Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 08, 2006

Rakyat bakal dibebani kenaikan tarif elektrik pula

KOTA BHARU, 7 Mac (Hrkh) – Awas kehidupan anda terutamanya golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar-bandar besar tambah tertekan selepas ini, apabila kenaikan tarif elektrik bakal menyusul tidak lama lagi.

Kesusahan di atas desakan hidup itu mungkin memaksa mereka bekerja siang dan malam. Ini turut diakui Timbalan Presiden Fomca, Haji Ahmad Othman berdasar kajian diadakan sebelum ini. Padahnya gejala sosial akan menular.

“Mereka terpaksa mencari kerja sampingan lain memandangkan pendapatan yang ada sekarang tidak mampu lagi untuk menampung kos kehidupan keluarga selepas harga minyak dinaikkan secara mendadak,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Shaziman Abu Mansor mengakui kenaikan tarif elektrik hanya membabitkan penggunaan kadar elektrik yang banyak.

Bagi anggota Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa rakyat miskin sebenarnya sudah lama berjimat cermat tanpa perlu diminta oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Katanya, ramai rakyat miskin yang mempunyai anggota keluarga ramai terpaksa mengikat perut sejak sekian lama dan mereka sudah biasa berjimat cermat.

“Ada seorang bapa dari keluarga miskin yang mempunyai 10 anak datang mengadu mereka sudah lama makan nasi berlauk telur tiga biji dengan dikongsi 10 orang,” katanya.

Menurutnya, keadaan kedhaifan keluarga itu makin bertambah lagi selepas harga minyak dinaikkan.Oleh itu beliau menyarankan bagi memastikan kehidupan sebenar rakyat di peringkat bawah turut disedari pemimpin atasan mereka perlu menyertai sama gerakan membantah kenaikan harga minyak.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, rakyat perlu mempamerkan kemarahan itu dengan menyatakan perasaan mereka pada tulisan atau sepanduk yang boleh dilihat di mana-mana.
“Rakyat jangan duduk diam.. kalau dok diam mungkin kerajaan menganggap mereka bersetuju dengan kenaikan harga minyak sekarang,” ujarnya.

Anggota Majlis Tertinggi PKR, Saifuddin Nasution Ismail melahirkan rasa hairan mengapa kerajaan sanggup memberi subsidi yang begitu banyak kepada empat penjana kuasa swasta dan dipaksa pula Tenaga Nasional Bhd membeli bekalan elektrik daripada syarikat terbabit.

Katanya, kerajaan sanggup memberi subsidi sebanyak RM14 bilion setahun kepada syarikat pembekal tenaga berkenaan, yang dimiliki jutawan terkenal. Sedangkan katanya, subsidi minyak kepada rakyat sebanyak RM4.4 juta ditarik balik.

“Sepatutnya rakyat disedarkan terhadap kepincangan yang berlaku itu. Kita juga hairan mengapa Perdana Menteri masih buat-buat tidak faham kenaikan harga minyak pasti mengundang kepada kenaikan harga barangan keperluan harian,” ujarnya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home