Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 28, 2006

Sharon sambut hari jadi dalam koma

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, yang koma selepas diserang angin ahmar bulan lalu, berusia 78 tahun kelmarin di Hospital Hadassah, sejak dirawat pada 4 Januari lalu.

Dua anak lelakinya dan pembantu kanan beliau melawat di unit rawatan rapi hospital berkenaan sambil berdoa beliau pulih.Sharon turut menjalani tujuh pembedahan termasuk tiga pembedahan otak sejak dimasukkan ke hospital berkenaan.

Setiap hari berlalu, doktor meramalkan peluang untuk beliau sedar adalah tipis.“Hari jadi yang menyedihkan,” tajuk berita muka depan akhbar Yediot Ahronot, semalam.

Ketika diserang angin ahmar, Sharon masih popular walaupun beliau menjalankan dasar yang menimbulkan kekecohan dalam sejarah Israel dengan melakukan pengunduran dari Gaza dan sebahagian Tebing Barat. Sekutu politik rapat Sharon, Ehud Olmert bertindak sebagai pemangku Perdana Menteri dan menjadi calon baru Kadima untuk jawatan tertinggi itu menerusi pilihan raya 28 Mac.

Kadima mengekalkan kepemimpinan pada pilihan raya walaupun Sharon koma dan Hamas menang pada pilihan raya Palestin, Januari lalu.

Olmert kelmarin memulakan mesyuarat Kabinet dengan ucapan hari jadi kepada Sharon.

“Hari ini adalah hari jadi Perdana Menteri, Ariel Sharon. Kita semua berdoa kesihatan dan berharap beliau akan pulih dengan cepat,” kata Olmert.Penasihat Sharon, Raanan Gissin berkata, Perdana Menteri itu masih dalam ingatan rakyat Israel. Katanya, orang ramai yang berjumpanya di jalanan sering bertanya bila Sharon akan sedar.

Hospital Hadassah berada dalam suasana sedih. Bunga dihantar kepada Sharon dengan ucapan beliau cepat sembuh.“Kami tidak menyambutnya. Kami datang dan bertemu dengan yang lain untuk berkongsi pengalaman sama dan saya hanya berdoa dia akan sedar.

“Mungkin ulang tahun ke 78 adalah peluang baik untuk beliau sedar dan lihat apa yang berlaku dan mengambil langkah perlu yang kami harapkan,” kata Gissin

BANTUAN SEGERA...

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di Shah Alam. Kira-kira 1,000 mangsa banjir itu menerima bantuan berupa bahan makanan. Pelbagai kemusnahan dialami oleh penduduk Shah Alam ekoran banjir kilat yang melanda selepas hujan lebat turun mulai 3 pagi Ahad lepas

Pemuda PAS desak gugur modul PLKN

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Pemuda PAS mendesak Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) menggugurkan modul yang digunakan untuk peserta program berkenaan yang didapati secara jelas cuba mendoktrinkan pemikiran peserta.

Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman, berkata modul berkenaan perlu digugurkan kerana ia jelas digunakan sebagai 'bahan doktrin' kepada para peserta program berkenaan.

Selain menerapkan unsur-unsur yang boleh meracuni pemikiran peserta, ia juga turut memuatkan beberapa gambar pihak tidak bersalah sebagai pengganas dan pengkhianat negara.
Terbaru, Pemuda PAS melalui Mazlan sendiri mendedahkan penggunaan gambar anak Menteri Besar Kelantan, yang juga Mursyidul Am PAS, Nik Adli Nik Abdul Aziz yang digambarkan sebagai seorang pengganas dengan mengaitkan dirinya sebagai ketua Kumpulan Militan Malaysia (KMM) di dalam modul berkenaan.

Menurut Mazlan, modul yang digunakan sejak 2004 juga secara jelas menyentuh beberapa perkara tentang penglibatan anggota KMM, Jemaah Islamiah (JI), Al-Qaeda dan juga reformasi yang disfatkan sebagai pengkhianat negara.
"Kita tidak akan berdiam diri dengan perkara ini kerana mereka yang didakwa kononnya pengganas dan pengkhianat ini tidak pernah dibuktikan bersalah oleh mana-mana mahkamah," tegas beliau kepada wartawan dalam sidang medianya di pejabat Harakah, petang ini.

Sehubungan itu, katanya adalah tidak wajar pihak PLKN menggunakan gambar berkenaan dengan tujuan mempengaruhi dan meracuni pemikiran para peserta program tersebut.

Tambah beliau, 90 peratus isi modul itu ternyata untuk meracuni fikiran peserta dengan kandungan yang bersifat politik untuk mempertahankan Barisan Nasional (BN) dan memupuk rasa benci kepada pihak lain, khususnya pembangkang.

Kata beliau lagi, Pemuda kesal dengan niat sebenar kerajaan di bawah Kementerian Petahanan apabila mewujudkan PLKN yang kononnya untuk menerapkan nilai-nilai cintakan negara.

"Kalau inilah yang cuba didoktrinkan kepada peserta, maka tiada manfaat yang diperoleh dari program ini dan ia hanya membazirkan duit rakyat yang diperuntukkan ke atasnya," kata beliau lagi.

Sebelum ini, Mazlan dan beberapa exco pemuda telah menemui Pengerusi MLKN, Tan Sri Lee Lam Thye berhubung perkara ini dan Lam Thye sendiri kelihatan terkejut dengan pendedahan tersebut.

Dalam pada itu, Pemuda turut menyokong sebarang tindakan yang akan dilakukan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap PLKN sama ada mendesak badan itu supaya memohon maaf atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka (PLKN) enggan berbuat demikian.

Malangnya Nasib rakyat Malaysia...............

Harga diesel dan petrol naik lagi.???.tidak perlu ditimbulkan persoalan disini. Seperti yang dijangka bahawa harga runcit bangi minyak di Malaysia akan naik lagi dan seperti biasalah Pak Lah akan memaklumkan bahawa harga minyak di Malaysia antara harga yang terendah di rantau ini berbanding dengan negara-negara Asean yang lain. Dan seperti biasa jugalah Rakyat Malaysia akan dijanjikan dengan kata-kata yang indah dan manis-manis belaka dari pemimpin negara yang akan memberikan jaminan bahawa harga minyak tidak akan naik lagi. Tapi sampai bila, adakah dalam tempoh 2,3 @ 4 tahun harga minyak akan berkekalan..??

Segala permasalahan dengan kenaikan minyak dunia mereka bebankan kepada rakyat. Sepatutnya Malaysia sebagai negara yang mempunyai minyak akan mengaut keuntungan yang lebih dengan kenaikan harga minyak ini dan keuntungan ini sepatutnya dikongsi bersama oleh rakyat. Tetapi malangnya kerajaan mengambil kesempatan dengan kenaikan harga minyak dunia untuk menekan rakyat.Ayuh rakyat Malaysia bangkitlah untuk menumbangkan kerajaan yang ada pada Pilihanraya Umum akan datang. Semuanya bergantung kepada Rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin mana yang perlu memimpin Malaysia.


KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), masing-masing naik 30 sen seliter dan sekilogram, berkuat kuasa hari ini.

Walaupun kerajaan menaikkan harga bahan api itu di negara ini masih lagi murah berbanding kebanyakan harga barangan itu di negara Asean kecuali Brunei.

“Dalam usaha kerajaan untuk menangani impak kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung, kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit LPG sebanyak 30 sen sekilogram berkuat kuasa 28 Februari.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa harga runcit barangan petroleum ini tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan malam tadi.Berikutan pengumuman itu, harga baru seliter petrol RON 97, petrol RON 92 dan diesel bagi Semenanjung masing-masing kepada RM1.92, RM1.88 dan RM1.58.1, berbanding harga pada 1 Februari iaitu RM1.62, RM1.58 dan RM1.28.1.

Harga baru petrol di Sabah, masing-masing RM1.90, RM1.88 dan diesel RM1.58.4, manakala di Sarawak masing-masing kepada RM1.91, RM1.88 dan RM1.57.8 Harga baru LPG bagi Semenanjung ialah RM1.75 berbanding RM1.45 sebelum ini, manakala Sabah dan Sarawak pula RM1.83 berbanding harga lama RM1.53.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ialah pada 31 Julai 2005 iaitu petrol sebanyak 10 sen seliter, diesel sebanyak 20 sen seliter dan LPG sebanyak 5 sen sekilogram.

Menurut kenyataan itu, harga runcit barangan petroleum ini dinaikkan kali ini kerana pada 2005 jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan ialah RM 7.41 bilion, manakala pengecualian cukai pula berjumlah RM7.85 bilion.Kenyataan itu juga menyebut, beban tanggungan subsidi dan pengecualian cukai bagi tempoh Januarihingga Februari 2006, masing-masing sebanyak RM1.19 bilion dan RM 1.44 bilion.

Jika tanpa subsidi dan pengecualian cukai oleh kerajaan, harga runcit RON97, RON92, diesel bagi Semenanjung pada Mac 2006 sepatutnya RM2.46, RM2.37 dan RM1.98 seliter, harga Sabah RM2.45, RM2.37 dan RM1.97 serta harga Sarawak RM2.45, RM2.36 dan RM1.97 seliter, kata kenyataan itu.Harga LPG bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pula masing-masing RM3.21, RM3.35 dan RM3.34 sekilogram.

Selain itu, kenyataan itu menyebut, kerajaan turut memperkenalkan Sistem Pemberian Diesel Bersubsidi kepada 84 peratus kenderaan yang menggunakan diesel dalam sektor pengangkutan darat yang terdiri daripada pengusaha pengangkutan awam dan perkhidmatan barangan pengguna melalui penggunaan `fleetcard’.“Melalui penggunaan kad ini, mereka boleh membeli diesel bersubsidi di stesen minyak dengan harga 15 sen lebih rendah daripada harga yang ditetapkan.“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah pun mengeluarkan surat memaklumkan perkara ini kepada pengusaha yang layak,” katanya.

Kenyataan itu berkata, penjimatan kewangan yang dibuat melalui kenaikan harga baranganpetroleum kali ini akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam untuk kepentingan rakyat keseluruhannya

PAS puji pengarah rela disingkir daripada tanggal tudung

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) – PAS hari ini memuji tindakan berani pengarah akaun sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Habsah Jaafar, yang melepaskan jawatannya kerana tidak dibenarkan bertudung semasa bertugas.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, berkata pujian itu diberi kerana pekerja tersebut mengambil satu sikap cukup berani berdasarkan iman sebagaimana ditetapkan syarak.

“Jelas sekali beliau tidak menggadai prinsip yang telah ditetapkan oleh syarak biarpun terpaksa meletakkan jawatan yang agak tinggi dalam perkhidmatan di hotel tersebut,” katanya semasa ditemui di ibu pejabat Harakah, di sini hari ini.

Beliau berkata PAS akan menghantar sepucuk surat penghargaan rasmi kepada Habsah.

Surat itu akan ditandatangani Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaffar.

Menurut Ustaz Nasharuddin, tindakan pengurusan hotel tersebut amat dikesali kerana tidak menunjukkan sikap prihatinnya dan paling utama ia tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi.

Semalam, Habsah, 46, mendakwa beliau kecewa apabila terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak lebih 10 tahun lalu semata-mata kerana tidak mahu menanggalkan tudungnya.

Habsah dipetik oleh media hari ini sebagai berkata beliau terpaksa berbuat demikian setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya dan pada 17 Februari lalu beliau berhenti.

Dalam pada itu, Ustaz Nasharudin juga meminta kerajaan dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan hotel tersebut.

“PAS akan membuat satu protes secara terbuka dalam tempoh terdekat ini sekiranya tidak ada sebarang kenyataan daripada pengurusan hotel berkenaan untuk meminta maaf,” katanya.

Menurutnya jika tidak ada sebarang tidakan susulan dibuat ia adalah satu penghinaan cukup dahsyat kepada Islam.

Isu seperti ini katanya, merupakan rangkaian daripada kebencian kepada pelbagai organisasi Islam dan tegasnya PAS tidak akan berdiam diri.

“Satu demi satu penghinaan dibuat kepada Islam dan umatnya dan PAS amat bertolak ansur dengan semua itu tetapi apabila toleransi itu diambil kesempatan oleh mana-mana pihak untuk menghina peraturan syarak, kita akan bertindak," katanya.

Menurutnya pendedahan Habsah, semalam membuktikan penghinaan itu bukan perkara baru di negara ini.

“Pendedahan itu menggambarkan beliau telah lama ‘menderita’ untuk mempertahankan syariat Islam, malah kita mendapat maklumat bahawa banyak majikan mendiskriminasi perkerja,” katanya

Haneya Bantah Abbas Mau Undur Diri

Perdana menteri Palestina Ismael Haneya menegaskan, gerakan Hamas berusaha menjayakan kepemimpinan Abu Mazen. Pihaknya mendedahkan bahawa Abu Mazen mengajukan surat perletakan jawatan dari jawatan presiden Palestin.

Haneya menegaskan, tidak ada apa-apa antara Abu Mazen dan Hamas.

Yang terjadi justru kerjasama dan saling menghormati dalam rangka mengelola pemerintahan Palestin ini.

Haneya menjelaskan, Abu mazen justru menghormati pilihan rakyat Palestin. Sementara pihak Hamas meminta Abu Mazen agar tetap dalam kedudukannya sebagai presiden Palestin. Ia mengatakan, kita akan bersama-sama menghadapi setiap masalah dan kesulitan ini, ungkap Abu Mazen dalam salah satu suratnya kepada Gerakan Hamas.

Kenyataan ini disampaikan Haneya hari Ahad kemarin (26/2) dalam perjumpaan bersama Abdullah al-Hawarani, mantan anggota eksekutif PLO di Gaza, dalam usaha mereka menyusun pemerintahan baru Palestin.

Sementara itu, anggota Pusat Gerakan Fatah, Abbas Zaki menegaskan, pihaknya tidak mungkin dapat bersatu dengan pemerintahan baru Palestin yang akan dibentuk Hamas.

Zaki menjelaskan sebab-sebab yang melatar belakangi Fatah tidak mungkin bekerja sama dengan pemerintah yaitu, akibat krisis pertentangan yang terjadi dalam tubuh Fatah. Inilah yang menyebabkan kekalahan Fatah dalam pilihanraya parlimen baru-baru ini.

Zaki menambahkan, Fatah sebenarnya tidak kalah karena kekuatan Hamas, atau bukan karena tidak dipilih oleh rakyat. Namun, kekalahan Fatah adalah kerana kelemahan yang terjadi dalam tubuh Fatah, disamping karena pertentangan dalaman. Untuk itu Fatah akan memperbaiki masalah dalaman dahulu dengan membuat reformasi gerakan dan mengadakan persidangan tahunan, agar dapat kembali berkifrah dan kembali memimpin negeri ini.

Zaki menganjurkan agar Fatah tidak berkerjasama dengan pemerintahan Palestin karena situasinya kurang kondusif dan agar suara kami tidak terpecah. Ia menegaskan biarlah Hamas sekarang mengambil kesempatan ini untuk membentuk pemerintahanya. Pada saatnya nanti Fatah akan melakukan peranannya, setelah merapikan masalah internal, ungkapnya.

ICJ dengar saman bersejarah Bosnia

THE HAGUE, Belanda 27 Feb. - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini memulakan sesi untuk mendengar kes saman yang dikemukakan oleh Bosnia ke atas Serbia yang dituduh melakukan pembunuhan kaum awal 1990-an.

Dengan tindakan itu menjadikan Serbia negara pertama diheret ke mahkamah ini untuk menghadapi tuduhan-tuduhan jenayah kemanusiaan yang paling serius.

Mahkamah tertinggi kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akan mendengar hujah-hujah peguam dari kedua-dua pihak sama ada Serbia patut bertanggungjawab ke atas tindakan-tindakan sekutunya ke atas republik Bosnia yang berjiran dengannya.

Para peguam juga akan berhujah tentang tindakan para pemimpin Serbia sendiri semasa perang pemisahan yang kejam pada awal 1990-an itu.

Para pemimpin puak Serb di Bosnia sendiri telah pun dibicarakan dan didapati bersalah atas tuduhan-tuduhan berhubung dengan pembunuhan kaum di Bosnia.

Sesi itu bermula dengan kesemua 16 hakim baru mengangkat sumpah di depan Hakim Rosalyn Higgins, yang baru dilantik sebagai Presiden ICJ.

Higgins, 68, telah menangguhkan sesi itu untuk seketika selepas hakim-hakim berkenaan selesai mengangkat sumpah.

Hakim-hakim itu, yang berjubah hitam, mengambil tempat masing-masing di belakang sebuah meja yang ditinggikan di depan barisan peguam yang mewakili kedua-dua negara terbabit.
Turut hadir ialah wakil-wakil diplomatik

Ejen Barat disyaki bom Masjid Emas

BAGHDAD: Seorang bekas ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) berpendapat ejen perisikan Barat mungkin terbabit dalam pengeboman Masjid Emas di Samarra minggu lalu ketika pihak berkuasa menarik balik perintah berkurung di Baghdad berikutan ibu negara Iraq itu pulih selepas seminggu keganasan mengorbankan lebih 200 nyawa.

"Ada ramai pihak yang boleh disyaki, bukan hanya puak Sunnah. Tentu kita masih ingat bagaimana askar Britain yang berpakaian Arab ditangkap dalam sebuah kereta yang dilihat di banyak tempat (di Basra)," kata bekas ejen itu, Ray McGovern yang juga bekas penasihat presiden Amerika Syarikat.

McGovern adakah sebahagian daripada bekas pegawai perisikan yang menggelar diri mereka `Perisik Profesional Veteran Yang Menyokong Kewarasan (VIPS).

Di Baghdad, penduduk bebas bergerak dengan kenderaan di jalan raya dan kedai memulakan semula perniagaan mereka.

Perintah berkurung selama tiga hari berakhir selepas tempat ibadat puak Syiah dimusnahkan dalam letupan bom sehingga memaksa menteri pertahanan mengeluarkan amaran bahaya berkenaan.

"Kami gembira kerana krisis yang dicipta kumpulan fanatik berakhir,"

kata Ali Jabr yang memiliki kedai kecil di dataran Tahrir di Baghdad.

Persengketaan antara penduduk Syiah dan Sunnah memaksa pemimpin Iraq yang masih cuba membentuk kerajaan selepas pilihan raya 15 Disember lalu, menyatakan bimbang berlakunya perang saudara.

Serangan mortar membunuh 15 orang dan tembakan melanda sekitar dua masjid di Baghdad kelmarin.

Lebih 200 orang terbunuh sejak Rabu lalu apabila Masjid Emas dibom.

Pemandu kenderaan mula berbaris sepanjang beberapa kilometer di stesen minyak.
Beberapa ahli keluarga dari beberapa kawasan di Baghdad berkata, lelaki bersenjata memaksa mereka meninggalkan rumah kerana mereka adalah puak Syiah dan menumpang di kelab belia dan sekolah di bandar berkenaan.

Mereka termasuk 30 orang yang berpindah ke Shula dari Mishahda, utara Baghdad selepas lelaki bersenjata mengacu senjata kepada mereka dan bertanya jika mereka adalah Syiah.

"Kami 25 keluarga yang bekerja di kilang bata. Mereka mengancam kami dan berkata kami ada dua jam dan selepas itu semua yang ditemui akan dipancung," kata Salem al-Halbusi

'Kehendak Islam boleh dicapai melalui perlembagaan'

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Kehendak Islam boleh dicapai melalui Perlembagaan dan undang-undang Malaysia yang ada sekarang, kata ahli panel dan para peserta Wacana Kedudukan Islam dan Perlaksanaan Perundangan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan di sebuah hotel di sini yang dianjurkan Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP).

Ahli panel tersebut adalah peguam veteran Haji Muhamad Buruk, Haji Sulaiman Abdullah dan pakar perlembagaan, Profesor Dr.Aziz Bari.

Mereka berpendapat perlaksanaan undang-undang jenayah Islam, yakni hudud dan qisas masih boleh dilaksanakan melalui karangka perlembagaan dan undang-undang negara yang ada sekarang.

Bagaimanapun, kata mereka, beberapa penyesuaian dalam bentuk pindaan dan pengkanunan undang-undang baru perlu dan ini mengambil masa.

"Bagaimanapun dalam hal-hal yang lebih kecil dan prasarananya telah sedia wujud, pelaksanaannya belum mencukupi. Contoh yang agak baik ialah undang-undang mengawal gejala murtad. Belum semua negeri telah meluluskan enakmen untuk menyelesaikan masalah berkenaan, meskipun ia telah sedia dibenarkan oleh perlembagaan sejak merdeka lagi," kata Dr. Dzulkifly Ahmad, Pengarah PPP ketika membentangkan kertas pendahuluan kepada wacana tersebut.

Ketiga-tiga ahli panel berhujah bahawa jika diteliti dengan mendalam, jelas tidak ada sebab perundangan Islam tidak boleh diterapkan dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

"Malahan jika diteliti sunguh-sungguh, tafsiran Islam Sebagai Agama persekutuan menyediakan ruang luas untuk menerapkan perundangan Islam dan ia tidak bercanggah antara satu sama lain," kata mereka.

Ini, kata mereka, bergantung kepada persediaan dan keberanian pihak yang mahu menerapkan undang-undang Islam dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasarudin Mat Isa dalam ucapan perasmiannya berkata, apabila beliau berada di luar negara, satu hal yang sering ditanya kepadanya ialah model negara Islam yang mana hendak diikut oleh PAS jika memerintah, ikut Iran, Arab Saudi, Pakistan? "Saya jawab kita akan guna pendekatan kita sendiri."

Katanya, banyak isu terkini melanda umat Islam, satu persatu. Semua isu ini, kata Nasarudin memerlukan jawapan yang cepat dan tepat.

Dilema baru Arroyo, Thaksin

MANILA 26 Feb. - Pihak berkuasa Filipina hari ini memberi amaran akan melakukan lebih banyak tangkapan di kalangan mereka yang terlibat dalam cubaan merampas kuasa minggu lalu.

Amaran itu dikeluarkan ketika pihak pembangkang membuat persediaan untuk memulakan usaha di mahkamah bagi mencabar perintah darurat yang diisytiharkan oleh Presiden Gloria Arroyo.

Dalam satu pertemuan di sini hari ini, para pegawai tinggi telah membincangkan cara-cara untuk ''mengenal pasti perancang-perancang yang terlibat dalam pakatan itu,'' kata jurucakap tentera, Kolonel Tristan Kison.

Pengawal-pengawal presiden masih mengekalkan kawalan ketat di sekeliling Istana Malacanang dengan kesemua laluan masuk utama disekat sejak Jumaat lalu.

Arroyo mendakwa sekumpulan pegawai tentera yang memberontak telah membentuk sebuah perikatan dengan komunis sebagai satu taktik untuk menggulingkan kerajaan.

Sementara itu, pemerintah askar Marin Filipina telah dilepaskan daripada tugasnya hari ini selepas disyaki menyokong kumpulan yang mahu merampas kuasa.

Seorang jurucakap Marin mengesahkan, Mejar Jeneral Renato Miranda telah melepaskan jawatannya, tetapi menegaskan di televisyen bahawa tindakannya merupakan rutin pertukaran dalam struktur unit elit tersebut.

Bagaimanapun seorang pegawai kanan tentera memberitahu, penyingkiran Miranda itu berpunca daripada pembabitannya dalam komplot menggulingkan Arroyo.

''Lebih banyak perubahan dalam tempoh beberapa hari. Siasatan kami masih diteruskan,'' katanya.

Dalam pada itu, Arroyo dilaporkan bersiap sedia untuk menghadapi cabaran undang-undang selepas mengisytiharkan perintah darurat untuk menggagalkan cubaan merampas kuasa.

Sekumpulan peguam yang mewakili pembangkang merancang untuk berada di mahkamah minggu ini bagi mencabar kesahihan kuasa darurat yang diisytiharkan oleh Arroyo, kata peguam Romeo Capulong dari Pusat Undang-Undang Untuk Kepentingan Rakyat.

Capulong, turut juga mewakili ahli Parlimen Crispin Beltran, salah seorang daripada tiga tokoh pembangkang yang ditangkap semalam, berkata, perisytiharan Arroyo ``jelasnya bertentangan dengan Perlembagaan Filipina.''

Presiden Dewan Senat, Franklin Drilon memberi amaran kepada Arroyo kuasa daruratnya tidak membenarkan beliau menyekat kebebasan awam.

''Tujuan sebenar Presiden Arroyo bertindak demikian adalah untuk melenyapkan kritikan,'' kata Drilon.

Monday, February 27, 2006

Dr Mahathir tokoh reformasi baru

SUNGAI PETANI, 27 Feb (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas pengerusi Proton, Tengku Mahalel bakal menjadi tokoh reformasi baru apabila kerap mendedahkan ketidak puasan cara pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tambahan lagi, pengekalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz yang nyata bertanggungjawab tentang pemberian Permit Impot (AP) kepada kroninya serta kegagalan Menteri Kerjaraya, Dato' Seri S. Samy Vellu untuk memperbaiki mutu perkhidmatan pengguna jalanraya.

"Kita tidak nafikan semasa Tun Dr. Mahathir memerintah selama 22 tahun, beliau telah menghabiskan RM380 billion wang negara untuk tujuan dasar penswastaan juga satu kesalahan namun pendedahan terhadap penyelewengan era Abdullah patut kita ambil kira, " ujarnya ketika memberi motivasi bertajuk 'Memperkasa BA' kepada jentera BA Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di Pantai Merdeka semalam.

"Kita harap pertembungan Mahathir-Abdullah memberi kelebihan kepada BA untuk memerintah walaupun dengan majoriti kecil.

Pilihanraya umum 1990 pertembungan antara Mahathir-Tengku Razaleigh membolehkan PAS memerintah di kelantan dan pilihanraya 1999 pertembungan Mahathir-Anwar BA menawan Trengganu sekaligus mempertahankan Kelantan.

"Tidak mustahil pertembungan Abdullah-Najib sesuatu akan terjadi yang akan menguntungkan BA," jelas beliau.
Cuma sekarang ini BA kena memperbaiki strategi gandingan agar ialah nampak berwibawa, berupaya dan hebat di kaca mata rakyat.

Sekarang ini gandingan itu masih longgar dan belum menepati harapan rakyat untuk memberi undi pada BA berkuasa walaupun rakyat tahu BN banyak melakukan penyelewengan dan rasuah.

"Boleh dikatakan rakyat telah muak dengan gelagat kepimpinan BN tetapi apa boleh buat BA masih belum mampu untuk membuktikan kewibawaan, keupayaan dan kehebatan, " ujarnya.

Jesteru itu, PAS dan PKR ataupun parti politik pembangkang lain perlu ada sebaris untuk menandingi 14 komponen Barisan Nasional (BN).

Strategi politik bersama memainkan peranan penting seadainya mahukan mengecap kemenangan dalam pilihanraya umum ke 12 kelak, katanya.

"Baik atur strategi bersama mulai sekarang kerana strategi satu parti tidak mampu kecuali pertolongan Allah kerana BN mempunyai 14 kepala bagaimana mahu melahirkan padangan serong terhadap PAS, PKR atau DAP, " terang beliau.

Hadir sama dalam program sehari semalam itu ialah Adun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman, Pengerusi PKR Negeri, Dato' Zahrin Hashim, Timbalan PKR Negeri, Mustaffa Kamal Mohd Yusuf dan Timbalan Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh, Haji Manaf Othman.

RMK9 dijangka lebih gelap jika rasuah terus berleluasa

KANGAR, 27 Feb (Hrkh) - Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dijangka lebih gelap berbanding Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) sekiranya rasuah terus berleluasa di negara ini.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pertemuan Perdana Menteri (PM), Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang membincangkan isu ekonomi khususnya RMK9.

Baginya, pertemuan itu menunjukkan Pak Lah sendiri masih lagi dibayangi pengaruh Mahathir dalam pendtadbiran negara pada masa ini.Mohamad ditemui selepas merasmikan Sambutan 30 tahun PAS Kawasan Kangar di sini Jumaat lalu.

Menurutnya, angan-angan Pak Lah yang mahu membasmi rasuah adalah bohong kerana beliau terus mengekalkan menteri seperti Rafidah Aziz dan Samy Vellu dalam rombakan kabinet baru-baru ini.
"Tambahan pula beliau melantik menteri yang terkenal terlibat dengan perjudian seperti Tengku Adnan. Mantan PM, Dr Mahathir Mohamad sendiri tentu kecewa bila Rafidah dilantik kerana isu Permit Import (AP) yangmasih belum selesai," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang melihat cara Pak Lah mahu memerangi rasuah secara moral dan bukannya melalui undang-undang adalah satu omongan kosong.

"Sepatutnya tindakan yang perlu diambil ialah memberhentikan menteri yang rasuah dan kaya secara mendadak contohnya, tetapi dia tidak berani ambil tindakan sedemikian walaupun ternyata sudah ada"green light" seperti dalam kes Rafidah," tambahya.

Selain itu, Mohamad melihat RMK9 akan berakhir sama seperti RMK8 seperti di zaman Dr Mahathir bilamana hak-hak bumiputera hanya berkumpul di kalangan individu tertentu sahaja.

"Dulunya ada Halim Saad dan Daim tetapi sekarang menantunya Khairi Jamaluddin dan Kalimullah Hassan pula," katanya.

Malahan menurut Mohamad ianya akan mungkin jadi lebih teruk dan lebih bahaya bila di zaman Pak Lah ada individu seperti Khairi dan Kalimullah yang memainkan peranan menjual aset-aset negara kepada peganganasing".

"Zaman Mahathir dulu lebih baik kerana dia dapat melahirkan ramai jutawan tempatan sama ada Melayu atau bukan Melayu seperti Ananda Krishnan, Halim Saad dan Vincent Tan," katanya.

Tambah beliau, Pak Lah nampak seperti tidak ada jalan untuk menyekat pengaruh orang-orang seperti Khairi dan Kalimullah dan peranan yang dimainkan oleh mereka itu akan memberikan kesan kepada RMK9kelak.

"Saya jangka RMK9 kelak akan lebih gelap berbanding RMK8," katanya ringkas

Presiden Palestin ancam letak jawatan

RAMALLAH 26 Feb. - Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas semalam membayangkan bahawa beliau mungkin meletak jawatan jika kumpulan militan Hamas menghalangnya daripada meneruskan proses damai dengan Israel.

''Saya mungkin sampai ke satu tahap di mana saya tidak berdaya melaksanakan tugas saya. Maka ketika itulah saya akan mengundurkan diri tanpa menghiraukan kepercayaan saya,'' kata Mahmoud dalam satu temu ramah dengan sebuah televisyen Britain yang disiarkan hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan jika Hamas menyekat usaha damainya dengan Israel, Mahmoud berkata:''Kerusi presiden bukanlah satu matlamat. Ia juga bukanlah detik yang terakhir. Ia hanyalah satu cara untuk melaksanakan sesuatu misi dan mencapai sesuatu untuk rakyat saya.''

Bekas parti pemerintah Palestin, Fatah pimpinan Mahmoud kalah di tangan Hamas dalam pilihan raya Parlimen Palestin bulan lalu.

Mahmoud berkata, beliau berharap Hamas akan menghentikan perjuangannya secara bersenjata tetapi menambah:''Kita tidak boleh memaksa mereka pada masa sekarang. Kumpulan itu perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri.''
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Isnin / 27 Februari 2006 )

Hamas sedia iktiraf Israel

BAITULMAQDIS 26 Feb. - Bakal Perdana Menteri Palestin semalam berkata, Hamas ''bersedia untuk mengiktiraf'' Israel jika negara Yahudi itu men-yerahkan semula hak dan tanah yang didudukinya sejak 1967 termasuk Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Hamas telah memilih Ismail Haniyeh, 43, yang berasal dari Gaza sebagai Perdana Menteri Palestin kerana dianggap seorang yang pragmatis selepas memenangi pilihan raya 25 Januari lalu.

Pergerakan ini berharap dapat membentuk kerajaan dalam tempoh dua minggu.

''Jika Israel mengisytiharkan bahawa ia akan menyerahkan semula hak dan tanah kepada rakyat Palestin, maka kami bersedia mengiktiraf mereka,'' katanya dalam temu ramah dengan Washington Post.

Bagaimanapun Ismail tidak menya-takan bentuk pengiktirafan tersebut.

Ismail juga berkata, Hamas turut mempertimbangkan rundingan dengan Israel jika negara Yahudi itu berundur dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan mengiktiraf ''hak untuk pulang'' kepada semua pelarian Palestin semasa perang 1948 dan juga para waris mereka.

Bagaimanapun dalam kenyataan awal hari ini, Ismail menjelaskan, pihaknya hanya bersedia untuk mengadakan perjanjian keamanan sementara jangka panjang, bukannya mengiktiraf Israel.

Hamas sebelum ini menolak rundingan dengan Israel yang disifatkan sebagai membuang masa tetapi sejak kebelakangan ini menyatakan bahawa ia boleh menerima sesetengah aspek dalam perjanjian damai sementara.

''Biarkan Israel menyatakan ia mengiktiraf negara Palestin mengikut sempadan 1967, membebaskan semua tahanan dan mengiktiraf hak pelarian kembali ke Israel. Hamas akan mengambil pendirian jika ini terjadi,'' kata Ismail.

Bagaimanapun Israel menyatakan, ia tidak akan berundur dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta tidak akan membenarkan kepulangan berjuta-juta pelarian Palestin ke wilayah Israel.

''Kami tidak mempunyai perasaan bermusuhan terhadap orang Yahudi. Kami tidak berniat membuang mereka ke laut. Apa yang kami tuntut adalah tanah kami, bukan membahayakan orang lain,'' jelasnya.

Sementara itu Israel mengalu-alukan kenyataan Ismail itu dalam nada yang berhati-hati.

Menteri Kabinet Israel, Meir Sheetrit berkata: ''Saya harap mereka dapat ubah pendirian... Mereka (Hamas) mungkin mula bercakap dengan maksud yang lain. Kami tiada sebarang masalah bercakap dengan Hamas dan mencapai penyelesaian.''
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Isnin / 27 Ferbruari 2006 )

Sejauh mana UMNO nak martabatkan bangsa melayu..????

Bagaimana bangsa Melayu hendak dimartabatkan sedangkan Ketua pemimpin negara sendiri pun masih mengekalkan orang yang bermasalah di dalam tampuk pemerintahan kabinetnya sendiri dan lihat secara terang dimana tulisan jawi pun sudah semakin terhakis di dalam jiwa bangsa melayu sendiri dimana akhbar utusan Melayu sudah ditamatkan perkhidmatanya. Nak kata lebihpun blog ini rasanya dah banyak beri info kepada pembaca. Tapi secara ringkasnya sedarlah Bangsa Melayu ku sekalian bahawasanya, UMNO sendiri lah yang menyebabkan kaum Melayu dan Umat Islam di Malaysia ini semakin tersisih dan ditindas....Tepuk dada tanya lah iman......
BATU PAHAT 26 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengetuai majlis memperingati penentangan ke atas Malayan Union 60 tahun lalu dengan mengingatkan orang Melayu supaya terus berjuang untuk menjadi bangsa yang bermartabat.

Bagi tujuan itu, Presiden UMNO menegaskan, bangsa Melayu perlu menguasai ilmu pengetahuan kerana ia adalah kunci kepada kejayaan sesebuah bangsa.

Beliau juga menegaskan, orang Melayu dan UMNO tidak boleh berkompromi dalam perjuangan menjadikan Melayu bangsa yang berjaya.

Katanya, perjuangan orang Melayu dan UMNO yang tercetus sejak 1946 perlu diteruskan.
Perjuangan untuk berjaya perlu menjadi satu perjuangan berterusan dan menjadi matlamat yang tidak boleh dikompromi, kata beliau.

''Bagaimanapun, usaha ini memerlukan kecekalan kerana kita harus sentiasa berpegang kepada perpaduan yang kuat dan bersatu,'' tegas beliau.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan 20,000 ahli UMNO di Perhimpunan Memperingati Perjuangan Datuk Onn Jaafar di Stadium Batu Pahat, di sini.

Turut menghadiri perhimpunan yang bertemakan Datuk Onn: Pengasas Sebuah Negara Bangsa ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Wira Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Exco serta pemimpin UMNO negeri Johor.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor dan Yayasan Warisan Johor.

Dalam ucapannya juga Abdullah, mengambil contoh semangat perjuangan Datuk Onn yang katanya telah berjaya menyatukan orang Melayu bukan sahaja di Johor malah di seluruh negara dalam menentang penubuhan gagasan Malayan Union.

''Beliau (Datuk Onn) telah membuktikan dengan perpaduan, bangsa Melayu mampu mencapai matlamat mereka - mengusir penjajah, mengembalikan kuasa raja-raja Melayu serta menegakkan martabat dan maruah bangsa bagi menubuhkan sebuah negara Tanah Melayu yang merdeka dan berdaulat,'' jelas beliau.

Oleh itu katanya, adalah penting generasi hari ini memahami dan menghayati perjuangan Datuk Onn kerana perpaduan yang dititikberatkan terbukti membawa kepada kelahiran sebuah negara.

''Ketika itu (1946) slogan yang dilaung-laungkan ialah ''Hidup Melayu'' bersesuaian dengan survival bangsa tetapi kini kita sebagai pewaris bangsa perlu membuat pengisiannya dengan memastikan bangsa Melayu bermartabat,'' katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh

Selangor Negeri Maju-Khir Toyo

Keangkuhan Khir Toyo akhirnya lenyap sama sekali dengan berlakunya bencana banjir di Shah Alam yang hampir menenggelamkan hampir 4,000 buah rumah. Tiada siapa didunia ini dapat menangani dan menidakkan kuasa yang hadir daripada Allah yang maha esa.
SHAH ALAM 26 Feb. - Ribuan penduduk Shah Alam hari ini panik dan kelam kabut apabila beberapa kawasan di bandar raya terancang itu dilanda banjir yang dianggap paling buruk dalam tempoh 10 tahun. Banjir berkenaan yang bermula kira-kira pukul 5 pagi itu menenggelamkan lebih 4,000 rumah dan menyebabkan beberapa laluan lebuh raya terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Seramai 1,240 penduduk dari 260 keluarga telah dipindahkan ke tempat selamat. Kawasan yang paling teruk ialah Kampung Kebun Bunga di Batu Tiga apabila lebih 50 buah rumah di perkampungan tersebut ditenggelami air setinggi enam meter. Selain itu, kawasan taman perumahan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya juga terjejas teruk apabila semua rumah di kawasan itu ditenggelami air setinggi kira-kira 1.6 meter.

Banjir berkenaan turut melanda kawasan Seksyen 13 Shah Alam yang menempatkan kawasan perumahan, pasar raya Giant, Makro serta menenggelami kawasan tempat letak kereta Stadium Shah Alam dan kawasan padang bola sepaknya.

Antara kawasan yang terbabit ialah Kampung Landasan di Kampung Melayu Subang dan landasan komuter Batu Tiga, Jalan Batu Tiga Lama menuju ke Glenmarie.

Beberapa laluan di lebuh raya utama juga terpaksa ditutup untuk semua kenderaan mulai pukul 6 pagi.
Laluan terbabit ialah kawasan Batu Tiga di Lebuh Raya Persekutuan, persimpangan Bukit Jelutong di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuh Raya Elite berhampiran kilang gula juga di Batu Tiga serta laluan di sekitar pasar raya Giant dan persimpangan utama TTDI Jaya.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk selain banyak kenderaan tersadai di bahu jalan.
Pada masa yang sama, bekalan elektrik di kawasan sekitar Bukit Jelutong dan Shah Alam turut terputus selama beberapa jam dan hanya kembali pulih secara berperingkat kira-kira pukul 3 petang.

Sunday, February 26, 2006

Jgn Menipu Dgn Tudung?

Awal tahun 80 an dahulu, tidak ramai wanita yang bertudung. Ketika itu wanita bertudung terpaksa menghadapi cabaran yang besar kerana sering menjadi bahan umpatan masyarakat. Mereka dituduh ekstreem, sesat dan ketinggalan zaman. Bahkan ada juga yang mengatakan itu fesyen ala Arab padang pasir. Kita tidak pelik hal begini boleh terjadi.
Ini disebabkan masyarakat jahil terhadap hukum menutup aurat sehingga mereka tidak dapat menerima, malah memandang serong terhadap syariat menutup aurat. Berkat kesabaran wanita-wanita yang bertudung diwaktu itu, akhirnya masyarakat semakin sedar dan faham bahawa memakai tudung itu adalah untuk memenuhi tuntutan syariat.
Seperkara yang menarik di waktu itu, apabila seseorang wanita itu bertudung, maka akan nampak beza tingkah lakunya berbanding dengan wanita yang tidak menutup aurat dan peribadinya sendiri sebelum memakai tudung. Kalau dahulu dia senang bergaul bebas dengan lelaki, tetapi bila sudah bertudung, pandangannya sudah mula ditundukkan, bercakap dengan lelaki pun jarang sekali, tidak seronok malah tidak menghadiri majlis yang ada percampuran bebas lelaki dan perempuan, tidak suka berkeliaran di tempat-tempat awam, cenderung untuk mendalami ilmu-ilmu Islam, suka untuk beribadah, akhlak dan tutur katanya menjadi semakin lembut dan lunak.
Suka menolong orang, bibir sentiasa menguntum senyum sebagai sedekah sesama muslim, sedia membantu kesusahan orang lain, sudah benci kepada kemewahan dunia, tahan diuji dan sentiasa mencari-cari peluang untuk mengajak masyarakat wanita yang lainnya agar sama-sama menutup aurat. Lantaran berbezanya mereka dengan wanita yang lain, maka orang pandang tinggi kepada wanita yang bertudung, walaupun masih ramai yang tidak suka kepada mereka. Waktu itu, kalau wanita sudah sanggup bertudung, ertinya di dalam dadanya sudah ada sedikit sebanyak ilmu- ilmu agama.
Sekurang-kurangnya dia sudah hafal dalil-dalil Al Quran dan hadith mengenai hal penutupan aurat. Ini disebabkan mereka sering dihujani dengan berbagai pertanyaan mengenai apa yang mereka buat.Untuk menjawapnya, mereka sudah bersedia memberi jawapan yang sesuai dengan nas Al Quran dan hadith untuk meyakinkan orang ramai. Oleh sebab itu orang ramai memandang tinggi kepada mereka. Di awal 90 an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana- mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung.
Sama ada di kilang-kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik malah beberapa pengacara televisyen dan radio pun sudah memakai tudung.Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, di panggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian. Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat.
Kadang-kadang macam nak terlondeh.Antara hendak tutup dan hendak buka. Akhlak dan tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat.
Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan dan sebagainya.
Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat. Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita- wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung.
Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung.Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya. Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar.
Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung. Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih canti dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung.Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami.
Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka. Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau di tempat-tempat hiburan.
Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dengan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu.Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.
Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat.
Tetapi di akhirat nanti, niat sebenat dan apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar dan di dedahkan oleh Allah dipadang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia.
Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat :" Ya Rasulullah Dengan apakah mencapai keselamatan kelak ?" Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah." Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?" Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."
Di samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati.
Dikala itu tudung bukan menjadi alat untuk menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa. Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerana pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya.
Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya.Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya. Justeru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh ibadah.
Di samping ada ilmu, amalan yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan kerana yang lain dari itu. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kitadan mempunyai kefahaman yang mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan. Renung-renungkanlah wahai wanita yang berada di luar sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata...

Ismail Haniyeh boleh dibunuh - Dichter

BAITULMAQDIS 24 Feb. - Perdana Menteri baru Palestin, Ismail Haniyeh boleh dijadikan sasaran pembunuhan oleh Israel jika Hamas melancarkan serangan terhadap negara Yahudi itu.

Bekas ketua perkhidmatan keselamatan dalam negeri Shin Beth, Avi Dichter menyuarakan ancaman itu dalam satu wawancara yang disiarkan hari ini.Beliau memberitahu akhbar Yediot Aharonot bahawa pelantikan Ismail sebagai ketua kerajaan Palestin tidak harus memberi beliau sebarang bentuk kekebalan
''Saya tidak nampak sebarang situasi yang membolehkan Ismail memiliki kekebalan semata-mata kerana dia menjadi Perdana Menteri,'' kata Dichter yang dijangka memegang portfolio keselamatan kanan selagi Parti Kadima mengekalkan kuasa dalam pilihan raya Israel bulan depan.

''Pada pandangan saya, dia tetap seorang pengganas walau apa pun yang dilakukannya. Jika ada serangan pengganas dan Israel memutuskan untuk melakukan pembunuhan politik, Ismail menjadi sasaran yang sah kerana Hamas tidak mungkin melancarkan serangan tanpa kebenaran pucuk pimpinannya.

''Ismail diminta oleh Presiden Palestin, Mahmud Abbas awal minggu ini untuk menubuhkan kerajaan baru berikutan kemenangan besar Hamas dalam pilihan raya Parlimen pada 25 Januari lalu.

Walaupun mereka sudah menyertai proses demokrasi, Ismail dan barisan pemimpin Hamas lain masih enggan membatalkan perjuangan bersenjata menentang Israel.Hamas telah melancarkan puluhan serangan berani mati terhadap Israel dalam tempoh lima tahun intifada walaupun tiada serangan dilancarkan sejak 12 bulan lepas.

Dichter dilihat sebagai pengasas dasar pembunuhan politik dan semasa beliau mengetuai Shin Beth, dua pemimpin Hamas iaitu Syeikh Ahmed Yassin dan Abdelaziz Al-Rantissi terbunuh dalam serangan udara Israel.

MyTeam diperalat untuk Umno?

KEPALA BATAS, 26 Feb (Hrkh) - 'My Team' iaitu projek Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaludin kononnya untuk mencari bakat baru sebagai pelapis bola sepak negara rupanya terselit agenda memperkukuhkan kedudukannya dalam arena politik tanahair.

Semalam program tajaan bersama TM di Komplek Bertam, Kepala Batas menyaksikan ribuan pemuda dan remaja mengadu nasib bagi melayakkan diri terpilih membarisi kesebelasan utama menentang pasukan kebangsaan yang dijadualkan pada 31 Mei depan di Stadium Bukit Jalil.
Malangnya, projek baik itu dicemari dengan gelagat 'Putera Umno' yang mengambil kesempatan di gerai untuk mendaftar dan mengedarkan borang keahlian.
Harakahdaily yang meninjau ke tempat tersebut mendapati beberapa orang petugas di kaunter tersebut dengan bangga menyeru remaja menyertai pasukan itu tambahan pula pada sebelah petang semalam acara perasmiannya telah dilakukan oleh Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Padang Brown, Pulau Pinang.
Ramai beranggapan Khairy memperkudakan, bekas pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Serbegeth Singh semata-mata untuk tujuan memperkemaskan kumpulan bapa mertuanya (atau dirinya sendiri) yang kini sedang sengit bersaing dengan kumpulan Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Bila beliau berjaya mendapat kedudukan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia kelak, para remaja yang sedang meningkat umur pasti lebih senang dengan program berkonsep kesukanan dan hiburan. Sambil menggunakan segala jentera kerajaan dan Umno serta media untuk memperkuatkannya, media juga digunakan untuk menjatuhkan bakal musuhnya termasuk Menteri Besar Selangor.
Seorang pemuda dari Bumbung Lima, Mohd Nizam 27 berkata, beliau terkejut bila datang ke sini mendapati dua bendera berlambangkan Putera Umno terpacak di salah satu khemah."Bila melawat sekitar padang tiba-tiba saya terpandang dua bendera putih dengan lambang Putera Umno berkibar megah, " ujarnya kesal.
Rakan beliau, Shamsul Izham Azhar 24 menyifatkan kehadiran Putera Umno mengedarkan borang kepada hadirin jelas membuktikan projek MyTeam mempunyai hasrat yang tersembunyi.
"Rupa-rupanya MyTeam yang diwar-warkan di kaca televisyen setiap hari adalah agenda Umno," kata beliau yang bekerja di sebuah industri di Perai.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Azizi Ayob dalam kenyataannya meminta Umno memberhentikan tindakan mereka menonjolkan Putera Umno dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan khususnya bola sepak negara.
Selagi Umno mencampur adukkan politik dalam sebarang sukan mutu kesukanan negara sukar ditingkatkan."Biar orang yang benar-benar jiwa sukan menerajui kepimpinan sukan negara baru ada peningkatan bukannya asyik orang politik sahaja, " tegasnya

Hishammuddin mahu tindakan tegas ke atas RTM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Hrkh) - Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu tindakan yang tegas diambil ke atas Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana menayangkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. menerusi siaran Berita Mandarin di saluran TV2 pada 3 Februari lepas.
Sambil menyifatkan tindakan RTM itu sukar untuk dipertahankan, Ketua Pemuda Umno itu berkata, penayangan karikatur itu merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan tindakan yang tegas harus diambil.
"Sekiranya karikatur itu adalah karikatur asal yang sebelum ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia, bagi saya susah mereka (RTM) dapat mempertahankan diri mereka.
"Susah juga untuk saya mempertahankan RTM sendiri," kata beliau.Beliau mahu mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menapis dan menentukan apa yang disiarkan oleh RTM disiasat.
"Siasatan yang dijalankan akan menjadi satu pengajaran supaya tidak mengambil mudah perkara yang berhubungkait dengan agama dan isu perkauman," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terdahulu dipetik sebagai berkata pengurusan RTM akan dipanggil bagi membuat penjelasan berhubung penayangan karikatur tersebut.
Najib berkata perkara itu perlu disiasat secara mendalam memandangkan ia telah sampai ke pengetahuan kerajaan.
New Straits Times (NST) mendedahkan RTM menerusi siaran Berita Mandarin di saluran TV2 pada 3 Februari lepas menayangkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW dan telah menyerahkan salinan program berita itu kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Khamis.

Zam dulu lantang
Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin, yang sebelum ini begitu lantang mengecam NST kerana menyiarkan kartun yang mempersendakan Nabi, enggan memberikan apa-apa ulasan selain, "Saya tak mahu kata begitu" ketika ditanya mengenai tindakan RTM itu.
Apabila terus ditanya, beliau berkata, apa yang telah berlaku dalam masa yang singkat itu telah menyedarkan lagi semua pihak mengenai "kebebasan akhbar yang bertanggungjawab".
"Kita belajar dan terus belajar mengenai kebebasan akhbar. Kita dah ada dah (tapi) kadang-kadang kita lupa," katanya.
Selain RTM, TV3 dan ntv7 juga dilaporkan menayangkan kartun menghina Nabi itu.

Hanya agama mampu kawal nafsu buas manusia - MB

PENGKALAN CHEPA, 25 Feb (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan hanya agama yang dapat mengawal nafsu manusia kerana mereka mampu membezakan di antara perbuatan halal dan haram.

"Nafsu ada yang baik dan buruk. Tetapi untuk mengawal nafsu yang buruk hanya agama sahaja ubat yang mujarab. Kita adalah hamba Allah, bukan rakyat Allah. Jadi sebagai hamba kena ikut segala suruhanNya.

Berucap merasmikan Himpunan Peserta Kem Kenegaraan 2005 pelajar-pelajar sekolah agama, di sini malam semalam katanya, hanya mengingatkan dosa dan pahala sahaja manusia dapat mengawal nafsu.

Katanya juga, biar pun di atas dunia ada polis bagi mengawal manusia, namun masih ramai melakukan jenayah kerana mereka tidak mengambil pertimbangan soal dosa dan pahala.
Sementara itu, anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Patah Mahmood berkata, peserta yang mengikuti program kenegaraan perlu mempunyai jati diri yang baik sehingga boleh menjadi pemimpin kepada rakan sebaya.

Katanya, mereka boleh membimbing rakan-rakan sebaya dengan menghebahkan mengenai kecantikan Islam sebagai 'role model' terbaik bagi kehidupan umat manusia. "Namun bagi mencapai matlamat itu, peserta mesti mendekat diri dengan Allah dan menjahui perkara-perkara yang ditegah agama," katanya.

Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Abdullah Mat Yusof berkata, program berkenaan diadakan bagi melahirkan remaja yang bertanggungjawab, mantap dan mampu memimpin masyarakat ke jalan yang benar.

Program selama dua hari itu diadakan di Kem Kijang Pantai Cahaya disertai 350 pelajar sekolah YIK dari seluruh Kelantan. Hadir sama Pengarah Urusetia Wanita, Belia dan Sukan, Haji Abdul Aziz Yunus, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Sekolah YIK, Ustaz Mohamad Ya dan Penolong Pengarah Bahagian Kenaziran, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad.

Imam Masjidil Haram kutuk serangan di Iraq

JEDDAH 25 Feb. - Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Saleh Al-Taleb mengutuk serangan ke atas masjid di Iraq dan memberi amaran ia akan menyemarakkan keganasan antara umat Islam di negara itu.

Menurut beliau, rakyat Iraq tidak harus terburu-buru menyalahkan orang lain atau membalas dendam, kata Sheikh Saleh dalam khutbah Jumaat yang disiarkan di televisyen ke seluruh dunia, semalam.

Iraq telah menyaksikan serangan balas dan kira-kira 200 kematian selepas pengeboman kawasan ibadat di Samarra, Rabu lalu dan sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai perang saudara yang mungkin meletus di negara tersebut.
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Ahad / 23 Februari 2006 )

Remaja gegar Singapura

Kecanggihan yang ada pada telefon mudah alih rupa-rupanya memberikan impak yang negatif terutama kepada remaja. Kecanggihan yang dikatakan seiring dengan kemajuan ekonomi negara memberikan persembahan yang buruk kepada mutu keruntuhan akhlak dan moral remaja masa kini. Bukan di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
SINGAPURA: Masyarakat Singapura kini heboh dengan penyebaran rakaman klip video aksi lucah seorang remaja lelaki dengan tiga remaja perempuan berasingan, termasuk yang berpakaian seragam sekolah di tangga pangsapuri awam.
Sebelum ini, adegan seks seorang pelajar Politeknik Nanyang dengan teman lelakinya disebarkan melalui internet apabila telefon bimbitnya dicuri.Akhbar Berita Harian Singapura melaporkan semalam, aksi dipercayai dirakam menggunakan kamera telefon bimbit, tersebar kepada orang ramai termasuk lebih 100 pekerja tersebar sejak akhir-akhir ini.
Seorang pembaca yang bimbangkan penyebaran klip berkenaan, bertindak menghubungi akhbar berkenaan selepas menerimanya. Tiga klip selama dua minit itu menunjukkan aksi lucah itu dibuat di kawasan tangga sebuah blok pangsapuri awam.”
Seorang remaja perempuan itu berpakaian sekolah manakala seorang lagi dipercayai pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).“Saya kecewa dan malu dengan perbuatan mereka, terutama remaja perempuan terbabit.
Mereka sanggup membiarkan perbuatan sumbang itu dirakam biarpun sedar diperhatikan orang,” kata pembaca yang enggan dikenali itu.Seorang lagi pembaca yang bertugas sebagai juruteknik yang juga enggan namanya disiarkan, klip berkenaan sudah ditonton lebih 100 sekerjanya.
Sementara itu, seorang peguam, Bala Murgam, berkata perbuatan menyebar klip aksi lucah itu sememangnya salah di bawah Akta Filem republik berkenaan.“Akta itu dengan jelas melarang perbuatan merakam baik menggunakan perakam video mahupun telefon bimbit, mengedar, menayangkan, mengimport atau memiliki klip video lucah.
“Ia menetapkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda sehingga S$40,000 (RM92,000) atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.”
sumber dari http://www.bharian.com.my ( Ahad / 23 Februari 2006 )

Syor boikot pilihan raya

BANGKOK: Pengkritik Thaksin Shinawatra semalam menolak keputusan Perdana Menteri Thailand itu yang mengumumkan pilihan raya umum 2 April depan, sebaliknya menggesa orang ramai memulaukan proses demokrasi itu.

Malah, penganjur dua bantahan jalanan anti kerajaan, termasuk yang akan diadakan hari ini, menegaskan apa mereka inginkan adalah supaya Thaksin meletak jawatan. Pemerhati pula menganggap pilihan raya tiga tahun lebih awal adalah taktik Thaksin mengalihkan tumpuan rakyat daripada bantahan antikerajaan besar-besaran sejak beberapa minggu lalu.
Jurucakap Pakatan Rakyat Demokrasi, Suriyasai Katasila yang terbabit menganjurkan bantahan berkenaan, semalam mengulangi desakan supaya Thaksin meletak jawatan.
“Itu yang harus dibuatnya, bukan mengadakan pilihan raya. Sehubungan itu, kami meminta semua rakyat memulaukan proses pemilihan berkenaan.
sumber dari http://www.bharian.com.my ( Ahad / 26 Februari 2006 )

Polis tangkap pemimpin pembangkang Filipina

MANILA 25 Feb. - Polis menangkap ahli Kongres pembangkang Filipina, Crispin Beltran dan seorang bekas jeneral polis hari ini, sehari selepas Presiden Gloria Macapagal Arroyo mengisytiharkan keadaan darurat bagi menangkis ancaman rampasan kuasa.

Beltran yang mengetuai perikatan berhaluan kiri, Bayan Muna ditangkap di kediamannya di pinggir kota ini.

Bekas jeneral polis, Ramon Montano ditangkap ketika sedang bermain golf di sebuah wilayah di selatan Manila apabila polis menahannya untuk disoal siasat.

Polis juga cuba menangkap dua lagi anggota Kongres Bayan Muna, Rafael Mariano dan Satur Ocampo semasa sidang media di sebuah hotel tetapi mereka berjaya melarikan diri, kata jurucakap Mariano, Jim Fernandez.

Polis turut melancarkan serbuan terhadap pejabat sebuah akhbar yang kerap mengkritik kerajaan Arroyo.

Mereka memasuki pejabat The Daily Tribune sejurus selepas tengah malam tadi dan merampas bahan editorial serta seikat surat khabar yang menyiarkan perisytiharan darurat itu.

''Kami diserbu. Mereka nampaknya datang tanpa membawa waran geledah,'' kata penerbit Daily Tribune, Ninez Cacho Olivarez.

Tindakan itu diambil pada hari ulang tahun ke-20 kejatuhan Ferdinand Marcos.

Arroyo dikecam hebat hari ini oleh pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh terkemuka Filipina.

Bekas Presiden, Fidel Ramos yang pernah mengetuai angkatan tentera Filipina memberi amaran langkah tersebut akan menjejaskan negara ini.

Saya bukan sahaja terkejut tetapi juga kecewa dengan perisytiharan itu,'' kata Ramos.

Beliau berpendapat langkah itu tidak wajar kerana tidak ada rampasan kuasa yang berlaku dan menganggap Arroyo telah bertindak secara keterlaluan.
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Ahad / 26 Februari 2006 )

Friday, February 24, 2006

Mecca Cola laris selepas isu hina nabi

DUBAI: Penjualan Mecca Cola, sejenis minuman cola dikeluarkan syarikat Arab, dilaporkan begitu laris dan meningkat sehingga tiga kali ganda di beberapa negara Islam dan Barat, termasuk Malaysia selepas tercetusnya bantahan besar-besaran berikutan penghinaan Nabi Muhammad menerusi penyiaran karikatur oleh media Eropah.
Pengerusi syarikat Mecca Cola World Co, Taoufik Mathlouthi, berkata kontroversi itu ternyata memberi pulangan lumayan kepada syarikatnya yang kini tidak menang tangan memenuhi permintaan tinggi terhadap minuman itu.
“Anggaran permintaan Mecca Cola di Malaysia, antara pasaran utama kami adalah 500,000 tin sebulan, tahun lalu. Tetapi kini, pihak pengedar mahukan sebanyak 1.5 juta tin sebulan.
“Malah, perkembangan sama turut dicatatkan di negara lain seperti Algeria, Yaman serta Perancis. Buat masa ini, sukar bagi kami untuk memenuhi permintaan yang besar itu,” katanya kepada agensi berita Reuters di sebuah pameran antarabangsa di Dubai, kelmarin.
Mecca Cola yang diperbuat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah minuman ringan yang dijual sebagai tanda protes terhadap Amerika Syarikat dan Israel dan dipasarkan kepada pengguna Arab dan negara Islam lain sejak tiga tahun lalu.
Ia mula dijual di Perancis pada 2002 selain turut dieksport ke Eropah dan negara Arab.
Mathlouthi berkata, syarikat itu kini dalam proses untuk disenaraikan di pasaran saham Dubai yang mungkin memakan masa lebih setahun untuk selesai

Pengurusan NSTP dikesali, enggan bersemuka Ketua Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - PAS kesal dengan layanan pengurusan New Straits Times Press (NSTP) yang hanya mahu menerima memorandum bantahan pemecatan editornya serta desakan permohonan maaf dilakukan di hadapan pintu pagar masuk bangunannya di Jalan Riong, di sini.

Rasa tidak puas hati itu diluahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum dalam demonstrasi aman selepas menunaikan solat Jumaat, di Masjid Abu Bakar As-Sidik, Bangsar.

Lebih 1,500 umat Islam menyertai demonstrasi aman membantah penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w. dalam lakaran Wiley Miller di muka surat L8 ruangan Coffee Break di akhbar sisipan 'Life and Style' NST pada 20 dan 21 Februari, yang menggambarkan mesej sinis dan menghina kemuliaan Nabi Muhammad dan Nabi Nuh a.s.

Bagaimanapun, demonstrasi itu berada lebih kurang 500 meter dari pejabat NSTP kerana dihalang oleh pasukan keselamatan polis dan pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) untuk mendekati pejabat tersebut.

Hadirin melaungkan; `Boikot NST, jahanam NST, hancur NST, Allahu Akbar' serta membawa slogan `NST ejen Singapura', Don't Insult the Prophet'.
Menurut Salahuddin, walaupun pihak akhbar NST telah meminta maaf di atas kesilapan tersebut, mereka sebenarnya tidak ikhlas dengan permohonan maaf itu.

Katanya, pihak PAS akan sentiasa memantau semua akhbar tempatan supaya kesilapan yang disengaja itu tidak akan berulang.

Dalam sidang media itu, beliau berharap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membenarkan pihak polis membuat penyiasatan tanpa ada campurtangan daripada mana-mana pimpinan politik.

Katanya, PAS turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang menjadi dalang NST supaya dipecat serta merta.

Ketika sidang medianya, sebuah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlegar-legar di kawasan demonstrasi sebanyak tiga kali dan berhenti selama tiga saat di tempat pimpinan PAS di kelilingi wartawan dan jurugambar.
Turut serta dalam penyerahan memorandum ialah Naib Presiden PAS, Husam Musa; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad; Timbalan Ketua Pemuda KeADILan, Samsul Iskandar Md Akif dan Ketua Penerangan PKR, Badrulhisam Sharil.

Wakil NST, Pegawai Kanan Perhubungan Korporat, Wan Abdilah Wan Nasrawi menerima memorandum tersebut dan berjanji akan menyerahkan memo itu kepada pihak pengurusan

PM kata kes NST selesai, PAS tidak puas hati

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyifatkan kes kartun menghina Nabi dalam akhbar NST selesai selepas akhbar itu menyiarkan permohonan meminta maaf hari ini namun PAS tidak berpuas hati dengan pendirian Perdana Menteri itu bahkan setuju cadangan tindakan yang diberikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Abdullah dalam kenyataannya kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini berkata isu kartun yang didakwa menghina Nabi dalam NST selesai selepas akhbar itu memohon maaf dan tidak akan ada sebarang tindakan lagi akan diambil ke atas akhbar atau kakitangannya.

Tetapi Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang selepas mengetahui pendirian Perdana Menteri itu melahirkan rasa kesal dan marahnya.

"Mana boleh selesai begitu sahaja. Selepas ini sapa-sapa saja boleh membuat perkara yang sama. Lepas itu minta maaf dan selesai," kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau lebih bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mencadangkan agar tindakan perlu diambil kepada petugas akhbar berkenaan yang membuat salah dan bukannya menghukum akhbar itu sebagaimana dibuat ke atas Sarawak Tribune.

"Tulisan permohonan maaf oleh NST juga nampak sangat tidak ikhlas dan masih mempertahankan kartun itu. Aku tak salah, oleh kerana kamu rasa aku salah, aku minta maaflah. Itu bentuk minta maaf NST. Mana boleh macam tu," kata Ahmad Awang.

Pengarang NST ceria

Sementara itu, Harakahdaily dimaklumkan, Timbalan Pengerusi NSTP Dato' Kalimullah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP masuk ke pejabat mereka pagi tadi dengan penuh ceria dan gembira.

"Boleh jadi mereka sudah tau apa yang PM akan kata pagi ini," kata satu sumber dari pejabat NST.

Maaf, maaf...selesai

Sementara itu, di Pulau Pinang, Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hassan Ali dalam kenyataannya mengingatkan kerajaan negara ini agar jangan terlalu senang menerima perkataan 'maaf' dari mana-mana akhbar yang sengaja mengganggu sentiviti umat Islam selepas menyiarkan karikator walaupun berbentuk sinis terhadap Islam. Ketika di temui selepas menyampaikan kuliah di Sungai Lokan, Butterworth, beliau berkata, perkataan 'maaf' seolah dipermainkan sekarang ini ekoran ketidak telusan tindakan yang diambil oleh kerajaan selama ini.

'Bila buat salah minta maaf, lepas itu akhbar lain pula meniru langkah serupa. Apa ni, mana dia Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang kononnya akan mengenakan tindakan seadilnya, " tegas beliau.

Sebelum ini, Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily digantung permit kerana menyiarkan kartun yang menghina Nabi tetapi RTM 2 dan TV3 yang menyiarkan kartun yang sama sehingga kini tidak diambil sebarang tindakan.

Langkah akhbar NST menyiarkan kartun lain yang sinis terhadap mereka yang membantah penghinaan terhadap Rasulullah pula selesai hanya dengan memohon maaf sahaja walaupun permohonan maaf itu berbelit-belit dengan mempertahankan diri seolah-olah mereka tidak bersalah.

BANTAH NST...

Beribu-ribu bararak ke pejabat akhbar New Straits Times (NST) di Jalan Riong, Bangsar hari ini bagi membantah tindakan akhbar berkenaan menyiarkan kartun yang dianggap menghina Nabi.
Permohonan maaf akhbar itu tidak mencukupi bagai mereka sedangkan Perdana Menteri sendiri berkata, ia sudah cukup. Tidak akan ada tindakan susulan dibuat ke atas akhbar itu walaupun pelbagai cadangan tindakan dibuat termasuk dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri.

Unit baru militan selepas Azhari

JAKARTA 23 Feb. - Kematian pakar bom Jemaah Islamiah (JI), Dr. Azhari Husin tahun lepas tidak melumpuhkan pertubuhan itu, sebaliknya JI telah berpecah kepada unit-unit bebas yang terus merekrut pengebom berani mati di Indonesia.

Satu dokumen agensi perisikan Indonesia yang diperoleh oleh Associated Press menyatakan, anggota kanan JI terus menjalin hubungan dengan militan lain di Afghanistan, Filipina dan Thailand serta mereka yang dipenjarakan di Indonesia.

JI didakwa mendalangi lima serangan pengebom berani mati yang membunuh lebih 240 orang di Indonesia.

Puluhan anggota pertubuhan itu ditangkap dalam tempoh empat tahun lalu dan pada November lalu, polis menembak mati Azhari di pulau Jawa.

Unit itu dikenali sebagai `Thaifah Mansurah' (Pasukan Pemenang) dan beroperasi secara bebas, menurut dokumen sulit 33 muka yang didraf awal bulan ini.
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Jumaat / 24 Februari 2006 )

Salurkan Palestin dana - Iran

JAKARTA 23 Feb. - Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki hari ini menyeru negara-negara Islam menyalurkan dana kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) pimpinan Hamas selepas negara-negara Barat mengancam untuk menghentikan bantuan kewangan.

''Kita memikul tanggungjawab sebagai negara-negara Islam untuk membantu saudara kita di Palestin,'' kata Manouchehr kepada wartawan semasa lawatan singkat ke Indonesia.

Menurut beliau, rancangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk memungut sumbangan dan memberikan bantuan institusi kepada Hamas hendaklah disokong.

Iran mempunyai strategi politik serantau yang hampir sama dengan Hamas.

Kedua-duanya tidak mengiktiraf Israel dan telah menggesa agar negara Yahudi itu dimusnahkan.

Hamas menolak tuntutan Barat supaya ia menghentikan serangan terhadap Israel, mengakui hak Israel untuk wujud dan mematuhi perjanjian damai yang lepas antara Israel dengan PA.

Dalam pada itu, Arab Saudi berkata, ia akan terus memberikan bantuan kewangan kepada PA walaupun Hamas mengetuainya.

Menteri Luar Saudi, Putera Saud Al-Faisal menegaskan pendirian negaranya itu dalam satu sidang media semalam selepas menemui Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice.

''Kami tidak mahu mengaitkan bantuan antarabangsa kepada penduduk Palestin dengan pertimbangan lain selain keperluan kemanusiaan yang mendesak,'' kata Saud
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Jumaat - 24 Februari 2006 )

Thursday, February 23, 2006

Karikatur Nabi: Clinton gesa rundingan

MELBOURNE 22 Feb. - Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton menggesa pemimpin-pemimpin Barat dan Islam mengadakan perbincangan berikutan tercetusnya kemarahan umat Islam berhubung penyiaran karikatur Nabi Muhammad.

Bantahan di serata dunia terhadap paparan karikatur itu yang mulanya disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark mengakibatkan beberapa orang terbunuh dan bangunan dibakar dengan lontaran bom.

Clinton memberitahu forum perniagaan global di Sydney adalah penting untuk mengesan punca dan mencari sebab-sebab penyiaran karikatur itu.

''Saya fikir kita perlu berusaha menyelesaikan kehebohan (mengenai karikatur) ... dan menggunakannya untuk berdialog,'' Australian Associated Press menyebut Clinton sebagai berkata.

''Ada sesiapa di sini tahu sama ada pelukis berkenaan sedar bahawa ia adalah satu cercaan bila melukis gambar Nabi Muhammad?

''Kita boleh gunakan perkara ini untuk membina jambatan dan bukan membakarnya, malah kita perlu melakukan lebih dari itu.''

Clinton membuat kenyataan itu selepas menyampaikan ucapan yang menyentuh pelbagai perkara kepada kira-kira 1,000 ahli perniagaan.

Dalam ucapannya, Clinton berkata terdapat keperluan bagi negara-negara bekerjasama rapat untuk mengatasi masalah kepanasan global, seperti mana banyak negara berusaha menentang keganasan.

Clinton berkata beliau yakin terdapat peluang tercapainya muafakat damai antara Israel dengan Palestin, tetapi tidak antara AS dengan pemimpin al-Qaeda, Osama Bin Laden.
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Khamis / 23 Februari 2006 )

Iran janji bantu Hamas

TEHERAN 22 Feb. - Iran hari ini berjanji akan menghulurkan bantuan kewangan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) berikutan ancaman negara Barat untuk menghentikan bantuan kepada kerajaan pimpinan Hamas.

''Kami sudah tentunya akan memberi bantuan kewangan kepada kerajaan itu supaya mereka mampu menghadapi penindasan Amerika Syarikat (AS),'' kata Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Iran, Ali Larijani menurut laporan agensi berita pelajar ISNA.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan pemimpin politik Hamas, Khaled Meshaal yang melakukan lawatan ke negara serantau untuk meminta bantuan kewangan.

''Kami berharap kerajaan baru Palestin mengatasi masalah yang dihadapinya dengan bantuan negara Islam seperti Iran,'' ujar Ali.

Presiden AS, George W. Bush berkata semalam, PA pimpinan Hamas tidak patut mendapat bantuan kewangan sehingga ia mengiktiraf Israel

Pemuda PAS anjur demo bantah NST Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) - Setelah 24 jam berlalu dan permintaannya agar memohon maaf tidak diendahkan, Pemuda PAS mengambil keputusan membuat demo aman di perkarangan pejabat akhbar New Straits Times (NST) sebaik sahaja selesai Solat Jumaat esok.

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata demo itu akan bermula di Masjid Abu Bakar Bangsar dan mereka akan berarak ke pejabat NST selepas itu secara beramai-ramai.

Jam 11 pagi 22 Februari semalam, Pemuda PAS mengantar surat kepada NST memohon akhbar berkenaan memohon maaf kepada umat Islam kerana menyiarkan kartun yang dianggapnya menghina Nabi Muhamad dalam akhbar itu pada 19 Februari.

Surat yang dihantar melalui mesin faks kepada Ketua Pengarang NSTP, Dato' Hishamuidn Aun itu memberikan tempoh 24 jam untuk NST berbuat demikian, jika tidak mereka akan mengadakan demo secara besar-besaran membantah kartun itu.

Tepat jam 11 pagi tadi berakhirlah tempoh 24 jam itu dan Salahudin terus menelefon Harakahdaily memaklumkan demo itu akan diadakan selepas permohonan mereka tidak diendahkan oleh NST.

Pada 20 Februari lalu, NST menyiarkan di muka 19 Life & Times kartun yang bertajuk Non Sequiter yang disifatkan sebagai menyindir pihak-pihak yang membantah kartun yang menghina Nabi yang disiarkan oleh akhbar Denmark.

Pada 21 Februari, Pemuda PAS dan beberapa pihak lain membuat laporan polis mengenainya. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dalam kenyataannya kesal dengan penyiaran kartun itu.

Nasib NST

Sementara itu, nasib NST kini bergantung kepada Kabinet kerana menurut Menteri Penerangan, Dato' Zainudin Maidin (Zam), Kabinet telah membuat keputusan mengenainya.
Sebelum ini, kerajaan telah menggantung permit Sarawak Tribune dan Guang Ming kerana menyiarkan semula kartun yang menghina Nabi yang diterbitkan oleh sebuah akhbar di Denmark.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas TV3 sedangkan Harakahdaily difahamkan, Buletin Utama TV3 turut menyiarkan semula kartun itu.

Zam pula telah mencadangkan dalam Mesyuarat Biro Penerangan Umno agar pengarang kanan NST dipecat kerana gagal melaksanakan agenda Umno di akhbar itu.

Zam - Menteri PeneranganCadangan itu disokong oleh dua anggota lain namun Pengerusinya, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib menolaknya dengan alasan forum lain perlu dicari untuk membuat cadangan sedemikian.

Perkara ini disahkan oleh Dato' Kalimullah Masyeerul Hassan, bekas Ketua Pengarang NSTP dalam tulisannya di NST sendiri.

Pengarang Kanan NST juga turut ditekan oleh beberapa pihak yang tidak senang dengan sikapnya yang tidak berapa menjaga kepentingan Umno tetapi lebih mementingkan profesionalismenya sebagai wartawan.

Kumpulan NSTP pula sedang menjalankan Skim Bersara secara sukarela (VSS). Namun, majoriti yang memohon dari NST adalah pengarang dan wartawan kanan berbangsa Melayu.

MB Kelantan sokong pendirian Habsah Jaafar bertudung

KOTA BHARU, 23 Feb (Hrkh) – Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh pendirian pengarah akaun sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur, Habsah Jaafar, 46 memakai tudung di tempat kerja.

Beliau berkata, memakai tudung bukan isu politik tetapi ia adalah masalah agama. “Agama inilah yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Beliau diminta mengulas pendirian Habsah yang terpaksa melepaskan jawatan dipegang sejak lebih 10 tahun lalu, semata-mata kerana mahu memakai tudung. Habsah dilaporkan mendakwa pihak pengurusan hotel terbabit memberi kata dua, sama ada mematuhi peraturan melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, arahan bertudung sudah lama sudah dibuat di Kelantan termasuk kepada pekerja-pekerja wanita beragama Islam di pasar raya.

“Saya minta pegawai, kakitangan kerajaan negeri serta rakyat Kelantan yang beragama Islam bertudung. Ini kerana bertudung adalah perintah Allah. Bertudung boleh menyelamatkan nafsu buas remaja nakal apabila melihat kecantikan perempuan.

“Soalnya kerana apa kita buka tudung, tetapi duit pula kita sembunyikan daripada orang ramai melihatnya. Duit kita bawa cermat dalam beg, kemudian sorot pula dalam poket supaya orang tidak nampak,” ujarnya.

Menurutnya, orang yang tidak bertudung ibarat dia sengaja dedah duit sendiri kepada orang lain sehingga menyebabkan pencuri mudah merompaknya. “Kenapa dalam soal duit kita lebih beringat dan aurat pula sanggup dedahkan.

Bila berlaku rogol kita pula menjadi masalah. Selepas itu baru sibuk dengan polis dan orang kampung. Kalau kita hendak jual sangat maruah diri, maka ada orang yang mahu membelinya dengan murah,” katanya.

Oleh itu beliau menyokong penuh tindakan wanita terbabit dan mendoakan kepada Allah supaya kes tudung tersebut tidak sampai memalukan Malaysia sebagaimana malunya sesetengah negara Eropah yang melarang pelajar Islam bertudung di sekolah.

Beliau juga melahirkan rasa pelik perkara itu boleh berlaku sedangkan Islam adalah agama rasmi negara. “Cuma pemerintah menyempit tafsiran agama kepada perkara-perkara ritual sahaja. Kalau Islam sudah menjadi agama rasmi ia mesti diperluaskan termasuk melaksanakan hokum hudud.

“Hudud ini agama dan bukan hudud PAS seperti yang pernah disebut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” ujar beliau.

Sementara itu, Persatuan Pekerja Islam Kelantan (PPIK) menganggap tindakan pengurusan sebuah hotel melarang pekerja Islam bertudung sebagai mencabul hak asasi dan kebebasan beragama di negara ini.

Setiausaha Kehormat, Che Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan itu mencabar kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Selain itu katanya tindakan tersebut dilihat sebagai meniru langkah kerajaan Perancis dan Singapura melarang pelajar Islam bertudung ke sekolah.
“Pengurusan hotel terbabit tidak seharusnya mengamalkan peraturan yang mengenepikan hak-hak individu Islam bagi mempraktik cara hidup yang dituntut oleh agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, PPIK membantah keras tindakan pihak pengurusan hotel berkenaan dan melahirkan rasa amat kesal serta sedih kerana ia berlaku di Malaysia, iaitu negara yang diisytiharkan sebagai negara Islam.

PPIK juga mendesak Kementerian Sumber Manusia menyiasat pihak pengurusan hotel terbabit dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membela kebebasan dan hak pekerja-pekerja Islam.

Menurutnya juga, pihak pengurusan hotel terbabit perlu menarik balik peraturan sedemikian dan memberi keadilan serta hak yang sewajarnya kepada semua kakitangan.

Ezam ucap “Selamat Tinggal” pada politik

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Ezam Mohd Nor akhirnya secara terbuka mengumumkan akan meninggalkan arena politik menjelang hujung tahun ini.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan malaysiakini, beliau mendedahkan, bukan sahaja akan meletakkan jawatannya sebagai ketua sayap pemuda PKR, malah tidak berhasrat untuk memegang jawatan lain dalam part itu.

“Saya tidak berhasrat memegang jawatan lain yang lebih tinggi. Jawatan Ketua Pemuda ini adalah yang terakhir bagi saya di dalam parti ini. Tapi saya tidak akan keluar dari parti, saya akan kekal sebagai ahli biasa,” jelasnya. Apabila ditanya bila “perletakan jawatan rasmi” akan bermula, Ezam berkata, dia merancang untuk memngundurkan diri sebelum berlangsungnya perhimpunan tahunan PKR akan datang yang dijadualkan Disember tahun ini.

“Secara teknikalnya tempoh perkhidmatan saya berakhir pada hujung 2007. Saya sudah nyatakan saya tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan akan datang.
“Tapi saya tidak akan tunggu hingga tempoh berkenaan berakhir. Saya bersedia mengundur diri lebih awal untuk memberi peluang dan ruang secukupnya kepada barisan pelapis mengambilalih,” tambahnya.

Ezam bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk kembali semula ke arena politik apabila situasi bertambah baik bagi parti-parti pembangkang.

Dalam kongres tahunan PKR yang baru lalu, Ezam, salah seorang orang yang paling rapat dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan dari Angkatan Pemuda PKR.

Tindakannya itu telah menimbulkan spekulasi beliau mungkin menyertai semula Umno. Ezam bagaimanapun telah berkali-kali menafikan spekulasi tersebut.

Ezam yakin keputusannya meninggalkan politik tidak akan mengejutkan para pemimpin PKR kerana mereka telah diberitahu berhubung perkara itu seawal September tahun lalu ketika Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas enam tahun merengkok di penjara.

Gerakan Anti-Korupsi

“Saya memang berniat untuk menamatkan era saya dengan pemuda PKR selepas Anwar dibebaskan. Saya percaya ini adalah masa yang tepat untuk berundur. Malah saya telah mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan saya dalam sayap parti ini pada kongres tahunan 2004,” ujarnya.

Bagaimanapun para pemimpin PKR termasuk Anwar telah memujuknya supaya menangguhkan hasratnya bagi mengelakkan sebarang gangguan atau masalah dalam proses penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia.

Beliau telah mengulangi hasratnya untuk berundur sekali lagi kepada Anwra dan pemimpin PKR dalam kongres parti tahun lalu dan kali ini mereka merestuinya.

“Mereka bersetuju tetapi mahu saya mengumumkannya selepas tamat kongres berkenaan. Mereka mahu kongres itu berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi dan saya menyetujuinya,” jelas beliau lagi.

Sambil menyatakan beliau telah memberikan sumbangan secukupnya kepada parti sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu, Ezam mengakui terdapat ruang yang amat terhad bagi parti-parti pembangkang melakukan perubahan di negara ini.

Menyedari hakikat itu beliau mengambil keputusan untuk mencuba “sesuatu yang baru” bagi meneruskan agenda reformasinya.

“Saya mahu melihat sama ada lebih berkesn memperjuangkan perubahan dari luar arena politik. Saya telah mencubanya dari dalam parti tetapi nampaknya ruangnya terlalu terhad.

“Kita mempunyai masyarakat yang tidak begitu tahu tentang hak dan prinsip asas demokrasi termasuk kebebasan media dan hak bersuara . Jadi usaha perlu dibuat untuk kembali kepada asas, mendidik mereka berhubung isu-isu tersebut,” jelasnya.

Ezam berkata, oleh sebab itu beliau menubuhkan badan bukan kerajan (NGO) Gerakan Anti-Korupsi (Gerak) beberapa bulan lalu. Keputusannya untuk berjuang melalui NGO juga bertujuan menghilangkan presepsi bahawa perjuangannya selama ini hanya untuk membebaskan Anwar.
Mengenai penggantinya dalam pemuda PKR, Ezam berkata, Naib Ketua sekarang, Shamsul Iskandar Mohd Akin adalah calon terbaik.

“Dia adalah pilihan ahli-ahli pemuda , Dia masih muda, berumur bawah 35 tahun dan aktif terlibat dalam gerakan pemuda sejak beberapa tahun lalu.

“Ramai menganggapnya sebagai tokoh yang berbakat besar. Saya mempunyai keyakinan padanya,” katanya.

Hina Nabi, NST disyaki ada agenda tersembunyi?

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Akhbar New Straits Times Press (NSTP) dilihat semakin jelas mempunyai satu agenda kerana disyaki dengan sengaja berniat menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w, tegas Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Dakwaan itu berasaskan kepada tindakan akhbar itu berulang kali menyiarkan karikatur membabitkan sensitiviti umat Islam.

Pertamanya, pada 20 Februari lalu menyiarkan karikatur Nabi Muhammad s.a.w dan pada 21 Februari pula menyiarkan karikatur bahtera Nabi Noh (a.s). Sikap tidak bertangungjawab dan biadap akhbar berkenaan tidak boleh dibiarkan khasnya oleh umat Islam, tegasnya.

"Mereka perlu meminta maaf secara terbuka.Semalam kami telah membuat laporan polis mengenai karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w dan hari ini mengenai lakaran kartun bahtera nabi Noh pula," katanya ketika mengadakan sidang media di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, dekat sini hari ini.

Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalannya, Ustaz Idris Ahmad; Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman dan Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusuf.

Pada pukul 11.00 pagi tadi (22 Februari) satu surat desakan difakskan kepada Ketua Pengarang Kumpulan NST, Dato' Hishamuddin Aun supaya pengurusan NSTP meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam dalam tempoh 24 jam, katanya.

Beliau memberi amaran, jika akhbar tersebut tidak meminta maaf, Dewan Pemuda PAS Pusat akan terus mengerahkan seramai mungkin orang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat di hadapan bangunan NSTP pada 24 Februari ini.

"Saya amat kesal dengan kenyataan yang dibuat pihak NSTP dalam jawapannya hari ini yang secara nyata meletakkan kesalahan itu dengan mengaitkan kesalahan tersebut sebagaimana dilakukan akhbar Sarawak Tribune dan akhbar Guang Ming Daily daily,

"Sepatutnya NSTP belajar dari kesilapan ini dan dalam laporan polis semalam saya menyatakan bahawa semua akhbar di negara ini perlu belajar dengan apa yang berlaku di Denmark yang mencetuskan satu siri kemarahan umat Islam sehingga hari ini dan saya apa yang dikesal lagi, perkara tersebut berlaku di negara kita dan terus diulangi oleh NSTP," katanya.

Isu ini juga akan dilanjutkan kepada kerajaan iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan beliau berharap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menangani isu ini dengan tegas, katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar pula mendesak KKDN segera menggantung permit penerbitan dan cetak NST.
"Bagi saya kebiadapan NST ini perlu diajar, bukan hanya gantung dua bulan seperti yang dikenakan ke atas Guan Ming Daily, tetapi seharusnya enam bulan bagi mengajar kebiadaban mereka ini,"katanya ketika dihubungi selepas pulang dari Australia hari ini.

Beliau juga mengesyaki ada satu agenda tersembunyi di sebalik penyiaran karikatur itu yang didakwa sebagai agenda 'rakan kongsi NST' dari negara seberang, katanya.

Akhbar berbahasa Inggeris itu didakwa dengan sengaja menyiarkan karikatur yang menghina Islam di mana dihasilkan oleh pelukis yang sama iaitu Wiley Miller.

Masjid diletup

SAMARRA: Keadaan di Iraq tegang selepas beribu-ribu warga Syiah melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran sebagai tanda membantah serangan pihak tidak dikenali ke atas Masjid Emas Samarra menyebabkan kubahnya dan dua makam Imam Syiah rosak, di sini semalam.

Beribu-ribu penganut Syiah membantah sambil mengibarkan bendera hijau serta bendera Iraq dan menjerit: “Imam, kami tentera kamu!”.
Bantahan diadakan di Baghdad, Najaf, Karbala dan kota lain menyaksikan pemimpin dan penduduk Syiah berikrar membalas dendam.Tidak lama kemudian sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah lapan masjid Sunnah.
Iraq kian dicengkam perpecahan selepas dua bom meletup di masjid itu yang menempatkan Makam Imam Syiah ke-10 dan ke-11, Imam Ali al-Hadi serta Imam Hassan al-Askari.Ulama Syiah tertinggi, Ayatollah Ali al-Sistani mendesak kerajaan mengisytiharkan cuti umum selama seminggu tetapi Perdana Menteri, Ibrahim Jaafari cuma memberikan tiga hari.
Dalam kejadian pagi semalam, dua makam Imam Syiah di Samarra dimasuki beberapa lelaki berpakaian polis yang meletakkan bom yang letupannya menyebabkan sebahagian kubah emasnya rosak teruk.
“Sekumpulan lelaki berpakaian polis menyerang Makam Imam Ali al-Hadi pada jam 7 pagi (waktu tempatan). “Mereka berjaya mengatasi pengawal makam itu, meletakkan dua butir bom yang kemudian meletup,” kata polis.
Jurucakap polis, Kapten Laith Mohammed pula berkata letupan di Makam Askariya berlaku pada jam 6.55 pagi (waktu tempatan).Polis berkata, serangan itu adalah yang ketiga terbesar ke atas makam Imam Syiah.Makam terbabit adalah pusara persemadian al-Hadi yang meninggal pada 868 Masihi manakala anaknya, al-Askari pada 874M

98 dalam tahanan AS meninggal

LONDON: Seramai 98 tahanan Iraq dan Afghanistan terbunuh ketika berada dalam tahanan tentera Amerika Syarikat sejak Ogos 2002, kata pertubuhan hak asasi Human Rights First, semalam.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 34 disyaki atau disahkan kes bunuh diri secara sengaja atau disebabkan kecuaian, kata sekumpulan peguam Amerika kepada program ‘Newsnight’ televisyen Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Selain itu, mereka juga menunjukkan dokumen menekankan punca 11 lagi kematian meragukan selain lapan hingga 12 lagi tahanan diseksa hingga mati.
Malangnya, dakwaan ke atas pihak bertanggungjawab jarang sekali diambil dan hukuman pula terlalu ringan, kata laporan itu. Laporan itu disiarkan seminggu selepas gambar baru deraan Abu Ghraib disiarkan.
Ia juga mendakwa, seorang tahanan dipaksa terjun dari sebuah jambatan ke Sungai Tigris manakala seorang lagi dipaksa masuk ke dalam beg tidur dan mati kerana sesak nafas.
Pertubuhan Amnesty International UK menuntut siasatan dilakukan ke atas kematian tahanan terbabit.Jurucakapnya berkata: “Kami mahu Amerika dan sekutunya membenarkan siasatan bebas sepenuhnya dilakukan terhadap kematian itu selain insiden meningkat seksaan dan layanan buruk lain.”

SIASAT SEGERA...

Ustaz Azman Shapawi mengetuai kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pagi ini (23 Februari)berhubung penyiaran kartun yang menghina Rasulullah SAW. oleh akhbar NST pada 20 Februari lalu. Beliau berharap polis menyiasat segera dan mengambil tindakan di atas laporan tersebut. ]

Wednesday, February 22, 2006

Umno cuba sempitkan minda rakyat – TG Nik Aziz

KOTA BHARU, 22 Feb (Hrkh) – Islam di bawah teraju Umno di negara ini dianggap semakin hari tambah tidak bermaya memandangkan rakyat disempitkan minda melalui proses "brain washing" yang panjang.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam dalam versi Umno adalah di luar dari kerangka sebenar yang diumpan dengan sekularisme kepada rakyat.

"Belia dan remaja kita disogok pula dengan faham kebangsaan lanjutan melalui Program Latihan Khidmat Negara. Proses indoktrinasi seterusnya bersambung dengan kem-kem Bina Negara dan berakhir dengan akujanji bagi setiap anggota penjawat awam.

"Lalu dari atas loteng kuasa, satu jala besar OSA, ISA, Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan lain-lain. Di tangan sekumpulan pemimpin nasionalis, Malaysia dipandu oleh ‘drebar-drebar’ yang tidak berlesen," katanya dalam tulisan terbarunya, hari ini. (ikuti tulisan lanjut dalam ruangan rencana).

Beliau berkata, Umno meninggalkan roh dan cuma mementingkan jasad, sedangkan sepatutnya Islam diterima dengan iman, roh dan badannya. "Iman untuk roh manakala syariat Islam untuk mengatur tubuh badan dan kehidupan.

"Sebarang pembangunan wajib mengandungi komponen ini. Malangnya Malaysia dipimpin oleh orang yang keliru dan mengelirukan. Kemudian Umno dianjur oleh pemimpinnya untuk bercakap mengenai Islam dalam keadaan yang dia sendiri tidak faham," katanya.

Beliau juga berkata, kekeliruan dapat dilihat apabila Perdana Menteri selaku Pengerusi OIC tidak bersetuju dengan langkah pemboikotan barangan Denmark, sedangkan hampir seluruh anggota OIC menyatakan protes ekoran penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut beliau yang juga Mursyidul Am PAS, rakyat di negara ini semakin terkejut ekoran pendedahan Mufti Perak, Dato’ Harussani Zakaria terdapat seramai 250,000 orang Islam yang murtad di seluruh negara.

"Inilah bencananya apabila Malaysia dipimpin oleh sebuah parti kebangsaan yang meninggalkan Islam," ujarnya

Propaganda Yahudi Mengenai Masjidil Aqsa

Kekeliruan antara Masjid Al-Aqsa dan Dome of The Rock
Melihat pada gambar di atas, tentunya ramai yang menyangka bahawa masjid di atas adalah Masjid Al-Aqsa. Jika diperhatikan denga teliti, kita akan dapat melihat sebuah lagi kubah berwarna hijau yang kelihatan agak samar-samar. Percayalah, kubah yang berwarna hijau itulah Masjid Al-Aqsa yang sebenarnya.

Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi Umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah dengan perintah Allah SWT. Kini ia berada di dalam kawasan jajahan Yahudi. Dalam keadaan yang demikian, pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan Umat Islam dengan mengedarkan gambar Dome of The Rock sebagai Masjidil Aqsa. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu untuk meruntuhkan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Apabila Umat Islam sendiri sudah terkeliru dan sukar untuk membezakan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan tersebut.

Lihat pula gambar di bawah, berikut adalah gambar sebenar Masjidil Aqsa pada jarak yang lebih dekat. Betapa jauhnya perbezaan antara Dome of The Rock jika dibandingkan dengan Masjidil Aqsa. Hanya Jauhari juga yang mengenal Manikam

Agenda Israel menghapuskan Masjidil Aqsa


Berikut disertakan juga terjemahan daripada surat yang dikarang dan dikirimkan oleh Dr. Marwan kepada ketua pengarang "Al-Dastour" harian. Berhati-hatilah dengan perancangan zionist tentang Masjidil Aqsa. Jangan biarkan mereka berjaya dengan peracangan mereka.Terjemahan surat Dr. Marwan:


Terdapat beberapa kekeliruan di antara Masjidil Aqsa dan The Dome of The Rock. Apabila sahaja disebut tentang Masjidil Aqsa di dalam media tempatan mahupun antarabangsa, gambar The Dome of The Rock pula yang dipaparkan. Sebab utama ia dilakukan adalah bagi mengabaikan orang ramai dimana ianya adalah perancangan Israel. Tinjauan ini diperolehi semasa saya tinggal di USA, dimana saya telah dimaklumkan bahawa Zionis di Amerika telah mencetak dan mengedarkan gambar tersebut dan menjualkannya kepada orang arab dan Muslim. Kadangkala dijual dengan harga yang murah bahkan kadangkan diberikan secara percuma supaya Muslim dapat mengedarkannya dimana-mana sahaja. Tak kira di rumah mahupun pejabat.


Ini meyakinkan saya bahawa Israel ingin menghapuskan gambaran Masjid Al-Aqsa dari ingatan umat Islam supaya mereka dapat memusnahkannya dan membina kuil mereka tanpa sebarang publisiti. Sekiranya terdapat pihak yang membangkang atau merungut, maka Israel akan menunjukkan gambar The Dome of The Rock yang masih utuh berdiri, dan menyatakan bahawa mereka tidak berbuat apa-apa. Rancangan yang sungguh bijak! Saya juga merasa amat terperanjat apabila bertanya kepada beberapa rakyat arab, Muslim, bahkan rakyat Palestin kerana mendapati mereka sendiri tidak dapat membezakan antara kedua bangunan tersebut. Ini benar-benar membuatkan saya berasa kesal dan sedih kerana hingga kini Israel telah berjaya dalam perancangan mereka.

Dr. Marwan Saeed Saleh Abu Al-Rub Associate Professor, Mathematics Zayed University Dubai
Lain-lain gambar berkaitan:




sumber dari http://www.darulnuman.com

PAS kena ajar Umno

KEPALA BATAS: PAS kena ajar Umno supaya depa tahu yang mana hak kerajaan dan parti. Umno lazimnya buta kayu soal itu sebab itu depa buat apa sahaja walaupun hak kerajaan seperti sekolah, dewan orang ramai dan sebagainya. Yang syoknya, ada program yang diatur oleh kerajaan tapi dimanafaatkan oleh parti bak kata perpatah orang mengantuk di sorong bantal.
Contohnya, dalam bulan Ramadhan lalu peristiwa berlaku di sekolah Rendah Permatang Pauh di mana Bank Rakyat mahu serah wang zakat tapi depa jemput Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dato' Seri Hisyamuddin Tun Husein tolong serah.

Boleh dikatakan, dari luar pagar sampai ke dalam kawasan persekolahan semua ada bendera Umno macam sekolah itu markaz depa
Begitu juga dewan orang ramai, depa guna lancar program Umno macam Dewan Muhibbah Merbau Kudung dalam Dewan Undangan Negeri Sungai Dua (N05) yang kini 'dok tak dok' naik papan tanda lebel Umno.

Walhal, tanah dan hak dewan semua kepunyaan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara. Bila jadi hak Umno Pejabat Daerah pula mengalah dan terpaksa bina pula Dewan Besar Sungai Dua. Macam itu juga Umno guna bertalak!!!....

Sedangkan, jika PAS nak guna berbagai alasan di buat antaranya ada program pejabat la.. pertandingan badminton la.. atau dah ada orang sewa.

Kira-kira seminggu lalu berlaku lagi peristiwa Umno guna padang sekolah Menengah Agama Al-Irsyad, Pokok Sena untuk tujuan pertandingan bola sepak dan besbal. Puteri Umno pula guna padang berhampiran Jabatan Haiwan untuk pertandingan bola jaring. Kalau PAS pula pergi minta TUBA yakin pasti permohonan itu ditolak bulat-bulat. Guru Besar atau pengetua akan kecut perut bimbang periuk nasi terbang hilang pendapatan.

Tiba-tiba pagi tadi ketika TUBA melintasi Kepala Batas tiba-tiba terpampang sepanduk 'Karnival Bersama Puteri' di pagar Sekolah Rendah Kebangsaan Hashim Awang yang terletak berhampiran Pejabat POS Kepala Batas atau lebih senang berdekatan Komplek Dato' Kailan iaitu mercu tanda baru era Pak Lah. Nampak gayanya, Umno masih tidak mengerti apa itu hak kerajaan atau parti. Sebab itu terjadi begitu..sungguh memalukan.

Rupa-rupa depa sedang rancang guna sekolah untuk tarik pengunjung remaja masa karnival kelak. Pasti dapat tarik ahli sebab program sukan memang dapat perhatian semua peringkat.

Tidak mengapa, TUBA dah dapat kepastian PAS Kawasan Kepala Batas pula dah berpakat akan hantar surat pada Guru Besar sekolah berkenaan untuk tujuan program karnival tiga hari tiga malam dengan menjemput pimpinan PAS, Umno dan Badan bukan Kerajaan (NGO) berdialog atau forum yang ada kaitan dengan soal pendidikan.

Tentu Guru Besar akan cakap dia terpaksa akur kerana tekanan politik Umno. Sah! sekarang ini pemikiran orang PAS lebih tinggi statusnya dari orang Umno ekoran tidak faham yang mana hak parti atau kerajaan.

Oleh itu, sampai bila-bila perbezaan tetap ketara antara PAS dan Umno. Maka, sebagai rakyat buatlah pemilihan yang terbaik untuk memilih pemimpin. Jangan alfa sehingga boleh menjerat diri sendiri apabila terpaksa berputih mata selama lima tahun lagi.

Wang siapa bayar Abramoff, Dr Mahathir?

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Kalau wang kerajaan tidak digunakan untuk membayar pelobi Jack Abramoff bagi membolehkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu Presiden George Bush Mei 2002 lalu, wang siapa?

Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengesahkan sebanyak AS$1.2 juta (kira-kira RM4.6 juta) telah dibayar untuk melobi pertemuannya dengan Bush tetapi menafikan wang itu adalah wang kerajaan.

Lim juga mempersoalkan, jika wang kerajaan tidak digunakan, bagaimanakah mereka dari "sektor swasta" dibayar balik atau mendapat ganti rugi bagi aktiviti-aktiviti melobi mereka dan siapakah mereka?

Dr Mahathir, katanya, mestilah bercakap benar kerana tidak ada siapa yang percaya beliau tidak tahu mengenai operasi sulit menggunakan Abramoff untuk mengatur pertemuan itu dan sumber wang RM4.6 juta untuk membayar pelobi Yahudi itu.

Bahkan beliau juga meminta dijelaskan, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertemu Bush pada 19 Julai 2004, berapa banyak wang yang telah dibayar untuk melobi pertemuan itu dan adakah dibayar secara langsung oleh kerajaan atau secara tidak langsung oleh sumber-sumber bukan kerajaan serta siapakah pelobi yang ditugaskan untuk melaksanakannya?

Lim juga mendedahkan anak didik Dr Mahathir, iaitu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid bin Megat Ayob dinamakan oleh media-media antarabangsa sebagai tokoh utama yang mengetuai usaha-usaha sulit untuk mengatur pertemuan dengan Bush melalui bantuan Abramoff yang kini menghadapi tuduhan rasuah dan menipu.

Beliau juga menggesa Megat Junid yang juga bekas Ketua Penerangan Umno supaya tampil untuk menjelaskan peranannya dalam pembayaran RM4.6 juta bagi mengatur pertemuan Dr Mahathir dengan Bush itu

SIDANG MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT HARI INI JAM 11.00 PAGI BERKAITAN ISU PENGHINAAN TERHADAP NABI MUHAMMAD SAW DALAM AKHBAR NEW STRAITS TIMES

Adalah dimaklumkan bahawa YB. Salahuddin Bin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Pusat akan membuat sidang media berkaitan isu di atas seperti berikut :-

Tarikh : 22 Februari 2006 / bersamaan 23 Muharram 1427 (RABU)
Masa : 11.00 pagi
Tempat : Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak.


Semua wartawan dijemput hadir untuk membuat liputan.

Yang menjalankan tugas,
AHMAD SABKI YUSOF
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat

Penduduk Islam Hong Kong ditindas

HONG KONG: Minoriti penduduk Islam di Hong Kong semakin banyak menjadi mangsa layanan buruk dan diskriminasi sejak serangan ke atas Amerika Syarikat pada September 2001, menurut kumpulan antidiskriminasi dan pemimpin minoriti.

“Ramai penduduk di sini sewenang-wenangnya mengaitkan Islam dengan pengganas. Ia amat mengecewakan,” kata Chow Sau-fong dari Unison, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antidiskriminasi.
Beliau berkata, meskipun banyak peluang pekerjaan, penduduk Islam tidak diambil bekerja kerana mereka tidak bertutur bahasa Kantonis.“Memburukkan lagi keadaan apabila mereka tidak dianggap orang Cina ketika hadir pada sesi temuduga,” katanya.
Ada kira-kira 100,000 penduduk yang beragama Islam di Hong Kong yang terus berkembang pesat sebagai pusat kewangan dan perdagangan antarabangsa meskipun selepas wilayah itu dipulangkan oleh Britain kepada China.
Bagaimanapun, di sebalik mengamalkan dasar ekonomi liberal dan mengalami perkembangan pesat, penduduk Islam berulang kali mengadu mereka mengalami pelbagai kerenah birokrasi serta diskriminasi.
Penduduk Islam juga turut dilayan buruk oleh kerajaan terutamanya dalam usaha masyarakat berkenaan untuk membina masjid.
Tahun lalu, penduduk Islam mendapat kebenaran kerajaan membina sebuah masjid di New Territories dan kos berkenaan dianggarkan membabitkan HK$100 juta (RM48.256 juta).
Bagaimanapun, selepas itu, projek pembinaan masjid terbesar itu diarahkan membayar caj tambahan berjumlah RM37.7 juta

Hamas bentuk kerajaan campuran

BAITULMAQDIS 21 Feb. - Hamas yang diminta membentuk kerajaan baru Palestin kini berusaha untuk bergabung dengan kumpulan-kumpulan sekular.

Ismail Haniyeh, bekas pentadbir universiti dan penganjur pelajar untuk kumpulan militan Hamas, dicalonkan untuk memikul jawatan Perdana Menteri selepas Hamas mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen Palestin bulan lalu.

Tindakan beliau untuk bergabung dengan kumpulan sekular memperkukuhkan reputasinya sebagai seorang pragmatis yang lebih rela bertolak ansur daripada berbalah dengan puak-puak Palestin yang bermusuhan.

Ismail menemui Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas semalam dan seorang jurucakap berkata, Mahmoud akan menyampaikan permintaan bertulis kepadanya untuk membentuk sebuah kerajaan apabila mereka mengadakan rundingan pusingan kedua hari ini.
Ismail mempunyai tempoh selama lima minggu untuk membentuk kerajaan baru Palestin.
Semalam, para pegawai Hamas mengadakan rundingan mengenai soal pergabungan dengan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin iaitu sebuah kumpulan sekular berhaluan kiri.
Ismail berkata, beliau akan mengadakan satu pertemuan lewat minggu ini dengan anggota-anggota pergerakan Fatah pimpinan.

Ismail mula menjadi perhatian ramai selepas pembunuhan pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin dan penggantinya, Abdel Aziz Rantisi pada 2004.

Beliau mempunyai hubungan baik dengan Mahmoud dan telah memainkan peranan sebagai orang tengah di antara Hamas dan PA, yang dibentuk pada 1994 dan dikuasai oleh Fatah.

Palestin: Liga Arab gagal

ALGIERS 21 Feb. - Liga Arab gagal mencapai persetujuan mengenai soal bantuan untuk Palestin ketika ia mula diperintah oleh kumpulan Hamas, di tengah-tengah pertikaian mengenai komitmen daripada negara anggota pertubuhan itu.

Hanya tiga negara dalam Liga Arab menyumbang bantuan kepada Palestin, kata para pegawai Algeria selepas mesyuarat di sini yang berakhir lewat malam tadi.

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa dan Menteri Negara Algeria, Abdelaziz Belkhadem merayu pada mesyuarat itu kepada semua negara anggota untuk menghulurkan dana.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, mereka tidak menyatakan negara yang enggan menyumbang atau memberi butiran mengenai pertikaian yang timbul semasa mesyuarat.

Penyumbang terbesar kepada Palestin iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah telah mengancam untuk memotong bantuan langsung kepada Pihak Berkuasa Palestin sekiranya Hamas mengambil alih kerajaan.

Pemotongan itu boleh menimbulkan masalah politik yang serius kepada rakyat Palestin, kata Amr.

Bagi mendesak lebih banyak sumbangan daripada negara-negara Arab, beliau berkata, sumbangan itu ditujukan kepada rakyat Palestin dan bukan kepada Hamas.

Adalah tidak jelas sama ada negara-negara Arab boleh mengisi kekosongan bantuan asing yang menjadi penyumbang terbesar dalam bajet tahunan Palestin bernilai AS$1.9 bilion (RM6.99 bilion).

Keputusan akhir mengenai bantuan untuk Palestin dijangka dicapai pada sidang kemuncak bulan depan di ibu negara Sudan, Khartoum.

Di Washington, bekas Presiden AS, Jimmy Carter semalam berkata, tindakan menghentikan bantuan antarabangsa untuk masyarakat Palestin boleh mendatangkan kesan negatif yang akan hanya menguntungkan kumpulan militan Hamas.

Beliau berkata, AS sepatutnya menghulurkan bantuannya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Tindakan itu akan memberi gambaran kepada masyarakat Palestin seolah-olah hanya Hamas sahaja yang menjadi rakan mereka,'' kata Carter kepada CNN

Tuesday, February 21, 2006

Dr Mahathir tetap tidak puas hati prestasi Abdullah

PULAU PINANG, 22 Feb (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata tetap tidak berpuas hati dengan prestasi penggantinya, Datuk Seri Abdullah Badawi apabila beliau membangkitkan persoalan mengenai cadangan perjanjian antara Malaysia dengan Jepun
"Saya dengar ada cadangan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Jepun kononnya untuk membenarkan negara Jepun membawa masuk kereta import tanpa cukai dan dalam masa yang sama Jepun pula akan membenarkan kita mengeksport sayur ke negara itu tanpa cukai.
"Jika benar perkara ini berlaku, kerajaan harus mempertimbangkan nilai imbangan dagangannya dengan Jepun sama ada ianya rancangan yang berdaya maju daripada segi ekonomi atau sebaliknya," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga seolah-olah mengingatkan Abdullah tentang kecekapannya dalam mengendalikan ekonomi negara.

Beliau berkata, terdapat dua faktor bagi sesebuah kerajaan yang mahu memajukan negara iaitu mewujudkan suasana negara yang stabil dan kerajaan yang cekap.

Seakan-akan mengajar Abdullah, bekas Perdana Menteri mengingatkan, kerajaan yang cekap bukanlah sekadar menjadi kerajaan memerintah sahaja tetapi para pemimpinnya harus memahami usaha untuk mempertingkatkan ekonomi negara.

Mengenai tindakan kerajaan Abdullah memberi tumpuan kepada bidang pertanian sekarang, beliau berkata itu terpulang kepada kerajaan sekarang yang mahukan negara maju dalam bidang pertanian walaupun beliau dahulunya menumpukan kepada bidang perindustrian.

Pengaruh Mahathir

Dr Mahathir juga menolak anggapan bahawa wujud pengaruhnya dalam rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lepas.

Beliau hairan dengan dakwaan pihak tertentu kononnya beliau masih mempunyai kuasa untuk menentukan barisan kabinet kerajaan sekarang.

"Ada pihak mendakwa Perdana Menteri kononnya takut untuk membuang menteri yang saya lantik semasa zaman saya dan ini tidak benar sama sekali kerana pelantikan menteri adalah kuasa Perdana Menteri," katanya.

Beliau juga dilihat mengecam kerajaan Abdullah apabila melahirkan rasa kecewa kerana tiada sebarang perubahan dibuat dalam dasar pemberian Permit Import (AP) kenderaan walaupun beliau telah mendedahkan beberapa penyalahgunaan mengenainya.

Mahathir kecewa

"Saya kecewa, itulah yang boleh dikatakanpun, apa lagi nak kata sebab dasar masih macam tu juga," katanya.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat Proton berkata, beliau difahamkan setakat ini masih terdapat "dua orang" yang memegang AP dengan jumlah yang banyak dan mana-mana pihak yang mahu mengimport kenderaan, terpaksa merujuk kepada "dua orang" itu kerana mereka telah mempunyai perjanjian sebagai pembekal kereta import.

"Kenapa hampir 80 peratus AP masih diberi kepada orang yang sama, orang yang kita dah tegur itu, sedangkan telah berlaku penipuan mengenai AP apabila harga kenderaan yang dibawa masuk itu telah direndahkan bagi tujuan pengurangan cukai," katanya.

Dr Mahathir berkata jika dasar pemberian AP seumpama itu diteruskan, Proton akan kehilangan agihan pasaran dan mungkin cuma menguasai antara 10 peratus dan 20 peratus di negara sendiri.

Mengenai pengurusan Proton yang baru, Dr Mahathir berkata sebenarnya pengurusan syarikat pengeluar kereta nasional itu tidak pernah meminta nasihat daripada beliau walaupun beliau dilantik sebagai penasihat.

Hentikan Mahaleel

Beliau juga kesal dengan tindakan Proton menamatkan kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sedangkan Proton mencapai kejayaan yang baik semasa di bawah pengurusan Tengku Mahaleel.

"Saya cuma dimaklumkan sahaja selepas mereka membuat keputusan termasuklah keputusan menjual saham (pengeluar motosikal) MV Agusta dan menamatkan kontrak Tengku Mahaleel," katanya.

Ditanya kenapa pengurusan Proton tidak meminta nasihat beliau sebelum membuat sebarang keputusan, Dr Mahathir berkata: "Saya pun (rasa) pelik. Sebagai penasihat, saya yang dinasihat, dan mungkin mereka (pengurusan Proton) beranggapan untuk memaklumkan kepada saya mengenai sesuatu keputusan itu adalah dimaksudkan meminta nasihat."

Kepada soalan kenapa beliau masih memegang jawatan sebagai penasihat jika beliau tidak diminta memberi sebarang nasihat, Dr Mahathir berkata: "Saya ini mudah...orang lantik kita terimalah."

Percubaan Adun BN tolak Enakmen Ladang Rakyat gagal

KOTA BHARU, 21 Feb (Hrkh) – Suasana persidangan DUN Kelantan agak tegang hari ini ekoran Adun Barisan Nasional (BN) sepakat menolak rang undang-undang Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan 2006.

Ketegangan itu bermula apabila Norzula Mat Diah (BN – Paloh) menjerit dengan suara kuat menuduh kerajaan negeri mahu menipu rakyat, ketika Mohd Zaki Ibrahim (PAS – Kelaboran) sedang membahas enakmen tersebut.

Keadaan tegang berlarutan ketika persidangan DUN berlangsung pada peringkat jawatankuasa. Ketika itu, ketua pembangkang, Dato’ Seri Annuar Musa dan Adhan Kechik (BN - Bukti Bunga) pula mempertikaikan keputusan Speaker yang tidak membenarkan permintaan mereka untuk membincangkan penubuhan Perbadanan Ladang Rakyat pada Jawatankuasa Terpilih Dewan.
“Tuan Pengerusi tidak bersikap adil dan cuba bertindak berat sebelah,” katanya Annuar tanpa dapat menahan emosinya. Ekoran itu, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menangguhkan persidangan DUN untuk berhenti rehat ketika jam hampir 1 petang.

Dengan penolakan itu juga bermakna Adun BN tidak mahu kerajaan negeri membantu penduduk miskin melalui agihan dividen sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan. Ianya berpunca dari sindrom perkataan ‘rakyat’ yang digunakan pada enakmen tersebut.

Penyelia DUN Dabong, Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim berkata, Adun Barisan Nasional (BN) sensitif apabila disebut perkataan ‘rakyat’ memandangkan kegagalan program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) turut membabitkan pemimpin mereka sebelum ini.

“Sebab itulah mereka mahu perkataan rakyat ditukar kepada perkataan lain,” katanya sebagai mengulas penolakkan 22 Adun BN terhadap enakmen tersebut.

Sedangkan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob menjelaskan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diwujudkan bagi membantu rakyat miskin melalui bantuan bulanan dalam bentuk dividen, hasil keuntungan ladang.

Katanya, bantuan sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan akan diagih kepada peserta yang terpilih di kalangan penduduk miskin. “Tanah itu bukan diberi milik kepada syarikat yang diberi konsesi, sebaliknya ia adalah milik Perbadanan Ladang Rakyat.

Ketika undian hendak dibuat, seorang wakil pembangkang, Haji Kamaruddin Mohd Noor (BN – Semerak) meminta Speaker membilang undi dengan menanya seorang demi seorang. Kesemua 22 Adun BN menolak, manakala 23 Adun kerajaan menyokong.

Enakmen itu dilulus dengan kelebihan satu undi. Sementara itu, bekas pengamal undang-undang, Takiyuddin Hassan berkata, rang undang-undang tersebut boleh diluluskan dengan kelebihan satu undi kerana ia bukan melibatkan pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri.
“Rang undang-undang tersebut merupakan perkara biasa dan ia boleh diluluskan dengan kelebihan satu undi sekali pun,” katanya

Akademi Islam UM bakal dipindah ke Kuala Lumpur

KOTA BHARU, 21 Feb (Hrkh) - Persidangan DUN Kelantan hari ini dikejutkan apabila seorang wakil kerajaan mendedahkan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya di Nilam Puri akan dipindahkan ke Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Mohd Zaki Ibrahim (PAS – Kelaboran) berkata, usahkan hendak buat universiti baru di Kelantan, cawangan yang sedia ada pun hendak dipindahkan. Sedangkan katanya, pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir lalu, pemimpin Umno menjanjikan mahu membina universiti di sini.

“Kita berharap semua pihak mempertahankan supaya Akademi Pengajian Islam terus kekal di sini. Kita juga mahu Menteri Pengajian Tinggi yang berada di DUN ini juga menghalang usaha tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sebagai rakyat Kelantan kita bersetuju supaya universiti baru dibina di negeri ini biar di mana sekali pun, namun usaha hendak pindahkan Akademi Pengajian Islam hendaklah dihalang.

Bagaimanapun Norzula Mat Diah (BN – Paloh) mencelah dengan menyebut, “adakah orang Kelantan tidak boleh belajar sekiranya akademi itu dipindahkan ke Kuala Lumpur.” Pandangan Adun BN itu ditertawakan orang ramai yang hadir sebagai pemerhati.

Sementara itu, anggotaExco, Abdul Patah Mahmood kecewa kerana Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan gagal menjawab suratnya bagi mengadakan pertemuan untuk membincangkan pembangunan sukan di negeri ini.

“Saya sudah tulis surat kepada Pengerusi MSN untuk mengadakan perbincangan, namun surat yang dihantar pun tidak dijawab. Kalau hendak surat baru saya sedia menghantar semula,” katanya menjawab soalan tambahan Amran Mat Nor (BN – Selising).

sumber dari http://www.harakahdaily.net

Howard dakwa umat Islam taksub jihad

SYDNEY 20 Feb. - Perdana Menteri Australia, John Howard mengkritik penduduk Islam negara ini yang disifatkan sebagai `taksub terhadap jihad' dan `sikap melampau' terhadap wanita sekali gus tidak sesuai dengan masyarakat Australia.

Ulasan Howard itu dibuat dalam temu ramah untuk sebuah buku tulisan wartawan daripada sebuah akhbar Austrlia pada Disember lalu sempena 10 tahun memegang kuasa.

Malah Perdana Menteri Australia itu mempertahankan komennya dengan berkata, ia merupakan `hak dan tugasnya' untuk menyatakan pendapat.

Buku tersebut The Howard Factor, memetik beliau sebagai berkata, walaupun merasa yakin bahawa sebahagian besar imigran Islam berjaya diintegrasikan, terdapat masalah tidak pernah berlaku sebelum ini.

''Saya selalu berfikir adanya komplikasi seperti ini kerana terdapatnya pecahan kelompok yang benar-benar berbeza daripada masyarakat kita dan ini merupakan sesuatu yang sukar,'' kata Howard.

''Anda tidak akan menemui persamaan dalam masyarakat Itali, Greek atau Lebanon atau Cina atau Baltik yang datang berhijrah ke Australia. Tidak ada yang setara dengan melakukan jihad, tetapi ini merupakan masalah utama,'' katanya.

''Saya fikir terdapat sikap terhadap wanita juga menimbulkan masalah. Semua sikap konservatif terhadap wanita dan juga daripada Mediterranean, masih tidak setara jika dibandingkan dengan sesetengah sikap melampau,'' katanya.

NST HINA NABI...

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub bersama timbalan dan naibnya menunjukkan akhbar NST semalam (20 Februari) yang menyiarkan satu kartun yang dianggap menghina Nabi ketika umat Islam di seluruh dunia marah kepada akhbar Jerman kerana menghina Rasulullah saw melalui kartun mereka. Beliau menunjukkan keratan akhbar itu selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi kira-kira jam 3 petang tadi

Dato' Kamarudin Jaffar Pengarah Urusan Harakah yang baru

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Harakah yang baru bagi menggantikan Dato' Hishamudin Yahaya.

Menurut memo yang ditandatangani oleh Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, yang diedarkan kepada semua kakitangan Harakah dan anak-anak syarikatnya hari ini, perlantikan itu berkuatkuasa serta merta (hari ini 21 Februari).

"Tuan/puan dengan ini hendaklah merujuk kepada Pengarah Urusan yang baru dalam segala urusan yang berkaitan dengan bidang tugas tuan/puan," kata memo itu.

Perlantikan itu, kata Mustafa dalam memonya, adalah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang telah bersidang pada hari ini (21 Februari 2006).

sumber dari
http://www.harakahdaily.net/

selembar bulu mata menjadi saksi....

Diceritakan di Hari Pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang di adili. Ia dituduh bersalah, menyia-nyiakan umurnya di dunia untuk berbuat maksiat. Tetapi ia berkeras membantah.
"Tidak. Demi langit dan bumi sungguh tidak benar. Saya tidak melakukan semua itu."
"Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa," jawab malaikat. Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu ke segenap penjuru. Tetapi anehnya, ia tidak menjumpai seorang saksi pun yg sedang berdiri.
Di situ hanya ada dia sendirian. Makanya ia pun menyanggah, "Manakah saksi-saksi yg kau maksudkan? Di sini tdk ada siapa kecuali aku dan suaramu."
''Inilah saksi-saksi itu," ujar malaikat. Tiba-tiba mata angkat bicara, "Saya yg memandangi." Disusul oleh telinga , "Saya yg mendengarkan." Hidung pun tidak ketinggalan, "Saya yang mencium." Bibir mengaku, "Saya yang merayu." Lidah menambah, "Saya yang mengisap." Tangan meneruskan, "Saya yang meraba dan meremas." Kaki menyusul, "Saya yang dipakai lari ketika ketahuan."
"Nah kalau kubiarkan, seluruh anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu itu", ucap malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahannya lagi. Ia putus asa dan amat berduka, sebab sebentar lagi bakal dihumbankan ke dalam jahanam.
Padahal, rasa-rasanya ia telah terbebas dari tuduhan dosa itu. Tatkala ia sedang dilanda kesedihan itu, sekonyong-konyong terdengar suara yg amat lembut dari selembar bulu matanya: "Saya pun ingin juga mengangkat sumpah sebagai saksi."
"Silakan", kata malaikat. "Terus terang saja, menjelang ajalnya, pada suatu tengh malam yg lengang, aku pernah dibasahinya dengan air mata ketika ia sedang menangis menyesali perbuatan buruknya. Bukankah nabinya pernah berjanji, bahwa apabila ada seorang hamba kemudian bertobat, walaupun selembar bulu matanya saja yg terbasahi air matanya, namun sudah diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka saya, selembar bulu matanya, berani tampil sebagai saksi bahwa ia telah melakukan taubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan."
Dengan kesaksian selembar bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan diantarkan ke syurga.
Sampai terdengar suara bergaung kepada para penghuni surga: "Lihatlah, Hamba Tuhan ini masuk surga karena pertolongan selembar bulu mata."
Firman Allah swt"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al Ashr
Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat...

Cabinate not half-baked but over-baked

I fully agree with the statement made by Pak Lah the Prime Ministry while baking kuih bahulu at the 2006 Agro-basd Industry Expo at PWTC on Thursday Feb 16, 2006 that his cabinate is not half-baked

The latest cabinate line up announced by the Prime Minister is actually OVER-BAKED because it comprises of

1. Long expired Ministers , corrupted and with no new ideas like Rafidah Aziz and Sammy Vellu .
2. Tired and unimaginative like Lim Kheng Yeik minister since Tun Razak days
3. Scandalous : Nazri(Taxi Permits issue),
4. Anti Islam - all nine non muslim ministers who signed the memorandum questioning the sovereignity of syariah court were all retained and the one non muslim minister that did not signed was dropped.
5. Azmi Khalid of Perlis was retained despite losing MT seat in the UMNO General Election probably because he was married to a show-biz personality and Effendi Norwawi too was brought to the Cabinate after taking promoting Tiara Jacquilin to the title of Datin.
6. Tunku Adnan of the was brought back probably to revive Bukit Tinggi Resort as a tourist attraction may be with a new gambling licence.

The list goes on and on.

One thing for sure this over baked cabinate has no room for recourse all should be replaced even Deputy PM should be replacd over the purchase of Adnan armoured tank for RM 2.0 billion and now grounded while still under warranty.

PAS mahu mantap tarbiyah - Timbalan Presiden

TAWAU, 20 Feb (Hrkh) – Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, kejayaan sebuah Gerakan Islam memerlukan persiapan tarbiyyah yang mantap serta kebijaksanaan menggunakan pelbagai pendekatan dakwa (Uslub Dakwa) terhadap masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.

Katanya, PAS sebagai Harakatul Ummah mestilah bijak menggunakan pelbagai kaedah dakwah dan tarbiyyah serta tidak boleh bersifat jumud termasuklah dalam meneliti soal persekitaran dan suasana bagi memastikan dakwa mencapai sasarannya.

"Asas inilah yang perlu digarap dan diberi perhatian serius oleh ahli dan penggerak parti agar masyarakat yang berbagai latar belakang ini benar-benar memahami hakikat perjuangan PAS dan berupaya merungkai kekeliruan yang membelenggu pemikiran mereka selama ini," katanya.

PAS akan mantapkan tarbiyah

Beliau berkata demikian ketika merumuskan tiga kertas kerja yang dibentangkannya pada majlis Konvensyen Tarbiyyah PAS Sabah bagi Zon Pantai Timur Sabah dekat sini sabtu lepas
Tiga kertas kerja itu ialah Manhaj Usrah, Manhaj Tamrin dan Manhaj Tarbiyyah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah Ladim Abdul Rahman dan beberapa pimpinan tertinggi PAS Sabah bersama-sama lebih 100 orang peserta menghadiri konvensyen sehari semalam itu.
Menurut beliau lagi, kegagalan serta tidak mengetahaui kaedah dakwah yang berkesan menyebabkan masyarakat menjauhkan diri dan akhirnya kekeliruan mereka terhadap perjuangan Islam ini akan terus menebal.

Selain daripada itu, beliau berkata, ada di kalangan ahli tidak mengetahui konsep dakwah dan tarbiyyah ini menyebabkan mereka sendiri tidak mengamalkan sepenuhya tuntutan Islam.
"Bagaimana kita hendak menyampaikan Islam kepada orang lain sedangkan kita dan kelurga sendiri juga masih tidak mengamalkan Islam sepenuhya," ujar Ustaz Nasaruddin.

Ilham

Sehubungan dengan itu, beliau memberitahu PAS berhasrat, Institut Latihan dan Pengkaderan Kepimpinan Islam (ILHAM) akan dijadikan sebagai Institut Latihan Kepimpinan PAS bagi memenuhi hasrat melahirkan penggerak parti yang berkualtiti dari segi tarbiyyah dan Ilmu kepimpinan.

Menurutnya, kini PAS sedang mengkaji kemungkinan akan mewajibkan kepimpinan parti disemua peringkat akan mengikuti latihan di Institut ini bagi mencapai hasrat tersebut.
"kini kita masih mengkaji dari pelbagai sudut dan aspek mengenai hal ini," jelasnya.

Kata beliau lagi, walaupun ia masih dalam kajian, beliau yakin dengan terlaksananya cadangan itu kelak, PAS mampu melahirkan para pemimpin yang berjiwa besar disamping memiliki ilmu bagi memenuhi tuntutan dan cabaran semasa perjuangan parti.

Sehubungan denga itu juga, Ketika menjawab soalan dalam sesi dialog mengenai kelesuan gerakan selepas pilihan raya umum 2004 lalu beliau berkata, kelesuan itu kini semakin hilang berikutan pelbagai isu penting yang melanda negara ketika ini.

Sebagai contoh kata Ustaz Nasaruddin, Isu gesaan pindaan perlembagaan perkara 121(1a) oleh sembilan orang menteri bukan Islam dan penghinaan Nabi Muhammad SAW oleh sebuah akhbar Denmark yang mencetuskan kebangkitan rakyat di seluruh dunia, telah membangkitkan semula semangat rakyat di negara ini untuk mempertahankan maruah dan kesucian agama Islam.

Katanya, rakyat kini meletakkan harapan yang tinggi terhadap PAS untuk mempelopori kebangkitan rakyat sepertimana perhimpunan aman yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang bagi membantah penghinaan Nabi di kedutaan Denmark baru-baru ini.

Dan beliau menambah, keberanian dan kebiadaban yang ditunjukan golongan itu adalah berpunca dari umat Islam sendiri yang tidak mengambil berat soal agama dan tidak mahu kembali kepada ajaran Islam sebenar dalam urusan kehidupan mereka.

Dalam pada itu, Ustaz Nasaruddin juga mengajak ahli dan pendokong PAS agar menjadikan kejayaan cemerlang yang diperolehi oleh gerkan Islam Hamas melalui demokrasi di Palastin baru-baru ini sebagai pemakin dan pembakar semangat untuk terus berjuang

"Kalau gerakan Islam di sebelah sana boleh menang melalui demokrasi takkan kita disini tak boleh," ujarnya.

Tidak mahu mati mengaibkan - Osama

KAHERAH 20 Feb. - Pemimpin rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden menerusi satu rakaman yang disiarkan dalam sebuah laman web militan hari ini menegaskan, beliau tidak akan dapat ditangkap hidup-hidup oleh Amerika Syarikat (AS).

Sambil menyatakan bahawa taktik AS untuk menangkap beliau menyamai dengan apa yang digunakan terhadap bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, Osama bersumpah mahu hidup sebagai seorang yang bebas.

''Jika pun saya terpaksa berhadapan dengan kematian, saya tidak mahu mati dalam keadaan mengaibkan ataupun diperdaya oleh mana-mana pihak,'' katanya dalam rakaman selama 11 minit dan 26 saat itu.

Merujuk kepada perbezaan tingkah laku tentera AS ke atas Iraq dan Saddam, Osama menegaskan, kekejaman tersebut tidak menunjukkan banyak perbezaan.

Katanya, jihad ke atas AS dan sekutunya berterusan malah bertambah kuat kerana kekuatan yang diberikan oleh Allah.

Pita rakaman tersebut dilihat merupakan versi lengkap kepada rakaman yang disiarkan oleh stesen televisyen Al-Jazeera pada 19 Januari lalu dalam mana Osama menyatakan, Al-Qaeda akan melancarkan serangan baru di AS tetapi pada masa yang sama bersedia menawarkan perdamaian sementara kepada mereka.

Dalam pita rakaman itu juga, Osama turut mencabar kenyataan pentadbiran Presiden George W. Bush kononnya adalah lebih baik jika usaha memerangi pengganas dilakukan di Iraq dan tidak di AS.

''Perang ke atas AS dan sekutunya tidak terbatas di Iraq sahaja seperti yang didakwa Bush tetapi Iraq kini menjadi pusat merekrut pejuang-pejuang.

''Apa lagi, para pejuang Mujahidin dengan limpah kurnia Allah berjaya menembusi parameter keselamatan yang diambil oleh negara- negara kafir dan ini terbukti dengan beberapa siri pengeboman di beberapa ibu kota utama di Eropah,'' jelas beliau.

Penyiaran pita rakaman itu juga menunjukkan Osama terus melancarkan kempen propaganda ke atas AS apabila beliau memperolok pengisytiharan Bush pada April 2003 bahawa kempen peperangan di Iraq sudah berakhir.

Menurut Osama, dengan bilangan tentera AS yang terbunuh semakin bertambah saban hari, kemerosotan dari segi moral tentera dan peningkatan kes bunuh diri di kalangan mereka, jelas apa yang diperkatakan oleh Bush adalah pembohongan semata-mata.

Selain itu, Osama memberi amaran kepada penduduk AS agar menyelamatkan apa yang ada dari dunia ini.

''Semuanya terletak di tangan anda. Jika anda fikir keadaan tentera AS adalah lebih penting daripada segala-galanya, terpulang kepada anda,'' katanya.

Monday, February 20, 2006

Hamas tolak damai dengan Israel

GAZA 19 Feb. - Pergerakan Hamas yang secara rasminya mengambil teraju kepimpinan Palestin selepas majlis angkat sumpah di parlimen semalam, hari ini menolak cadangan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk berdamai dengan Israel.

Dengan bantahan itu, Hamas bakal bertembung dan berbalah dengan Mahmoud.

Hamas kini mempunyai masa selama lima minggu untuk membentuk sebuah kerajaan.

Jika kerajaan Palestin pimpinan Hamas enggan mematuhi tuntutan agar ia mengiktiraf rundingan dan perjanjian damai sebelum ini, maka Mahmoud sebagai Presiden Palestin dan ketua Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), mempunyai hak untuk membubarkan kerajaan tersebut.

Kedudukan Hamas turut dikatakan sukar apabila ia berhadapan dengan pemulauan oleh kuasa-kuasa besar dunia melainkan mereka bersedia menghentikan keganasan dan mengiktiraf kewujudan Israel.

Israel sebelum ini mengancam akan menutup kawasan sempadan dengan Gaza dan menguatkuasakan sekatan ekonomi ke atas kerajaan Palestin yang diterajui Hamas.

Mereka juga menimbangkan kemungkinan menempatkan angkatan tentera baru di kawasan terbabit

15 mati bantah karikatur Nabi

MAIDUGRI 19 Feb. - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh apabila beribu-ribu penduduk Islam Nigeria mengadakan tunjuk perasaan membantah penyiaran karikatur Nabi Muhammad s.a.w dengan membakar beberapa buah gereja dan menyerang penganut Kristian, di sini semalam.

Menurut polis, kejadian itu merupakan yang terbesar dan pertama kalinya diadakan di kawasan yang mempunyai paling ramai penduduk di Afrika selepas tercetusnya isu tersebut.

Jurucakap polis Nigeria, Haz Iwendi memberitahu, sebanyak 15 buah gereja dibakar oleh penunjuk perasaan dalam kejadian tengah hari semalam sebelum pasukan penguat kuasa keselamatan tiba untuk memulihkan keadaan.

''Berpuluh-puluh orang yang disyaki terlibat melakukan keganasan itu turut ditahan,'' kata Iwendi.

Seorang pemberita dari agensi berita AP yang berada di tempat kejadian dapat melihat beberapa kumpulan perusuh berduyun-duyun menuju ke pusat bandar sambil membawa parang, kayu dan batang besi.

Satu kumpulan dilihat melontarkan sebiji tayar mengelilingi seorang lelaki lalu menyemburkan gas ke arahnya dan mulai membakarnya.

Seorang penduduk tempatan beragama Kristian, Chima Ezeoke berkata, penunjuk perasaan menyerang dan merampas barang-barang di dalam kedai milik penganut Kristian minoriti yang kebanyakan penduduk asal selatan negara itu.

''Kebanyakan mangsa yang mati merupakan penduduk Kristian yang dibelasah di atas jalan raya oleh para perusuh,'' kata Ezeoke.

Seorang saksi turut memberitahu, antara mangsa yang terbunuh adalah tiga kanak-kanak dan seorang paderi

Lagi karikatur hina Nabi Muhammad

OTTAWA 19 Feb. - Akhbar pelajar sebuah universiti dekat sini mencetuskan kontroversi dan bantahan terbaru apabila bertindak menyiarkan karikatur Nabi Muhammad s.a.w sedang mendakap Nabi Isa a.s.

Karikatur yang disiarkan oleh akhbar Universiti Toronto - The Strand itu dilukis oleh seorang pelajar tempatan dan disiarkan sejak awal minggu ini.

Sebelum ini akhbar harian Denmark mencetuskan huru-hara di seluruh dunia apabila menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.

Pengarang akhbar tersebut (The Strand), Nick Ragaz yang menyedari tentang kekecohan terhadap akhbar tersebut menerusi laman web lewat kelmarin bagaimanapun enggan memohon maaf.

Ragaz hanya meluahkan rasa kesal, namun beliau tetap menafikan bahawa tindakan itu adalah untuk membangkitkan kebencian umat Islam.

``Saya kesal dan sedih jika ada individu atau kumpulan tertentu yang terasa hati dengan karikatur tersebut tetapi tindakan ini bukan bermaksud untuk mengundang kebencian atau menyakiti dan serangan mengejutkan seluruh umat Islam,'' katanya.

Menurut beliau, karikatur itu bakal membangkitkan perdebatan, dialog dan pemikiran.
Kontroversi tersebut timbul di tengah-tengah tekanan yang hebat di kalangan kumpulan pelajar berbangsa pelajar Arab dan Yahudi.

Hugo Chavez terus selar dasar Bush

CARACAS: Presiden Hugo Chavez kelmarin menyifatkan dasar luar negara Amerika Syarikat sebagai `gila' beberapa hari selepas Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice merumuskan Kerajaan Venezuela sebagai berbahaya.

"Adakah mereka (Amerika) gila? Mungkin itu benar berdasarkan apa yang dikatakan ramai orang. Malah, saya membuatkan mereka jadi gila," katanya kepada wartawan.

Chavez membuat ulasan itu kelmarin selepas Rice berkata: "Hemisfera Barat adalah jiran kita. Tapi, salah satu masalah terbesar di situ ialah Venezuela.

Kerajaan Chavez sedang berusaha untuk mempengaruhi negara jirannya supaya lari daripada demokrasi."

Rice menyifatkan negara yang mempunyai hubungan erat dengan Cuba adalah `berbahaya' untuk kestabilan di rantau berkenaan.

Pergeseran terbaru itu jelas membayangkan betapa dua negara terbabit berdepan masalah perhubungan. Namun, Selasa lalu, Penolong Setiausaha Negara AS, Thomas Shannon menjemput Duta Venezuela, Bernardo Alvarez ke Washington untuk berbincang.

Usaha itu dilihat langkah terbaru untuk meredakan ketegangan di antara Amerika-Venezuela.

"Kerajaan (George W) Bush tidak mempunyai dasar luar negara. Saya tak fikir Bush berkuasa di Washington. Ada pihak lain yang lebih berkuasa. Apabila ada pihak cuba berbaik-baik dengan Venezuela, ada `helang ganas' keluar dan cuba musnahkan usaha itu (berbaik-baik).
Itu bukan kerajaan...itu gila," katanya.

Sebagai pemimpin OIC, Malaysia gagal tangani isu hina Islam

KUANTAN, 18 Feb (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS menyifatkan Malaysia gagal memainkan peranan berkesan sebagai pemimpin Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) berikutan kegagalan pertubuhan itu mengenakan tekanan sewajarnya terhadap mana-mana pihak/negara yang terlibat menghina Islam.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, sebagai pemimpin OIC, Malaysia sepatutnya membuat keputusan tegas untuk menjaga maruah satu billion umat Islam di seluruh dunia selain memberi pengajaran terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja menghina Islam.

“Menghina kesucian agama orang lain adalah perbuatan tidak bertamadun walau atas apa alasan sekalipun dan ia tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat bertamadun,” katanya selepas menyertai perhimpunan aman di perkarangan masjid negeri, dekat sini baru-baru ini.
Mazlan turut menegaskan, PAS melalui Dewan Pemudanya akan terus mengadakan perhimpunan membantah penghinaan barat terhadap Islam ini serta berdoa agar Allah swt mengambil tindakan wajar ke atas musuh yang semakin biadab dan kurang ajar terhadap Islam .

Pada perhimpunan selepas solat itu, lebih 1000 umat Islam menyertainya termasuk Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Mohd Saad yang menyampaikan ucapan masing-masing. Turut berucap ialah Ketua Lajnah Undang-undang Dewan Pemuda PAS negeri, Fadli Ramly Selain berhimpun dan berpidato’ mereka turut mengedar risalah yang menyenaraikan barangan keluaran Denmark kepada orang ramai.
Denmark adalah negara asal akhbar Jylland-Posten yang menyiarkan 12 lukisan kartun yang menghina Nabi Muhamad S.A.W.
Menurut Suhaimi, umat wajib wajar memboikot barangan keluaran Denmark sebagai tindak balas paling berkesan terhadap kegagalan negara berkenaan mendisplinkan media dinegaranya.
Suhaimi dalam kenyataannya turut membidas sikap media berbahasa Melayu di negara ini cuba menutup isu kemarahan umat Islam terhadap pihak yang menghina Islam.
Katanya media berbahasa Melayu yang lebih cenderung menyiarkan berita-berita sensasi yang negatif seperti berita artis ditahan kerana dadah, kes rogol dan sebagainya tetapi mengelapkan berita bantahan umat Islam terhadap pihak menghina Islam.
Beliau medakwa, hanya wartawan akhbar berbahasa Cina sahaja yang menghadiri sidang media hari ini manakala media berbahasa Melayu tidak menghantar wakilnya.
“Isu penghinaan terhadap agama bukanlah isu kecil ia sepatutnya diberi liputan meluas supaya semua pihak memahami betapa sensitifnya isu seperti ini kepada umat Islam,” katanya

Sunday, February 19, 2006

MEMORANDUM PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA

MELAKA 18 FEB : Dewan Pemuda PAS Pusat telah berjaya menyerahkan memo tentang Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye semalam. Memo tersebut telah diserahkan oleh Naib Ketua DPP Pusat, Mazlan Aliman di pejabat Pengerusi PLKN tersebut pada jam 9.45 pagi.
Turut serta bersama Mazlan adalah AJK DPP Pusat yang juga Ketua DPP Pahang, Us Nasaruddin Tantawi.Berikut adalah kandungan memo tersebut.
PENDAHULUAN
Pembinaan sebuah negara tidak sekadar menekankan kepada faktor pembangunan infrastruktur yang maju dan canggih. Perhatian juga seharusnya perlu diberikan kepada faktor pembangunan insan. Malah dalam banyak hal pembangunan insan ini merupakan faktor terpenting yang perlu didahulukan dan memerlukan perhatian dan tindakan yang amat cermat di dalam programnya. Kesilapan di dalam program pembinaan insan memungkinkan natijah yang amat buruk kepada masa depan negara. Berdasarkan kepada prinsip inilah program-program pembinaan insan tidak diatur rancangkan mengikut kaedah trial and error . Pembinaan insan diasaskan kepada perancangan yang berstruktur, terbina susun atur programnya dan mempunyai visi serta misi yang jelas. Di dalam konteks negara ini, proses ini sewajarnya terserlah di dalam Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ), sebuah projek mega yang digagaskan bagi melahirkan insan-insan terbilang yang akan memenuhi matlamat aspirasi negara. Bertitik tolak daripada inilah Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) begitu serius dalam menilai dan memantau perkembangan perlaksanaan PLKN. Perhatian serius ini sejajar dengan pendirian DPPP yang melihat program pembinaan insan sebagai agenda terpenting dalam konteks pembinaan negara.
PERSOALAN-PERSOALAN
Kini setelah hampir 2 tahun PLKN dilaksanakan timbul persoalan yang wajar difikir dan direnungi oleh semua pihak, persolan tersebut ialah adakah PLKN berjaya menepati kehendak visi, misi, objektif dan matlamatnya. Sememangnya tidak dapat dinafikan penilaian dalam tempoh yang sesingkat ini perlaksanaannya adalah satu tindakan yang tidak adil, tetapi kejayaannya PLKN boleh diukur dengan menilai perkembangan semasa melalui semakan semula terhadap setiap aspek dan perkara yang terlibat. Semakan semula ini mampu menentukan samada PLKN berada pada landasan visi, misi, objektif dan matlamat yang telah digariskan. Keboleh upayaan PLKN untuk berjaya juga boleh dinilai ukur melalui penelitian terhadap kemampuan dan keupayaan modul latihannya dalam menangi begitu banyak permasalahan yang dihadapi remaja pada masa kini dan akan datang. Modul latihan PLKN perlu dibangunkan secara futuristik dengan mengambil kira faktor-faktor semasa dan akan datang bagi memastikan ianya anjal atau fleksibel dalam kesannya.
Perkara inilah yang perlu dirungkai satu persatu bagi menjawab keraguan ramai pihak terutamanya ibu bapa terhadap PLKN samada program ini adalah jawaban sebenar kepada semua permasalahan yang dibangkitkan bagi mewajarkan kewujudannya.Untuk itu DPPP mengajak semua pihak terlibat untuk melihat aspek-aspek penting yang menjadi faktor pengukur kejayaan PLKN setakat ini. Dibawah ini adalah antaranya yang digariskan DPPP untuk perhatian dan tindakan.
1. KEBERKESANAN MODUL LATIHAN PLKN.
Kemampuan modul latihan PLKN jelas boleh dipertikaikan. Sebagai sebuah program pembinaan insan yang berstatus khidmat negara adalah sesuatu yang amat mengecewakan modul yang dijalankan tidak menepati standard statusnya. Modul latihan PLKN dilihat sama saja tarafnya seperti program motivasi biasa. Perlaksanaan latihan yang menggunakan pendekatan ala-ala Biro Tata Negara ( BTN ) jelas boleh dipertikai keberkesanannya. Ini kerana perlaksanaannya banyak bergantung kepada kemampuan dan kefahaman jurulatih ataupun fasilitator untuk membentuk dinamika peserta. Kaedah ini akan mendedahkan kepada penyelewengan dan penyalahgunaan yang ketara. Peserta dibentuk bukan berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang digariskan tetapi bergantung kepada kefahaman jurulatih terhadap latihan yang disediakan. Dengan latar belakang yang pelbagai input yang disampaikan oleh jurulatih pastinya dipengaruhi. Lebih menyedihkan hasil dari pengakuan beberapa individu yang terlibat jelas dilihat bahawa pemilihan jurulatih juga tidak melalui saringan dan pemilihan yang ketat. Pemilihan secara kolektif ini dilihat berpunca daripada kegagalan pengurusan PLKN untuk menyediakan jurulatih yang secukupnya. Bukanlah sesuatu yang pelik jika didedahkan pemilihan jurulatih ini juga banyak dipengaruhi oleh faktor politik. Pendedahan ini seakan membuktikan telahan umum bahawa PLKN ini diwujudkan bagi dijadikan sebagai program indoktrinisasi politik pihak pemerintah yang dikuasai UMNO / BN. Malah bukti jelasnya dapat dilihat bagaimana pelatih-pelatih PLKN ini dieksploitasi dalam program-program UMNO / BN. Dengan latar yang sebegini adakah PLKN masih lagi dilihat berupaya untuk menepati visi, misi, objektif dan matlamatnya. Inilah persoalannya ?
2. PENGABAIAN ASPEK AGAMA DI DALAM MODUL LATIHAN.
Kekecewaan umum yang paling ketara terhadap modul latihan PLKN ialah tiadanya penekanan dalam aspek pengamalan hidup beragama terutamanya bagi pelatih-pelatih yang beragama Islam. Kes-kes yang dirujuk tentang pergaulan bebas para peserta, aktiviti maksiat dan sebagainya adalah natijah yang tidak dapat dinafikan oleh pihak pengurusan PLKN. Malah kejadian rogol yang berlaku di dalam sebuah kem, peristiwa menonton cerita lucah di sebuah kem yang lain serta beberapa aduan tentang gangguan seksual terhadap pelatih wanita adalah bukti jelas betapa longgarnya aspek agama dalam PLKN. DPPP mempersoalkan, bagaimana mungkin sebuah program beragenda nasional yang mempunyai gagasan besar mampu mencapai visi, misi, objektif dan matlamatnya seandainya aspek agama diabaikan, malah lebih daripada itu DPPP menegaskan perlaksanaan sebarang bentuk program pembinaan insan dinegara ini yang mengabaikan aspek agama adalah suatu pengkhianatan terhadap prinsip Rukun Negara. Soalnya dengan fakta yang sebegini adakah PLKN masih lagi boleh dikatakan sebagai program latihan yang mampu melahirkan jiwa-jiwa patriot yang bersedia untuk mengorbankan jiwa dan raganya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, sedangkan prinsip asas pembinaan negara yang telah digariskan di dalam Rukun Negara jelas diabaikan?
3. PENGABAIAN DAN KEGAGALAN KAWALAN DISIPLIN
DPPP juga menyarankan akan penyemakan semula terhadap keberkesanan modul latihan PLKN dilakukan bagi menilai kemampuannya untuk membentuk disiplin para pelatih. Laporan pergaduhan bersifat perkauman dan pertelingkahan antara pelatih dan jurulatih sehingga mencetuskan satu demonstrasi adalah sesuatu yang amat memalukan bagi sebuah program yang hala tujunya bagi melahirkan insan yang terbina kualiti sahsiahnya. Perlanggaran hak dan asasi manusia yang menjadi punca kepada tragedi ini perlu di atasi bagi memastikan program yang menelan jutaan ringgit duit rakyat ini tidak dicatatkan sebagai “Sebuah Lagi Projek Gajah Putih Kerajaan”.
4. PENGABAIAN KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR & LOGISTIK.
Bukanlah sesuatu yang menjadi rahsia terhadap isu kekurangan kemudahan infrastruktur di kem latihan PLKN. Spesifikasi yang ditetapkan bagi sesebuah kem untuk layak di iktiraf sebagai kem latihan PLKN sering kali diabaikan prosedurnya. DPPP melihat perkara ini sebagai sesuatu yang amat menyedihkan. Pengabaian aspek keselamatan dan keselesaan peserta sering kali mengundang peristiwa yang tidak diingini. DPPP melihat penggabaian ini berlaku berpunca daripada sikap sesetengah pihak yang melihat PLKN sebagai sebuah komoditi yang perlu diraih keuntungan daripadanya segenap sudut. Peruntukan kerajaan yang mencecah RM 500 billion dilihat sebagai peluang bagi golongan kapitalis untuk mengaut keuntungan. Malah DPPP amat yakin dari rentetan peristiwa yang berlaku seperti pembantalan hak beberapa buah kem dan juga penyelewengan tender makanan pasti wujud persekongkolan antara pihak-pihak yang berkepentingan dengan mereka yang terlibat. Jelasnya ini adalah bukti betapa sebuah lagi projek agenda nasional yang menelan jutaan wang rakyat menjadi mangsa terhadap kerakusan sesetengah pihak.
5. KEKURANGAN JURULATIH BERKELAYAKAN
Sesuatu yang amat membimbangkan DPPP ialah hal yang berkaitan dengan kemampuan pengurusan PLKN untuk memenuhi kuota jurulatih bertauliah dan layak yang secukupnya. DPPP juga membangkitkan tentang proses pentauliahan jurulatih yang dilakukan oleh pengurusan PLKN. Kebimbangan ini berasaskan kepada pendedahan-pendedahan yang telah berlaku dimana terdapatnya beberapa kes kekurangan jurulatih dan ketidakmampuan jurulatih untuk mengawal situasi perjalanan program. DPPP melihat kejadian pergaduhan dan perlanggaran disiplin secara ketara adalah kesan daripada kegagalan fungsi jurulatih dalam mengendalikan latihan. Begitu juga bagi kes-kes jenayah yang berlaku sepanjang program seperti kejadian rogol dan pencabulan yang juga boleh dimenifestasikan sebagai kegagalan pengurusan PLKN untuk melakukan saringan yang berkualiti. Kejadian-kejadian ini sedikit sebanyak menggugat krdibaliti PLKN itu sendiri. Kebimbangan ibu bapa juga meningkat seiring dengan apa yang berlaku. Kemampuan dan keupayaan pengurusan PLKN bagi memastikan keselamatan pelatih terjamin kini dipersoalkan. Berikutan itu suatu tindakan perlu diambil bagi memastikan jurulatih yang dipilih benar-benar berkelayakan. Jurulatih juga perlu melalui satu program latihan berterusan dan pemilihannya hendaklah menitik beratkan kepada hal-hal yang berkaitan keperibadian, akhlak dan sahsiah diri jurulatih disamping hal-hal lain yang berkaitan.
6. PENGLIBATAN PELATIH WANITA DALAM PLKN
Kegagalan menyediakan jurulatih wanita bertauliah mencukupi, amalan modul latihan yang bercampur gaul antara lelaki dan wanita dan melibatkan hubungan fizikal antara jurulatih lelaki dan pelatih wanita adalah antara beberapa kelemahan yang membuktikan bahawa kebimbangan ramai pihak terhadap penglibatan wanita dalam PLKN berasaskan. Lebih teruk lagi kesan kelemahan yang ada menyebabkan berlakunya beberapa kejadian yang amat memalukan. Insiden seorang jurulatih disyaki merogol seorang peserta di Kem Merang, Setiu, Terengganu, aduan beberapa kes pencabulan seksual dan kejadian tangkapan khalwat adalah natijah yang cukup menggambarkan betapa penglibatan wanita dalam PLKN perlu dinilai semula. Malah secara tegasnya DPPP berpendirian dan mendesak kepada pengurusan PLKN untuk tidak melibatkan sama sekali wanita dalam PLKN sehingga perkara-perkara dibawah dipenuhi.a. Menyediakan secukupnya jurulatih-jurulatih bertauliah wanita.b. Melakukan pengasingan secara total antara pelatih lelaki dan wanita begitu juga penglibatan jurulatih pengasingan perlu dilakukan terutama dalam latihan-latihan berbentuk fizikal. Pengecualian hanya dibolehkan dalam aktiviti yang tidak memerlukan hubungan fizikal pelatih dan jurulatih. Pengasingan ini boleh dilakukan dengan mengkhaskan satu-satu sessi panggilan PLKN khusus untuk wanita sahaja.c. Tidak mewajibkan penyertaan wanita dalam PLKN. Penyertaan wanita hanya bersifat sukarela ( Itupun selepas semua kemudahan untuk wanita tersedia )
7. KESIMPULAN
Secara kolektifnya DPPP menyimpulkan kekurangan dan kelemahan PLKN ini berpunca daripada perkara dibawah :
a. Kelemahan pengurusan yang ketara. Kelemahan ini timbul berikutan perancangan PLKN itu sendiri yang tidak dilakukan secara terperinci. Sewajarnya bagi program berskala besar begini satu perancangan tersusun perlu diaturkan bagi memastikan semua aspek termasuk latihan, keselamatan, logistik, kemudahan infrastruktur, guna tenaga dan sebagainya perlu di perhalusi dan dinilai sebaiknya. Kegopohan kerajaan melaksanakan PLKN tanpa mengambil kira pandangan ramai pihak akhirnya mantijahkan sesuatu yang amat memalukan.
b. Kecelaruan visi perlaksanaan PLKN. Kecelaruan ini dilihat berpunca daripada sikap kerajaan yang tidak telus dalam perancangannya. Kewujudan PLKN dilihat lebih kepada sebagai sebuah program indoktrinisasi berbanding sebagai satu program pembinaan insan. Garisan visi yang telah ditetapkan bagi melahirkan genarasi berwajah Malaysia yang trampil kualiti sahsiahnya, yang terbentuk kesepaduannya hanyalah topeng bagi agenda yang tersembunyi. Kesannya PLKN menjadi program yang caca marba dalam pengurusannya.
c. Pengendalian PLKN yang dilihat lebih sebagai satu komoditi yang menguntungkan juga mendedahkan kepada berbagai bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan. Pengagihan tender yang tidak telus jelas memberi kesan secara langsung kepada PLKN. Pentauliahan kem yang jelas berbau politik juga akhirnya mengundang kesulitan. Jelasnya perlaksanaan PLKN yang melibatkan peruntukan RM 500 billion setahun dijadikan sebagai lubuk pengagihan kontrak dan kewangan.
8. KESIMPULAN & PENEGASAN
Dengan pelbagai kekurangan yang timbul DPPP menegaskan bahawa satu semakan semula bagi menilai setiap sudut dan aspek PLKN perlu dilakukan. Kegagalan yang terpamer ketika ini perlu diakui oleh oleh kerajaan dengan telus. Pengemaskinian PLKN juga perlu dilakukan secara telus dan melibatkan semua pihak baik parti politik, NGO dan indvidu-individu yang berkelayakan. Proses ini bagi memastikan PLKN tidak akan menjadi satu sesalan dimasa hadapan. Malah lebih kritikal lagi DPPP berpendirian bahawa kerajaan perlu tampil dengan berani untuk mengakui kepincangan PLKN dan mengambil tindakan memberhentikannya serta merta. Bagi meneruskan agenda pembinaan generasi Malaysia yang berkualiti adalah lebih wajar fokus, perihatian dan sumber kewangan ditumpukan kepada program pemerkasaan sistem pendidikan negara yang dilihat begitu celaru.

PAS akan bertanding pilihan raya Sarawak

IPOH, 18 Feb (Hrkh) - Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali memaklumkan PAS akan bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka akan diadakan April nanti. "Walaupun sukar untuk kita menang tetapi kita tidak akan beralah bahkan akan menyertai pilihan raya itu kerana kalah menang bagi PAS tidak penting, yang penting adalah dakwah mesti diteruskan," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Infomasi Sepadu Pemilihan Rakyat serta Organisasi (Sispro) dekat sini.
Majlis anjuran Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPP) itu diadakan di sebuah hotel terkemuka dekat sini pagi tadi.Turut hadir timbalanya, Dr Siti Mariah Mahmud, Setiausaha JPP Nasir Daud dan Pengarah JPN Perak, Haji Asmuni Awi.
Pilihan raya Sarawak dijangka diadakan tidak lama lagi. Dua tokoh politik Sarawak telah melepaskan jawatannya di peringkat Kabinet Pusat dan dijangka kedua-duanya akan memegang jawatan penting selepas pilihan raya Sarawak nanti jika BN terus berkuasa. Mereka adalah Adnan Satim dan Dr Leo Michael Toyad.
Abdullah tidak kekal lama sebagai PM
Sementara itu dalam ucapan yang sama, Mustafa meramalkan tempoh menjadi Perdana Menteri untuk Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama sebagaimana Tun Dr Mahathir.
"Sekurang-kurangnya Abdullah tidak akan sampai tempoh 20 tahun sebagaimana Dr Mahathir dan boleh jadi hanya dua penggal sahaja," kata Mustafa.Banyak sebab mengapa beliau ramalkan sedemikian termasuk isu AP, katanya.
"Saya sudah agak bahawa dalam rombakan kecil Kabinet Pak lah itu, Rafidah tidak akan terlibat malah dia akan kekal untuk menjaga kepentingan anak-menantunya," kata Mustafa.

Saturday, February 18, 2006

JANGAN PUTAR BELIT..


Pengguna Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) mengadakan demonstrasi semalam bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap penyelesaian isu projek tersebut. Mereka menuntut agar siasatan terperinci terhadap punca keretakan dan penyelewengan projek tersebut didedahkan kepada umum

Kejutan baru Abu Ghraib

WASHINGTON: Hampir dua tahun selepas gambar seksaan kejam dan memalukan terhadap tahanan Iraq di penjara Abu Ghraib tersiar, had sebenar penderaan itu didedahkan berikutan kebocoran laporan siasatan dalaman tentera Amerika Syarikat (AS) mengenainya.

Katalog penderaan juga diperoleh majalah internet, Salon, tiba pada saat paling sukar pentadbiran Presiden George W Bush, menyusuli laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penderaan tahanan di Teluk Guantanamo selain penyiaran video tentera Britain memukul remaja Iraq dan kemarahan dunia Islam berhubung penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad.

Laporan akhbar The Guardian menyebut, bahan yang dikumpul agensi penyiasatan jenayah tentera termasuk 1,325 gambar dan 93 klip video tahanan yang didera, 546 gambar tahanan Iraq yang disyaki meninggal dunia serta 660 imej lucah dewasa dan 29 gambar tentera AS terbabit dalam tindakan menyerupai aksi seks.

Berdasarkan tarikh, semuanya direkodkan antara 18 Oktober dan 30 Disember, iaitu jangka waktu sama dengan skandal asal.

Laman web itu menyiarkan 18 gambar dari penjara berkenaan, selain imej penuh penghinaan – tahanan lelaki yang dipaksa berbogel melutut atau terbaring di atas lantai atau kepala disarungkan dengan seluar dalam wanita - mereka juga mendedahkan beberapa bentuk adegan pelik di penjara itu.

Satu gambar menunjukkan seorang anggota tentera berdiri tenang mengisi borang di dinding dan di belakangnya, berdiri seorang tahanan yang berbogel dengan kepalanya ditutup.

Satu gambar lagi menunjukkan Staf Sarjan Ivan Chip Frederick yang dibicarakan atas tindakannya dalam skandal penderaan itu memotong kuku di sebelah tahanan Iraq yang berdiri di atas kotak dengan memakai sarung kepala dan wayar elektrik.

Imej keganasan fizikal juga dipaparkan seperti sel yang berlumuran darah dan gambar mayat yang wajahnya dipukul berulang kali.

"DVD juga termasuk gambar pengawal mengancam tahanan Iraq dengan anjing, rakaman video sendiri menunjukkan tahanan yang kepala mereka ditutup dipaksa melakukan onani dan video menunjukkan seorang tahanan yang mentalnya terganggu menghantuk kepala ke pintu.
"Anehnya, bahan lain termasuk gambar haiwan yang disembelih dan imej tentera meronda di seluruh Iraq," menurut Salon yang menegaskan ia menerima bahan itu dari seorang anggota tentera yang pernah dipenjarakan.

Reaksi pertama Washington serta Baghdad ialah kebimbangan dengan impak gambar baru penderaan itu di Asia Barat ketika kemarahan terhadap Barat berada di puncak.

Jurucakap Pentagon berkata, pendedahan imej penderaan itu `hanya akan menyemarakkan kemarahan dan kemungkinan mencetuskan keganasan di dunia.'

Syria tukar kepada Euro

LONDON: Syria bertindak `mengajar' Amerika Syarikat apabila menukar semua urus niaga kerajaan berasaskan mata wang dolar Amerika kepada euro yang terbukti menjadi sebahagian hasil pertikaian politik Washington-Damsyik.

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, Perdana Menteri Syria Naji al-Otari mengarahkan semua jabatan, agensi dan sektor awam menggunakan mata wang euro bagi pembelian barangan dan perkhidmatan luar negara.

Commercial Bank of Syria, yang turut dimiliki kerajaan, menyambut baik langkah itu yang disifatkan sebagai wajar.

"Ia penting bagi mengelak kekacauan pada masa depan," kata Pengerusi bank itu, Dureid Dergham.

Namun, langkah itu dilihat perkembangan terbaru ketegangan politik Syria dan AS yang berlanjutan sejak bertahun-tahun lamanya

Hamas gesa Amerika gugurkan label pengganas

DAMSYIK 17 Feb. - Hamas menggesa Amerika Syarikat (AS) menggugurkan pergerakan itu daripada senarai pertubuhan pengganas yang dikeluarkan oleh Washington.
Gesaan itu dibuat oleh pemimpin kanan Hamas, Mussa Abu Marzuk semalam.
''Hamas disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas disebabkan dasarnya menentang dasar Amerika di rantau ini,'' kata Mussa yang menganggotai biro politik Hamas.

''Alasan itu tidak wajar kerana Hamas mempunyai sokongan padu di kalangan penduduk Palestin dan memenangi pilihan raya Parlimen Palestin,'' katanya.

''Negara seperti AS yang memikul tanggungjawab di rantau ini tidak boleh mengekalkan Hamas dalam senarai itu. Mereka mesti mengkaji semula dasar mereka dan mengeluarkan Hamas daripada senarai,''katanya.

Mussa yang pernah dipenjarakan di AS pada 1995 menegaskan, Hamas melancarkan operasi serangan di wilayah Palestin yang diduduki sahaja dan tidak meluaskannya ke luar Palestin.
Para pemimpin Hamas telah menolak seruan supaya pergerakan itu melucutkan senjata sebelum membentuk kerajaan Palestin.

Hamas menyatakan mereka mendapat mandat padu daripada rakyat Palestin dan tidak akan menerima sebarang prasyarat.

Annan, EU mahu AS tutup Guantanamo

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 17 Feb. - Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan mahu Amerika Syarikat (AS) lambat-laun menutup pusat tahanan Teluk Guantanamo meskipun beliau tidak bersetuju dengan keseluruhan kandungan laporan mengenai keadaan pusat tersebut.

Bagaimanapun AS menafikan wujud sebarang bentuk penganiayaan di pusat tahanan tersebut dan menolak gesaan PBB supaya ia ditutup.

''Saya merasakan lambat-laun ada keperluan untuk menutup Guantanamo,'' kata Annan kepada wartawan di Ibu Pejabat PBB di sini.

''Terpulang kepada kerajaan AS untuk memutuskannya, tetapi diharap ia akan dilakukan dengan secepat mungkin,'' kata beliau.

Beliau melahirkan pendirian itu ketika ditanya mengenai syor Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB, yang memantau pusat tahanan tersebut, supaya ia ditutup dan mendakwa wujud penganiayaan ke atas tahanan.

''Terdapat banyak (syor) dalam laporan itu dan saya tidak boleh mengatakan bahawa saya bersetuju kesemuanya.

''Tetapi perkara utama ialah seseorang tidak boleh menahan mana-mana individu selama-lamanya dan tuduhan perlu dikenakan ke atas mereka dan harus diberikan peluang menjelaskan diri mereka,'' katanya.

Dalam pada itu, jurucakap White House, Scott McClellan berkata, mereka yang ditahan di pusat tersebut merupakan kumpulan pengganas yang boleh membahayakan keselamatan.

''Pasukan tentera melayan mereka dengan mengambil kira aspek kemanusiaan,'' katanya.
Kata beliau, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah mempunyai akses penuh kepada tahanan-tahanan di pusat tersebut.

Anggota perundangan Kesatuan Eropah (EU) juga menggesa supaya pusat tahanan tersebut ditutup.

''Setiap tahanan perlu dilayan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan dibicarakan dengan adil tanpa dilengah-lengahkan, oleh tribunal yang adil dan bebas,'' kata resolusi yang diluluskan dalam Parlimen Eropah di Strasbourg semalam

Ribuan rakyat Kelantan demontrasi bantah akhbar Denmark

MARAK KEMARAHAN.... Bendera negara Denmark dibakar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub pada demontrasi secara aman yang diadakan di Jalan Dato' Pati, Kota Bharu pagi tadi. Turut dibakar patung Presiden Amerika Syarikat, George W Bush. Ribuan penduduk Kelantan, termasuk Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyertai demontrasi tersebut

KOTA BHARU, 17 Feb (Hrkh) - Ribuan rakyat Kelantan mengadakan demontrasi secara aman di Jalan Dato’ Pati pagi tadi, yang turut disertai Menteri Besar bagi menyatakan bantahan terhadap akhbar Denmark yang mempersendakan Nabi Muhammad saw melalui karikaturnya.

Demontrasi itu dimulakan sebaik sahaja selesai kuliah mingguan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dataran Ilmu, kira-kira jam 10.30 pagi. Ribuan penduduk yang mengikuti kuliah tersebut kemudian menyertai sama demontrasi.
Pelbagai sepanduk dipamerkan sebagai menyatakan perasaan kesal mereka antaranya berbunyi, "Boikot Barangan Denmark dan Sekutunya", "Jangan Beli Barangan Denmark", dan "America, Israel, Denmark and Allied, Don’t Be Grate Our Massenger We’re Willing To Die For Islam".

Demontrasi itu dimulakan dengan ucapan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Mohd Nasir Mat Soh, Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian, Mohd Nuri Yaakob, Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Baharuddin Mohd Noor, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Zulkifli Mat Yusof, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Menteri Besar.

Laungan takbir bergema berkali-kali pada perhimpunan itu. Suasana lebih bersemangat apabila Baharuddin membaca doa wehdah. Di akhir perhimpunan Tuan Guru Nik Abdul Aziz membaca doa dengan diaminkan ribuan yang hadir.

Pada sidang media selepas itu, Salahuddin berkata, biar pun Malaysia menjadi pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC), namun lambat bertindak bagi menyatakan bantahan terhadap kebiadaban akhbar di Denmark.

Katanya, negara-negara Islam lain mendahului Malaysia, biar pun Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Pengerusi OIC.

"Sebagai Pengerusi OIC kita tidak boleh duduk diam dan mesti berbuat sesuatu bagi menyatakan bantahan. Kita marah kerana pemimpin negara membisu biar pun negara Barat mempersendakan agama Islam," katanya.

Sebelum ini, ribuan pelajar Maahad Muhammadi Lelaki mengadakan demontrasi bagi membantah kebiadaban akhbar Denmark. Jumaat lalu puluhan ribu menyertai demontrasi di Kuala Lumpur yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Friday, February 17, 2006

12 BARISAN DI AKHIRAT

Suatu ketika, Muaz b. Jabal r.a mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: "Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris" Surah An-Naba':18

Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...." Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-

Barisan Pertama
Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kedua
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Ketiga
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Keempat
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

Barisan Kelima
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di PadangMahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT,
maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Keenam
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Ketujuh
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kelapan
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kesembilan
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kesepuluh
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kesebelas
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kedua Belas
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak perbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih..." Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya.....

Wallahua'alam.

ROAD SHOW DPP PUSAT DI MELAKA HARI INI 17 FEB

MELAKA 17 FEB : Road Show DPP Pusat berkaitan pindaan perkara 121 (1A) Perlembagaan Negara akan diadakan pada hari ini 17 Feb 2005. Program ini bermula dengan penyerahan memo kepada Mufti kira-kira jam 3.00 petang.
Semua ahli-ahli diminta berkumpul di Pejabat DPP Negeri di Semabok pada jam 2.30 petang sebelum bertolak ke Pejabat Mufti Negeri.
Selepas itu pada jam 5.30 petang pimpinan dan ahli pemuda akan mengedarkan risalah berkaitan perkara 121 (1A) ini di Tapak Pasar Malam Teluk Mas.
Pada sebelah malamnya pula ceramah umum akan diadakan di Balai Islam Telok Mas dimana ianya akan disampaikan oleh Ketua Penerangan DPP Pusat, Hanipa Maidin; AJK DPP Pusat Abdullah Abdul Karim dan Ketua DPP Negeri Us Kamaruddin Sedik.
Semua ahli-ahli pemuda seluruh Melaka di jemput hadir untuk menjayakan 3 program yang diaturkan di atas.

Tidak perlu tunggu ilham, kabinet baru kekalkan menteri ‘bermasalah’

GUA MUSANG, 16 Feb (Hrkh) - Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu menunggu sehingga mengambil masa begitu lama bagi merombak kabinet, memandangkan menteri yang ‘bermasalah’ masih dikekalkan.
Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa berkata, Perdana Menteri tidak perlu menunggu untuk mendapat ilham begitu lama, sekiranya ditengok kepada rombakan kabinet yang dibuat kelmarin.
“Menteri Kerja Raya serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diketahui umum mencetus banyak kontroversi sebelum ini, namun mereka masih dikekalkan. Sedangkan keperibadian mereka diperbahas hangat sebelum ini.

“Rakyat menunggu dalam tempoh begitu lama untuk melihat Perdana Menteri menyelesaikan secara telus, namun akhirnya ia tidak ke mana juga. Kalau macam itu tidak payah tunggu masa yang begitu lama untuk membuat rombakan kabinet,” katanya selepas mesyuarat Exco di Tanah Tinggi Lojing, semalam.

Kelmarin Abdullah mengumumkan rombakan kabinet dengan mengekalkan kedudukan Dato’ Seri Rafidah Aziz dan Dato’ Seri S Samy Vellu. Manakala Dato’ Dr Mohd Shafei Salleh digugurkan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan tempatnya diganti Dato’ Mustapa Mohamed.

Menteri Pelancongan, Dato’ Dr Michael Toyad juga digugurkan dan diganti Dato’ Tengku Adnan Tengku Mansor. Dua menteri lagi meletak jawatan iaitu Dato’ Abdul Kadir Sheikh Fadzir (Penerangan) dan Dato’ Adenan Satem (Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, beliau turut hairan mengapa Mustapa seorang pemimpin yang dikatakan pakar dalam bidang ekonomi dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Bagaimanapun kita berharap dengan pelantikan Mustapa, sekurang-kurangnya Kelantan mendapat sebuah universiti seperti dicanang Umno sebelum ini. Rakyat juga kecewa apabila seorang yang diketahui menyempitkan ruang kebebasan akhbar, Dato’ Zainuddin Maidin dinaik pangkat sebagai menteri penuh.

“Rombakan yang dibuat itu sungguh mengecewakan kerana anggota kabinet masih lagi disaluti pelbagai isu,” katanya. Pendapat itu turut disokong Pengarah Unit Intergrasi Nasional PKR, N Gobalakrishnan.

Beliau berkata, selagi Rafidah, Samy dan Dato’ Seri Dr Lim Keng Yaik masih kekal dalam kabinet, rombakan yang dibuat Perdana Menteri tidak memberi apa-apa makna. Malah katanya, rombakan itu masih membayangi konsep Mahathirisme kerana orang rapat pemimpin terbabit dilantik semula.

“Ini menggambarkan masih berlaku krisis di antara Abdullah dengan Dr Mahathir dan bekas Perdana Menteri itu masih lagi mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Abdullah,” tambahnya.Beliau juga percaya pelantikan Zainuddin sebagai Menteri Penerangan akan menyusahkan lagi rakyat terutamanya mereka yang tidak sebulu dengan kerajaan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, tiada apa yang menarik dengan rombakan kabinet kerana menteri bermasalah sebelum ini dan berkhidmat terlalu lama dalam kabinet masih dikekalkan.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Haji Buni Amin Hamzah berkata, pihaknya menyokong tindakan matang diambil Abdul Kadir melepas jawatan sebelum Perdana Menteri mengugurnya.

“Apabila merasakan begitu lama berada dalam kabinet dan tewas dalam pemilihan parti sewajarnya peluang diberi kepada orang lain pula. Namun, tindakan seperti itu tidak diminati ramai pemimpin politik di negara ini,” ujarnya.

Budaya Playboy Mencabar Negara Islam Teramai Di Dunia

"TIGA artis terkenal Indonesia - Sarah Azhari, Rachel Maryam Sayidina dan Femmy Permatasari mungkin ditawar pemilik majalah Playboy edisi Indonesia untuk berbogel. Ayu Azhari, Alya Rohali, Sophia Lajtuba dan Nafa Urbach tidak ketinggalan menjadi sasaran Playboy edisi republik itu.Bekas artis berani yang sudah bertaubat, Inneke Koesherawati mungkin dipujuk kembali ke kancah adegan bogel.Malah, pelakon remaja terkenal filem `Apa Ada Dengan Cinta', Dian Sastrowordoyo diumpan untuk ikut jejak langkah aktres tersohor China yang sedang mencipta nama di Hollywood, Bai Ling berbogel untuk majalah Playboy.
Bai Ling melakar kejutan apabila muncul artis Asia pertama China dalam era milenium berbogel untuk Playboy bagi edisi Jun 2005. Mungkin itu senario yang bakal berlaku jika Kerajaan Indonesia tetap dengan pendiriannya membenarkan pemegang lesen Playboy edisi Indonesia, PT Velvet Silver Media menerbitkan keluaran pertama Mac ini.

Jika itu berlaku, Indonesia adalah negara kedua selepas Jepun yang menerbitkan Playboy edisi tempatan. Hong Kong pernah membenarkan penerbitan dan penjualan Playboy tetapi lesen itu sudah pun ditarik balik.

Namun, andainya Playboy edisi Indonesia tetap diterbitkan, mungkin tersiar cerita seperti Barisan Pembela Islam mengamuk di Jakarta. Atau lebih buruk, kumpulan remaja Islam menyerang dua orang kuat Playboy edisi Indonesia, Avianto Nugroho serta Ponti Carrolus.
Soalnya, kenapa pemerintah Indonesia tergamak meluluskan penerbitan majalah lucah Playboy sedangkan mereka adalah negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia? Ketika ini, 88 peratus daripada 235 juta penduduk Indonesia adalah beragama Islam. Penerbitan Playboy edisi Indonesia pasti satu tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono.

Walhal pada Julai 1999, polis Indonesia pernah bertindak tegas dengan menyoal siasat lima pengarang akhbar tabloid dan majalah kerana menyiarkan gambar artis dengan aksi mengghairahkan. Lima pengarang itu ialah Pengarah Majalah Popular, Mujimanto Asmotaruno, Koesnan Sukandar (Liberty), Nano Riantiaro (Matra), Drs Anggoro (Obyektif) dan Heru B Iskandar (Pop).

Namun awal bulan ini, secara tiba-tiba Avianto dengan gah mengeluarkan kenyataan akhbar betapa pihaknya akan menerbitkan Playboy edisi Indonesia. Bagaimanapun, Avianto memberi jaminan majalah itu tidak akan menyiarkan gambar berbogel seperti edisi Amerika Syarikat. Pengerusi Nahdatul Ulama (NU), Hasyim Muzadi adalah antara kumpulan ulama yang memberikan reaksi keras.

Menurut Hasyim, Indonesia bukannya negara Barat seperti Amerika dan Eropah. "Playboy sememangnya tiada tempat dalam norma sosial dan budaya kita. Indonesia bukan Eropah atau Amerika yang budaya dan reaksi mengenai isu bogel amat berbeza dengan kita. Pornografi tidak kira bagaimana ia cuba dibayangkan, hanya akan menjatuhkan moral remaja kita dan membawa bencana besar seperti peningkatan dalam kes rogol dan gangguan seksual. Ia juga umpama mengundang bencana. Jadi adalah lebih baik jika ia tidak diterbitkan."

Pendirian kumpulan ulama lain juga bernada tegas. Pengerusi Majelis Mujahidin Indonesia (MMI), Irfan Awas berkata: "Berbeza atau tidak, Playboy tetap Playboy. Ia adalah majalah lucah. Kata-kata mereka (penerbit Playboy edisi Indonesia) adalah pengucapan orang perniagaan. Majalah ini akan menghancurkan moral penduduk Islam Indonesia."

Majlis Ulama Indonesia (MUI) juga sudah meminta kerajaan mengharamkan penerbitan Playboy edisi Indonesia. "Kerajaan mesti mengharamkan sebarang penerbitan berbentuk lucah," kata Pengerusi MUI, Ma`ruf Amin. MUI menegaskan ia sudah pun mengeluarkan fatwa sebelum ini betapa penerbitan bahan lucah adalah haram di sisi Islam.

"Majalah lucah seperti Playboy tidak patut diterbit dan diedarkan di Indonesia kerana ramai penduduk negara ini beragama Islam. Jika di Amerika atau Eropah...biarkanlah kerana mereka mengamalkan ajaran sekular," kata Ma`ruf dengan nada tegas.

Sehingga kini, pemerintah Indonesia belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai masa depan majalah berkenaan. Apapun alasan Avianto dan Ponti, Indonesia sebenarnya sudah dua majalah iaitu FHM dan Maxim yang berperanan seperti Playboy. Isi kandungan FHM dan Maxim juga agak hangat sehingga ada kala mengundang kontroversi.

Begitupun, kerajaan pimpinan Susilo dilaporkan kian tertekan dengan kritikan terbuka pelbagai pihak yang jelas tidak dapat menerima hakikat Indonesia akan mempunyai Playboy edisi tempatan seperti beberapa negara sekular termasuk Brazil, Turki, Jepun, Sepanyol, Croatia dan Russia.

Agak aneh, pengedaran dan penjualan Playboy adalah diharamkan di sebahagian besar negara Asia seperti China, Korea Selatan, India, Myanmar, Malaysia, Thailand, Singapura, Taiwan dan Brunei.

Rakyat Indonesia pasti kecewa dan menerima tamparan hebat jika majalah itu berjaya menembusi pasaran kerana Playboy tidak dijual di negara jirannya, Australia. Pengharaman Playboy awalnya hanya meliputi negeri Queensland tetapi akhirnya pada 2000, Playboy tidak dibenarkan dijual di Australia. Penjualan Playboy di daerah di Amerika juga dikawal ketat. Biasanya Playboy hanya dijual di kedai arak. Malah, ada kedai buku di Amerika mengharamkan penjualan Playboy.

Soalnya, kenapa Kerajaan Indonesia pula bertindak lebih berani daripada Australia. Adakah mereka terpikat dengan keuntungan sehingga tergamak menjual harga diri! Jurucakap Playboy Amerika, Lauren Melone ketika membuat ulasan pertama rentetan kekecohan di Indonesia menegaskan republik adalah umpama `lombong emas' kerana memiliki pasaran yang sangat dinamik.

Tetapi, adakah penjualan Playboy edisi Indonesia akan memberikan keuntungan trilion atau bilion dolar kepada negara itu. Adakah Indonesia terlupa betapa negara itu sebenarnya sedang menghadapi krisis keruntuhan moral dan akhlak. Laporan terbaru dari seberang menyatakan VCD dan DVD lucah begitu mudah dijual di Indonesia.

Kini, Indonesia menerima ancaman terbaru iaitu pengedaran dan penjualan Playboy di pasaran terbuka. Ada pihak percaya Indonesia pasti membayar harga yang sangat mahal jika kes rogol meningkat di negara itu. Indonesia sebenarnya tidak memerlukan satu lagi masalah ciptaan sendiri sehingga membuatkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian kalau berlakunya tunjuk perasaan hampir saban hari di jalanan di Jakarta, Bandung, Surabaya, Jogjakarta, Balik Papan, Medan atau Ujung Pandang.

Sewajarnya, Indonesia mengambil pendekatan mudah dengan menarik balik lesen penerbitan dan penjualan Playboy. Apapun tindakan yang akan diambil oleh PT Velvet Silver Media, Indonesia lebih dirasakan `selamat' dengan berbuat demikian. Paling penting imej umat Islam di Indonesia lebih terpelihara.

Pada masa yang sama, Susilo tidak perlu pening kepala menangani kritikan demi kritikan, hentaman demi hentaman bakal dilontar pelbagai kumpulan agama di republik itu. Buat SBY, tepuk dada tanya. Kalau berani dilambung ombak, beliau sudah tentu bersedia membina rumah di tepi pantai!"

Kiriman : Jasin Muhammad, Kepala Batas.

Iraq tuntut Amerika serah semua tahanan

BAGHDAD: Menteri Hak Asasi Manusia Iraq, Zuhair al-Chalabi, mendesak tentera Amerika Syarikat (AS) menyerahkan semua tahanan di penjara kawalannya kepada kerajaan negara Teluk itu selepas tersiarnya foto terbaru seksaan di penjara Abu Ghraib.

"Kami bimbang dengan nasib tahanan Iraq di Abu Ghraib. Tentera Bersekutu dan askar Britain sepatutnya menyerahkan mereka kepada Kerajaan (Iraq).

"Isu ini sangat bahaya dan Kerajaan Iraq wajar mengkaji semula. Kerajaan Iraq patut memindahkan semua penjara dan tahanan untuk dikendali Kementerian Kehakiman," kata Zuhair kepada Reuters.

Beliau mengutuk foto terbaru yang disiarkan sambil menyifatkannya kes yang berlaku di bawah pemerintahan diktator. Tentera AS menahan 14,000 warga Iraq di penjara negara itu.
Di Sydney, stesen penyiar awam Australia, SBS mempertahankan tindakannya mendedahkan gambar kekejaman tentera AS ke atas tahanan Iraq di penjara Abu Ghraib.

Satu laporan lain disiarkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) pula memetik kenyataan beberapa pertubuhan dan kumpulan hak asasi awam AS menggesa satu siasatan dibuat mengenai layanan tentera Washington ke atas tahanan Iraq, termasuk mengambil tindakan ke atas pegawai kanan tentera yang bertanggungjawab.

Penerbit program Dateline, Mike Carey menegaskan tindakan penyiaran gambar berkenaan selaras tanggungjawab wartawan memaklumkan perkara sebenar kepada orang ramai.
Carey turut menyangkal tuduhan Washington yang mendakwa gambar penderaan pada 2004 yang belum disiarkan itu hanya menyemarakkan lagi sentimen anti-AS selain mengancam nyawa askar mereka di Iraq.

"Tuduhan AS itu satu jenaka. Hakikatnya, nyawa askar mereka sememangnya terancam sedari awal. Malah, saya tidak rasa apa juga yang kita buat di Australia ini boleh mengehadkan atau membesarkan risiko yang dialami.

"Kami menyiarkannya kerana itu adalah tanggungjawab sebagai wartawan, menyiarkannya bagi makluman orang ramai," katanya kepada agensi berita Australia, AAP.

Kerajaan Australia pimpinan Perdana Menteri John Howard adalah sekutu rapat Presiden AS, George W Bush. Canberra turut menghantar seramai 900 askar ke Iraq.

Carey berkata, secara kebetulan, pendedahan gambar itu berlaku ketika bantahan terhadap penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad, sedang berleluasa serta penyiaran gambar askar Britain membelasah sekumpulan remaja Iraq.
"Kami menerima gambar yang menunjukkan penderaan yang jauh lebih teruk daripada apa disangka berlaku di Abu Ghraib. Untuk menuduh kami sengaja menyiarkan (bagi mencetuskan ketegangan) adalah tuduhan karut."

Malah, Carey berkata, apa lebih penting adalah melancarkan siasatan mengenai penemuan mayat di Abu Ghraib yang di bawah seliaan askar AS.Di Geneva, Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) semalam menyifatkan gambar penderaan tahanan Abu Ghraib itu adalah bukti jelas pencabulan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"ICRC terkejut dengan tahap layanan dan penderaan dipaparkan gambar baru itu. Ia jelas bertentangan dengan peraturan yang melindungi tahanan konflik bersenjata," kata jurucakapnya, Dorothea Krimitsas told Reuters in Geneva.
Di Washington, jurucakap Pentagon kelmarin mendakwa penyiaran sejumlah gambar itu mampu memburukkan lagi keadaan dan kemungkinan tercetusnya bantahan baru di seluruh dunia.

"Ia juga boleh mengancam nyawa anggota lelaki dan wanita yang sedang berkhidmat di Iraq."
Pentagon tidak akan membuka siasatan terbaru berhubung gambar berkenaan

Kenyataan dari Mufti Perak

ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲﺍﺔﻤﺤﺭﻮ ﻡﻜﻴﻠﻋﻢﻼﺴﻠﺍ & Salam Sejahtera,
Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria bangkit dalam isu ini dengan membuat kenyataan akhbar bahwa umat Islam wajib isytihar perang terhadap pertubuhan IFC (Inter Faith Commission) itu dan minta 50 ahli politik Islam yang menurunkan signature sebagai menyokong penubuhan IFC itu bertaubat kepada Allah swt kerana dibimbangi aqidah mereka sudah terbatal [3].
Datuk Harussani juga minta kepada semua penceramah, semua ustaz-ustaz yang mengajar kuliah-kuliah dan semua khatib-khatib, supaya jangan lupa cakap benda ni dalam kuliah-kuliah dan di atas mimbar-mimbar Jumaat bahwa pertubuhan IFC ini adalah musuh Islam di Malaysia.
Tuan-tuan tau depa minta apa kat PM?...Depa send memorandum kepada PM minta 15 perkara berhubung dengan Islam supaya dimasukkan dalam perlembagaan Malaysia.
Antaranya:
1) Setiap anak yang baru dilahirkan di Malaysia jangan dikaitkan dengan mana-mana agama sehinggalah anak itu berusia 18 tahun - Tu dia tuan-tuan. Ini apa cerita ni? Maknanya, anak-anak kita langsung tidak boleh dididikkan dengan cara Islam. Kita tak boleh bubuh nama Islam kat anak-anak. Sampai umur 18 tahun, baru boleh duduk bincang di mahkamah, tanya kat anak kita, "Hang nak ikut ugama apa?"...Kalau dia kata nak jadi hindu, maka jadi hindulah dia. Kita tak boleh nak buat apa sebab dah digazetkan dalam Perlembagaan Negara.
2) Di dalam dokumen pengenalan mykad dan passport dihapuskan kolum identiti agama - maknanya, perkataan "Islam" yang ada kat mykad kita itu, depa minta di"tiada"kan.
3) Mana-mana orang bukan Islam kalau nak kahwin dengan orang Islam, dia tidak perlu masuk Islam.
4) Mana-mana orang Islam yang nak kahwin dengan orang bukan Islam, mestilah dia tukar agama kepada bukan Islam.
5) Sebagaimana kerajaan Malaysia menyalurkan dana kepada masjid-masjid, begitu juga kerajaan Malaysia mesti menyalurkan dana kepada semua rumah ibadat orang bukan Islam. 6) Peraturan sekolah yang mengizinkan anak orang Islam menutup aurat hendaklah dimansuhkan, kerana ia menghina agama bukan Islam.
7) Hapuskan mahkamah syariah kerana ia juga menghina agama-agama lain - mahkamah syariah kalau takdak, habih la kita tuan-tuan. Walaupun la ni bukannya perfect, tapi itulah satu-satunya mahkamah yang defence agama kita. Kalau mahkamah syariah disingkirkan, masalah faraid pusaka, masalah nikah kahwin, cerai talak apa semua tu macamana?...Kalau takdak mahkamah syariah, maknanya, perkahwinan tidak akan berjalan di atas akad nikah, sebaliknya, perkahwinan akan dibuat secara berdaftar.
8) Mana-mana orang bukan Islam yang masuk Islam, semua hartanya dikembalikan kepada waris yang tidak beragama Islam. ]
9) Mana-mana pasangan yang bukan Islam, apabila masuk Islam, maka hak penjagaan anak tidak boleh diberikan kepada mereka.
10) Sebagaimana program-program di radio dan tv yang menerangkan tentang ajaran Islam dalam bahasa ibunda masing-masing, begitu juga ajaran-ajaran lain daripada Islam juga perlu diberi ruang.
11) Sepertimana Quran, hendaklah kerajaan Malaysia turut mencetak bible dalam bahasa Melayu untuk diedarkan di seluruh negara.
12) Apa istimewanya Islam sehingga ditabalkan sebagai agama rasmi di Malaysia? ...lagi 3 ana tak ingat, antum boleh refer dalam majalah Millenium Muslim.
Ini dia tuan-tuan, Islam diludah depan mata kita sendiri, so mana sensitiviti kita terhadap agama kita sendiri?...Datuk Harussani tegur PM dan 50 ahli politik Islam yang sokong pertubuhan tersebut supaya dibatalkan pertubuhan itu.
Tau 50 orang Islam tu kata apa?...Depa kata kat Mufti Perak, "Ni lah kalau dah terlalu tua jadi mufti, tak open minded langsung!"...Datuk Harussani balas dalam majalah "Millenium Muslim", katanya, "Di atas sikap open-minded rakyat Malaysia yang terlampau lebih, maka inilah hadiahnya!"...Ini dia kata-kata seorang ulama di Malaysia.
Yang lainnya sunyi sepi termasuklah akhbar-akhbar, macam ada benda dalam mulut sampai tak boleh nak buka
[3] Kata al-Imam Ibn Kathir didalam tafsirnya: "Sepertimana yang Tartar berhukum dengan berteraskan sistem pemerintahan yang diambil daripada raja mereka Genghiz Khan yang telah mencipta untuk mereka undang-undang Yasak yang merupakan sebuah buku menghimpunkan hukum-hakam yang diambil daripada syariat yang berbagai, iaitu Yahudi, Nasrani, Islam dan lain-lain. Dalamnya juga banyak hukum-hakam yang diambil daripada fikiran dan hawa nafsunya semata, lalu dijadikan undang-undang yang diikuti oleh anak cucunya. Mereka mendahulukannya melebihi kitab Allah dan Sunnah Rasulullah, sesiapa yang berbuat demkian maka dia adalah kafir dan wajib diperangi sehingga dia kembali kepada hukum Allah dan Rasulnya dan tidak berhukum selain daripadanya dalam perkara kecil ataupun besar (rujukan tafsir al-Quran al-'Azim oleh al-Imam Ibn Kathir jld. 2, m.s. 70. Cetakan Beirut)
Allahu ta`ala `alam. 6 Februari 2006 ﻢﻼﺴﻠﺍﻮ

Thursday, February 16, 2006

Rombakan Abdullah kecewakan pemimpin-pemimpin Umno

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mengenai apa yang didakwa beliau sebagai rombakan kabinet mengecewakan banyak pihak termasuk pemimpin-pemimpin Umno sendiri, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Azmin Ali.
"Mengecewakan ... bahkan, saya sendiri telah dihubungi oleh beberapa pemimpin Umno yang melahirkan kekecewaan itu," katanya kepada MT. Menurut Azmin, Abdullah mengecewakan kerana ramai yang berharap beliau akan melakukan satu pembaharuan di dalam kabinetnya. "Beliau sendiri pernah berjanji sebelum pilihanraya lalu untuk memastikan kabinetnya adalah kabinet yang bersih," jelas beliau.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu pula menyifatkan pengumuman Abdullah itu akan menghakiskan lagi kepercayaan luar biasa yang disandarkan kepada Abdullah seperti yang tergambar dalam Pilihanraya Umum 2004 yang lalu.
Sambil menyifatkan Abdullah sebagai Perdana Menteri yang paling tidak berpengaruh, beliau berkata, pengumuman itu membukti dan mengukuhkan tanggapan bahawa Abdullah "hanya penunggu jawatan semata-mata, tidak ada lain lagi.
Langsung tidak ada". "Tun Hussein Onn yang dianggap Perdana Menteri paling lemah sebelum Abdullah jauh lebih berpengaruh di dalam kerajaannya berbanding Abdullah," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan pengumuman itu tidak menggambarkan hasrat Abdullah untuk membanteras gejala rasuah hingga ke peringkat akar umbi.
Sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau dikritik kerana tidak membersihkan kabinetnya kerana mereka berpendapat janji Abdullah untuk memerangi rasuah hanya akan dapat dilaksanakan dengan memperbaharui kabinetnya dengan tokoh-tokoh yang lebih meyakinkan.
Para pengkritik menyifatkan Abdullah terlepas peluang untuk membentuk kabinetnya dalam tahun 2004, di mana beliau hanya membuat rombakan kecil walaupun beliau menyifatkan kemenangannya dalam pilihanraya adalah hasil dari agenda memerangi rasuah.
Peluang kedua, iaitu selepas pemilihan Umno 2004, juga tidak dimanfaatkan oleh Abdullah, kata mereka.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar pula menyifatkan rombakan kabinet itu sebagai "gambaran ketidakupayaan Abdullah sebagai Perdana Menteri dengan kemampuannya yang amat terhad"dan "ketandusan ilham".
"Sekiranya beginilah standard hasil inspirasi Perdana Menteri setelah berbulan-bulan menunggu mencari ilham untuk rombakan kabinet, perkara ini cukup membimbang dan mengecewakan rakyat.
"Tidak ada langsung tokoh yang dilantik yang boleh memberikan satu harapan baru yang lebih optimis untuk masa depan negara," katanya. Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, pengumuman Abdullah mengenai perubahan kabinetnya sebagai "paling mengecewakan".

Mahasiswa Malaysia alu-alukan pengguguran Shafie

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - Ketika pelbagai pihak kesal dengan rombakan Kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam, namun pelajar pendidikan tinggi di negara ini mengalu-alukan langkah menggugurkan menteri yang menjaga hal ehwal mereka, Dato' Dr Shafie Salleh.

Shafie digugurkan dari Menteri Pendidikan Tinggi dalam rombakan semalam dengan digantikan Dato' Mustapha Mohamad.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam kenyataan mereka mengalu-alukan tindakan Abdullah itu.

"Tindakan ini melambangkan pihak kerajaan sangat prihatin terhadap tuntutan dan desakan mahasiswa berhubung dengan isu pencabulan hak asasi Mahasiswa dan demokrasi kampus," kata kenyataan yang ditandatangani oleh Pengerusi SMM, Ahmad Rifaudin Abdul Wahab.

Bagi beliau, tindakan ini merupakan satu titik kemenangan kecil bagi mahasiswa Malaysia.

Namun, kemenangan ini bukannya kemenangan yang mutlak,kemenangan sebenar bagi pihak SMM ialah apabila demokrasi kampus dan hak asasi mahasiswa benar-benar terpelihara selari dengan makna dan halatuju sebenar kewujudan universiti, kata mereka.

Sepanjang 2 tahun Shafie menjawat jawatan di kementerian, bermula semenjak 27 Mac 2004, beliau telah melakukan pelbagai kesilapan dan kezaliman khususnya terhadap Mahasiswa, katanya.

Kesan tersebut bukan hanya dirasai oleh majoriti Mahasiswa, malah turut mengakibatkan kesan langsung ke atas sistem pendidikan itu sendiri, katanya.

"Kita dapat melihat bagaimana kedudukan Institusi Pengajian Tinggi Negara telah menunjukkan kemerosotan yang cukup teruk melalui senarai ranking yang dikeluarkan oleh Time Higher Education pada Oktober tahun lepas.

"Selain itu, kita juga dapat melihat bagaimana berlakunya campur tangan politik yang keterlaluan dalam proses perlantikan pentadbiran tertinggi universiti terutamanya perlantikan terhadap Naib cancelor dan Timbalan Naib Canlesor. Kezaliman beliau terhadap Mahasiswa tidak perlu dihitung lagi," katanya.

Pada tahun 2005 sahaja, seramai 18 orang Mahasiswa dihadapkan ke Tribunal Tatatertib Universiti dan perlaksanaan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar berada pada tahap yang cukup kotor sehinggakan majoriti Mahasiswa terpaksa mengambil tindakan untuk memboikot proses pemilihan tersebut.

Pada tahun 2004 pula, iaitu “Tahun Gelap Hak Asasi Mahasiswa” seramai 48 orang mangsa mahasiswa turut dizalimi. Ada mahasiswa yang digantung pengajian hanya kerana mengeluarkan manefesto mahasiswa sempena PRU ke-11, difitnah dan lain-lain lagi.
Justeru itu, katanya, tindakan menggugurkan beliau sebagai menteri merupakan suatu langkah yang sangat tepat dan seharusnya disokong oleh seluruh Mahasiswa memandangkan rekod kesalahan beliau banyak dan pemecatan beliau adalah sesuatu yang munasabah.

Harapan tinggi kepada Mustapha

SMM juga meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi yang baru dilantik agar segera mengembalikan keyakinan Mahasiswa, ahli akademik dan seluruh masyarakat Malaysia terhadap KPT, sistem pengajian tinggi Negara dan Institusi Menara Gading itu sendiri.

"Kami bersedia membantu beliau dan kementeriannya demi mereputasikan semula universiti tempatan di persada dunia serta menonjolkan kembali kualiti dan potensi sebenar Mahasiswa di Malaysia amnya.

"Selain bersama-sama kerajaan menjayakan program dan matlamat Rancangan Malaysia ke-9 ( RMK 9) terutamanya bagi mencapai matlamat untuk melahirkan modal insan berkualiti," katanya.

Namun, perlu diingat, katanya, selagi mana segala hak Mahasiswa tidak ditunaikan, keadilan tidak ditegakkan dan demokrasi kampus tidak dikembalikan, perjuangan ini tidak akan dihentikan.

"Setiap tangan-tangan kotor yang bertanggungjawab ke atas pencabulan demokrasi kampus dan kezaliman-kezaliman ke atas Mahasiswa wajib berundur atau diundurkan oleh kuasa Mahasiswa," katanya.

Tuntutan

Justeru mereka menuntut kepada Mustapa Mohamed supaya :

1) Menggugurkan segala dakwaan yang disabitkan ke atas Mahasiswa yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Universiti.
2) Mengembalikan semula demokrasi kampus melalui perlaksanaan sistem pilihanraya kampus yang telus dan adil serta kebebasan Mahasiswa dalam berpersatuan.
3) Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan digantikan dengan suatu akta baru dengan mengetepikan segala seksyen yang menzalimi pelajar.

"Kami diperingkat SMM,sentiasa berusaha untuk membina lembaran baru dengan mana-mana pihak yang ikhlas termasuk pihak KPT sendiri demi memastikan aspirasi Universiti terpelihara serta membuktikan kecintaan kami terhadap institusi ini.

"Kami sentiasa menghormati prinsip-prinsip demokrasi yang hak asasi pelbagai peringkat masyarakat.Oleh yang demikian suatu dialog dan perbincangan bersama SMM perlu diadakan supaya segala kehendak bersama dapat dipenuhi dengan baik.

"Kami juga berharap supaya beliau dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh jujur dan amanah serta mengetepikan segala kepentingan politik dalam sebarang keputusan yang bakal diambil. Sesungguhnya, kezaliman sesuatu yang tetap disanggah oleh mahasiswa," katanya lagi.

PKR pertikai PM gunakan slogannya, Keadilan Untuk Semua

BUKIT MERTAJAM, 15 Feb (Hrkh) - Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa mengambil slogan 'Keadilan Untuk Semua' untuk menyelamatkan dirinya daripada dilabelkan pemimpin zalim walaupun dia tahu slogan itu adalah slogan Parti Keadilan Rakyat.

PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun beliau mengguna pakai slogan PKR namun tidak sama dengan realiti sebenar.

"Walaupun Perdana Menteri mengguna pakai slogan sama makna dengan PKR iaitu 'Keadilan Untuk Semua' namun rakyat tahu menilai sendiri tahap mana keadilan yang ada dalam pentadbiran mereka," tegasnya ketika ditemubual sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina anjuran bekas ahli MCA yang keluar menyertai PKR baru-baru ini.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengerusi PKR Negeri, Dato' Zahrin Hashim, bekas Ketua Bahagian MCA Bukit Mertajam, Tony Peh Choon Peng, bekas Ketua Wanita MCA, Chin Pei Lan dan kepimpinan PKR Negeri dan Bahagian.

Jelas Wan Azizah, slogan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri boleh dipertikaikan kerana mana dia keadilan sekiranya ramai lagi yang merengkuk dalam penjara akibat kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bukan itu sahaja, demokrasi yang dicanangkan telah kembali adil juga masih samar-samar.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Choong Eng pula berkata, kenyataan Dato' Seri Abdullah tidak ubah seperti berada dalam mimpi.

Jika adil sarannya, beliau mesti memberi kebebasan akhbar, tiada tekanan kepada pekerja kerajaan dan sebagainya.

"Apa yang kita lihat hari ini semuanya tidak begitu, " katanya.

Bagi bekas Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Mertajam, Chin Pei Lan, seruan keadilan tiada dalam komponan Barisan Nasional (BN).

Jika ada, pastinya beliau dan berapa orang rakannya tidak keluar beramai-ramai kerana kecewa dengan janji dan sikap yang menjadi amalan kepimpinan MCO dan BN.

Kemenangan Hamas, Ikhwan pemangkin kebangkitan Islam

KANGAR, 14 Feb (Hrkh) - Kemenangan Hamas dan Ikhwanul Muslimin dalam pilihan raya di Palestin dan Mesir baru-baru ini perlu dijadikan pemangkin kepada kebangkitan Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyatakan demikian dalam ucapannya ketika merasmikan 'Kursus Motivasi Pilihan raya PAS Perlis' di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Balai Islam MADI baru-baru ini.

Menurut Ustaz Hashim kedua-dua kemenangan tersebut menunjukkan kepada dunia bahawa Islam sekarang sedang bangkit.

"Ini juga membuktikan gerakan Islam di seluruh dunia mengakui pentingnya memasuki pilihan raya walaupun dulu sebahagian daripada mereka menolak," katanya.

Beliau memberikan dua sebab kenapa menyertai pilihan raya perlu dimasuki walaupun terdapat pelbagai penipuan.

"Pertamanya untuk mendapatkan kuasa atau suara dan keduanya untuk membolehkan dakwah disebarkan dengan selamat," jelasnya.

Ustaz Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang melihat kemenangan Hamas dan Ikhwan ini adalah hasil kesabaran mereka yang sebelum ini ditekan dan disekat dari pelbagai sudut.

"Dengan kesabaran itulah mereka diberi bantuan Allah dengan mendapat kemenangan walaupun tidak dijangka," tambahnya.

Justeru itu beliau menyeru semua ahli supaya bermuhasabah dan mengambil sikap yang tegas dalam menjalankan gerak kerja jemaah.

"Walaupun ditekan, ditipu dan disekat, hasil kesabaran dan kerja kuat, insya-Allah kita akan diberikan kemenangan oleh Allah," katanya

Pengimport Indonesia pulau barangan Denmark

JAKARTA: Persatuan Pengimport Indonesia memulakan pemulauan terhadap barangan Denmark semalam bagi membantah penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad di sebuah akhbar tempatan negara itu.

"Pemulauan barangan import itu akan diteruskan sehingga kerajaan Denmark memohon maaf kepada masyarakat Islam," kata kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan.
Ia tidak menyebut sama ada ahli yang tidak mematuhi keputusan itu dibenarkan berbuat demikian.

Persatuan itu berkata, import barangan Denmark ke negara yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam itu bernilai AS$73.8 juta (RM274.8 juta) pada 2005, kira-kira satu peratus daripada import tahunan republik berkenaan.

Import Indonesia termasuk barangan tenusu, formula bayi dan daging lembu, katanya.
Seperti kebanyakan masyarakat Islam di dunia, penduduk Indonesia marah dengan penyiaran 12 kartun berkenaan yang muncul di akhbar Denmark September lalu tetapi dicetak semula minggu lalu dalam akhbar di seluruh dunia yang memperjuangkan kebebasan akhbar.

Bagaimanapun, bantahan yang di republik itu lebih aman dan secara kecil-kecilan.
Minggu lalu, penunjuk perasaan merempuh lobi di bangunan tinggi yang menempatkan kedutaan Denmark di Jakarta dan melontar batu di konsulat negara itu di Surabaya. Tidak ada yang diserang dan hanya membabitkan kerosakan kecil dalam kejadian itu.

Sementara itu, di MANILA, beratus-ratus penduduk Islam mengoyak dan membakar bendera Denmark dalam tunjuk perasaan yang diadakan di depan konsulat Denmark semalam membantah kontroversi penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad.

Penunjuk perasaan meminta Denmark memohon maaf terhadap kartun yang mula-mula disiarkan sebuah akhbar Denmark yang menghina Nabi Muhammad. Mereka turut meminta supaya Presiden Glorio Macapagal Arroyo mengutuk karikatur berkenaan.

Thaksin hadapi dakwaan senator

BANGKOK: Sebuah mahkamah Thailand bersetuju menerima aduan petisyen 28 senator yang menuduh Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, melanggar Perlembagaan yang boleh membawa kepada pemecatannya jika sabit kesalahan, kata pegawai kepada agensi berita, di sini semalam.
Thaksin yang sudah digesa pelbagai pihak supaya meletakkan jawatan didakwa bersalah mencabul Perlembagaan kerana masih terbabit dalam pengurusan korporat sebagai Perdana Menteri yang dianggap sebagai percanggahan kepentinga, kata Senator Nirun Phitakwatchara.Jika beliau didapati bersalah, Thaksin yang sudah lima tahun memerintah, boleh hilang kuasa, kata pegawai Mahkamah Perlembagaan.

Mahkamah berkenaan akan mengadakan satu mesyuarat esok (Khamis) untuk memutuskan sama ada melancarkan siasatan menentukan sama ada jutawan telekomunikasi itu melanggar undang-undang, kata pegawai mahkamah.

Mahkamah yang sama melepaskan Thaksin daripada tuduhan menyembunyikan aset, beberapa bulan selepas beliau mula memerintah.Jika didapati bersalah, Thaksin boleh diharamkan berpolitik selama lima tahun.

Penganalisis berkata, pengumuman mahkamah menyiasat petisyen itu boleh memberi ancaman serius terhadap masa depan politik Thaksin, selepas dipilih semula Februari 2005

"Keputusan mahkamah hari ini memberi tekanan baru kepada Thaksin yang mungkin disiasat secara serius oleh mahkamah. Mahkamah nampak ada kesalahan, jika tidak ia tentu sudah menolak petisyen itu," kata Profesor undang-undang Universiti Thammasat, Prinya Thaewanarumit.

Hamas Adalah Ciptaan Mossad

Dengan izin Mossad, ‘yakni institusi perisikan dan tugs khas Israel’ Hamas telah dibenarkan memperkasa kedudukan dalam kawasan jajahannya. Pada waktu yang sama Pergerakan Pembebasan Kebangsaan (PLO) Fatah dan puak kiri Palestin telah dikenakan pelbagai bentuk tekanan dan ugutan.

Kita harus tidak lupa bahawa Israel yang sebenarnya melahirkan Hamas. Mengikut eev Sternell, seorang ahli sejarah di Hebrew Universiti, Jerusalem: “Israel beranggapan adalah satu tindakan bijak untuk mewujudkan satu kumpulan Islamiah bertelingkah dengan PLO”. Ahmad Yassin pengasas utama pergerakan Islamiah di Palestin baru sahaja pulang daripada Kaherah pada tahun tujuh puluhan dahulu dan mahu menubuhkan satu pergerakan Islam di Palestin. Perdana Menteri Golda Meir, nampak satu peluang untuk mengimbangi kebangkitan pergerakan Al Fatah pimpinan Yasser Arafat.

Mengikut mingguan Israel ‘Koteret Rashit’ (Oktober 1987): ‘Pertubuhan Islam dan juga universiti telah menerima sokongan dan galakan kuasa tentera Israel” yang dipertanggungjawabkan dengan pentadbiran sivil Tebing Barat dan Gaza. “Mereka (pertubuhan Islam dan universiti) memang dibenarkan menerima kiriman wang daripada luar negara.”
Kumpulan Islamiah itu telah menubuhkan beberapa tadika bimbingan anak-anak yatim piatu dan klinik kesihatan, serta satu rangkaian sekolah, bengkel yang memberikan pekerjaan kepada kaum wanita dan juga satu sistem bantuan kewangan kepada golongan miskin.
Pada 1978 mereka telah mewujudkan satu Universiti Islam di Gaza. “Kuasa tentera menjadi yakin bahawa segala aktiviti itu akan melumpuhkan PLO dan pertubuhan puak kiri di Gaza.” Pada akhir 1992, terdapat 600 masjid di Gaza. Dengan izin Mossad, kumpulan Islamiah telah dibenarkan memperkasakan kehadiran mereka di wilayah jajahan Israel. Sementara itu, anggota FATAH dan puak kiri Palestin telah dikenakan pelbagai tekanan yang sangat ganas dan zalim.
Pada 1984, Ahmed Yassin telah ditangkap dan dipenjarakan selama 12 tahun, setelah dijumpai senjata yang tersorok. Akan tetapi satu tahun kemudiannya beliau telah dibebaskan dan meneruskan semula kegiatan lamanya. Apabila Intifada meledak pada Oktober 1987, ia mengejutkan golongan Islamiah. Sheikh Yassin telah bertindak balas dengan melahirkan Hamas (Pergerakan Penentangan Islamiah).

“Allah adalah permulaan kita, Nabi adalah model kita dan al-Quran menjadi Perlembagaan kita.” Demikian isytihar artikel 7 dalam piagam pertubuhan itu.

Ahmed Yassin berada dalam penjara semasa Perjanjian Oslo (deklarasi prinsip kerajaan sendiri sementara) dimetrai pada September 1993. Hamas telah menolak perjanjian Oslo secara mentah-mentah. Ketika itu 70% rakyat Palestin sudah mengutuk serangan terhadap rakyat Israel. Yassin telah melakukan apa sahaja yang dalam bidang kuasanya untuk menggagalkan Oslo. Malahan sebelum kematian Perdana Menteri Rabin, dia mendapat sokongan kerajaan Israel, yang sememangnya amat liat mahu melaksanakan apa yang termaktub dalam perjanjian damai itu.

Kemudian, Hamas telah melancarkan beberapa serangan yang dirancang terhadap orang awam, satu hari sebelum wakil Palestin dan Israel duduk berunding, mengenai pengiktirafan rasmi kewujudan Israel oleh Majlis Kebangsaan Palestin. Semua kejadian ini telah menyumbang kepada penubuhan satu kerajaan Israel yang berpuak kanan sejurus pilihan raya Mei 1996.
Dengan senyap-senyap Perdana Menteri Netanyahu telah memberi arahan agar Sheikh Ahmad Yassin dibebaskan daripada penjara (atas peri kemanusiaan) sedangkan beliau sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup. Pada waktu yang sama Netanyahu bersama-sama Presiden Bill Clinton telah menekan Arafat agar menguasai Hamas.

Malahan, Netanyahu memang sudah lama tahu bahawa dia boleh menyandarkan harapan sekali lagi ke atas golongan Islamiah untuk mensabotaj Perjanjian Oslo.

Yang lebih dahsyat, Yassin yang telah dibuang ke Jordan telah dibenarkan pula oleh Netanyahu untuk pulang ke Gaza di mana dia disambut dengan segala keraian yang menganggap dia seorang wira pada October 1997. Arafat tidak mampu berbuat apa-apa dengan kejadian itu semua. Lagi pun dia telah menyokong Saddam Hussein semasa Perang Teluk 1991 (sedangkan Hamas telah pandai berkecuali dalam kemelut itu). Negara Teluk telah mengambil keputusan menghentikan bantuan kewangan kepada PLO.

Sementara itu antara Februari dan April 1998, Sheikh Ahmed Yassin telah berjaya mendapatkan bantuan kewangan daripada semua negara Arab tadi. Bajet Hamas telah dianggarkan lebih besar daripada bajet Pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin. Segala sumber Kewangan yang baru ini membolehkan kumpulan Islamiah itu melancarkan beberapa aktiviti kemasyarakatan yang berkesan. Adalah dianggarkan terdapat seorang Palestin daripada setiap tiga orang pernah menerima bantuan daripada Hamas. Dalam hal ini Israel tidak pun melakukan apa-apa untuk menyekat kemasukan mata wang kepada kawasan takluknya.

Hamas telah memperkasakan diri melalui pelbagai tindakan sabotaj terhadap proses damai, yang selari dengan kehendak kerajaan Israel. Sebagai balasan kerajaan Israel telah melakukan pelbagai dalih untuk menyekat pelaksanaan Perjanjian Oslo. Dengan lain perkataan Hamas telah menyempurnakan fungsi asal kenapa ia diwujudkan yakni untuk menyekat kewujudan sebuah negara Palestin. Dalam hal ini Hamas dan Ariel Sharon adalah sebulu dan sekandang; berfikir dan menari dalam satu rentak tari yang sama.

Terjemahan MT-SPAR - 08.02.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Wednesday, February 15, 2006

KABINET BARU : 3 MENTERI GUGUR, 2 BEKAS MENTERI KEMBALI

PUTRA JAYA 14 FEB : Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan tiga menteri digugurkan, dua timbalan menteri naik pangkat manakala dua bekas menteri kembali menganggotai semula kabinet.

Menteri yang digugurkan ialah Datuk Adnan Satem (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Shafie Salleh (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Leo Michael Toyad (Menteri Pelancongan).

Dua timbalan menteri yang dinaikkan pangkat ialah Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin yang dilantik sebagai Menteri Penerangan yang baru, menggantikan Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang meletakkan jawatannya.

Seorang lagi ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Jawatan tersebut dipangku oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selepas Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

Rafidah kekalManakala Datin Seri Rafidah Aziz kekal sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Dua bekas menteri yang dilantik semula menganggotai Kabinet ialah Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan, menggantikan Datuk Dr Leo Michael Toyad.

Manakala Datuk Seri Dr Mohd Effendi Norwawi dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Bekas Menteri Pertanian dari Sarawak itu tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed pula dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Dr Shafie Salleh, yang digugurkan dari barisan kabinet. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid pula dilantik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menggantikan Datuk Seri Adenan Satem.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dilantik Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menggantikan Datuk Seri Azmi Khalid.

Gambar dan Berita di petik dari Malaysiakini

Tindakan Thaksin adalah dorongan dari Najib

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak perlu ingat beliau mempunyai saham menggalakkan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawartra melakukan kekejaman terhadap umat Islam di selatan negara itu, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub.

Ini akibat dari kenyataan Najib yang pernah mendakwa Sekolah Agama Rakyat (SAR) adalah sarang pengganas.Kini, katanya, Perdana Menteri Thailand bertindak memerangi pengganas dan sasarannya adalah penggiat SAR terutama guru-guru di sekolah jenis itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berucap dalam program roadshow Perlembagaan Persekutuan 121 (1A) di perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri di Pongsu Seribu Ahad lepas.

Menurutnya, pernah satu ketika dulu Najib mendakwa Sekolah Agama Rakyat (SAR) merupakan sarang pengganas sehingga membuatkan kerajaan sendiri bertindak menyekat bantuan perkapita yang selama ini diperolehi.

"Maka, tidak hairanlah Perdana Menteri Thailand terus bertindak zalim kepada umat Islam selatan negara itu yang kebanyakkannya mempunyai pendidikan berlatarbalakangkan institusi itu," katanya sambil mengulas kenyataan terbaru Thaksin yang meminta Malaysia menangkap pengganas yang dikatakan melarikan diri ke negara ini.

Jesteru itu, umat Islam negara ini harus menilai kewibawaan Najib yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri bilamana Dato' Seri Abdullah mengundurkan diri kelak.

Individu sebegini sambungnya, senang dipermainkan oleh mana-mana negara yang begitu cemburu dengan kemajuan yang dikecapi negara ini.

Akhbar arus perdana baru-baru ini menyiarkan kenyataan Perdana Menteri Thailand yang meminta kerjasama dari kerajaan Malaysia dan Indonesia menangkap tiga anggota pemisah yang disyaki mendalangi siri pengemboman dan pembunuhan terancang di negara itu.

Bukan itu sahaja, akibat kenyataan Najib tempuh hari kini banyak pihak semakin berani mencabar Islam terutamanya berkaitan kes pendaki Everest, Allahyarham M. Moorthy, dakwa Salahudin.

Dewan Pemuda katanya, mengingatkan mana-mana organisasi dan individu agar jangan mengundang trajedi sebaliknya akur dengan keputusan Mahkamah Syariah yang mempunyai kelebihan sepertimana yang tersebut dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah tidak boleh di pertikaikan oleh mana-mana Mahkamah Sivil.

"Pemuda PAS akan mempertahankan maruah Islam, maka jangan ada pihak yang berani menggugat kedudukan syariah di negara ini pada masa depan, " ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan

Serang nuklear Iran bakal cetus perang panjang

LONDON 13 Feb. - Serangan udara Amerika Syarikat (AS)terhadap kemudahan nuklear dan tentera Iran dijangka meragut ribuan nyawa, mencetuskan perang berpanjangan dan mendorong Iran mempercepatkan program senjata nuklearnya.
Sebuah kumpulan penganalisis British meramalkan senario itu dalam satu laporan yang disiarkan hari ini.
Oxford Research Group yang mengkhusus dalam isu kawalan senjata termasuk senjata nuklear menyatakan, tindakan ketenteraan terhadap Iran sama ada oleh AS atau Israel bukan satu pilihan yang patut dipertimbangkan dalam apa jua keadaan.

Pentadbiran Presiden George W. Bush enggan menolak kemungkinan tindakan ketenteraan diambil jika Iran tidak akur dengan usaha diplomatik antarabangsa untuk menyekat program nuklearnya.

Iran mendakwa programnya hanya untuk menjana tenaga elektrik tetapi AS menuduh Teheran mahu membina senjata atom.

Laporan yang disediakan oleh Profesor Paul Rogers dari Universiti Bradford itu menyatakan, serangan AS dijangka melibatkan serangan udara serentak terhadap lebih 20 kemudahan utama nuklear dan tentera dengan tujuan untuk melumpuhkan keupayaan nuklear dan pertahanan udara Iran.

Program

Serangan seumpama itu dijangka membunuh beberapa ribu orang termasuk askar, kakitangan program nuklear dan ratusan orang awam, katanya.

Menurut laporan itu, tindakan ketenteraan akan mendorong Iran menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), mempercepatkan program nuklearnya dan meningkatkan bantuan kepada kumpulan gerila di Iraq dan pergerakan Hizbullah di Lebanon.

Selain itu serangan tersebut juga akan memarakkan lagi sentimen anti- Amerika di serata dunia.

Konfrontasi ketenteraan yang meningkat akan menarik penglibatan negara lain di Asia Barat, sekali gus mencetuskan konflik berpanjangan dan tidak menentu.
''Keadaan perang yang berlarutan selama bertahun-tahun akan wujud,''
menurut kumpulan itu.

Israel yang memiliki senjata nuklear menganggap Iran sebagai ancamannya yang terbesar dan menyokong dakwaan Washington bahawa Teheran cuba membina senjata nuklear.

Menteri Pertahanan Israel, Shaul Mofaz berkata bulan lepas, Israel menjalankan persiapan untuk melancarkan tindakan ketenteraan jika usaha diplomasi gagal.

AS `aniaya' teruk warga Arab - Al Gore

JEDDAH 13 Feb. - Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore mendakwa kerajaan AS bertanggungjawab melakukan ''penderaan dahsyat'' terhadap orang Arab selepas serangan 11 September 2001 dan kebanyakan rakyat negara itu tidak menyokong layanan sedemikian.

Menurut Gore, orang Arab telah ''ditangkap secara sembarangan'' dan ditahan dalam keadaan yang ''tidak boleh dimaafkan.''

Beliau berkata, pentadbiran Bush telah terjebak dalam permainan al- Qaeda dengan secara rutin menyekat permohonan visa rakyat Arab Saudi.

''Cara yang tidak terfikir dalam mengendalikan visa merupakan satu kesilapan. ''Perkara paling buruk boleh dilakukan adalah memutuskan terus saluran persahabatan dan persefahaman bersama antara Arab Saudi dan AS,'' kata Gore pada Forum Ekonomi Jeddah di sini.

Menurut Gore, orang Arab di AS telah ''ditangkap secara sembarangan, selalunya atas kesalahan kecil seperti tinggal melebihi masa yang ditetapkan dalam visa atau tidak mempunyai kad hijau yang mengikut aturan tetapi telah ditahan dalam keadaan yang tidak boleh dimaafkan.''

''Malangnya berlaku penderaan yang teruk dan ia adalah salah,'' ujarnya.

''Saya ingin nyatakan bahawa ia tidak menggambarkan kemahuan atau harapan atau perasaan majoriti rakyat di negara saya.''

Bagaimanapun beberapa hadirin forum telah mengkritik sokongan ''tanpa syarat'' AS terhadap Israel dengan mengatakan para diplomat AS membantu Israel mengapungkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikuatkuasakan apabila langkah tersebut ditujukan kepada negara-negara Arab.

Gore pula menjauhkan diri daripada memperkatakan persoalan yang berkaitan dengan konflik Palestin-Israel

Saddam mogok lapar protes ketua hakim

BAGHDAD 14 Feb. - Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein memberitahu mahkamah bahawa dia mengadakan mogok lapar sejak tiga hari lalu untuk memprotes pendirian tegas yang diambil oleh ketua hakim.

Saddam berkata demikian semasa perbicaraan kesnya disambung semula hari ini dalam suasana tegang.

Bekas pemimpin Iraq itu melaungkan sokongannya terhadap gerila Iraq dengan menjerit `hidup mujahidin' ketika memasuki bilik mahkamah.

Sejurus kemudian dia mula bertikam lidah dengan ketua hakim, Raouf Abdel-Rahman.
``Selama tiga hari kami mengadakan mogok lapar untuk membantah layanan kamu terhadap kami, terhadap kamu sendiri dan penguasa kamu,'' kata Saddam kepada Raouf.

Dalam sesi semalam, Raouf mengarahkan Saddam dan tujuh defendan lain hadir di mahkamah sekalipun pasukan peguam bela asal mereka telah memulaukan perbicaraan itu.

Salah seorang defendan, Awad Hamed Al-Bandar juga mendakwa dia mogok lapar.

Saddam tidak menyebut tentang mogok lapar itu dalam sesi semalam.

Sekalipun prosiding hari ini seperti semalam bermula dengan jerit pekik, keadaan dapat ditenteramkan dan mahkamah mula mendengar keterangan saksi pertama pendakwa raya.
Perbicaraan itu kemudiannya ditangguhkan sehingga 28 Februari ini.

Mufti Perak dakwa 250,000 murtad di negara ini

IPOH, 14 Feb (Hrkh) - Mufti Besar Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani Haji Zakaria memberitahu kini terdapat hampir 250,000 umat Islam yang murtad di negara ini.

Bilangan tersebut termasuklah kira-kira 100,000 orang-orang Islam Melayu yang telah mengistiharkan diri mereka masuk Kristian.

Mufti Perak itu menyatakan demikian dalam Forum Perdana 'Pekerti Islam' di Kedah baru-baru ini yang disiarkan pada siri ceramah agama RTM di sini pada jam 2 petang tadi.

Manakala, katanya, 100,000 orang lagi sedang membuat permohonan menunggu untuk murtad. Selebihnya, tegas beliau, termasuk mereka yang memohon untuk menukar nama Islam di dalam kad pengenalan kepada nama fahaman lain.

"Ini tidak termasuk lagi individu-individu yang langsung tidak bersolat, tidak berpuasa dan menentang semua hukum Islam," katanya.

Menurut Mufti Perak, beliau juga menerima sepucuk surat dari Persatuan Mubaligh Kristian Amerika yang menuduh Pejabat Agama Islam di sini bersifat zalim kerana tidak benarkan 30,000 orang Islam Melayu untuk masuk Kristian.

Surat itu juga meminta Pejabat agama Islam supaya jangan mengganggu kerja-kerja seorang mubaligh di negara ini yang dikenali dengan nama 'ustaz' yang cuba mempengaruhi para remaja liar untuk murtad.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan sekali-kali terikut dan percaya kepada satu hukum rekaan baru yang pasti menyesatkan.

Pertama, katanya, ada orang sekarang menyuruh sembahyang hanya dua rakaat saja untuk mengikut cara Nabi Ibrahim a.s. Dan kini sudah ada pihak menyatakan mengucap menyebut dengan Nabi Muhammad s.a.w. seperti biasa dibuat itu, kata mereka adalah 'salah'.

Tiada pembaharuan dalam kabinet Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) - Rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan hanyalah 'kabinet lama' yang mempunyai 'track record' yang boleh dipertikaikan seperti pengekalan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Samy Vellu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz.

Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa berkata, rombakan kabinet yang dibuat itu masih mengekalkan mereka yang tidak berkaliber dan berkeupayaan memberikan sesuatu yang baru kepada rakyat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rombakan kabinet yang dibuat agak lewat oleh Abdullah sebentar tadi.

Menurutnya lagi, apa yang dapat dilihat daripada rombakan itu hanya sedikit perubahan sahaja dan tidak nampak sebarang pembaharuan dalam kabinet.

Jelasnya, pertukaran itu juga tidak memberikan gambaran Abdullah melaksanakan hasratnya iaitu untuk menghapuskan gejala rasuah di kalangan mereka.

Mengulas mengenai beberapa bekas Menteri yang diserap semula beliau berkata, menteri-menteri terbabit tidak menunjukkan kebijaksanaan mereka sewaktu menjadi menteri tidak lama dahulu.

Dua timbalan menteri yang dinaikkan pangkat ialah Timbalan Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin yang dilantik sebagai Menteri Penerangan yang baru bagi menggantikan Dato' Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang meletakkan jawatannya.

Sementara itu, dua bekas menteri telah dilantik semula menganggotai kabinet baru Abdullah iaitu, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan yang menggantikan Dato' Dr Leo Michael Toyad dan Dato' Seri Dr Mohd Effendi Norwawi yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Rafidah kekal bersemayam di bawah dagu Pak Lah

Ilham yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Rakyat yang terpaksa menunggu sekian lama melayan tibanya ilham Dollah Badawi itu akhirnya dikejutkan dengan pengumuman dari PM jam 2.45 tadi.

Terkejut bukan kerana susunan kabinet baru, tetapi terkejut dan tergamam kerana yang dijangka dan disangka tidak menjadi. Terkejut dan tergamam kerana semakin kalut dan celaru nampaknya teraju negara di bawah Dollah Badawi.

Tanyalah siapa pun, casualty ataupun mangsa utama yang dijangka rebah ke bumi adalah tidak lain dan tidak bukan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Rafidah Aziz yang juga Ketua Wanita Umno.

Dunia melihat kekalutan yang dicetuskan oleh Rafidah, bekas PM mendedahkan secara terbuka skandal yang melibatkan beliau, perhimpunan agung Umno membogelkan beliau tanpa segan-silu lagi, nasib Rafidah kelihatan sudah hampir menyembam ke bumi.

Rupanya tidak. Dollah tidak bersependapat dengan rakyat. Walaupun kain kotor Rafidah yang hanyir dan hapak itu dicuci di depan mata dunia namun bagi Dollah, Rafidah masih berguna baginya dan perlu dikekalkan.Rafidahlah satu-satu menteri dan pemimpin Umno yang Dollah boleh gunakan untuk kepentingannya.

Biarlah Mahahtir membenci Rafidah, biarlah Najib membenci Rafidah, biarlah Hishamuddin membenci Rafidah, bagi Dollah musuh Rafidah adalah musuh beliau juga, maka walaupun bergelumang kekalutan namun Rafidah boleh diguna untuk sutvival politik beliau dan menantu beliau. Lalu biarlah Rafidah kekal.

Lagi pun bukankah Rafidah Ketua Pergerakan Wanita Umno. Wanita mewakili lebih separuh dari keahlian Umno. Kekuatan ini Dollah perlukan, lalu Rafidah perlu sangat dikekalkan.Biarlah Zainuddin Maidin orang Mahathir itu naik, biarlah Tengku Adnan juga orang kuat Mahahtir itu naik, biarlah Affandi Norawi yang pernah dilantik Mahathir juga naik asalakan Dollah ada Rafidah.

Lepas ni kita akan lihat Rafidah dan Dollah bergandingan memacu politik negara, memacu politik Umno demi agama, bangsa dan negara.

Demikianlah rombakan kabinet Dollah, demikianlah terselamatnya Rafidah dari tali gantung, demikianlah Umno dulu, kini dan selamanya.

Tuesday, February 14, 2006

BANTAH PENSWASTAAN KHIDMAT KESIHATAN...

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua bersama Ketua Penerangan Muslimat PAS, Dr Mariah Mahmud mengedarkan sebaran penerangan tentang penswastaan khidmat perubatan yang dibantah oleh mereka. Tindakan mengedarkan sebaran ini berjalan di seluruh negara khasnya di hospital-hospital kerajaan

Hamas henti perjuangan selepas Yahudi undur

MOSCOW: Hamas hanya akan menamatkan perjuangan menentang Israel jika negara Yahudi itu berundur dari semua wilayah Palestin yang diceroboh, kata pemimpin kumpulan pejuang itu kepada akhbar Russia yang disiarkan semalam.

"Jika Israel mengiktiraf hak kami dan berjanji akan berundur dari semua tanah Palestin, Hamas dan rakyat Palestin bersama-sama akan menggantung perjuangan kami," kata Khaled Meshaal dalam temubual dengan akhbar Nezavisimaya Gazeta.

Dalam kenyataan awal, Meshaal hanya menyebut kesediaan Hamas mengadakan `gencatan senjata jangka panjang' dengan Israel jika rejim Zionis itu kembali ke sempadan 1967 dan mengiktiraf hak Palestin untuk menentukan masa depan sendiri.

Bagaimanapun, Meshaal menambah dalam kenyataan terbarunya bahawa Hamas tidak terikat dengan pelan damai Asia Barat kerana, pada pandangannya, tiada pihak berpegang padanya.
"Oleh kerana tiada siapa berpegang dengan kecenderungan pelan damai, jadi rakyat Palestin juga berasa tidak terikat kepadanya," kata Meshaal yang kini tinggal di Damsyik, ibu negara Syria.

Katanya, Hamas bersedia berbincang dengan sesiapa saja termasuk Amerika Syarikat (AS).
"Kami terbuka untuk mengadakan dialog dengan seluruh dunia. Hamas tidak menetapkan had mengenai hubungan dengan AS," katanya.

Hamas menang besar dalam pilihan raya Parlimen Januari lalu di Palestin tetapi berada dalam tekanan hebat antarabangsa untuk menamatkan perjuangan menentang Israel.

Minggu lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mencetuskan kontroversi dengan menjemput Hamas melawat Moscow untuk mengadakan rundingan mengenai masa depan proses damai Asia Barat, idea yang diterima baik pergerakan itu.

Meshaal berkata, jemputan untuk melawat Moscow oleh Putin adalah satu penghargaan besar bagi Hamas.

Penyertaan Dato’ Rosli Ibrahim mantapkan parti - Pemuda

KOTA BHARU, 13 Feb (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Kelantan menyambut baik penyertaan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Dato Ahmad Rosli Ibrahim bersama PAS bagi meneruskan usaha mendaulatkan Islam di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, penyertaan Ahmad Rosli yang juga bekas Adun Salor diharap dapat mengukuhkan lagi perjuangan memantapkan parti di peringkat akar umbi.

Katanya, bekas Adun terbabit mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman diharap dapat dimanfaatkan dalam perjuangan PAS yang baru didokonginya sekarang.

"Kami Dewan Pemuda PAS negeri mengalu-alukan penyertaan Dato’ Rosli bersama PAS dan kami juga berharap pengalamannya sewaktu memimpin Semangat 46 dan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri dapat dimanfaat bersama PAS," katanya di sini.

Ahad lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengisytiharkan Ahmad Rosli bersama tiga lagi pemimpin Umno menyertai PAS. Mereka iaitu bekas calon Barisan Nasional (BN), Wan Ahmad Fuad Wan Abdullah, Asmari Che Ali dan Ibrahim Mamat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Senator Siti Zailah Mohd Yusof berkata, bekas Adun terbabit menyertai PAS tidak dipengaruhi tawaran pelbagai jawatan atau kebendaan.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Zamakhsari Ibrahim PAS beruntung mendapat ahli baru seperti Ahmad Rosli, memandangkan dia tiada rekod buruk sejak penglibatannya dalam politik.

Abdul Kadir serah surat letak jawatan

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan beliau berbuat demikian ketika menemui Abdullah pagi ini.
Beliau dijangka mengumumkan tindakannya itu dalam satu sidang akhbar khas esok.
Abdul Kadir, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu difahamkan telah menemui Abdullah tahun lalu lagi untuk menyatakan hasrat meletakkan jawatan yang dipegangnya sejak 27 Mac 2004.

Bagaimanapun, Abdullah meminta beliau memikirkan semula pendirian tersebut. Beliau sekali lagi menyatakan perkara yang sama kepada Abdullah Disember lalu.

Sumber-sumber memberitahu, pagi ini Abdul Kadir ke pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan surat peletakan jawatan itu.

Tindakannya itu dikatakan dibuat setelah beliau merasakan sudah terlalu lama berada dalam Kabinet, selain faktor kekalahannya mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi (MT) pada September 2004.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri pada 1993, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990), Timbalan Menteri Sumber Manusia (1995-1999), Timbalan Menteri Dalam Negeri (Januari-Mei 1999), Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (Mei 1999).
sumber dari http://www.utusan.com.my 14 Februari 2006 ( Selasa )

MARAH...

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali bersama kepemimpinan Pemuda PAS negeri Terengganu dan para peserta Perhimpunan Pemuda Islam Marang (Pimpim) 2006 yang diadakan di Kampung Pantai Seberang Marang menyaksikan pembakaran bendera Denmark sebagai membantah tindakan biadap akhbar negara itu yang menyiarkan karikatur menghina Rasulullah s.a.w. selepas perasmian majlis itu.

Gesaan Iran minta OIC mesyuarat tergempar tamparan pada PM

KEPALA BATAS, 13 Februari (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, gesaan Iran supaya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan isu penghinaan kepada Nabi Muhamad s.a.w merupakan satu tamparan hebat terhadap pengerusinya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut beliau, sepatutnya sebagai Pengerusi OIC Dato' Seri Abdullah lebih prihatin tentang kejadian yang mengoncang sensitiviti umat Islam seluruh dunia bukan mengamalkan sikap tunggu dan lihat.

"Sungguh malu rasanya sikap yang ditunjukkan oleh orang nombor satu negara yang dianggap oleh negara Islam lain sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara tetapi dalam isu penghinaan kepada Junjungan Besar kita dia buat tak tahu saja, " jelasnya ketika diminta mengulas gesaan Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki.

Menteri Luar, Dato' Seri Syed Hamid Albar semalam berkata, Manouchehr Mottaki menelefonnya dan meminta agar diadakan mesyuarat tergempar Menteri Luar OIC bagi membincangkan beberapa isu terbaru.

Namun begitu, Syed Hamid menyarankan Manouchehr Mottaki memberitahu Setiausaha Agung OIC bagi mendapatkan persetujuan daripada negara-negara anggota lain.

Di mana perginya, kewibawaan Dato' Seri Abdullah sebagai penerajui OIC sekiranya gesaan itu dipersetujui oleh negara anggota.

Sewajarnya, OIC telah lama bermesyuarat berbincang dan membuat pertegasan dengan mengingatkan mana-mana negara yang menoriti umat Islam supaya jangan melakukan penindasan atau menuduh tanpa bukti jika meletus keganasan.

Jelas Haji Mohamad, Dato' Seri Abdullah kelihatan lebih suka memdiamkan diri jika umat Islam tertindas contohnya apa yang berlaku di selatan Thailand, Filipina dan Indonesia.

"Sejak memegang tampuk pemerintahan negara dan menerajui OIC tiada lagi tindakan drastik dilakukan terhadap Kerajaan Thailand yang membunuh umat Islam.

Sebaliknya bersama-sama mencari pelarian yang menjadi buruan untuk dihantar pulang ke negara asal, " tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Sebelum itu, beliau bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dan Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid menyampaikan ceramah dalam siri roadshow Perlembagaan Persekutuan 121 (1A) di perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri di Pongsu Seribu.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Taqiudin Hamzah, Presiden Gerakan Mansuh ISA, Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Penerangan, Omar Hasan dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Azizi Ayob

Umat Islam terus bantah

JAKARTA: Penduduk Islam di Asia melancarkan bantahan secara aman semalam menentang penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad oleh akhbar Eropah dan menuntut akhbar terbabit memohon maaf ketika pemimpinnya menggesa supaya Muslim bertenang dan berdialog.

Menteri Luar Denmark, Per Stig Moeller semalam turut merayu pemimpin Arab membantu meredakan kemarahan umat Islam dan menggesa supaya mengelak berlaku keganasan.

"Kerajaan Denmark tidak berniat menghina orang Islam. Kami sedang berusaha memberi penjelasan supaya semua orang bertenang," kata Moeller di Copenhagen.

Ia menyusuli laporan menunjukkan pemulauan barangan Denmark di negara Islam menyebabkan kerugian besar.

Contohnya, Arla Foods, sebuah firma tenusu Denmark-Sweden, yang mempunyai kadar jualan tahunan sebanyak AS$480 juta (RM1.77 bilion) di Asia Barat, menyaksikan jualannya merudum sehingga kosong.

"Kami mengambil masa 40 tahun untuk berjaya di Asia Barat dan melihat jualan terhenti sama sekali dalam masa lima hari," kata jurucakap syarikat, Astrid Gade Niels kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Di Asia, bantahan tidak mencetuskan keganasan seperti tindakan membakar bangunan seperti yang berlaku beberapa hari lalu.

Kartun itu pertama kali disiarkan akhbar Denmark September lalu tetapi akhbar Eropah lain yang memperalatkan kebebasan bersuara dengan menegaskan kebebasan hak itu lebih utama daripada agama, menerbitkan semula kartun itu minggu lalu.

Bagi umat Islam, sebarang lakaran atau imej Nabi Muhammad dianggap menghina dan menyinggung agama Islam hingga mencetuskan bantahan di Australia, Afghanistan, India, Indonesia dan Thailand.

Keganasan terburuk berlaku di Afghanistan semalam apabila seorang lelaki mati ditembak dan dua lagi cedera selepas polis dan ribuan penunjuk perasaan bertempur.

Pegawai di Mehtarlam, wilayah Laghman, berkata orang ramai yang dihasut oleh Taliban dan al-Qaeda menggesa tentera Denmark disingkirkan daripada pasukan pengaman Nato di Afghanistan.

Di Afghanistan, beratus-ratus pemuda bersenjatakan kayu berarak di Kabul dan berhimpun di depan kedutaan Denmark dan melontar batu, merosakkan tingkap bangunan itu.

Di Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam, tunjuk perasaan diadakan di empat bandar raya. Kedutaan AS turut diserang dengan batu di Jakarta. Polis melepaskan tembakan amaran terhadap 500 penunjuk perasaan melontar batu ke arah konsulat Denmark di Surabaya.

Di India, kedai dan perniagaan di tutup dan lalu lintas lengang di Srinagar, Kashmir selepas mogok dilancarkan oleh kumpulan peguam.

Di Thailand, beratus-ratus penunjuk perasaan mengadakan rapat umum aman di depan kedutaan Denmark menyebabkan kedutaan itu terpaksa ditutup semalam dan beratus-ratus anggota polis dikerah mengawal bangunan itu.

Meskipun kemarahan umat Islam semakin memuncak serta beberapa negara mula memulaukan produk negara yang menyiarkan kartun itu, karikatur tetap disiarkan oleh akhbar Amerika Syarikat, Bulgaria, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Jordan, Sepanyol, Switzerland, Hungary, New Zealand, Australia, Norway dan Poland

Monday, February 13, 2006

MMS lucah : Kerajaan perlu bertindak segera

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius pendedahan terkini majalah Mastika edisi Februari 2006 berhubung penularan MMS lucah yang melanda generasi muda mutakhir ini.

DPPWP berpendapat inilah 'trend' baru bahan lucah disebarkan sesudah cakera padat (VCD), majalah lucah dan bahan-bahan dari Internet diperguna sebagai medium menyampaikan bahan tersebut sebelum ini.

MMS lucah merupakan bahan yang paling mudah dan murah untuk diakses memandangkan ianya mudah diperolehi sama ada penghantaran dari telefon berkamera, melalui internet mahupun dibeli dari kedai-kedai alat telekomunikasi, kata Pengerusi Lajnah Pembangunan Remaja (LPR) DPPWP, Suhaimi Aziz.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily pagi tadi ketika mengulas mengenai penularan budaya menyebarkan MMS lucah di kalangan remaja hari ini yang didedah sebuah majalah tempatan baru-baru ini.

"Suatu masa dahulu amat jarang kita mendengar gadis-gadis Melayu yang sanggup mendedahkan gambar bogelnya apatah lagi sedang beraksi seks bersama pasangan mereka.
"Namun kini adegan yang memualkan itu amat mudah diperoleh, bahkan remaja tanpa segan silu dan merasa bangga pula menunjukkan wajah dan tubuh mereka keseluruhannya untuk dirakam," katanya.

Dalam pendedahan eksklusif Majalah Mastika tersebut, beberapa aksi yang meloyakan sempat ditonjolkan.

Antaranya remaja melakonkan adegan seks dengan ramai pasangan, melakonkan seks di tempat terbuka seperti di tangga, di kompleks membeli belah, di hotel, dan di taman bunga.
Lebih memualkan apabila ada remaja yang merakamkan gambar candid (secara sembunyi) di tandas wanita dan bilik persalinan.

Namun yang amat memeranjatkan dan menakutkan ialah apabila ada di antara gambar tersebut merakamkan aksi-aksi gadis dirogol secara bergilir-gili, katanya ketika merujuk kepada pendedahan majalah tersebut.

DPPWP berpendapat antara punca mengapa remaja hari ini begitu terdedah dengan budaya liar ini ialah kerana kurangnya penegasan dan penguatkuasaan kerajaan di dalam membanteras gejala sosial ini, katanya.

DPPWP mempertikaikan tindakan kerajaan membubarkan pasukan penguatkuasa yang ditubuhkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), sedangkan gejala maksiat semakin meningkat.

Soalnya, siapa yang akan memantau dan mengambil tindakan terhadap remaja-remaja yang melepaskan nafsu mereka di taman-taman bunga, di hotel-hotel murah, di tandas-tandas awam kalau bukan satu pasukan penguatkuasa, katanya.

Dalam pada itu DPPWP juga amat kesal dengan sikap acuh tak acuh kerajaan di dalam menangani pusat-pusat hiburan yang berleluasa sehinggakan ada pusat hiburan yang telah 25 kali diserbu masih lagi beroperasi.

DPPWP yakin pusat-pusat hiburan yang berleluasa tanpa kawalan inilah antara punca penularan budaya liar.

"Di sinilah bercambahnya pil-pil ecstasy, perzinaan, pelacuran, penagihan dadah dan pelbagai aktiviti jenayah lain,"katanya.

Justeru itu, DPPWP menyarankan kepada pihak kerajaan, ibubapa dan pihak bertanggungjawab supaya segera mengambil tegas bagi menangani masalah ini.

Satu tindakan tegas diambil kepada sesiapa yang menyimpan dan mengedarkan MMS lucah ini, katanya.

DPPWP merasakan amat mudah bagi pihak polis untuk mengenalpasti penyebar MMS lucah ini sebagaimana pihak polis menumpaskan SMS fitnah yang mengaitkan artis terkenal tanahair, katanya.

Pihak berkuasa juga digesa menyiasat dan mengenalpasti pelakon-pelakon MMS lucah ini dan bawa mereka ke muka pengadilan, katanya.

Selain itu pihak berkuasa juga perlu mengadakan operasi dan penguatkuasaan lebih kerap di tempat-tempat yang dikenal pasti sebagai pusat perzinaan seperti di rumah urut, di hotel murah dan di taman bunga.

Ibubapa juga disarankan agar sentiasa memeriksa telefon bimbit anak-anak agar MMS lucah ini tidak sampai ke tangan mereka, katanya.

Di samping itu, DPPWP juga mengesa kepada para ibu bapa dan ahli masyarakat Malaysia agar bersikap lebih progreasif dan membantu dalam memberikan maklumat kepada berkuasa agama dan polis berkaitan dengan aktiviti tidak bermoral ini, katanya.

Sehubungan itu, DPPWP sekali lagi mendesak kerajaan agar segera mengambil tindakan tegas supaya budaya liar ini tidak terus berkembang dalam masyarakat negara ini.

DPPWP sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menangani masalah ini sebelum ianya menjadi lebih parah, katanya.

Bush lebih kejam daripada Hitler

CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez menyifatkan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush lebih teruk daripada Hitler dan menegaskan negara itu menimbang untuk membeli lebih sejuta senjata api untuk mempertahankan negara itu daripada ditakluk AS.

Bercakap pada rapat umum bagi mengenang cubaan rampasan kuasa 1992 ketika beliau dalam tentera, Chavez memberi amaran Washington menimbang untuk menyerang Venezuela dan negara itu memerlukan lebih senjata api untuk mempertahankan diri.

"Kita masih memerlukan sejumlah besar raifal. 100,000 senjata Russia tidak memadai. Kita memerlukan lebih sejuta senjata api dan askar yang terlatih," katanya.

Hubungan antara Washington dan Caracas tegang sejak beberapa bulan lalu ekoran tindakan AS mengkritik Venezuela membeli peralatan tentera termasuk lebih 100,000 raifal Kalashnikov buatan Russia.
Chavez memberitahu rakyatnya, beliau sudah mula menghubungi negara lain yang mampu membekalkan senjata api kepada negara itu. Pada majlis sama, Chavez turut membidas kenyataan Setiausaha Pertahanan AS, Donald H Rumsfeld yang menyamakan beliau dengan Hitler selain memberi amaran terhadap pemimpin Bolivia dan Cuba yang kedua-dua sekutu Venezuela

Muktamar PAS tahun ini di Kedah

IPOH, 13 Feb (Hrkh) - Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam memutuskan Muktamar Tahunan PAS tahun ini akan diadakan di Kedah pada 7, 8 dan 9 Jun ini.

Keputusan ini dimaklumkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat JK PAS Pusat di sebuah hotel dekat sini semalam.

Ini adalah amalam biasa PAS apabila mengadakan muktamarnya di luar Kuala Lumpur untuk tahun yang tidak ada pemilihan kecuali tahun lepas apabila muktamar yang ada pemilihan diadakan di Kota Bharu. Itupun kerana masalah teknikal yang berlaku di Markas Tarbiyah PAS Kuala Lumpur.

Harakahdaily difahamkan muktamar ini akan diadakan di Kompleks PAS Kedah yang sedang aktif dipersiapkan sekarang.

Media tidak siar bantahan PAS

Sementara itu, Presiden PAS turut melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan kebanyakan media Malaysia yang tidak menyiarkan demontrasi yang dianjurkan PAS bagi membantah penyiaran kartun yang menghina Nabi.

"Kerana tindakan ini maklumat tidak sampai secara sempurna kepada rakyat," katanya.
PAS bersama NGO Islam yang lain menganjurkan demo dan perarakan membantah langkah penyiaran kartun yang menghina Nabi oleh sebuah akhbar Denmark pada 10 Februari lalu.
Hampir 10,000 menyertai demontrasi itu tetapi tidak mendapat liputan media negara ini.
"Sedangkan media luar negara termasuk CNN, BBC dan lain-lain membuat liputan,tetapi media di negara ini menutup perkara ini," katanya.

"Kita meminta kerajaan negara ini yang Perdana Menterinya Pengerusi OIC agar menekan Denmark dan negara-negara lain agar jangan sekali-kali mengulangi perkara ini," katanya.

Kes MRR2

Dalam sidang media itu, Abdul Hadi juga mengingatkan kerajaan agar jangan mengambil ringan kerosakan dan boleh jadi penyelewengan yang berlaku kepada MRR2 sekarang.

"Kita bimbang kemungkinan ada penyelewengan yang bersifat mega di sebaliknya dan lenyap begitu saja sebagaimana kes-kes penyelewengan mega yang lain," kata beliau