Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 07, 2006

Iran tetap perkaya uranium

IAEA percaya isu nuklear boleh diselesaikan
VIENNA (Austria): Iran semalam memberi amaran kepada Lembaga Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa ia akan melakukan proses meningkatkan keupayaan uranium secara besar-besaran jika lembaga itu tetap membawa kes Iran ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita akan melakukan proses meningkatkan keupayaan uranium secara besar-besaran jika dokumen Iran dirujuk ke Majlis Keselamatan PBB.

Kami akan mengikut haluan kami jika mereka mahu menggunakan kekerasan," kata perunding kanan nuklear Iran, Ali Larijani.

Beliau turut berkata, Iran tidak akan menghentikan penyelidikan nuklear atau menamatkan usaha menghasilkan program nuklear untuk tujuan tenaga elektrik jika Majlis Keselamatan bertindak ke atasnya.

Bagaimanapun delegasi lembaga IAEA yang disertai 35 negara dan memulakan sidang mereka di Vienna semalam membayangkan mereka akan mengelak konfrantasi dan sebarang keputusan awal majlis itu pastinya lebih lembut dan jauh daripada langkah mengenakan sekatan.

Ketua Pengarah IAEA, Mohammed ElBaradei, sebelum mesyuarat bermula berkata semua pihak berusaha membawa Iran dan Kesatuan Eropah (EU) kembali berunding.

"Masalahnya masih mengenai persoalan penyelidikan dan pembangunan mesin emparan. Isu itu masih dibincangkan minggu ini dan saya berharap persetujuan dapat dicapai minggu depan," katanya kepada wartawan.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, pula berikrar negaranya tidak akan dipaksa akur kepada tekanan kuasa Barat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home