lalu pada 2003 dengan 38 kerusi diramalkan meraih hanya 12 kerusi berbanding 15 kerusi untuk Yisrael Beitenu.

Olmert yang bertekad untuk memenangi mandat cukup besar bagi melaksanakan rancangan penetapan sempadan itu menjelang 2010, merayu kepada rakyat Israel semalam supaya keluar menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi.

Menurut sistem pengundian Israel, tidak ada parti yang boleh berharap untuk membentuk kerajaan secara bersendirian tetapi Olmert mungkin mampu mengetepikan Buruh dan Likud daripada kerajaannya sekali gus menguasai semua kementerian utama.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home