Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 28, 2006

Polis guna anjing, `water canon' dan kuda

'Protes sampai turun' itulah mesej utama perhimpunan aman yang dilakukan di hadapan bangunaan KLCC bermula jam 10.10 pagi hingga 12.45 tengahari. Bagaimanapun, polis simpanan persekutuan (FRU) telah menyuraikan perhimpunan aman itu dengan tembakan `water canon' dan hentaman rotan oleh polis berkuda.

Sebelum perhimpunan itu dimulakan, penulis sempat mengelilingi bangunan KLCC dan apa yang menarik, pihak polis telah mengunci semua pintu masuk bangunan KLCC, hanya pintu bahagian tertentu sahaja dibuka dan ada polis yang mengawal di pintu berkenaan.

Perhimpunan aman anjuran MTUC turut dihadiri NGO's lain seperti Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamod, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan pimpinan lain.

Ketika mereka sedang berbincang tiba-tiba Pemangku Ketua Polis, Balai Polis Dang Wangi, Mohd Razi Ismail memberi amaran supaya perhimpunan itu disuraikan atas alasan perhimpunan tidak mendapat sebarang permit.

Mohd Razi memberi tempoh selama 10 minit untuk pimpinan NGO's memberi arahan kepada pendemo supaya bersurai. Serentak dengan amaran daripada pihak polis itu, pendemo telah melepaskan belon berwarna hitam ke udara.

Polis kena 'boo'
Semua pimpinan PAS dan NGO's menggunakan tempoh selama 10 minit untuk berucap. Tepat jam 10.20 pagi Mohd Razi memberi amaran lagi; `bersurai dengan aman!', kalau tidak kami akan suraikan dengan kekasaran! Amaran itu disambut dengan (boo oleh pendemo). Ketika itu FRU mendapat arahan daripada Ketuanya supaya bersiap sedia untuk melakukan serangan.

Dengan amaran tersebut sebahagian daripada pendemo telah bersurai dan bergerak ke hadapan Angkasa Raya. Pimpinan yang ada ketika itu, Dr Hatta Ramli, Ketua Wanita KeADILan, Fauziah Salleh serta wakil NGO's lain.

Dalam perhimpunan itu, Dr Hatta yang membawa dua orang anaknya berucap, lebih 45 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan bawah RM1500. Mereka menderita apabila kerajaan telah menaikkan harga minyak. Beliau mempersoalkan, apakah ini balasan kerajaan BN terhadap rakyat yang telah memberi kemenangan besar dalam pilihan raya umum lalu.

Laungan `turun-turun harga minyak, hidup rakyat, jatuh BN' sering kedengaran. Kenderaan yang lalu lalang di situ turut memberi sokongan kepada pendemo dengan memberikan hon yang bertalu-talu.

BN menggelabah
Fauziah turut berucap, inilah kebodohan BN lepas naikkan harga minyak pimpinan BN menggelabah. Mereka naikkan harga minyak tetapi dalam masa yang sama memberi amaran supaya harga barang-barangan keperluan tidak perlu dinaikkan.

"Pimpinan BN tipu rakyat, harga minyak dunia tidak naik tetapi harga minyak kita naik," katanya ketika diberi peluang untuk berucap di hadapan bangunan Angkasa Raya. Perhimpunan itu kembali semula ke hadapan KLCC. Kelihatan Dr Hatta telah memakai t'shirt dengan label 'Protes sampai turun' sambil memimpin anak kecilnya, Amirah, 9 tahun.

Sepanjang perjalanan menuju ke hadapan KLCC, beliau menyuarakan protes; `turun-turun harga minyak', jalan-jalan jangan takut, lawan tetap lawan', kerana ketika itu FRU telah bergerak dan menuju ke arah pendemo.

Apabila beliau dan pendemo yang lain tiba di hadapan KLCC mereka yang setia menanti di hadapan KLCC menyambut mereka dengan bertepuk tangan. Sepintas itu, FRU telah melakukan serangan dan menyerbu ke hadapan pintu utama KLCC manakala 'water canon' melepaskan semburan ke arah pendemo yang lari ke jalan raya.

FRU terus mengejar dengan menjerit, 'bersurai, bersurai, bersurai' disamping melakukan keganasan menangkap pendemo. Seorang pendemo ditangkap di hadapan pintu utama KLCC oleh empat polis (SB) diikuti dengan tujuh tangkapan lain. Polis turut menggunakan khidmat dua ekor anjing untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.

Polis bertindak kasar
Lapan orang pendemo ditahan dan digari dengan plastik mengikat barang. Seorang tahanan mengerang kesakitan; "Tolong darah saya tak jalan ni, (sambil menunjukkan kedua tangannya yang digari) tangan saya dah kebas ni..," seorang tahanan mengerang kesakitan minta belas ikhsan daripada polis supaya melonggarkan ikatan tersebut.

Mohamad Sabu, Setiausaha DAP, Lim Guang Eng, Tian Chua, Sivarasa turut berada di tempat tahanan tersebut. Mereka mengadakan perbincangan dengan pihak Polis supaya FRU tidak terus melakukan keganasan dan menangkap pendemo tetapi pihak polis tidak mengendahkan permintaan tersebut. Sebaliknya mereka diminta bersurai oleh pihak polis.

Setiausaha MTUC, Rajasekaran ketika ditemui, berjanji akan menggunakan khidmat peguam bagi melepaskan tahanan yang dibawa ke balai polis. Beliau berkata, sepatutnya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) perlu masuk campur dalam hal bantahan rakyat terhadap kenaikan harga minyak.

Lim Guang Eng kesal dengan tindakan pihak polis yang melakukan serangan terhadap para pendemo di hadapan KLCC yang merupakan simbol kebanggaan Malaysia.
"Kami datang untuk menyokong usaha NGO's memprotes kenaikan harga minyak, sekarang telah disuraikan secara paksaan oleh polis. Kerajaan memang tidak ambil berat dengan rintihan rakyat terhadap kenaikan harga minyak," katanya.

Mohamad Sabu turut kesal dengan keganasan yang dilakukan oleh FRU katanya, PM (Abdullah Ahmad Badawi) tidak membuat apa-apa perubahan terhadap cadangan dalam Suruhanjaya Penambahbaikan Polis bahkan serupa tindakannya.

Katanya, isu ini merupakan isu yang melibatkan rakyat tetapi pasukan polis telah bertindak kasar dalam menghadapi perhimpuanan aman.

Serang lagi
Jam 11.58 FRU melakukan satu serangan lagi dengan memaksa kumpulan orang ramai yang berada di hadapan Avenue K bersurai. Trak `Water canon' dan lapan orang pasukan polis berkuda turut menjerit ke arah orang ramai supaya bersurai.

Ketika itu Dr Hatta yang berada dalam perhimpunan di Jalan Ampang berhampiran dengan Ampang Park telah ditangkap bersama dua orang anaknya serta AJK Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi serta dua orang pendemo.

Dr Hatta bersama dua orang anaknya dan Athirah telah dibawa ke balai polis Jalan Pudu menggunakan dua buah kereta polis yang berasingan. Manakala pendemo yang lain di bawa ke balai polis menaiki trak polis

0 Comments:

Post a Comment

<< Home