Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 07, 2006

Harga minyak: PAS sedia temu PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Walaupun sudah sekurang-kurangnya tiga kali PAS memohon secara rasmi kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk berjumpa tetapi ditolak, kini setelah Abdullah menawarkan diri untuk berjumpa, PAS sedia berbuat demikian.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS akan mengurus pertemuan ini segera.

Semalam media melaporkan, Abdullah sedia berjumpa dengan para pemimpin pembangkang termasuk PAS untuk menerangkan kenapa kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen baru-baru ini.

Ini ekoran dari demonstrasi yang dianjurkan PAS, PKR dan lain-lain pihak bagi membantah kenaikan harga minyak itu.

Demo itu diadakan Jumaat lepas di perkarangan pejabat syarikat minyak negara, Petronas yang terletak di bangunan KLCC. PAS merancang untuk mengadakan lagi demo itu Jumaat depan dan seterusnya sehingga harga minyak diturunkan semula.

Ahad lalu, Abdullah mengadakan taklimat khas isu-isu semasa kepada para pemimpin Umno dari seluruh negara di PWTC.

Ia digunakan Abdullah untuk menerangkan kenapa kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak setinggi itu.

Abdullah berharap para pemimpin Umno di semua peringkat itu tidak menentang langkah kerajaan itu tetapi menyokongnya dan menerangkan kepada orang ramai kenapa ia dibuat.

"Kita sedia berjumpa dan berbincang dengan PM dalam apa-apa isu termasuk isu kenaikan harga minyak ini tetapi janganlah macam pemimpin Umno jumpa dia, mendengar saja," kata Nasharudin kepada Harakahdaily.

Kata Nasharudin, ketika beliau menjadi Setiausaha Agung PAS, sekurang-kurangnya dua surat permohonan telah dihantar kepada Abdullah untuk membolehkan para pemimpin PAS berjumpa dengan Perdana Menteri, tetapi beliau (Abdullah) tidak pernah menerimanya.

Antaranya isu permit Harakah dan isu ceramah PAS yang sering diganggu oleh polis.

"Kini beliau sedia berjumpa dengan kita, kita akan pergilah. Kita akan berbincang dengan PM khasnya mengenai kenaikan harga minyak yang banyak menyusahkan rakyat ini," kata Nasharudin.

Sehingga kini, tarikh pertemuan itu belum ditetapkan tetapi Pejabat Agung PAS sedang menguruskan pertemuan yang bakal disertai sama oleh pemimpin tertinggi PAS itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home