Scroll images by bigoo.ws

Monday, January 23, 2006

PPIMalaysia : Karsinogen binasa badan


KUALA LUMPUR - Selain kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai penggunaan bekas makanan, amalan pemakanan yang dianggap biasa di negara ini sebenarnya berpotensi mewujudkan kandungan karsinogen yang menjadi punca utama barah.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang Buletin Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata antara amalan itu ialah makan sate tanpa timun, makan udang selepas mengambil vitamin C dan makan mi segera tiga hari berturut-turut.
"Setiap kali kita makan sate, karbon daripada pembakaran arang akan masuk ke badan, sedangkan karbon antara punca barah. Untuk meneutralkannya, kita perlu makan timun yang mengandungi bahan antikarsinogen," katanya.
Mohd Yusof berkata, udang tidak boleh dimakan selepas mengambil vitamin C kerana ia akan menyebabkan keracunan daripada racun arsenik.Katanya, mi segera pula tidak boleh diambil tiga hari berturut-turut kerana ada lilin melapisi mi segera itu yang melekat antara satu sama lain.
"Kajian menunjukkan tubuh mengambil masa lebih dua hari untuk membersihkan lilin berkenaan," katanya.
Mohd Yusof berkata, Fomca bimbang cara pemakanan dan kurangnya pengetahuan rakyat negara ini mengenai kandungan di dalam makanan itu akan membinasakan diri apabila diserang penyakit kronik.
"Yang pasti, malapetaka kesihatan yang menimpa negara ini dapat dirasai apabila Malaysia menduduki tempat pertama bagi penyakit diabetis di dunia diikuti Sepanyol, Turki, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS).
"Kita masih tidak sedar apabila Malaysia menduduki tempat kedua di dunia dengan 59 peratus rakyat negara ini mengunjungi restoran makanan segera setiap minggu dengan Hong Kong di tempat pertama sebanyak 61 peratus," katanya.
Mohd Yusof berkata, rakyat negara maju sendiri menjauhi restoran makanan segera apabila tempat ketiga ialah Filipina dengan 54 peratus, diikuti Singapura (50 peratus). Hanya 30 peratus rakyat AS mengunjungi restoran makanan segera setiap minggu dengan negara itu menduduki tempat kelapan.
Katanya, jika rakyat tidak mengubah sikap, tidak menghairankan jika penduduk kampung saja `terselamat' daripada malapetaka itu berikutan mereka menggunakan produk makanan diasaskan sendiri dan bebas daripada bahan kimia itu.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP, Masri Misran, mengesahkan kebenaran maklumat yang terkandung di dalam Buletin Pengguna dan ia bertujuan mengingatkan pengguna supaya lebih berhati-hati.
"Sebenarnya jika diambil secara berlebihan, itu yang membawa masalah. Buletin ini dikeluarkan bagi menyedarkan pengguna. Namun, kita sentiasa memberi penerangan dalam seminar atau kursus mengenai sebarang maklumat yang diperoleh," katanya.
Masri berkata, perkara itu perlu kajian teliti dan mendalam, terutama mengenal pasti kadar bahan kimia digunakan, termasuk kesannya kepada anggota badan.
"Ia membabitkan masyarakat dan jika kita kata ia serius, pasti menakutkan orang ramai. Apapun, ia bergantung kepada penggunaannya kerana kebanyakan produk ada bahan kimia. Disebabkan itu kesedaran sangat penting," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home