Scroll images by bigoo.ws

Monday, January 23, 2006

Menteri bukan Islam diminta hormati sokongan pengundi Islam

TEMERLOH, 22 Jan (Hrkh)
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Abdul Majid Hassan mahu menteri-menteri bukan Islam menghormati sokongan pengundi Islam di kawasan masing-masing yang memenangkan mereka dalam pilihan raya umum 2004.Tindakan sepuluh menteri bukan Islam menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dipercayai mendesak pindaan kepada Perkara 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan adalah suatu tindakan yang tidak wajar, mereka sepatutnya merujuk kepada pengundi dikawasan masing-masing terlebih dahulu.

Mereka, kata Abdul Majid tidak wajar membuat keputusan mengikut hati dan perasaan sendiri tanpa mengambil kira perasaan pengundi, wal hal pengundilah yang telah menaikkan mereka sehingga menjadi wakil rakyat dan dilantik sebagai menteri oleh Perdana Menteri. Tanpa undi daripada pengundi siapalah mereka.

“Pandangan pengundi seharusnya diambil kira oleh menteri-menteri terbabit apatah lagi mereka dipilih oleh rakyat (pengundi Islam) di kawasan masing-masing untuk mewakili mereka (rakyat) di Parlimen.

“Janganlah bila sudah jadi menteri boleh buat apa sahaja sehingga melukakan hati majoriti pengundi (Islam) mereka,” ujarnya ketika ditemui wakil Harakahdaily semalam.

Pengundi Islam, kata beliau, tentu tidak gembira dengan tindakan menteri terbabit kerana cuba mencampuri urusan Islam yang tidak mereka fahami.

“Kita berharap mereka lebih berhati-hati apabila bercakap dalam isu (Islam) yang mereka sendiri tidak fahami,” katanya.

Menurut Abdul Majid, masyarakat Islam di Malaysia ini adalah yang terbaik kerana mengamalkan sikap bertolak ansur malah sanggup memilih wakil rakyat bukan Islam (seperti 10 menteri terbabit) bagi mewakili kepentingan mereka di Parlimen.

“Kenapa menteri-menteri terbabit tidak mempertimbangkan kebaikan dan hasrat pengundi Islam itu,” soalnya.

Sementara itu Ketua Penarangan PAS Pahang, Ustaz Abdul Rahim Abdul Latif menyifatkan isu memorandum 10 menteri kepada Perdana Menteri itu menunjukkan kegagalan kerajaan mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Rakyat juga tidak diberi penjelasan secukupnya mengenai Perlembagaan Persekutuan sehingga ada rakyat tidak memahami perkara yang sepatutnya difahami oleh semua terutama tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Keberanian orang bukan Islam memperlekehkan Islam sejak akhir-akhir ini berpunca daripada sikap pemimpin Umno sendiri yang suka memperlekehkan Islam dan mengabaikan syariat Islam dalam perundangan negara sehingga rakyat bukan Islam semakin berani memperlekehkan Islam dan kini berani membuat tuntutan untuk meletakkan mahkamah Syariah di bawah Mahkamah Sivil pula.

Menurut Ustaz Abdul Rahim hak beragama bagi orang Islam mesti dipertahankan apatah lagi Islam adalah agama anutan majoriti rakyat.

“Jika orang Islam boleh menghormati hak rakyat beragama lain (minoriti) tidak ada sebab golongan manoriti tidak boleh menghormati hak majoriti,” tegasnya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home