Scroll images by bigoo.ws

Monday, February 06, 2006

Hamas dijangka bentuk kerajaan minggu depan

BANDAR GAZA 5 Feb. - Hamas menjangka dapat membentuk kerajaan baru Palestin menjelang hujung bulan ini selepas para pemimpinnya bersetuju dengan Presiden Mahmoud Abbas untuk memulakan sidang Parlimen pada 16 Februari ini.

Pemimpin politik Hamas di Gaza, Mahmoud Zahar menyatakan perkara itu selepas mengadakan pertemuan pertamanya dengan Presiden Palestin sejak Hamas memenangi pilihan raya Parlimen 25 Januari lalu.

''Kami sudah memulakan proses ini dan yakin akan dapat membentuk sebuah kerajaan baru,'' katanya.Calon utama Hamas dalam pilihan raya, Ismail Haniyeh yang turut hadir dalam pertemuan itu berkata, mereka telah bersetuju dengan Mahmoud untuk mengadakan sidang pertama Majlis Perundangan (Parlimen) pada 16 Februari. Mahmoud Abbas tidak meminta Hamas secara rasmi supaya membentuk Kabinet dalam pertemuan semalam.

Bagaimanapun jurucakap beliau, Nabil Abu Rdainah mengesahkan, Hamas yang memenangi 74 kerusi di Parlimen 132 anggota untuk menewaskan Parti Fatah akan diminta mengetuai kerajaan baru.

''Hamas ialah blok terbesar di Parlimen dan mereka perlu mengemukakan nama Perdana Menteri kepada Presiden supaya Presiden boleh memintanya secara rasmi membentuk kerajaan,'' jelas Nabil. Ismail menyatakan Hamas akan cuba mempercepatkan penubuhan kerajaan baru bagi mengelakkan kelompongan di sisi perlembagaan.Hamas sudah pun mempelawa Fatah menyertai kerajaan tetapi belum menerima sebarang jawapan, menurut Mahmoud Zahar.

Beliau mengulangi pendirian Hamas bahawa mereka tidak akan berunding dengan Israel dalam apa jua keadaan. Katanya, kerajaan Palestin akan mencari pembiayaan alternatif jika
bantuan kewangan dipotong.

''Kami boleh memintas sumbangan daripada Barat. Kami boleh mendapatkan bantuan kewangan daripada negara-negara Arab dan Islam,'' kata Mahmoud Zahar.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home