Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 08, 2006

Nelayan pantai yang gunakan petrol menderita?

PULAU PINANG, 6 Mac (Hrkh) - Radio Televisyen Malaysia (RTM) sengaja mengelirukan pemikiran rakyat bahawa nelayan tidak menghadapi masalah dengan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak petrol, diesel dan gas sebanyak 30 sen baru-baru ini.

Siaran berita tengahari itu menyiarkan pendapat beberapa orang nelayan di Kuala Muda, Kedah yang terlibat dengan subsidi diesel yang diperkenalkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kenaikan harga minyak sepertimana yang diumumkan 28 Februari lepas tidak membebankan nelayan ekoran adanya subsidi RM1.00 seliter.

Sedangkan, hampir keseluruhan nelayan pantai tidak menggunakan diesel sebaliknya petrol sebagai bahan api.

Kenaikan harga itu sekaligus mengguntungkan bot pukat tunda atau nelayan laut dalam yang acapkali menghantui nelayan pantai sejak bertahun lamanya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan Pantai Pulau Pinang, Haji Saidin Haji Hussain ketika dihubungi menjelaskan, rakyat yang tidak terlibat dengan nelayan tentu akan termakan hasutan itu dengan menyalahkan nelayan kembali.

Menurut beliau lagi, tindakan kerajaan itu umpama menyeksa nelayan kerana terpaksa menambah kadar penggunaan petrol dari RM15.00 ke RM20.00 setiap kali ke laut.

"Nelayan akan berputih mata bila turun ke laut sekarang ini memandangkan semuanya naik. Dulu minyak RM15.00 sekarang tambah jadi RM20.00. Sudahlah ikan kurang kerana pelanggaran pukat tunda tambahan lagi kenaikan harga minyak yang melambung, " ujarnya.
Sepatutnya tambah Haji Saidin, pemimpin yang dipilih oleh rakyat menjadi pembela bukannya pemeras.

Pengerusi Persatuan Nelayan Unit Kampung Tepi Sungai, Kuala Muda, Kedah, Ismail Othman pula berkata, kenapa RTM tidak datang menemuramah nelayan kecil yang menggunakan enjin jenama Suzuki, Yamaha dan Marina yang menggunakan petrol ini.

Sudah pasti, nelayan pantai akan mengadu nasib yang menimpa mereka saban hari setelah menanggung risiko kejadian tsunami pada 26 Disember 2004 lalu.

"Kenapa RTM hanya menemuramah nelayan laut dalam yang menggunakan diesel tidak datang tanya khabar nelayan pantai yang menggunakan petrol, " tegas beliau yang juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di situ.

Nelayan laut dalam atau pukat tunda sering menjadi sasaran kemarahan nelayan pantai sejak dulu kerana tabiat mereka menangkap ikan di zon larangan yang diperuntukan kepada nelayan kecil.

Akibatnya, nelayan kecil menjadi mangsa keadaan apabila setiap lapuran yang dilakukan tiada tindakan berkesan dari polis merin atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home