Scroll images by bigoo.ws

Sunday, January 22, 2006

Kerapuhan Islam Umno punca bukan Islam buat tuntutan bukan-bukan

Sunday, January 22 @ 16:01:12 MYT

KOTA KINABALU, 22 Jan (Hrkh) - Tindakan anggota Kabinet bukan Islam menghantar memorandum mengenai semakan semula Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan kerajaan merupakan satu lagi manifestasi terhadap keengganan dan penolakan sistem Islam yang syumul dan menyeluruh oleh Kerajaan Umno dan BN daripada dilaksanakan di negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah Hj Hamzah Abdullah dalam satu kenyataan di sini berkata, keberanian anggota kabinet berkenaan adalah disebabkan longgarnya bidang kuasa dan perlaksanaan undang-undang Islam yang ada sekarang ini sehingga ada pihak cuba mempertikaikannya. "Pak Lah diingatkan bukan sahaja bertegas terhadap cadangan dan desakan pindaan Perkara 121 (1a) bagi tujuan mengurangkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, tetapi beliau sepatutnya juga tidak menolak Rang undang-undang Murtad yang pernah dibentangkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen ketika menjadi ketua pembangkang sedikit masa lalu," tegasnya ketika mengulas isu berkenaan yang sedang hangat diperkatakan. Menurut beliau, perkasanaan rang undang-undang ini lebih menjamin akidah umat Islam di samping memberi jaminan keselamatan kepada kaum bukan Islam. Perkara 121 (1a) menjelaskan bahawa Mahkam Sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Isu berkenaan cadangan pindaan artikel tersebut bermula sejurus selepas kematian pendaki Everest, Sarjan M.Moorthy atau Muhammad Abdullah apabila balunya, S. Kaliammal dan Jabatan Agama Persekutuan (Jawi) terlibat dalam perebutan hak untuk mengkebmikan jenazah beliau. Moorthy yang meningggal 20 Disember lalu akhirnya dikebumikan oleh Jawi pada 28 Disember berikutan keputusan Mahkama Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam.
Manakala Mahkamah Tinggi Prsekutuan memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkama Tinggi Syariah itu. Ekoran rasa tidak puas hati pelbagai pihak terhadapa keputusan itu menyebabkan 10 orang menteri kabinet bukan Islam menghantar memorandum bersama kepada PM dan kerajaan bagi menyemak semula Perkara tersebut. Memorandum itu antara lain ditandatangani oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yiek; Menteri Kerja Raya,Datuk Seri S. Sami Vellu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok. Dalam pada itu, Hamzah turut menyifatkan langkah ramai pemimpin Umno bertindak mengkritik tajam tindakan anggota kabinet bukan Islam itu sebagai satu sandiwara bagi menarik simpati rakyat yang kononnya mereka juga adalah pembela Islam sebagai agama rasmi negara ini.
"Sekiranya mereka ini betul-betul membela Islam mengapa mereka menolak gesaan perlaksanaan Islam secara syumul dengan pelbagai dalih dan alasan," soal beliau.
Beliau memberi contoh, sepetutnya para pemimpin Umno ini bersetuju dan memberi kerjasama yang baik terhadap tindakan Jawi menyerbu pusat hiburan The Zouk tahun lalu dan menangkap beberapa orang wanita Islam yang berpesta dan melakukan maksiat tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Katanya, banyak lagi isu berkaitan kezaliman, ketidakadilan, penindasan terhadap rakyat serta penghinaan terhadap hukum Islam yang berlaku di negara ini dipandang sebelah mata oleh para pemimpin Umno itu.
Hamzah menyifatkan kecelaruan ini berpunca dari kelemahan kepimpinan Umno yang cuba mencipta berbagai slogan untuk menarik minat rakyat termasuk Islam Hadhari yang dicetuskan oleh PM tahun lalu, tetapi ternyata gagal membendung pelbagai penyelewengan, salahgunakuasa dan pelbagai kegiatan maksiat di negara ini.
Justeru beliau tidak menolak kemungkinan Pak Lah dan Umno tunduk terhadap desakan itu sekiranya beliau dan ahli kabinetnya tidak bertegas untuk membela Islam apatah lagi jika mereka memikirkan soal masa depan gabungan politik mereka. Ini kerana menurut Hamzah, pilihan raya lalu membuktikan kemenangan Umno dan BN memerintah negara ini banyak bergantung kepada parti komponen yang berasaskan kaum itu.
"Jadi tidak hairan kiranya jangkaan itu akan berlaku. "Bagi PAS kita akan mempertahankan apa jua perkara yang berkaitan dengan perlaksanaan syariah dan undang-undang Islam bagi menjamin kesucian agama dan kesejahteraan ummah serta rakyat yang bukan beragama Islam di negara ini. "Kita juga mendesak Pak Lah agar menjadikan Islam yang mana dasarnya adalah Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan asas untuk mentadbir negara ini kerana ternyata ia lebih menjamin kesucian agama Islam serta menjamin keharmonian masyarakat bukan Islam," ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home