Scroll images by bigoo.ws

Thursday, March 09, 2006

Amalan pakai serban dilindungi perlembagaan - Peguam

PUTRAJAYA 8 Mac - Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa Perlembagaan Persekutuan melindungi dan menjamin amalan memakai serban walaupun pemakaiannya bukan sesuatu yang difardhukan dalam Islam.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin berhujah, jaminan itu tersedia di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa setiap rakyat berhak untuk mengakui ketaatan, mengamalkan dan menyebarkan agama anutan masing-masing.

Katanya, hak untuk mengamalkan agama anutan seseorang itu hanya boleh dihalang jika pengamalannya menggugat ketenteraman, kesihatan dan akhlak masyarakat awam.

''Kami menghujahkan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila memutuskan pihak sekolah bertindak selaras dengan perlembagaan ketika membuang tiga pelajar ini dari sekolah kerana memakai serban.

Dilindungi

''Dalam kes ini, tidak ada pihak yang menyangkal bahawa memakai serban berasaskan ajaran agama Islam. Dalam kata lain, ia adalah sebahagian daripada amalan agama Islam yang ia dilindungi oleh Artikel 11(1),'' katanya.

Beliau berhujah demikian di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad yang mengetuai sidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamed.

Mohamed Hanipa mewakili tiga bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Serting, Negeri Sembilan yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan saman sivil terhadap bekas Guru Besar sekolah itu, Fatimah Sihi.

Mereka ialah Meor Atiqulrahman Ishak (kini berusia 20 tahun) dan dua sepupunya, Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad Johari, 18, dan Syed Ahmad Syakur Dihya Syed Ahmad Johari, 17.

Pada 22 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang membatalkan keputusan Guru Besar SK Felda Serting yang membuang ketiga-tiga pelajar itu kerana memakai serban ke sekolah pada 1997.

Mahkamah Rayuan menyatakan tindakan guru besar itu betul kerana ia berkaitan dengan hal ehwal disiplin para pelajarnya yang merupakan bidang kuasa guru besar atau pengetua dalam mentadbir sekolah mengikut peraturan.

Pada 6 Ogos 1999, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban (ketika itu), Datuk Mohd. Noor Abdullah membatalkan keputusan Fatimah yang membuang tiga pelajar tersebut kerana memakai serban ke sekolah.

Memandangkan keadaan kes itu, Hakim Abdul Malek menangguhkan keputusan rayuan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home